Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Ahad, 27 Mei 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB15

“AWAK nak masak apa?” Harith menyoal sambil berpeluk tubuh. Belakang badan dia sandarkan ke dinding dapur.

“Entah,” jawab Arlyssa. Sememangnya dia tak pandai masak.

“Nak keluar makan tak?”

“Keluar? Tak payahlah, balik tadi pun dah maghrib,” ujar Arlyssa. Mug di atas rak kayu dia capai dan air masak dituang ke dalam mug itu.

Harith bergerak menghampiri peti sejuk. Pintu peti dia tarik, nak tengok apa yang ada kat dalam tu. Telur, ikan kembung, ayam, kobis dan sawi manis. Hmm, nak masak apa ni? Gumam Harith. Dalam peti tu memang tak ada banyak bahan basah sebab dia jarang masak. Dan si Arlyssa pulak bukannya kuat makan. Biasanya Harith beli makanan siap-siap dari kedai sebelum balik ke rumah.

“Awak nak masak ke?” Arlyssa menyoal apabila Harith mengeluarkan ayam, telur dan kobis dari dalam peti.

“Haah, lapar ni. Nasi ada tak?”

“Ada,”

“Awak nak masak lauk ke?”

“Taklah, saya nak goreng nasi je. Senang,” balas Harith sambil merendam ayam di dalam singki.

“Nak saya tolong ke?” Arlyssa menawarkan pertolongan.

“Boleh jugak. Awak tolong hiris kobis dan sawi manis ni,” ujar Harith. Lengan baju Melayu sudah dia sinsing ke siku tapi lengan baju tu melurut turun kembali. Ah, tak boleh jadi ni. Harith tinggalkan kerja-kerja di dapur dan berlalu ke ruang tamu. Arlyssa hanya memandang telatah Harith.

Harith kembali semua ke dapur setelah menyalin baju. Baru selesa nak buat kerja. Lima belas minit kemudian, siap juga Harith menggoreng nasi. Arlyssa ada jugak tolong sepanjang Harith memasak. Tolong tengok!

Mereka berlalu ke arah meja makan sambil Harith menatang bekas berisi nasi goreng. Pinggan dan sudu serta mug berisi air sudah tersedia di atas meja makan. Arlyssa mengaminkan doa makan yang Harith bacakan. Tapi, tak sempat Arlyssa menyudu nasi ke dalam mulut, telinganya menangkap bunyi orang memberi salam. Siapa pulak yang daang malam-malam ni? Selama mereka tinggal kat rumah tu, tak pernah sekali pun lagi mereka menerima kunjungan mereka yang bernama tetamu.

“Tak apa, awak makanlah. Biar saya pergi tengok. Siapalah yang datang malam-malam ni.” Sempat lagi bibirnya mengomel.

Selak pintu Arlyssa tolak perlahan. Rumah lama, memang wajib ada selak selain tombol kunci. Sebaik pintu terbuka, dia tercengang. Terkejut pun ada.

“Mama,” serunya. Lantas tubuh Puan Aini dia dakap kemas.

“Rindunya kat mama.” Luah Arlyssa spontan.

“Mama rindu jugak kat anak manja mama ni,” usik Puan Aini. Pipi Arlyssa dia cium.

“Lys, siapa yang datang tu?” Laung Harith dari meja makan.

“Eh, jom masuk, ma.” Hampir terlupa pula yang mereka masih berada di laman rumah. Nasib baik suara Harith menyedarkan Arlyssa. Syed Yusri pula sedang mengeluarkan beg pakaian dari bonet kereta.

“Assalamualaikum,” sapa Puan Aini kepada Harith yang sedang enak menjamu selera. Hampir tersedak Harith kerana sapaan dari Puan Aini.

“Wa’alaikmussalam. Mama,” tangan Puan Aini dia salami penuh hormat.

“Kamu baru makan malam ke?” Soal Puan Aini. Matanya mengerling pada Arlyssa. Dia agak tak senang dengan tingkah itu kerana tak elok makan lewat malam.

“Err.. Haah, tiba-tiba rasa lapar pulak malam ni. Tadi tak lapar pulak. Nak keluar cari makanan malas pulak, jadi masak je la nasi goreng.” Jawab Harith. Dia mahu menyelamatkan Arlyssa sebenarnya. Tak naklah kena tahan telinga dengar Puan Aini bagi ceramah.

