Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 13 Mac 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB6

DARI pagi membawa ke petang. Dari siang, bertukar malam. Harith kebosanan tanpa melakukan apa-apa kerja di rumah besar itu. Nak memandai-mandai nanti ditegur tuan rumah pula. Dan sepanjang Harith berada di dalam rumah itu, tidak nampak sekali pun kelibat perempuan itu selepas kes dia dipanggil perogol pagi tadi. Heh! Gila! Aku yang handsome ni dipanggil perogol! Apa kes? Rungut Harith.

Dari dalam rumah, Harith melangkah ke arah taman bunga yang terdapat di luar rumah akibat terlalu bosan. Matanya ralit memerhatikan deretan bunga-bunga yang sedang kembang mekar. Ini pasti kerja tangan mama, desis hati Harith. Hatinya terasa damai dengan panorama yang pelbagai warna itu. Cahaya lampu jalan dan lampu di halaman menjadi sumber cahaya kepada Harith. Deruan air terjun jadian juga menarik perhatian Harith. Rumah-rumah orang kaya seakan tak lengkap jika tak ada air terjun jadian. Sampai Harith naik pelik. Apa fungsi air terjun ni? Di mata Harith hanyalah sebagai tempat nyamuk membiak!

Sedang dia ralit melayan perasaan, tiba-tiba pintu pagar terbuka dengan sendirinya. Kemudian barulah masuk kereta yang dipandu oleh Syed Yusri. Lewatnya along balik kerja. Kata hati Harith.

“Buat apa kat luar ni?” Tanya Syed Yusri. Dia menyertai Harith yang sedang duduk di tengah taman hasil kerja tangan Puan Aini.

“Saja ambil angin malam, long.” Jawab Harith sambil tersenyum ke arah Syed Yusri.

Syed Yusri memandang garaj kereta. Kepalanya didongak sedikit ke atas. Gelap. Kereta Arlyssa ada di dalam garaj. Bilik adiknya bergelap seperti tak ada orang. Arlyssa keluar jugak ke? Hati Syed Yusri tertanya-tanya.

“Mama mana? Dah tidur ke?”

“Entah, lepas makan malam tadi saya dah tak nampak kelibat mama.” Jawab Harith.

“Mesti Harith tertanya-tanyakan, kenapa along suruh datang ke sini kan?” Syed Yusri mengalihkan topik perbualan.

Laju kepala Harith menggangguk. “Mula-mula masa along telefon tu saya dah pelik. Bila saya tanya, along cuma jawab ada hal penting. Sejak pagi tadi lagi saya terfikir-fikir. Nak tanya tapi bila saya tengok along sibuk nak pergi kerja, saya pendamkan saja.” Luah Harith berterus-terang.

Syed Yusri menarik nafas perlahan sebelum dihela.

“Harith dah tengokkan macam mana perangai Arlyssa? Apa pandangan Harith?” tanya Syed Yusri.

“Sedikit. Pandangan? Pandangan macam mana long?” Harith kepelikkan dengan soalan Syed Yusri.

“Macam mana Harith tengok perangai Lys? Harith tak rasa kurang ajar ke?”

“Hmm.. saya susah nak bagi pendapat sebab saya cuma tengok perangai dia pagi tadi aje. Selain dari tu, saya tak tengok lagi. Tapi dia masih boleh dibentuk long kalau kena dengan caranya. Lagi pun, saya tengok dia bukan saja-saja nak kurang ajar tapi itu adalah cara Lys protes. Bagi saya, Lys ni jenis yang tak suka orang paksa dia buat kerja yang dia tak suka. Kalau paksa juga, itu yang dia tunjuk protes.” Ujar Harith memberikan ulasannya.

“Tapi kalau kami ni yang bagi nasihat, sikit pun dia tak endahkan. Lepas tu mulalah tunjuk keras kepala. Semuanya nak orang ikut kepala dia. Mama dan along dah tak larat nak layan kerenah dia. Kalau dia dengar cakap kami, tak payah kami susahkan Harith.” Syed Yusri mengeluh. Badan disandarkan pada kerusi yang dia duduki.

