Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 2 April 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB8

ARLYSSA mengetatkan muka sejak duduk di dalam kereta. Hatinya tiada langsung mahu senyum. Ah, buat menambahkan kedutan kat muka aje! Dengus Arlyssa. Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu, itulah muka yang dia pamerkan. Muka macam tapai basi!

Dia melangkah masuk ke dalam rumah yang sememangnya sangat klasik di ruang matanya. Huh! Rumah apa ni mama?! Biasalahkan bila dah terbiasa hidup di rumah batu yang mewah segala-galanya dan mula rasa tak senang bila terpaksa duduk di rumah kayu yang kurang serba-serbi. Rumah pusakalah katakan. Walaupun kurang di mata Arlyssa, bagi Harith pula, dia dah bersyukur sangat-sangat sebab ada tempat berteduh.

Arlyssa menapak masuk ke dalam biliknya. Walau dia sudah lama tak balik ke rumah itu, tapi dia masih ingat yang mana satu biliknya kerana mereka adik-beradik tak ramai, jadi setiap orang dapat bilik sendiri. Kain putih yang menutupi ruang katil dia tarik rakus dan bersepai debu berterbangan memenuhi ruang udara dan….

“Hachumm..” Arlyssa terbersin.

“Bilik ni ke bilik kita?” Pantas Arlyssa berpusing kerana terkejut sangat dengan suara yang tiba-tiba menyapa. Harith yang sedang membimbit beg pakaian mereka terus meletak beg tersebut di tepi dinding. Sekali lagi matanya mencerlung memandang lelaki itu. Siapa nak kongsi bilik dengan kau?!

“Apa dia? Bilik kita? Sejak bila pulak ada istilah bilik kita?!” Arlyssa sangat-sangat tak sukakan lelaki itu. Tambah lagi dengan istilah yang baru keluar dari mulut lelaki itu. Huh, geli rasanya dengan istilah ‘bilik kita’!

Harith terkejut dengan suara memetir Arlyssa. Rasanya sejak dia dipertemukan dengan Arlyssa, tak pernah sekali pun perempuan itu bercakap dengan nada yang lembut. Asyik nak tengking orang, jerit-jerit suka hati dia aje. “Err.. kalau bukan bilik kita, bilik siapa?”

“Ni bilik saya! Kalau awak nak tidur, awak boleh tidur saja di mana-mana pun tapi bukan di bilik ni dan bukan di bilik yang lain sebab bilik-bilik tu semua dah ada orang punya!” Harith mengeluh. Tangannya tergaru-garu kepala. Susahlah kalau macam ni, desis Harith. Kalau dia balik ke rumah emak dan ayahnya serta meninggalkan Arlyssa seorang diri di sini, apa yang akan jadi nanti? Nanti tak pasal-pasal kena bersoal-jawab dengan Puan Aini dan Syed Yusri.

“Kalau macam tu saya kena tidur di ruang tamu?”

“Terpulang!”

Arlyssa menghempas tubuhnya di atas katil. Ah, leganya apabila dapat meluruskan segala urat-urat yang lenguh. Dia tak menghiraukan Harith yang sedang termanggu-manggu tanpa hala tuju. Nampaknya terpaksalah dia tidur kat ruang tamu. Nak buat macam mana, dah nasib diri menumpang. Dia melangkah perlahan ke ruang tamu. Kain putih yang menutupi sofa dia tarik perlahan-lahan. Dia merebahkan tubuh di atas sofa empuk itu.

“Haih, nasib kaulah badan. Penat-penat memandu jauh tapi terpaksa pulak tidur di atas sofa,” keluh Harith. Harith tak nak memberatkan otaknya sekarang ni. Dia cuma mahu tidur saja sementara menanti masuk waktu maghrib.