“Err.. Mama nak makan sekali boleh jugak,” pelawa Harith.

“Tak apalah, mama dah makan tadi. Mama nak masuk berehat dulu ya,” Puan Aini meminta diri dan berlalu ke biliknya.

Harith dan Arlyssa berpandangan. Alamak! Mama dan along tidur kat sini? Habislah mereka. Bahasa mata mereka saling berbalas kata.

“Ehem… Korang duk tengok apa tu?” Teguran Syed Yusri mematikan kelakuan mereka.

“Eh, long. Pukul berapa bertolak ni?” Soalan Syed Yusri tidak dia jawab sebaliknya Harith menyoal balas. Sengaja nak tukar topik. Harith bersalaman dengan Syed Yusri dan diikuti oleh Arlyssa selepas itu. Arlyssa terus ke dapur.

“Lepas habis shift kat hospital tadi, terus along bertolak ke mari. Dalam pukul 3.00,” jawab Syed Yusri. “Eh, mama mana?” Baru dia sedar Puan Aini tak ada di situ.

“Oh, mama dah masuk bilik. Nak berehat katanya.”

“Hmm.. kalau macam tu along masuk bilik dulu ya. Dah penat sangat ni,” Syed Yusri meminta diri untuk berehat.

“Baiklah,”

Semerta dengan itu, Arlyssa muncul di muka dapur. Tangan Arlyssa dia tarik dan dibawa masuk ke dalam bilik.

“Ada apa?” Arlyssa pelik dengan Harith. Tiba-tiba tarik tangan orang.

“Awak tak nampak ke mama tengok kita semacam? Macam kita ada buat salah besar,” ujar Harith.

So?”

Ya Allah minah ni! Apasal la slow sangat? Tanya macam orang tak ada perasaan. Gumam Harith di dalam hati.

So kita kena buat macam tak ada apa yang berlaku. Awak dan saya kena berlakon macam tak ada apa-apa yang berlaku. Kita mula dengan tempat tidur. Biasanya saya tidur kat ruang tamu tapi malam ni sama ada awak suka atau tak, saya kena tidur dalam bilik ni,” Harith membentangkan usul.

Tidur dalam bilik ni? Nonsense!

“Awak nak tidur kat mana?” Arlyssa pandang sekitar bilik sempit itu. Atas lantailah tempat kau.

Harith pandang lama ke arah katil. Sengaja dia nak tengok reaksi Arlyssa. Senyuman di bibirnya sudah berbunga.

What? Atas katil ni? Habis saya nak tidur kat mana?” Suara Arlyssa naik dua ton. Dia hampir-hampir meradang.

“Shhh… Perlahan sikit suara awak tu. Nanti mama dengar. Apa susah, awak tidur jelah sebelah saya,” selamba Harith memberikan cadangan.

No! Kalau awak nak tidur dalam bilik ni, awak tidur atas lantai. Kalau tak, tidur je kat luar macam biasa.” Keputusan Arlyssa muktamad.

“Yalah, yalah. Baru usik sikit dah naik angin awak ni,” balas Harith.

Fuhh, selamat! Arlyssa melepaskan nafas lega. Tanpa menunggu lama, dia membaringkan tubuh di atas tilam. Ah, leganya.

“Eh, dah nak tidur ke? Makanan kat luar tu tak nak makan ke?” Pertanyaan Harith mematikan perlakuan Arlyssa.

“Tak naklah, awak simpan jelah. Esok boleh hangatkan balik,” balas Arlyssa dengan mata yang sudah terpejam. Tadi perutnya memang lapar tapi selepas menerima kunjungan Puan Aini, perutnya tiba-tiba kenyang.

“Hmmm..” Harith berlalu keluar dari bilik itu. Mahu mengemas meja makan.

Arlyssa tersentak kerana sesuatu terlintas di kepalanya. Lalu dia bangun dari pembaringan. Narita di dalam ruang compartment bahagian atas almari baju dia tarik keluar. Narita itu dia bentangkan di sebelah katilnya dan diletak sama dua biji bantal. Selimut juga disertakan sekali. Dalam tak suka, dia masih punya sifat perikemanusiaan. Tapi dia sebenarnya takut. Takut Harith mengotakan kata-katanya.