“Sebab itulah along suruh Harith datang ke sini. Kalau boleh along nak Harith bawa balik Arlyssa ke Terengganu. Biar dia kenal sikit dengan tanah tumpah darah dia sendiri. Makin lama dia tinggal di KL ni along tengok dia makin lupa daratan. Bila diajak balik ke Terengganu ada saja alasannya. Nak jumpa kawan-kawanlah, ada hallah. Sedangkan semua tu boleh tangguh. Balik ke Terengganu bukannya hari-hari.” Sambung Syed Yusri. Harith mengesan riak tidak senang di sebalik kata-kata Syed Yusri itu.

Tercengang Harith dengan permintaan abang iparnya itu. Bawa balik ke Terengganu? Nak letak kat mana? Aku bukannya ada rumah lain selain rumah ayah tu. Lagi pun, apa aku nak jawab dengan emak dan ayah jika aku bawa balik ke rumah. Takkan nak perkenalkan perempuan tu sebagai isteri! Nanti tak pasal-pasal emak dapat sakit jantung! Pelbagai kemungkinan berlegar dibenak Harith. Lebih banyak kemungkinan buruk dari baiknya.

“Err.. bukan saya nak tolak permintaan along tapi… nak ke Lys ikut saya?” teragak-agak dia bertanya. Harith serba-salah. Kepalanya masih tak henti-henti memikirkan penerimaan keluarganya nanti.

“Tolonglah, Harith. Along merayu sangat-sangat. Kami bukannya nak buang Lys tapi tempatnya di sisi suami. Dia bukan lagi tanggungjawab kami. Segala dosa yang dia lakukan ditanggung oleh kamu, suami Lys.” Syed Yusri kebuntuan jika Harith benar-benar menolak rancangannya. Dia tak minta banyak. Cuma bawa Arlyssa pulang ke Terengganu dan ubah dia perlahan-lahan supaya kembali semula ke pangkal jalan.

Harith mengeluh. Hatinya berat sama ada mahu menerima atau menolak. Kalau menolak maknanya, saham akhiratnya makin sedikit. Jika terima pula, apa jawapan yang boleh diberikan kepada orang tuanya di kampung.

“Emak dan ayah Harith dah tahu pasal perkahwinan ini?” Syed Yusri menyoal apabila melihat Harith mendiamkan diri. Mendengarkan soalan dari Syed Yusri, Harith menggelengkan kepala lemah.

“Macam nilah, Harith tak perlu risau tentang tempat tinggal sebab Harith dan Lys bebas untuk tinggal di rumah pusaka milik keluarga kami di sana. Yang mama cerita rumah di Chendering tu. Nanti along bagi peta dan alamatnya.” Ujar Syed Yusri. Harith masih berdiam diri. Entah apa lagi yang Harith fikirkan tak pula dia tahu. Masalah tempat tinggal dah selesai.

“So, macam mana?”

“Along, saya bagi keputusan esok boleh? Sebab saya nak fikirkan dulu,” ujar Harith setelah sekian lama membisu.

“Okey. Tapi jangan lama sangat sebab along nak kamu berdua bertolak balik ke Terengganu esok. Lusakan kamu dah kerja. Along tak nak ganggu masa kerja kamu. Kamu fikir dulu, along nak naik dulu.” Pinta Syed Yusri. Harith mematungkan diri sebelum mengangguk perlahan. Matanya tidak lepas memerhatikan air terjun yang mengalir.

“Eh, kamu tak salin baju lagi ke?” Soal Syed Yusri. Harith ingatkan abang iparnya sudah berlalu pergi tapi batang tubuh itu masih ada di situ. Pantas Harith pandang wajah itu dan menggelengkan kepala.

