Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Khamis, 8 Mac 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB36

USAI berbuka, kami menunaikan solat Maghrib, solat Isyak dan solat sunat tarawikh secara berjemaah. Aril yang menjadi imam antara kami. Pertama kali dia mengimamkan solat kami semua di rumah kaluargaku. Selesai menunaikan solat tarawikh, aku terasa malas pula untuk memandu pulang ke rumah sana. Selepas melipat telekung dan sejadah, aku merebahkan badan di atas katil. Hajat di hati mahu tidur seketika sebelum bertolak balik ke Manir.

Mataku baru saja nak terlena, tapi bunyi pintu bilik dibuka dari luar membuatkan mataku terbuka kembali. Aku memandang siling bilik seketika. Aku menoleh ke kiri apabila terasa bagai ada orang duduk di atas katilku ini. Mata yang mengantuk terus terbuka luas.

“Awak nak apa?” tanyaku sambil cepat-cepat bangun dari berbaring. Badanku disandarkan pada kepala katil. Bantal yang tadinya digunakan sebagai pelapik kepala aku peluk rapat ke dada.

“Awak nak tidur kat sini ke?” dia menyoal balas. Soalanku dibiar tak berjawab.
Sisi Aril yang tersarung baju Melayu dan kain pelikat aku pandang. Dia yang sedang menanggalkan songkok di kepala aku perhati. Lama aku diam membiarkan soalannya tanpa jawapan. Asyik sekali aku memandang dia. Aku terasa bagai pernah jumpa dia lama dulu. Tapi di mana?

“Awak nak tidur kat sini ke?” soalan yang belum aku jawab dia ulang sekali lagi. Matanya tepat memandang wajahku.

“Hah? Err.. tak. Eh, ya. Eh, tak.” Aku tergagap, tak tahu nak jawab ya atau tidak. Aku cepat gelabah kalau ditanya secara mengejut begitu.

“Yang mana satu jawapan awak ni? Ya ke tak?” soalnya lagi. Sengaja aje.

“Taklah. Kalau saya nak tidur kat sini, dah lama saya beritahu awak.” Jawabku.

Dia bangun. Dengan selamba dia menyarung seluar di hadapanku. “Agrh…” terjerit kecil aku melihatkan aksi dia. Pantas bantal diriba dibawa ke muka, menutup mataku dari pemandangan yang tidak elok. Entah apa entah dia ni. Protesku di dalam hati.
Lima minit berlalu, aku menurunkan kembali bantal yang menutupi muka. Senyuman sinis tersungging di bibir dia. Sengajalah tu. Kedudukanku masih lagi tak berganjak dari tadi.

“Kalau tak nak tidur kat sini, jomlah balik.”

“Eh, saya datang sendiri, balik pun sendirilah. Kenapa dengan awak ni?” soalku balik. Apa kes entah tiba-tiba aje ajak aku balik. Demam kut!

“Cepatlah siap. Banyak tanya pulak.” Sergahnya sedikit meninggi. Terkejut aku dengan sergahan dia tu. Ni apasal pulak nak sergah-sergah orang ni? Cakap elok-elok tak boleh ke? Geram betul aku dengan dia ni.

“Kenapa pulak? Kita kan da…” belum pun sempat aku habiskan ayat tu, pintu bilikku diketuk dari luar. Beserta dengan panggilan namaku.

“Akak, dah siap ke belum? Dah lewat ni.” kedengaran suara Mariana dari balik pintu.

“Hah? Ha, akak dah siap ni.” pantas aku bangun.

Beg tangan di tepi katil aku capai dan tombol pintu aku pulas. Mariana sedang tercegat di hadapan pintu. Tangannya ditadah di hadapanku. Keningku terjongket, dahiku berkerut.

“Ana nak apa?” aku bertanya.

“Nak kunci,” kunci? Dia nak kunci apa pulak ni? Kunci rumah ke?

“Kunci apa?” soalku lagi. Dahiku masih lagi berkerut.

“Kunci keretalah takkan kunci butik akak pulak.” Berlawak pulak dia ni. Lambat-lambat aku menyeluk beg bimbit sebelum mengeluarkan kunci Kenariku.

“Ana nak buat apa dengan kunci kereta akak?” hatiku masih berasa pelik walaupun kunci sudah bertukar tangan.

“Nak baliklah. Ana dah mengantuk, kak.” Ujarnya sambil mata buat-buat layu.

“La, kenapa tak cakap awal-awal. Jomlah, kita balik.” Ajakku sambil melangkah keluar dari bilik.