Semua barang-barang milik diri sendiri Harith angkut masuk ke dalam bilik Arlyssa. Nasib baik Puan Aini dan Syed Yusri tak perasankan barang-barang ni semua sebab agak terlindung di sebalik almari hiasan. Dia tak peduli apa yang Arlyssa akan kata, yang penting dia kena sembunyikan semua ni dahulu.

Harith tolak pintu bilik dan masuk ke dalam. Hai, dah tidur ke? Hati kecilnya menyoal. Matanya tertancap pada narita yang telah dibentangkan dan pada Arlyssa yang telah berselimut tebal di atas katil bersilih ganti. Takut betul dia ni. Takut aku tidur sekatillah tu. Harith senyum lagi. Tanpa menunggu lama, dia berbaring di atas narita dan kerana kepenatan, dia terus dibuai lena.

“LYS, bangun Lys. Subuh dah nak habis ni,” gerak Harith tapi batang tubuh Arlyssa tak nampak gaya nak bangun pun. Hisy, susah betul nak suruh bangun.

“Lys, bangunlah.” Selimut yang membaluti tubuh Arlyssa dia tarik. Dari dulu sampai sekarang, culas betul bab bangun tidur.

“Hmm..” Gumam Arlyssa. Tangannya mahu menarik kembali selimut tapi ditegah oleh Harith.

“Eh, tak payah nak tarik-tarik balik. Bangunlah,”

“Hmmm…” akhirnya Arlyssa bangun dengan rasa mamai yang masih tak hilang. Mata terpejam lagi.

“Sudah-sudahlah tu tidur. Lebih baik awak pergi mandi dan solat. Jangan buat-but lupa pulak, mama ada kat luar tu. Awak kena sediakan sarapan.” Ujar Harith.

Biasanya mereka beli kat luar je sarapan sebab Harith sudah terbiasa makan berat ketika bersarapan. Nak harap Arlyssa masak nasi lemak, memang taklah. Masak nasi pun kadang-kadang terlebih air, ni kan pulak nak masak nasi lemak. Entah macam manalah rupanya nanti.

Siap mandi dan solat, Arlyssa ke dapur. Lama dia merenung singki. Kepalanya sedang ligat berfikir. Nak masak apa ni? Ah, jerang air dululah. Cerek elektrik dia capai dan kabel elektrik dicucuk pada cerek itu selepas mengisi air ke dalam cerek. Sedang berfikir-fikir, matanya menangkap bekas nasi goreng semalam. Aha, hangatkan nasi goreng tu je lah. Pantas tangan Arlyssa galak bekerja.

Tanpa dia sedari, ada sepasang mata yang sedang asyik memerhati setiap gerak kerja yang dia lakukan. Dalam diam, sepasang mata itu sedang membuat penilaian. Lagaknya seperti seorang penyelia sedang menilai pekerjanya untuk dinaikkan pangkat. Dia mahu tahu apa yang telah Arlyssa belajar sepanjang tempoh hampir dua bulan di sini.

“Err… ma,” teguran Harith mengejutkan Puan Aini.

“Shhh..” jari telunjuk sudah melekap pada bibir, menghantar isyarat supaya diam. Harith cuma tersenyum melihatkan reaksi Puan Aini. Dia berlalu masuk ke dapur, meninggalkan Puan Aini yang sedang menyorok di sebalik dinding dapur.

“Awak masak apa ni?” Harith menegur.

“Opocot mak kau!” Arlyssa melatah. Sudip di tangan dia halakan kepada Harith. Tindakan spontan. Fuh! Nasib baik sudip. Kalau Arlyssa halakan pisau tadi, mau pendek umur dia.

“Apa awak ni? Suka betul sergah-sergah macam tu!” Marah Arlyssa. Dan Harith hanya senyum. Kadang-kadang Arlyssa pelik jugak dengan Harith ni sebab suka betul senyum. Mulut dia ni terasa ringan je nak tanya, ‘awak tak lenguh ke asyik senyum je?’.

“Eh, nasi goreng semalam?”

“Hmm…” Balas Arlyssa.

Siap menggoreng balik nasi, dia terus hidangkan di atas meja dan pinggan di atas rak pula dia capai.

“Air awak tak bancuh lagi ke?”

