“YANG
ni nak tak?” Soal Harith. Huh! Arlyssa pandang Harith macam orang tak ada
perasaan. Dia dah cakap yang dia tak pandai masak. Buat apalah membazir beli
semua ni?! Beli makanan dah siap kan senang. Dia hanya angkat bahu tanda tak
tahu.
Harith letak balik sepaket daging import ke tempat asalnya. Ni yang
susahnya kalau bertanya dengan orang yang tak tahu apa-apa tentang barang
dapur. Rungut Harith. Hai, dah mula merungut nampak. Suara hatinya menegur.
Harith menolak troli yang masih belum terisi apa-apa barang basah sambil
diekori Arlyssa. Dia berjalan, Arlyssa berjalan. Dia berhenti, Arlyssa turut
berhenti.
Sampai di bahagian makanan laut, Harith berhenti. Dia perhatikan ikan yang
berada di situ. Nampak macam tak segar. Plastik yang disediakan dia capai dan
mula mengisi udang ke dalam plastik itu. Udang ni okeylah. Tak lembik dan busuk
sangat. Harith pandang pula ke arah sotong. Hmm.. nampak macam best aje sotong ni. Kalau goreng pun
sedap. Harith berkira-kira di dalam hati. Sebenarnya dia memang hantu dengan
makanan laut. Tapi tak boleh makan selalu sebab dia ada resdung. Puan Hasnah
selalu berleter panjang kalau nampak dia makan sotong dengan udang ni. Tapi
sekarang Puan Hasnah tak ada. Yang ada cuma dia dan Arlyssa aje.
Arlyssa perhati setiap gerak-geri Harith. Di dalam kepalanya sedang
tertanya-tanya. Banyaknya barang-barang yang dia beli. Siapa yang nak masak ni?
Arlyssa awal-awal dah mengaku. Dia memang tak pandai memasak. Jangan kata
memasak, nak jerang air pun dia tak pernah! Semuanya bibik yang uruskan.
“Hei, Rith! Kau buat apa kat sini?” Harith berpaling. Terkejut jugak dia
apabila tiba-tiba ada yang memanggil namanya.
“Eh, kau Aidil. Aku beli barang dapur sikit,” jawab Harith. Dia berjabat
tangan dengan Aidil, salah seorang kawannya ketika di universiti dulu. Matanya
menjeling Arlyssa sekilas.
“Beli barang dapur? Sejak bila pulak kau pandai beli barang dapur ni? Hai,
dah berubah ke kawan aku ni.” Aidil ketawa kecil. Kalau ikut hati dia nak
ketawa besar tapi disebabkan tempat mereka yang terlalu terbuka, dia simpan
ketawa itu di dalam hati.
Harith hanya tersenyum. Dia berlalu ke kaunter penimbang. Arlyssa yang
buat-buat pandang ke arah lain langsung dia tak hiraukan. Arlyssa yang bosan
dengan situasi itu perlahan-lahan angkat kaki. Baru dia terfikir ada beberapa
barang peribadinya yang telah kehabisan stok.
“Kau tu macam mana boleh sampai ke Terengganu ni? Ada kerja ke?” soal
Harith, mengalihkan topik perbualan. Sambil itu dia mengucapkan terima kasih
kepada pekerja pasar raya yang menimbang barang basah yang dia pilih. Harith
pandang pada troli yang sudah tiada pemilik. Mana Arlyssa ni? Ah sudah kalau
hilang. Hati Harith gusar. Anak orang hilang, apa dia nak jawab dengan mak
mentua dan abang iparnya?
“Aku? Aku kahwin dengan orang sinilah. Sebab tu yang aku terpacak depan kau
ni,” ujar Aidil. Tapi Harith tak nampak pun pasangan Aidil, dari tadi dia
berjalan sorang diri aje.
“Iya? Habis, apa cerita kekasih kau masa kat universiti dulu tu?” Harith
menyoal dan tangannya turut ligat bekerja. Satu-persatu paket makanan segera
dia lihat dan pegang. Di dalam kepala terfikir-fikir sama ada nak beli ke tak.
Makanan macam ni boleh dibeli tapi tak boleh amalkan sangat. Tak baik untuk
kesihatan.
“Tak ada jodoh, dia dah kahwin dengan orang lain. Kau pulak macam mana?
Takkan masih sorang-sorang lagi?” Aidil sudah perasankan perempuan yang berada
berhampiran Harith tadi tapi dia rasa serba-salah nak tegur. Takkan perempuan
tak bertudung itu pasangan Harith, seorang peguam syarie’. Terasa tak padan
pula. Desis hatinya.