“Ya Allah! Lys tak buka pintu lagi ke?” Melihatkan gelengan Harith, hati Syed Yusri terbakar. Pantas dia melangkah masuk ke dalam rumah. Anak tangga di langkah luas dan pintu bilik Arlyssa dia ketuk kuat. Harith kehairanan dengan kelakuan Syed Yusri. Janganlah dia buat kecoh lagi malam ni, doa hati Harith.

“Lys, Lys! Buka pintu ni!”

Tuan punya bilik masih diam. Tak ada tanda-tanda mahu membuka pintu bilik.

“Lys, buka pintu ni along cakap! Atau Lys nak along pecahkan pintu ni!” Ugut Syed Yusri pula.

Pintu bilik terbuka. Muncul wajah mencuka Arlyssa.

“Ada apa?” Tanya Arlyssa dalam nada tak senang. Dia tak mahu jumpa sesiapa sekarang ni. Tambah lagi nak pandang muka alongnya tu. Sejak akhir-akhir ni, dia jadi menyampah nak pandang muka Syed Yusri.

“Kenapa kamu tak ajak suami kamu ni masuk sekali? Kenapa biarkan dia sorang-sorang kat luar?” Marah Syed Yusri.

Tak mahu banyak cakap, Arlyssa meluaskan bukaan pintu. Dia mahu alongnya cepat-cepat pergi dari sini. Serabut betul along ni! Dengus Arlyssa.

“Masuklah,” pelawa Arlyssa dengan nada yang masih dingin.

Tanpa menghiraukan renungan tajam Syed Yusri, Arlyssa berlalu ke bilik air selepas mencapai tuala. Tak ada masa dia nak layan angin along!

“Kamu jangan layan sangat angin Lys tu. Apa yang tak kena di mata kamu, tegur aje.” Pesan Syed Yusri kepada Harith sebelum berlalu ke biliknya. Harith hanya memerhati wajah pucat dan keletihan itu berlalu. Kesian dia dengan abang iparnya.

Harith melangkah perlahan masuk ke dalam bilik Arlyssa dan menarik daun pintu. Dia sedar, Arlyssa tak sukakan dia. Dia bukannya bodoh dan buta sampai tak nampak reaksi wajah Arlyssa yang cemberut dan mempelawa dia masuk hanyalah kerana terpaksa. Harith terkejut memandang seluruh isi bilik. Sangat berselerak. Sudah seperti kapal karam! Pagi tadi okey lagi tapi sekarang dah bertukar seratus peratus. Dasyat betul perempuan ni! Harith menggelengkan kepala.

Dia duduk di atas kerusi kecil yang ada berdekatan dengan meja solek. Kerusi meja solek kut. Gumam hatinya. Semerta dengan itu, kedengaran pintu bilik air ditolak. Pantas kepala Harith memandang batang tubuh yang keluar. Arlyssa hanya mengenakan sehelai tuala membalut tubuh montoknya. Harith tergamam. Pertama kali dia disajikan dengan pemandangan sebegitu. Indahnya makhluk ciptaan Allah! Harith menelan liur yang tersekat di kerongkong.

“Apa tengok-tengok? Tak pernah tengok orang ke?!” dengus Arlyssa dengan mata yang mencerlung tajam memandang Harith. Apa kes? Macamlah tak pernah tengok orang!
Mendengarkan suara yang memetir itu, Harith pantas mengalihkan pandangan. Imannya serba sedikit tergoncang juga jika disaji dengan pandangan seperti itu. Apatah lagi pada pertama kali melihat. Di depan mata lagi. Kalau di dalam TV tak adalah dia terpegun sebegitu rupa. Walaupun benda halal tapi suara menyinga itu buat Harith kecut perut. Astaghfirullah! Terkumat-kamit bibir Harith beristighfar.