HARITH menggelengkan kepala melihat cara Arlyssa tidur. Buruk betul! Kaki kat kepala katil, kaki pula terlentang hampir jatuh. Huh, buasnya tidur! Getus hati kecil Harith. Perlahan-lahan dia menarik selimut yang sudah jatuh bergumpal di atas lantai. Cadar juga sudah tidak seperti cadar. Dah macam kain buruk! Bergumpal di hujung katil.

“Lys, Lys.” Panggil Harith untuk mengejutkan Arlyssa. Waktu subuh cuma tinggal hujung-hujung aje lagi. Namun Arlyssa sedikit pun tak berganjak. Malah makin lena pula.

“Lys, bangunlah. Solat subuh,” gerak Harith lagi. Dia tak tahu Arlyssa ni amat-amat payah untuk bangun tidur. Selagi matahari tak meninggi, selagi itulah dia akan lena dibuai mimpi. Sudah berbuih mulut Puan Aini menasihati Arlyssa tapi dia tetap begitu. Macam orang tak ada perasaan.

“Amboi, ni tidur ke dah mati?” Rungut Harith. Selimut di tangan dia lipat dan letak di tepi katil.

“Awak, bangun!” Jerit Harith sambil menggoncangkan bahu Arlyssa. Tapi Arlyssa tetap begitu. Kebal betul telinga perempuan ni.

Ligat kepala Harith berfikir cara yang boleh dia kejutkan Arlyssa apabila cara biasa tak jalan. Aha! Tiba-tiba dia mendapat idea. Harith ke dapur, mencari barang yang mungkin boleh membantunya. Dia kembali semula ke bilik Arlyssa dengan sebiji periuk dan sebatang sudip. Seulas senyuman tersungging di pinggir bibirnya. Tak nak bangun sangatkan. Rasalah irama lagu baru ni!

Harith mengetuk bontot periuk dengan sudip di tangan. Bergema dan bingit bunyi yang terhasil. Arlyssa bingkas bangun dar pembaringan kerana terdengar bunyi yang membingitkan telinga.

“Hoi! Apa bising-bising ni? Kacau orang nak tidur betul!” Tengking Arlyssa. Dia memang tak pernah nak hormat Harith sebagai suami.

“Dah tau bising, bangunlah! Solat subuh!” Kesabaran Harith juga ada hadnya. Jika di Kuala Lumpur dia masih bersabar lagi kerana di hadapan keluarga mertua. Tapi apabila jauh dari rumah keluarga sendiri pun sikap Arlyssa masih begitu, itu yang buat dia naik angin. Orang dah tolong kejut pun dah kira baik, sepatutnya ucap terima kasih, bukannya tengking orang sesuka hati.

“Saya cuti!” balas Arlyssa sambil menghempas kembali badan ke katil.

Betul ke cuti? Ke saja-saja cakap cuti? Hati Harith kurang percaya dengan jawapan Arlyssa. Dia berlalu ke dapur, menghantar kembali periuk dan sudip ke tempat asalnya. Matanya terpandangkan jam di dinding ruang tamu. Ya Allah, sudah pukul 7.30! kelam-kabut dia ke bilik Arlyssa kembali kerana beg pakaiannya masih ada di sana dan bilik air juga ada di situ.

Selesai mandi, Harith terus menyarung kemeja yang masih lagi berkedut seribu. Ah, dah tak sempat nak gosok! Nak suruh Arlyssa, memang taklah lepas dia ‘mainkan’ lagu yang sangat best tadi. Nanti kalau suruh, entah apa jadi dengan kemeja aku ni, desis Harith. Usai bersiap, Harith berkira-kira sendiri. Sama ada nak suruh Malik menjemputnya di sini atau dia menggunakan kereta Arlyssa. Tapi apabila melihatkan waktu makin pantas berjalan, nampaknya Harith terpaksa memilih pilihan kedua. Kalau nak suruh Malik ke sini takut dah tak sempat.