“Aku? Aku macam nilah. Tak ada sesiapa-siapa lagi. Orang tak handsome, susah nak dapat jodoh, bukan
macam kau.” Ujar Harith berselindung.
“Eh, macam-macamlah kau ni. Okeylah, aku gerak dulu,” mereka bersalaman
sebelum Aidil berlalu pergi. Dan mata Harith ligat bekerja mencari kelibat
Arlyssa. Haih, perempuan ni. Nak pergi mana-mana tu bagi tahulah dulu.
Janganlah buat aku susah hati. Rungut Harith.
“Awak nak beli apa lagi ni?” Pertanyaan dari arah belakang mengejutkan
Harith. Pantas dia memusingkan badan.
“Awak pergi mana? Kalau nak pergi bahagian lain tu, bagi tahulah saya
dulu.” Harith betul-betul cemas kalau Arlyssa melarikan diri. Orang macam
Arlyssa ni tak boleh diagak setiap gerak-gerinya. Suka ikut kepala dia aje.
“Saya pergi ambil ni. Dah awak tu sibuk sangat berbual dengan kawan awak
tu.” Malas Arlyssa menjawab. Bila lagi nak balik ni? Aku dah bosan tengok
barang-barang basah ni. Dengus Arlyssa.
Harith mencuri lihat barang apa yang Arlyssa sibukkan itu. Harirt
mengerutkan dahi apabila terlihat sepaket bungkusan plastik bewarna biru. Apa
bendanya tu? Nak kata lampin pakai buang, rasanya tak. Gambar pada bungkusan
itu dia pandnag lagi. Maxi wing? Dia membaca tulisan yang tertulis di situ.
Sayap? Benda apa yang siap ada sayap? Nak terbang ke siap ada sayap bagai.
Harith menyoal diri sendiri.
Ni kenapa pulak duk sibuk perhatikan paket ‘roti kering’ aku ni? Arlyssa
pelik dengan tingkah Harith. Semerta muka kemerahan apabila melihat Harith
semakin khusyuk perhatikan barang yang baru dia letak dalam troli tu.
“Banyak lagi ke barang yang awak nak beli?” Arlyssa menyoal untuk mematikan
kelakuan pelik Harith. Tapi nasib baik Harith tak tanya apa benda tu. Kalau
tak, apalah yang dia nak bagi alasan. Arlyssa pandang ke arah isi dalam troli.
Banyaknya barang. Macamlah ramai sangat yang nak makan. Yang paling penting,
siapa nak masak semua ni? Aku ke? Kalau dia rasa nak tidur kat ‘hotel tinggi’,
cubalah suruh aku masak!
“Hah? Oh, tak ada apa. Jomlah pergi bayar,” gelabah Harith menjawab. Troli
terus dia sorong ke kaunter bayaran.
Kereta Myvi milik Harith perlahan-lahan berlalu keluar dari petak parkir.
Arlyssa begitu khusyuk sekali memandang ke luar tingkap kereta. Dia terpegun
sebenarnya. Tak disangka yang pemandangan malam di bandar kecil ini cantik
juga. Dulu dia tak suka pulang ke sini sebab sangat membosankan. Tambah lagi
sepupu-sepupu sebelah abahnya sangat kolot di matanya. Tapi sekarang,
pandangannya berubah serta-merta.
Harith sengaja memilih jalan jauh untuk pulang ke rumah sebab dia nak bawa
isteri tercinta yang sudah seperti orang bisu di sebelahnya ini bersiar-siar
sekitar bandar Kuala Terengganu yang dicintai ini. Orang luar termasuk Arlyssa
melabel bandar Kuala Terengganu suatu tempat yang mundur, tak ada hiburan,
bandar yang membosankan dan macam-macam lagi tanggapan buruk. Hinggakan ketika
belajar di universiti dulu, rakan-rakannya pasti memperlekehkan dia kerana dia
berasal dari Terengganu, sebuah negeri yang tak maju dan tak moden di fikiran
mereka.
Arlyssa bertambah terpegun apabila kereta Harith melalui pesisir sebuah
pantai. Dia tak tahu pulak apa nama pantai tu. Tapi yang pasti pantai itu
dikunjungi oleh ramai orang macam malam ni malam hujung minggu. Malam ni bukan
malam hujung minggu. Pemandangan di situ tak ubah seperti di depan Padang
Merdeka jika malam hujung minggu. Kemudian, pemandangan pantai diganti dengan
kerlipan lampu yang pelbagai warna di tepi-tepi jalan. Rindu Arlyssa pada
bandar besar Kuala Lumpur sedikit terubat.