Arlyssa memang tak suka dengan kehadiran lelaki itu. Buat menyemak saja! Pintu almari dia buka kasar. Pakaian di keluarkan dari perut almari dan pintu almari dia hempas kuat. Ketika dia mahu melangkah masuk ke dalam bilik air semula, perutnya tiba-tiba berkeriuk. Agak kuat juga bunyi perit tu. Aduh! Pantas Arlyssa menekan perut sendiri. Alah perut ni, masa nilah nak berbunyi pulak. Dahlah seharian tak makan. Omel Arlyssa di dalam hati. Kalau boleh dia nak cepat-cepat pakai baju dan terus tidur. Saja nak elakkan diri dari lelaki asing yang telah mendiami biliknya itu. Nak keluar memang taklah! Sejak seminggu lepas, Arlyssa telah dikenakan kuarantin oleh Syed Yusri. Dia tak dibenarkan keluar. Jika berdegil juga, segala kepentingan dan saham milik Arlyssa di dalam Hajra Travel Berhad akan ditarik balik!

Huh! Sengaja betul along ni! Nak protes tak boleh sebab bila Syed Yusri dah keluarkan arahan begitu maknanya dia sudah tekad! Perutnya berbunyi lagi. Aduh, perut ni pun satu hal. Janganlah duk berbunyi lagi. Aku tahulah kau lapar. Rungut Arlyssa. Seharian dia sengaja berkurung di dalam bilik hari ni sebab tak nak bertembung dengan lelaki ni. Dengan mama pun dia tak nak jumpa jugak. Nanti mama soal macam-macam. Rimaslah!

“Err.. awak lapar ke?” Harith memberanikan diri menyoal. Bukan dia tak dengar bunyi perut Arlyssa yang sedang enak berlagu semacam di dalam sana. Dia sedar Arlyssa masih marahkan dia. Tapi tak salahkan kalau dia buat baik.

Laju kepala Arlyssa mendongak memandang Harith. Tajam matanya menikam pandangan Harith.

“Kenapa awak kisah kalau saya lapar? Saya tak susahkan awak pun!” Sembur Arlyssa.

Patutlah along cakap dia ni biadap dan kurang ajar. Bahasa dan nada tu memang tak kena dengan orang yang bercakap. Muka lawa tapi mulut tu suka-suka hati aje nak sembur orang. Ulas Harith di luar sedar.

“Awak nak makan? Kalau nak makan, jomlah! Semua orang dah masuk tidur ni. Eh, eh. Err.. awak pakai baju dulu,” ujar Harith sedikit gelabah. Mulanya dia tak perasan pulak Arlyssa yang masih seperti tadi. Masih dengan tuala yang melilit di tubuh. Aduh! Tak perasan pulak.

Apa hal pulak mamat ni? Sibuk-sibuk nak ambil tahu hal aku! Rungut Arlyssa. Tanpa menunggu lama, Arlyssa terus melangkah masuk ke dalam bilik air. Kuat pintu bilik air dia tutup. Tersentak Harith dengan tingkah Arlyssa. Buat baik pun salah. Kalau aku buat jahat macam manalah reaksi dia. Suka kut! Fikir Harith. Di luar sedar, bibirnya mengukirkan sekuntum senyuman. Gelagat Arlyssa menggeletek hatinya.

“Jom,” ajak Harith sambil menarik pintu bilik.

Dia sudah melangkah keluar dari bilik tapi bayang Arlyssa tak nampak pun mengekori belakangnya. Lantas, dia masuk kembali ke dalam bilik. Tanpa mempedulikan pandangan mata Arlyssa yang seakan mahu meluahkan amarah di hati, Harith terus menarik tangan Arlyssa, memaksa Arlyssa mengikut langkahnya. Kalau lapar tu buatlah cara orang lapar. Ini tak, masih nak tunjuk sikap keras kepala dia tu. Rungut Harith.

“Apa ni! Lepaslah!” Dengus Arlyssa. Dia cuba tarik kembali tangannya dari genggaman Harith tapi tak berjaya. Genggaman Harith bertambah kemas.

“Duduk,” arah Harith apabila mereka sampai di meja makan dan Harith berlalu ke dapur.