Harith menyelongkar beg pakaiannya. Sebaik terjumpa dengan sebatang pen dan sehelai kertas, dia terus menulis sesuatu di atas kertas itu dan diletakkan di sebelah Arlyssa. Kemudian, dia bergegas keluar dari rumah pusaka itu. Harapnya jalan tak sibuk lagi. Dia tak mahu terperangkap di dalam kesesakkan lalu-lintas yang boleh membuang masanya begitu sahaja.

“LAWA kereta kau. Takkan baru pergi ke KL dah bawak balik kereta sebijik. CR-V tu. Weh, kereta siapa ni?” Sapa satu suara ketika Harith sedang mengunci kereta. Harith berpusing, Malik rupanya.

“Ada la..” Meleret jawapan Harith. Dia seboleh mungkin tak mahu memberitahu apa-apa. Nanti kang, keluar satu cerita, habis terburai semuanya. Lepas tu mulalah jadi buah mulut.

“Hek eleh, nak rahsia pulak! Eh, kenapa baju kau ni? Berkedut semacam. Kau ada kes tak hari ni? Takkan nak pergi mahkamah macam ni?” Kalau masuk mahkamah macam ni memang habislah. Tak pasal-pasal kena halau keluar. Rungut Malik di dalam hati.
Harith pandang baju yang tersarung di tubuhnya. Aduh, macam mana nak sorok ni. “Aku tak ada kes hari ni. Kau ada kot tak? Ni baju spare aje, nanti masuk dalam ofis aku tukarlah.” Dengan baju yang berkedut ni, pasti banyak pula soal Malik nanti.

“Hisy, macam-macamlah kau ni,” Malik berlalu ke keretanya dan kembali semula dengan kot di tangan. “Nah. Kau dari mana ni?” Soal Malik, masih tak puas hati. Biasanya kalau Harith ke Kuala Lumpur, dialah orang pertama yang Harith hubungi, menyuruh mengambil dia di stesen bas. Tapi sejak semalam, Harith tak telefon pun dia. Malik tertunggu-tunggu juga. Dan pagi ni tiba-tiba bawa kereta mahal ni. Aku pakai Vios aje, tapi Harith ni tiba-tiba bawa balik CR-V! Desis Malik.

Harith biarkan sepi tanpa jawapan soalan dari Malik. Dia bergegas masuk ke dalam pejabatnya selepas menyarung kot di tubuh. Kemeja spare yang memang ada di dalam laci almari kerjanya dia bawa keluar dan berlalu ke tandas pejabat.

“Nah, terima kasih,” ucap Harith di muka pintu pilik Malik. Kot kepunyaan Malik dia kembalikan.

“Sama-sama.”

“Kau ada kes tak pagi ni? Kalau ambik pagi ni boleh tak? Lepas tu aku hantar kau balik.” Malik memandang jam di pergelangan tangannya seketika.

“Okey, jomlah.” Ujar Malik. Kunci kereta Harith dia bawa keluar dari dalam beg. Dan mereka berlalu keluar dari ruang pejabat.

ARLYSSA terjaga dari tidur. Terasa sangat tak selesa! Mungkin sebab bertukar tempat tidur. Yang pasti katil di rumah mama lagi selesa, desis Arlyssa. Sekejap-sekejap kepalanya di pusing ke kiri. Sekejap ke kanan. Kenapa bilik ni gelap aje? Dia bangun dari pembaringan. Matanya dipejam celikkan. Persekitana bilik dia perhati satu-persatu. Dah siang ke? Soal Arlyssa pada diri sendiri.

Langsir yang menutupi tingkap dia tolak ke tepi. Cahaya matahari yang menyilaukan mata menerjah ke dalam bola matanya, pantas dia menarik kembali langsir. Kalau dapat ronda-ronda ni best jugak. Bisik hati Arlyssa. Pantas dia mengambil tuala dari dalam beg bajunya. Usai mandi, dia mendapatkan kembali beg bajunya, mahu mencari baju yang sesuai. Satu-persatu baju yang masih berlipat itu dia belek. Yang pasti baju yang ada cuma stok-stok baju kurung!