“Alamak, lupa.” Ujar Arlyssa sambil menepuk dahi. Macam manalah dia boleh terlupa.

Tak perlu menunggu lama, Harith mencapai teko di dalam kabinet dan set cawan dia susun di atas talam. Siap membancuh air, Harith tatang talam ke meja makan. Di atas meja sudah tersedia dengan roti, jem dan nasi goreng. Dia faham sangat dengan kebiasaan Arlyssa yang tak ambil makanan berat untuk sarapan. Cukup dengan roti dan jem.

“Wah, dah siap sarapan pagi.” Suara Puan Aini mencelah, mengejutkan Arlyssa. Dia keluar dari tempat sembunyiannya. Harith pulak terasa seperti mahu tergelak dengan reaksi Puan Aini. Lagak macam baru keluar dari bilik mama ni. Pada hal dah hampir sejam berdiri kat situ. Pelakon terbaik! Bisik hati Harith.

Arlyssa tak tahu sama ada mahu senyum ke tak. Sebabnya bukan dia yang masak sarapan ni. Cuma tolong hangatkan dan hidang je.

“Err.. Along mana ma?” Arlyssa bertanya, sengaja mahu tukar topik.

“Eh, tak bangun lagi ke? Tak apalah, mama pergi tengok,”

“Fuh!” Arlyssa melepas nafas lega. Nasib baik, sambungnya di dalam hati.

“Kenapa?” Tiba-tiba Harith menyoal. Dia hanya memerhati aje dari tadi.

“Kenapa apa?” kening Arlyssa terjongket. Bersungguh tu dia bertanya.

“Kenapa awak lepas nafas macam tu? Awak ada buat salah ke?” Sudah tahu tanya lagi.

“Tak adalah,” selindung Arlyssa.

Seketika kemudian muncul kelibat Puan Aini dan Syed Yusri ke ruang makan. Selepas membaca doa makan, mereka menjamu selera.

“Err.. Mama dengan along ada kerja ke datang sini?” Arlyssa tiba-tiba bersuara. Sebenarnya sejak semalam lagi dia nak tanya tapi sebabkan tengok Puan Aini dan Syed Yusri kepenatan, dia batalkan hajat di hati.

“Along nak tengok-tengok cawangan Hajra di sini. Pak Cu cakap cawangan kat sini ada masalah. Bila along cakap kat mama, mama nak ikut.” Jawab Syed Yusri.

“Oh,” gumam Arlyssa sambil mengunyah roti perlahan. Harith hanya memerhati. Rasanya tak ada apa yang boleh dia sampuk.

“Hari ni cutikan? Lys temankan mama jalan-jalan hari ni ya. Bolehkan Harith?” Puan Aini mengusulkan cadangan serta meminta izin Harith. Dua dalam satu.

Arlyssa angkat kepala. Dia pandang Harith yang sedang khusyuk makan. Matanya menghantar pertanyaan, ‘boleh ke tak?’

“Emm.. boleh tapi saya ikut jugak.” Persetujuan keluar dari bibir Harith tapi bersyarat. Harith bukan apa, dia letak syarat tu bersebab. Tak mahu Arlyssa sesat sekali lagi. Tambah pulak keluar berdua dengan Puan Aini.

Perkataan boleh tu dah buat Arlyssa seakan mahu bersorak tapi syarat kat hujung ayat tu buat semangat Arlyssa merudum. Hampeh! Nak keluar pun bersyarat bagai. Dah lama dia tak keluar berdua-duaan dengan Puan Aini. Rindu sangat masa lalu. Tapi ni kena angkut dia jugak.

“Macam mana Lys? Boleh ke?” Soalan Puan Aini tertuju kepada Arlyssa.

“Emm..” Nak tak nak terpaksalah dia setuju walau dalam hati memang tak nak.

“Okey, pukul 11.00 nanti kita keluar,” tutur Puan Aini.

3 ulasan:

  1. Alahai Lyss masih x ada perasaan kat Harith lagi ke???

    BalasPadam
  2. Ni yg susahnya org yg berhati keras mcm batu.. Huhuhu.. Apa yg dia nmpk lbh byk buruk dr baik..

    BalasPadam
  3. biler nak smbg niee.... dah x sabar nak baca. LYSS mcm x de perasaan tapi dah ada cam malu-malu kucing... hahahaha

    BalasPadam