“Awak nak makan apa?” Soal Harith sambil tangannya ligat menyelongkar isi dapur. Untung-untung jika terjumpa dengan lebihan lauk petang tadi. Jadi tak payahlah Arlyssa makan makanan segera malam ni.

Arlyssa diam. Sengaja membisukan diri. Bukan aku yang nak sangat makan tapi mamat tu yang paksa. Hati Arlyssa bagai meronta-ronta mahu membalas soalan Harith tapi mulutnya berat dan terkunci.

Letih Harith menunggu jawapan dari Arlyssa yang tak kunjung tiba. Akhirnya dia buat keputusan sendiri. Dua senduk nasi diisi di dalam pinggan dan ditambah beberapa lauk yang masih suam dari atas dapur. Ada asam pedas, daging goreng dan sayur kacang panjang. Pingan yang penuh dengan lauk dia letak di hadapan Arlyssa. Kalau rasa nak makan, makan ajelah. Janganlah nak telan air liur aje. Dia perasan dengan muka Arlyssa yang asyik menelan air liur apabila memandang nasi yang telah terhidang di hadapan mata.

“Makan ajelah. Nasi tu takkan masuk terus ke dalam mulut awak kalau awak tak suap sendiri. Ke awak nak saya yang suapkan?” Agak berani Harith bertanya. Dia sekadar mahu bergurau. Letih matanya duk pandang wajah mencuka Arlyssa tu. Dari tadi duk tayang muka cemberut tu. Kalau lawa tak apalah juga.

Harith kembali semula ke dapur. Pintu peti sejuk dia tarik. Sebotol jus jambu batu dia keluarkan dan dituang ke dalam mug sebelum di campur dengan air masak. Dia kembali semula ke meja makan. Alhamdulillah, makan juga dia ni. Tadi nampak keras sangat tapi sebenarnya tak adalah keras mana. Harith bersyukur sangat-sangat. Mug diletakkan di hadapan Arlyssa. Dia turut duduk di sebelah Arlyssa, menjadi peneman perempuan itu.

“Uhuk, uhuk!” tiba-tiba Arlyssa terbatuk. Terhambur sedikit nasi dari dalam mulutnya. Tangan Harith laju menggosok belakang Arlyssa. Tindakan spontan.

“Makan tu pelan-pelan la. Kan dah tersedak. Nah minum air ni,” Harith menghulurkan mug di hadapan Arlyssa.

Rakus Arlyssa meneguk air itu. Terasa tekak yang tadinya perit sudah beransur hilang. Lega! Pinggan nasi dia tolak ke depan walaupun nasi masih berbaki separuh lagi. Seleranya sudah mati. Kerusi dia tolak sedikit ke belakang dan bangun mendadak.

“Apa ni?!” Arlyssa tak suka lelaki itu sentuh dia sesuka hati. Pantas tangannya menepis tangan Harith yang sejak tadi mendarat di belakangnya. Tercengang Harith dengan kelakuan Arlyssa itu. Tangan dibasuh dan laju kakinya memanjat tangga. Tak ada langsung ucapan terima kasih. Tahu nak marah-marah aje. Apalah nasib badan, keluh Harith.

Akhirnya Harith juga yang terpaksa bawa pinggan yang masih berbaki nasi itu ke dapur dan mencucinya. Permintaan Syed Yusri sebentar tadi kembali terngiang-ngiang di tepi telinganya. Kalau macam nilah perangai Arlyssa, teruk aku! Desis Harith.

4 ulasan:

  1. aishh, x suke tul la perangai si lyss ni.

    BalasPadam
  2. penuh cabaranlah hidup harith lepas ni..
    hehe :)

    BalasPadam
  3. blinkaltheday;haah, mmg x suka dgn Lys ni.. berlagak je lbh.. kurg ajar 2 jgn ckp la..:)
    ihaaz;yup, hidup Harith akan betul2 mncabar lepas ni... nk buat mcm mna, dh nasib badan, terima je la..:)
    kak hawa; next week ye kak.. minggu ni dh x sempat.. huhuhu

    BalasPadam