“Mama!” jerit Arlyssa tak puas hati.

Semalam mamanya yang kemaskan semua pakaiannya ini. Dia langsung tak ambil kisah sebab sibuk melayan perasaan. Tapi tak sangka Puan Aini akan meletak baju-baju sebegini saja. Dia tak suka! Apa kelas pakai baju stok-stok alim-ulama ni! Dengus Arlyssa. Terus pudar rasa nak keluar jalan-jalan. Dengan rasa berat hati, Arlyssa sarungkan juga salah satu baju kurung itu ke tubuh. Habis, kalau tak pakai baju ni, takkan seharian dia kena pakai tuala ni. Nak tak nak terpaksalah pakai apa yang ada.
Perut Arlyssa sudah berlagu pelbagai rentak. Dia tersangat lapar sekarang. Tulah, semalam sibuk duk tunjuk protes. Orang ajak makan, jual mahal sangat. Padanlah dengan muka. Sekarang bising cakap lapar pulak. Arlyssa menjengah ke dapur. Manalah tahu kut-kut ada makanan. Tapi hampa. Dapur tu dah terang-terang nampak dapur yang sudah lama di tinggal. Dan peluang untuk ada makanan amat tipis! Arlyssa mengeluh. Belakang badan dia sandarkan pada dinding yang menjadi pemisah antara ruang dapur dan ruang makan. Sampai bila kena tahan lapar ni? Muka Arlyssa sudah bertukar sedih. Mulalah wajah mamanya terbayang di ruang mata.

“Mama,” sebutnya spontan.

Masa susah barulah ingat Puan Aini. Haih, apa punya anaklah Arlyssa ni.

“ASSALAMUALAIKUM Pak Cu,”

“Wa’alaikumussalam. Yusri, kamu datang ke pejabat Pak Cu petang ni boleh?”

“Petang ni? Sekejap ya Pak Cu, saya nak tengok jadual kerja dulu,” pinta Syed Yusri. Tangannya ligat membelek buku yang tercatat segala jadual kerjanya. Maklumlah sekarang ni dia sudah dilantik menjadi doktor pakar. Jadi jadual kerja tak menentu walaupun kerja semakin berkurang.

“Emm.. bolehlah Pak Cu,” Syed Yusri menyatakan persetujuan selepas membisu seketika. Apabila Haji Jamal menyuruh dia ke pejabat, maknanya ada perkaralah yang ingin orang tua itu bincangkan atau maklumkan kepadanya.

“Okey, datang ya nanti. Ada perkara yang Pak Cu nak bincang dengan kamu,”

“Baiklah,”

Seperti yang dijanjikan, Syed Yusri melangkah masuk ke dalam pejabat Hajra Travel Holdings. Dia berhenti seketika di hadapan meja setiausaha Haji Syed Jamal.

“Kak Aisyah, tuan haji ada kat dalam?” Syed Yusri menghulurkan senyuman kepada Aisyah. Aisyah sudah lama berkhidmat di pejabat itu. Sejak arwah Haji Syed Zakaria lagi.

“Ada, tuan haji dah tunggu dari tadi lagi. Yus ketuk pintu tu ya,” jawab Aisyah. Senyuman manis terukir indah di pinggir bibirnya. Dia terfikir juga, siapalah yang akan duduk di kerusi pengarah urusan itu nanti? Haji Jamal cuma sementara saja menjadi pengganti kerana Haji Syed Jamal juga punya syarikatnya sendiri yang perlu diuruskan. Syarikat arwah abangnya ini hanya sesekali saja dia datang jenguk.
Syed Yusri mengucapkan terima kasih kepada Aisyah. Yus merupakan panggilan rakan-rakan dan pekerja lama syarikat ini untuknya. Dia mengetuk pintu bilik Haji Jamal perlahan. Daun pintu dia tolak perlahan selepas mendengar laungan masuk oleh Haji Jamal.