“Eh, abang tak cakap ke? Ana balik sorang aje, Ana drive kereta akak.” Langkahku terhenti mendengarkan ayatnya itu. Aku berpusing memandang Aril dan Mariana silih berganti.

“Kalau Ana drive kereta akak, habis, akak nak balik dengan apa? Ana janganlah main-main. Akak dah tak larat ni.” ujarku. Aku memang tak larat nak dengar dia bergurau waktu-waktu begini. Mataku sangat mengantuk sekarang. Aku cuma nak tidur aje.

“Abang tak cakap ke? Akak balik dengan abang, Ana balik sorang dengan kereta akak.” Ujar Mariana tanpa belok-belok.

Wajah Aril aku pandang dengan perasaan membara. Tajam aku renung wajah yang pura-pura naïf itu. Aril tersengih-sengih membalas pandanganku, makinlah buat aku membara.

“Alah, lupalah abang nak cakap. Fiza balik dengan abang ya malam ni.” ujarnya tanpa rasa bersalah.

“Okeylah kak, abang, Ana gerak dulu. Kak, beg akak Ana dah masukkan ke dalam kereta.” Maklum Mariana sebelum berlalu turun ke bawah.

Sebaik hilang wajah Mariana di muka tangga, mataku mencerun memandang Aril dengan perasaan marah yang belum surut. Kiranya jika aku pulang dengan dia malam ni, maknanya aku perlu naik motor besar dia tu la. Kali kedua aku naik motosikal itu. Ketika kali pertama dulu aku ingatkan itu adalah kami pertama dan kali terakhir aku naik motor yang berenjin bising tu. Tapi nampaknya, nak atau tak aku terpaksa naik sekali lagi malam ni.

“Kenapa awak buat semua ni?” soalku dengan hati yang berang.

“Saya buat apa?” boleh pulak dia tanya dia buat apa. Ni sengaja nak buat aku tambah naik angin ni.

Aku tak tahu nak jawab apa sebab aku tak tahu nak jawab macam mana. Akhirnya aku mendengus keras sebelum berlalu turun ke bawah. Emak sudah menanti di ruang tamu. Di tangan emak memegang sebuah surah Yassin. Mungkin emak baru saja selesai membaca surah itu untuk disedekahkan kepada arwah abah. Aku merapati emak.

“Mak, saya balik dulu.” Maklumku kepada emak sambil menyalami tangannya. Aril yang mengekoriku turut sama bersalam dengan emak.

Aku berlalu keluar tanpa menghiraukan dia. Nasib baik aku terasa nak pakai jeans dan baju T sahaja. Buatnya aku pakai baju kurung, tak ke haru nak naik motor. Dan tambah nasib baik aku cuma menyarung sandal dan bukannya kasut tumit tinggi. Aku ni kadang-kadang datang jugak angin nak pakai kasut tumit tinggi. Daripada membazir tak pakai, lebih baik pakai sekali-sekala.

“Nah,” aku sedikit tersentak dengan hulurannya itu. Aku hanya memandang jaket dan topi keledar yang dihulur. Ni yang malas ni. kalau naik motor mesti kena pakai pelbagai alat keselamatan. Kalau naik kereta kan senang, tak payah nak pakai topi segala.

Hendak atau tidak, aku menyambut juga huluran itu. Sebaik jaket tersarung kemas di tubuh, aku mencapai topi keledar pula. Aku paling tak suka pakai benda alah ni. Memberatkan kepala aje. Selepas mengucapkan salam pada emak, Syu dan Jad yang sedang berdiri di muka pintu, Aril memulas pedal minyak motornya. Menderu laju motosikal Kawasaki Ninja ZX-6R membelah jalan raya. Aril memulas lagi pedal minyak hingga mencapai kelajuan maksima. Aku yang membonceng di belakang terasa gayat takut jatuh. Dan secara automatik kedua-dua tanganku merangkul pinggang Aril. Darurat! Kalau untuk saja-saja, tak hingin aku!

Ketika melalui simpang Bukit Besar, Aril membelok masuk ke jalan menghala ke Jambatan Sultan Mahmud. Aku pelik. Dia nak pergi mana pulak ni? Dah sah-sah jalan yang dia pilih ni bertentangan dengan arah rumahnya. Tidak sampai 2 minit kemudian, dia memberhentikan motor dan aku disuruh turun. Tanda tanya masih menguasai diriku.

“Nak buat apa bawa saya ke sini?” soalku tanpa menunggu lama. Aku lihat dia sudah menanggalkan jaket kulit dari badannya.

“Saja, jalan-jalan.” Jawabnya bersahaja.