“LYS,
Lys. Bukalah pintu ni.” Panggil Harith sambil mengetuk pintu bilik Arlyssa. Di
tangannya sedang memegang sehelai kemeja dan seluar slack. Dia nak suruh Arlyssa gosokkan sebab dia tak sempat nak buat
semalam. Lagi pun, inikan kerja seorang isteri.
“Apa lagi ni!” bentak Arlyssa sambil menggaru-garu kepala. Bentakkan itu
hanya didengari oleh dirinya saja. Macam orang mamai baru bangun tidur bercakap
sendirian.
“Lys, cepatlah buka pintu ni. saya dah lewat nak pergi kerja ni.” Suara
Harith kedengaran lagi.
Lambat-lambat Arlyssa bangun dari atas katil. Pintu bilik dia renggut
kasar. “Awak nak apa?” Terjengul muka Arlyssa dengan reaksi menahan kantuk.
Huh, buruk betul! Bini siapalah ni?
“Awak tolong gosokkan baju dan seluar ni, boleh?” Harith menyoal sambil
menghulurkan baju dan seluar kepada Arlyssa. Mata Arlyssa membulat sebaik
mendengar permintaan Harith. Penampilan Harith tika ini lagi buat hatinya
bergetar hebat. Dada bidang Harith tak berbaju dan hanya mengenakan kain tuala
di pinggang. Huh! Ni fesyen apa ni? Lagi satu, dia nak aku gosok baju? Seumur
hidup aku mana pernah gosok baju!
“Gosok baju? Awak nak saya rosakkan baju awak tu ke apa? Saya tak pernah
gosok baju! Jangankan baju orang, baju sendiri pun saya tak pernah gosok!” Agak
tinggi nada Arlyssa. Mana tak tinggi kalau terkejut bercampur dengan perasaan
tak puas hati.
“Tak pandai kenalah belajar. Takkan selamanya awak nak berada di takuk
lama. Mari sini, saya ajarkan macam mana nak gosok baju. Senang aje la,” lembut
Harith mengajak.
Gulp! Ajar gosok baju? Arlyssa telan liur yang terasa pahit
dicelah kerongkong. La, kenapalah aku pergi jawab tak pandai gosok baju. Kalau
aku jawab tak nak, kan senang. Tak payah nak kena belajar gosok baju bagai ni.
Gerutu Arlyssa di dalam hati. Itulah orang cakap, terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata, nilah padahnya.
“Cepatlah, saya dah lewat ni.” Gesa Harith.
“Eh, siapa pulak setuju nak belajar menggosok baju dengan awak? Saya tak
ada kata pun nak belajar.” Selamba Arlyssa menjawab. Tangannya ringan mahu
menutup kembali pintu biliknya dan mahu menyambung kembali lena yang terbantut.
Harith yang menyedari tingkah Arlyssa cepat-cepat menghalang pintu dari
terus tertutup. Daun pintu dia tolak sedikit dan tangannya pantas menyambar
pergelangan tangan Arlyssa. Ah, dia ingat dia aje yang tahu nak protes. Aku pun
ada angin juga. Bisik hati Harith.
“Eh, apa ni?! Awak nak bawa saya pergi ke mana?” protes Arlyssa. Dia cuba
menarik tangannya tapi tak berjaya. Genggaman Harith memang kemas.
Pintu bilik Arlyssa dia tolak. Lengan Arlyssa dia tarik sama dan dikunci
dari dalam. Pegangan pada pergelangan tangan Arlyssa masih tak berganjak.
“Seterika mana?” Harith menyoal Arlyssa tapi Arlyssa mematungkan diri.
Membiarkan soalan itu berlalu bagai angin lalu.
“Huh!” Harith pandang Arlyssa tapi Arlyssa pandang ke tempat lain. Tak
kuasa aku nak jawab soalan kau!
Melihatkan reaksi Arlyssa, Harith meliarkan mata mencari seterika. Ha, kat
situ kau rupanya. Sebaik jumpa, Harith terus membentangkan kain batik di atas
sebuah meja seakan meja tulis. Dia tak tahu pun kain batik siapa tu, nampak aje
depan mata, dia terus rembat. Yang pasti bukan milik Arlyssa. Heh, orang bandar
macam dia manalah nak pakai kain-kain batik ni. Low class!
“Mari sini,” panggil Harith dan menarik tangan Arlyssa. Tak berganjak
sekali lagi Arlyssa mengeraskan tubuh. Ni memang nak tunjuk perangai ke apa?
Kerana geramkan perangai Arlyssa yang tak ubah seperti budak-budak, Harith
menarik kasar tangan Arlyssa. Mencerlung mata Arlyssa memandang wajah Harith.