“Assalamualaikum, Pak Cu.” Sapa Syed Yusri.

“Wa’alaikumussalam,” mereka berjabat tangan dan Haji Jamal mempersilakan Syed Yusri duduk.

“Ayie nak minum?” Tanya Haji Syed Jamal. Ayie adalah panggilan kepada Syed Yusri di dalam keluarga.

“Tak apalah, Pak Cu. Err.. perkara apa yang Pak Cu nak bincangkan dengan saya?” Syed Yusri terus kepada topik yang ingin mereka bincangkan. Memang sikap Syed Yusri begitu, tak suka melengah-lengahkan masa.

“Okey, sebenarnya ada perkara tentang syarikat yang Pak Cu nak bincangkan dengan Ayie,” satu fail biru dia buka dan dibelek sehelai demi sehelai.

Syed Yusri melepas nafas perlahan. Kalau bab-bab berniaga ni dia memang lemah. Sejak dari dulu minatnya bukan di bidang ini. Sebab itu dia memilih bidang kedoktoran. Dia lebih suka memandang jarum dan darah daripada berdepan dengan nombor-nombor yang banyak tu. Haji Jamal membentangkan fail yang dia belek tadi di depan Syed Yusri.

“Cawangan kita di Terengganu mempunyai masalah yang agak besar. Cuba Ayie tengok graf ni. Pelanggan yang menggunakan khidmat kita memang ramai tapi dari segi wang masuk, semakin lama, duit masuk semakin berkurang. Ini graf wang masuk dan ini graf wang keluar. Cuba kamu perhati betul-betul,” fail biru itu Haji Jamal serahkan kepada Syed Yusri untuk dibuat perbandingan.

Syed Yusri perhatikan kedua-dua graf yang Pak Cunya nyatakan. Memang betul. Nampak sangat perbezaan antara kedua-dua graf itu. “Pak Cu ada syak sesiapa ke?”

Haji Jamal menarik nafas dan dilepaskan sambil bersandar pada kerusinya. “Pak Cu tak nak tuduh sesiapa. Tapi Pak Cu rasa ini mungkin kerja orang dalam juga. Walau macam mana pun, kita perlu hantar orang untuk pantau cawangan di sana.”

“Biasanya siapa yang pantau cawangan di sana?”

“Biasanya pegawai di sini yang akan ke sana. Nama dia Zainal. Tapi Pak Cu tak berapa percayakan dia. Bukan Pak Cu nak tuduh dia yang seleweng duit syarikat tapi kemungkinan ke arah itu tu ada. Kalau boleh kali ni Pak Cu nak hantar orang lain. Mungkin kita boleh suruh orang yang kita hantar ni menyamar. Menyamar sebagai pegawai yang baru di tukar ke sana. Macam mana?” Walaupun sudah menginjak ke umur 60-an tapi cadangan Haji Jamal masih boleh diguna pakai.

“Cadangan Pak Cu tu bernas juga. Tapi kita nak hantar siapa ke sana?”

“Apa kata kita hantar Lys ke sana. Orang sana tak kenal Lys tu siapa. Jadi, ini akan jadi satu tiket untuk Lys memantapkan lakonan.” Bersinar mata tua itu mengeluarkan cadangan.

“Sekarang ni Lys sudah ada di sana. Tapi elok juga cadangan Pak Cu tu.”

“Lys dah ada kat sana? Dia buat apa kat sana?” Haji Jamal pelik dengan jawapan Syed Yusri.

“Lys ikut kawan dia,” jawab Syed Yusri cuba berselindung. Sebenarnya semua saudara-mara mereka masih tak tahu yang Arlyssa sudah berkahwin. Perkara yang telah menconteng arang ke muka keluarga mereka di simpan kemas tanpa dapat dihidu oleh sesiapa pun. “So, Pak Cu serius nak hantar Lys ke sana?”