Orang ramai yang sedang berpusu-pusu masuk da keluar dari dewan Terengganu Trade Centre atau singkatannya TTC. Banner yang terpasang di hadapan ruang masuk aku baca. Karnival Barangan Berjenama Sempena Aidilfitri. La, patutlah ramai orang, ada jualan aidilfitri rupanya. Desisku di dalam hati.

“Eh, awak buat apa lagi ni? Cepatlah cabut helmet dan jaket tu.” Sergahnya perlahan. Mungkin sebab orang ramai disekeliling kami, jadi dia merendahkan suara.

Aku hanya menurut. Tapi dalam hati sedang berdongkol geram. Huh, tak boleh tegur elok-elok ke? Perangai dia yang satu ni memang buat aku sakit hati.

“Bawa masuk jaket dan helmet tu, jangan tinggal kat luar. Nanti hilang susah pulak, bukan barang harga sepuluh sen.” Pesannya dengan nada sinis. Aku tahulah semua barang-barang dia berjenama. Semua branded, itu untungnya anak orang loaded.
Dengan hati yang geram, aku melangkah mendahuluinya. Aku baru saja nak melangkah masuk ke galeri A, aku terasa tanganku diraih seseorang. Pantas aku menoleh ke sisi. Aril! Dia menarik aku supaya berjalan masuk ke dalam galeri. Kami berjalan berpegangan tangan di tengah lautan manusia untuk pertama kali. Dia memimpin aku bagai aku ni kanak-kanak yang baru pandai berjalan.

Kami berhenti di gerai yang menjual pelbagai beg tangan berjenama. Bagai nak gila aku memandang beg-beg tangan yang dipamerkan. Spontan pegangan tangan kami terlerai disebabkan aku terlampau teruja dengan pemandangan di hadapanku tika ini. Aku bukannya seorang wanita gila shopping tapi mengumpul beg tangan adalah salah satu hobiku selepas hobi membaca novel. Dan koleksi beg tangan di hadapanku ini menjadikan aku rambang mata. Banyak betul rekaan yang menarik hati.

Tanpa menghiraukan Aril, aku berjalan menyelusuri gerai demi gerai yang menjual beg tangan. Aku biasanya pakai beg tangan jenama Leno atau yang paling mahal pun jenama Reveline yang aku beli di Sogo 3 tahun lalu ketika jualan akhir tahun di sana. Harga beg tu asalnya RM 250 tapi selepas potongan 70 peratus, harga turun jadi RM 70 lebih sahaja. Saat memiliki beg itu aku terasa sangat teruja bagai menerima hadiah sebuah kereta!

Dari gerai Prada, aku berlalu ke gerai Coach. Salah satu beg yang dipamerkan menarik perhatianku. Lebih-lebih lagi jenama Coach adalah antara jenama mewah kegemaranku. Tanda harga yang tersangkut di tali beg aku tilik. RM 4980! Aku menelan air liur. Terasa kesat kerongkongku. Ya ampun, mahal gila beg ni! Padahal rekaannya ringkas aje. Beg yang sederhana besar itu dihiasi dengan logo Coach yang agak besar. Mungkin di situ keistimewaannya.

Beg yang sudah di tangan aku letak kembali di tempatnya. Harga yang terpamer buat aku gerun. Aku ke gerai Fendi pula. Rekaan beg-beg tangan Fendi juga sama seperti beg di gerai Prada. Banyak rekaan untuk golongan yang lebih berusia. Wanita seperti aku tak sesuai rekaan sebegitu. Nanti tak pasal-pasal orang panggil ‘mak cik’. Orang panggil ‘kak’ pun aku dah rasa nak marah apatah lagi kalau orang panggil mak cik!

“Awak tak nak shopping untuk raya ke?” dia menyoalku tiba-tiba. Aku terasa wajahku sangat dekat dengan mukanya kerana ketika dia menyoalku tadi, aku terasa hembusan nafasnya di pipiku.

Aku menggelengkan kepala. Macam mana nak membeli kalau setiap barang yang aku berkenan semuanya berharga ribu-ribu belaka. Kaki terus melangkah. Kali ni aku singgah di gerai Chloe pula. Sama seperti di gerai Coach tadi, ada sebuah beg tangan yang punya hanya satu tali berjaya menggodaku. Rekaannya sangat ringkas dengan hanya satu sahaja ruang meletak barang. Aduh, mau tak balik aku kalau macam ni!

Aku mengerling jam di tangan. Sudah pukul 11.30 malam. Nak buat apa lagi kat sini? Lebih baik balik aje. Nak beli pun tak boleh sebab harga beg yang aku nak ‘murah’ sangat! Aku menarik perlahan hujung lengan baju Aril. Dia memandangku.