Huh, besar sangat dengan cerlungan kau tu? Ada aku kisah?
Dengan kedudukan Arlyssa di depan meja dan Harith di belakang Arlyssa.
Kalau sekali tengok, kedudukan mereka seperti sedang berpeluk. Baju sudah
terbentang di atas meja. Arlyssa dah tak selesa dengan kedudukan mereka tu.
“Nak menggosok ni senang aje, kena pandai kawal suhu iron ni. Kalau suhu kuat sangat, memag berlubang la baju ni. Kalau
awak dah lama iron tapi kedut kat
baju tu tak jugak hilang-hilang, awak guna spray
air ni. Tapi jaga-jaga sikit dengan suhu iron
ni. Masa menggosok lepas spray dengan
air jangan lama sangat sebab nanti makin cepat baju berlubang sebab terlalu
panas. Okey, macam mana? Faham tak?” Tanya Harith di tepi telinga Arlyssa.
Betul-betul di tepi telinga Arlyssa. Seram sejuk Arlyssa dibuatnya.
“Awak, dengar tak ni?” Soal Harith. Dia pelik apabila Arlyssa senyap, bisu
tanpa suara.
“Hah?” Arlyssa terperanjat. Soalan Harith bagai menyedarkan dia dari lena
yang panjang. Apasal pulak dengan minah ni?
Harith terpandangkan kedudukan mereka. Err… Huh! Dekatnya! Baru dia perasan,
kedudukan mereka terlalu rapat. Pantas Harith bergerak menjauh. Tak pernah lagi
dia berdiri serapat ini dengan mana-mana perempuan.
“Err.. awak buatlah macam yang saya ajar tadi.” Harith bersuara dengan rasa
gelabah yang menebal di dalam hatinya.
Wajah Arlyssa sudah memerah. Yang peliknya, dia tak pula marah-marah macam
selalu. Kerana terlalu terkejut, tubuhnya dikeraskan. Lambat-lambat Arlyssa
mencapai seterika dan mula menggosok baju di hadapannya ini seperti mana yang
Harith ajarkan sebentar tadi. Manakala Harith berdiri agak jauh dari Arlyssa
sambil berpeluk tubuh. Setiap lenggok pergerakkan Arlyssa dia perhati hingga
buat dia ralit. Sampaikan tak sedar Arlyssa dah siap menggosok.
“Nah,” hulur Arlyssa. Tangannya ligat mahu menyimpan kembali sterika ke
tempatnya. Agak lama Arlyssa hulur tapi tak bersambut. Dia pantas memusingkan
tubuh menghadap Harith.
“Sampai bila saya nak jadi penunggu setia kat sini? Awak!” jerit Arlyssa
tanpa sabar. Harith terpinga-pinga akibat jeritan Arlyssa.
“Hah? Oh! Terima kasih,” ucap Harith sambil menyambut huluran Arlyssa.
Arlyssa mengemas dan menyimpan kembali seterika serta kain batik yang telah
digunakan tadi. Dia nak sambung tidur pulak. Mengantuk lagi ni. bagai dirasuk,
Harith merapati Arlyssa dan menghadiahkan ciuman di pipi kiri Arlyssa. Dia
pantas berlalu keluar dari bilik itu bersama dengan senyuman lebar. Arlyssa
terkesima dengan tindakan Harith. Laju dia memusingkan tubuh tapi batang tubuh
Harith sudah tiada. Perlahan jarinya menyentuh pipi, di tempat Harith
menciumnya tadi. Di luar sedar bibirnya mengukir senyum lebar.
best,tapi pening baca...hehehe
BalasPadampening lagi x? rasanya dh ok ni.. huhuhu
BalasPadamcepatla sambung lg...
BalasPadambila kyks nk keluar?
bestlah sis...
BalasPadamcinta dah mula berputik...
sudah ada klu nak fall in love hehehehe teruskan fieyza
BalasPadamterima kasih semua..:)
BalasPadampensil comot; KYKS masih dlm penilaian dgn publisher.. nanti dah confirm sy publish ye..:)
NurAtiZa; hehehehe... bunga2 cinta dah muncul.. tq dear..
JO; jgn kata org lain, sy pun fall in love.. tapi kat mna la nak cari lelaki mcm harith ni ye..:)
Alorh...cket bebeno a.lo...tp byk improve da ni..kuikuiii harith ni prgai boleh thn jgk ya ff..hee biar nkl cket..
BalasPadamhehehehe... jgn ingat stok2 peguam syarie ni semuanya alim.. ada jugak yg nakal.. normallah lelaki macam harith ni..:)
BalasPadam