Selepas kelakuan Arlyssa di pejabat itu baru-baru ini, buat kepercayaan Syed Yusri kepada adiknya semakin tipis. Tambah lagi sikap Arlyssa yang hanya mahu ikut kepala sendiri, cakap orang langsung tak nak dengar.

“Dia bagus dalam bidang ni, why not kita bagi dia peluang. Cuma dari segi cara berpakaian tu yang kena ubah.” Haji Jamal melepaskan nafas panjang.

“Dah lama ke masalah ni berlaku dan berapa anggaran kerugian yang kita alami?”

“Daripada siasatan awal, anggaran kerugian sekitar 200 ribu hingga 500 ribu. Perkara ni dah lama berlaku. Tapi kita baru dapat kesan. Lagi cepat Lys masuk kerja di sana, lagi senang kita tahu siapa dalangnya.” Terang Haji Jamal satu-persatu.

200 ribu hingga 500 ribu? Banyak jugak tu! Syed Yusri mengeluh sambil bersandar pada kerusi yang sedang dia duduki. Kalau untuk jumlah sebegitu memang besar untuk sesebuah cawangan. Kalau di pejabat utama taklah terasa sangat.

“Macam nilah, saya cuba cakap elok-elok dengan Lys. Pak Cu bukan tak tau angin dia tu macam mana. Minggu lepas dah lancar perang dengan saya sebab saya tegur cara dia berpakaian tu,” ujar Syed Yusri satu persatu selepas merenung seketika fail di tangan. “Pak Cu ada satu salinan lain untuk dokumen ni tak?” Bukan apa, senang untuk dia terangkan kepada Arlyssa nanti.

“Kalau kamu nak yang tu, ambillah. Pak Cu dah ada satu salinan lain,”

“Okey, terima kasih Pak Cu. Kalau tak ada Pak Cu tak tahulah saya. Nak harapkan saya memang taklah. Aliran saya dan perniagaan ni tak selari.”

“Sama-sama. Pak Cu hanya menjalankan amanat arwah abah kamu. Tapi tak selamanya Pak Cu akan duduk di kerusi ini. Pak cu dah tua, Ayie. Sudah sampai masanya kamu adik-beradik pula yang uruskan syarikat ni,” mendatar suara Haji Jamal. Sebetulnya dia sudah penat dengan sepak terajang dunia perniagaan. Anak-anak juga sudah bising. Mereka selalu tanya, bila lagi papa nak bersara? Tak letih ke dari muda hingga ke tua sibuk uruskan syarikat orang? Tiada jawapan yang boleh dia berikan selain, menjalankan amanat arwah abangnya.

Serba sedikit, hati Syed Yusri terkesan juga dengan kata-kata bapa saudaranya. Tapi nak buat macam mana. Nak harapkan dia memang gelap masa depan syarikat ni. Si Mellina pula entah bila akan balik ke sini, dia pun tak tahu. Cuma Arlyssa yang boleh diharapkan sekarang ni.

“Insya Allah, Lys harapan kami semua. Okeylah Pak Cu, saya pergi dulu. Nak balik rehat dulu sebab sejak dari semalam lagi on call di hospital.” Pinta Syed Yusri sambil menghulurkan tangan untuk berjabat dengan Haji Jamal.

Hal ini akan dia bincangkan dengan Puan Aini kerana baginya, Puan Aini patut tahu setiap perjalanan syarikat.

4 ulasan:

  1. best...
    cme kne imprve kn lagi
    maaf kalau sya tegur... :)

    BalasPadam
  2. ok.. xpe sbb ni yg blum d edit.. cuma kalau part sikap Lys, sy mmg sengaja bina perwatakan yg mcm 2.. pemberontak..:)

    BalasPadam
  3. Haa....biar harith tegas cket ngn lys..br padan ngn kja harith as lwyer 2...keep it up ff..♡♥♡♥

    BalasPadam
  4. Ops ats ni komen tuk bab9..heee sensori yunk...hahas

    BalasPadam