“Nak buat apa lagi ni? Baliklah,” ajakku pada Aril.

“Nak balik? Tak nak beli apa-apa ke?” aku menggelengkan kepala tanda tak mahu. Nak beli apanya kalau dalam beg duit aku cuma ada RM 100 aje.

“Okeylah. Awak tunggu kat luar dulu boleh? Saya nak beli barang sikit.” Ujarnya. Dia bolehlah nak beli barang-barang kat sini. Kalau duit tunai tak cukup, bolehlah dia leret kad kredit. Aku ni manalah ada kad kredit, aku tak mampulah nak pakai kad kredit. Lagi pun aku takut nak pakai kad kredit ni. Bila membeli tak hingat! Bila nak bayar mulalah semput!

Tanpa menunggu lama, aku berlalu keluar daripada galeri yang penuh sesak dengan orang ramai. Tolak-menolak adalah perkara biasa. Sesampai di tempat parking motor, ada pulak budak-budak nakal duk bersiul-siul. Saja nak tarik perhatian aku. Tanpa menghiraukan aksi-aksi gatal mereka, aku berdiri di sebelah motosikal Aril.

Makin lama aku berdiri kat situ, makin kuat pulak bunyi mereka menyakat. Aduh… aku rasa tak selesa dah ni. Mana Aril ni! Dia beli apa yang lama sangat ni! Saat-saat genting begini Aril jugak yang aku cari. Aku kegelisahan di sini.

“Hai cik adik, sorang aje?” usikkan berbau miang daripada mat-mat motor yang duk bersidai di tepi tempat letak motor buat aku lagi tak senang duduk. Tadi bersiul aje, sekarang usik-usik pulak!

“Amboi, sombongnya dia. Marilah sini dekat dengan abang, biarlah abang temankan.” Usikkan kedua bergema lagi. Mereka ketawa besar selepas mengusik aku. Meremang bulu romaku mendengar mereka ketawa.

Ya Allah, manalah Aril ni? Aku menyoal diri sendiri. Dah tak tahan dengan usikkan demi usikkan dari budak-budak rempit tu. Alhamdulillah, aku lihat Aril melangkah keluar dari galeri A. Aku memanjatkan syukur di dalam hati. Di tangan Aril sedang memegang beg plastik yang agak besar juga. Entah apa yang dia beli tu, cemburu aku.

“Wei, dia datang dengan balak la. Besar siot motor balak dia. Sah-sah anak orang kaya. Untung badan beb.” Budak-budak ni masih tak habis-habis lagi rupanya.

Aril memandang tajam sekumpulan budak-budak tu. Dia menyuruh aku memegang plastik yang dia pegang kerana dia nak bawa keluar motor. Selepas menghidupkan enjin motor, Aril sengaja memulas pedal minyak, seakan mahu membakar hati mat-mat motor itu. Dan selepas aku membonceng di belakangnya, dia terus memasukkan gear dan memulas kuat pedal minyak.

Aku yang masih gayat terus memeluk kejap pinggang Aril. Saja aje dia ni! Ambik kesempatan! Aku menyumpah di dalam hati. Selepas dia memakir motornya di dalam garaj, aku terus menyerahkan jaket dan topi keledar yang aku guna tadi serta plastik yang dia suruh aku pegang tadi tu. Sejak masuk tadi, aku lihat suasana rumah sudah gelap-gelita tanda Mariana sudah masuk tidur.

“Eh, plastik tu ambiklah. Bukan yang saya punya.” Ujarnya sambil mengambil jaket dan topi keledar di tanganku.

Aku terpinga-pinga apabila dia berkata begitu. Pelik! Habis, kalau bukan barang dia, kenapa dia suruh aku pegang? Tadi kan memang dia ada beli barang kat TTC dan barang tu dia suruh aku pegang, dan nilah barang tu.

Dia berlalu ke arah tangga. Aku mengekori dia dari belakang. Aku masih pelik dengan barang yang terisi di dalam plastik yang sedang aku jinjing ni. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, aku terus duduk di atas sofa di ruang tamu. Plastik yang masih di tangan aku buka perlaha-lahan. Dah dia cakap ni bukan barang dia dan dia siap suruh aku ambik lagi. Jadi aku ada hak untuk tengok isi dalam plastik ni.

Lepas dah buka plastik tu, ada 2 bungkusan plastik lagi. Haih, banyak betul plastik. Ni barang apa yang sampai macam ni bungkusnya. Gerutuku di dalam hati. Salah satu plastik itu aku bawa keluar. Lambat-lambat aku menguraikan ikatan yang membelit mulut plastik. Barang di dalam plastik aku bawa keluar. Terpegun aku memandang barang itu. Aku terkaku tanpa bicara.

Tanpa menunggu lama, aku menyelongkar plastik yang satu lagi dan aku bawa keluar isi dalam plastik tu. Isi yang kedua buat aku makin tergamam. Nak tahu apa isi plastik itu? Satu plastik berisi beg tangan Coach yang aku berkenan kat karnival tadi dan satu plastik lagi berisi beg Cloe. Dua buah beg tangan yang sangat aku idam-idam akhirnya berada di hadapan mata kini. Siap dapat pegang lagi.

Aku mengangkat kepala. Aril yang sedang bersandar pada almari hiasan di tepi dinding sambil memegang mug aku pandang. Aku bangun dan meluru mendapatkan Aril. Spontan aku memeluk Aril kerana terlalu gembira. Agak lama kami begitu sebelum aku tersedar. Tersedar yang aku sedang memeluk musuh sendiri. Lantas aku menarik tanganku dan pelukan terlerai. Wajahku ketika ini jangan cakaplah, amat-amat merah bagai disimbah dengan setin cat rumah!

Kepala ditundukkan, malu nak tengok wajah dia.

“Terima kasih,” ucapku antara dengar dan tidak. Aku mahu segera beredar dari situ tapi dia menarik tanganku.

“Sama-sama kasih,” balasnya beserta sebuah kucupan di pipi kananku. Terkesima aku di situ. Makin buat aku malu sendiri.

Lantas tanpa menunggu lama, aku mendapatkan beg tangan yang baru Aril hadiahkan padaku sebelum berlalu masuk ke dalam bilik. Telingaku dapat menangkap Aril ketawa kecil melihatkan tingkahku. Tanpa menghiraukan dia, aku terus masuk ke dalam bilik. Badan aku rebahkan di atas sofa dan bantal kecik aku capai untuk menekup muka. Tak mahu bertembung mata dengan Aril. Malu siot!

p/s: salam... officially ini adalah n3 terakhir KYKS... tunggu KYKS keluar dlm bentuk cetakan ye... n maaf segala kesilapan dlm setiap penulisan sy.. sy cuma insan biasa, punya kekurangan n kelemahan... terima kasih menyokong penulisan sy... sy syg anda semua..:D

19 ulasan:

  1. alamak,dah abis ke?adui..tgh nak sengih sorang2 cepat pulak abisnya...adui..lamalah nak kena tunggu lagi nie...huhuhu...

    BalasPadam
  2. agak2 bila bila kuar versi cetak ni...huhuhu rindu Aril...

    BalasPadam
  3. x boleh nak janji bila kluar versi cetak.. klau dh kluar sy publish kat sini ye.:)

    BalasPadam
  4. tahniah fieyza..akak mmg suka jalan citer ni..watak watak yg adik ketengahkan mmg comel esp. minah tu..dalam keterujaannya boleh peluk aril..adakah..mereka akan kekal bersama...

    BalasPadam
  5. Emmm baru nak suke dah stop pulak...tambah la citer kat blog sampai scene raya....pas tu baru stop....pe pe pun suka citer ni...harap lps ni fiza akan lebih baik dgn arill

    BalasPadam
  6. terima kasih kak ida krn menyukai KYKS...
    eijan; xpe, tunggu versi cetak ye..:)

    BalasPadam
  7. love it! good job! can't wait for the printed version to be published! :D

    SZ

    BalasPadam
  8. Br nk snyum sorg2 tau..bl blh bc lg ni...apepn,tahniah sbb bjaya hasilkn novel ni..

    BalasPadam
  9. terima kasih SZ..:)
    waahh.. bangga sekejap, afifah nafira tu yg komen.. hehehe.. terima kasih..:)

    BalasPadam
  10. best2....bila keluar novel ni..??

    BalasPadam
  11. Akak , sekarang ada lagi tak jual kat kedai novel tu ?

    BalasPadam
  12. yes dear.. novel ni dah ada kat pasaran... boleh beli kat bookstore atau beli terus dr sy.. nak beli terus dgn sy, add fb sy ye..:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. mcm ner kl saya nk beli novel nie?

      Padam
    2. kl masih ada buleh x bg tau saya,kat kdai buku area pat sy duduk dah xder la...

      Padam
  13. htr mesej kat fb sy dear.. nanti sy akan bgtau cara2 bayarannya ye..

    BalasPadam
  14. Nak novel ni ....kau yang ky sayang...mcm mana nk buat byrn???

    BalasPadam
  15. Salam . Novel ni masih ade jual ke ?

    BalasPadam