Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 7 Februari 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB31

AKU tersedar apabila terdengar suara orang membaca ayat suci Al-Quran. Terkebil-kebil aku memandang sekeliling. Aku bangun dari pembaringan. Cahaya samar-samar yang datang daripada lampu kecil yang terletak berdekatan dengan kaki meja belajar memberi sedikit sumber cahaya untuk aku memandang insan yang sedang mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran. Ralit aku memandang belakang dia yang lengkap memakai baju Melayu dan dipadankan dengan kain pelikat serta ketayap putih di kepala.

“Awak dah sedar?” teguran dari dia menyentakkan aku. Wajahnya aku tatap seketika sebelum mengangguk. Aku mahu bangun, nak mandi, terasa badan ni melekit aje.

“Eh, awak nak ke mana ni?” dia bertanya. Nadanya ternyata bimbangkan aku.

“Nak mandi,” jawabku sambil tangan mencapai tuala yang tersidai di rak penyidai.

“Dah nak masuk waktu berbuka ni, tak elok kalau nak mandi. Kita keluar berbuka dulu, lepas tu baru awak mandi, ya.” Dia menasihatiku dan memberi cadangan dalam satu nafas.

Wajahnya aku pandang seketika. Aku masih kebingungan sebenarnya. Kepalaku ligat berfikir. Baru nak masuk waktu berbuka? Sekarang ni bukan dah malam ke? Soalan demi soalan bertubi-tubi menyesakkan kepala tanpa jawapan.

Dia menarik tanganku, mungkin tak sabar sebab lama sangat menunggu aku memberikan jawapan. Menonong aku berjalan, bagai orang buta yang sedang berjalan sambil dipimpin oleh orang celik. Dia merapati meja makan.

“Dah sedar Fiza?” mama yang sedang menatang mangkuk besar berisi nasi menyoalku.

Hanya seulas senyuman aku lemparkan pada mama. Dari ruang makan, aku dapat menangkap bunyi riuh rendah yang datang dari dapur. Mungkin sedang memasak. Di atas meja makan hanya ada beberapa jenis lauk saja aku lihat. Mungkin dibeli kerana lauk pauk yang terhidang tidak sama dengan lauk pauk yang biasa emak masak.

Bunyi tembakan meriam yang menandakan masuk waktu berbuka puasa sudah menjadi suatu kemestian dan kebiasaan bagi penduduk Kuala Terengganu. Sebelum menjamu selera, telingaku sempat menangkap bunyi alunan bacaan tahlil yang datang dari ruang tamu. Mereka berbuka selera dengan menjamu hidangan yang terhidang. Berselera sekali aku lihat mereka menjamu selera. Cuma aku sahaja yang tak ada selera. Aku hanya meneguk segelas air masak sahaja sebagai tanda berbuka puasa sebelum aku berlalu ke bilik.
Seleraku mati sejak waktu sahur pagi tadi lagi. Daripada tak buat apa, lebih baik aku mandi dan solat dulu.

JENAZAH abah selamat dikebumikan selepas solat Asar semalam ketika aku masih tidak sedarkan diri. Itulah apa yang Syu beritahu kepada aku. Pada sebelah malam pula diadakan kenduri arwah. Aku seperti orang kebingungan ketika orang lain sibuk menyediakan makanan untuk tetamu. Aku hanya memerhati, langsung tak ada keinginan untuk membantu. Bukannya aku malas tapi fikiranku tidak di situ. Aku tenggelam di dalam duniaku tanpa meghiraukan hiruk-pikuk bunyi saudara mara yang menyediakan juadah kenduri arwah sambil berbual sesama mereka.

Dahulu, bagiku kematian itu adalah suatu yang biasa. Kematian langsung tidak meninggalkan kesan padaku. Bagiku kematian adalah suatu fitrah kerana semua manusia pasti mati suatu hari nanti. Cuma kita tak tahu bila kita akan pergi untuk selama-lamanya. Tetapi kematian abah bagai memberi tamparan hebat buatku. Aku hilang tempat meluahkan perasaan dan hilang tempat bermanja untuk selama-lamanya.

Tanpa sedar, air mataku menitis perlahan menuruni pipi. Kesedihan yang menguasai diri menjadikan aku berubah secara mendadak. Jika sebelum ni aku seorang yang sangat keras dan kuat melalui apa jua dugaan mendatang. Malah untuk menitiskan air mata adalah amat payah sekali kerana aku bukan insan penyedih atau pun seorang mudah untuk menangis. Dan sekarang air mataku sangat murah, bagai tiada harga langsung.
Sedang aku melayan perasaan sendiri, dia datang menyapa.

“Kenapa ni?” lembut sekali dia bertanya.

Aku diam, tidak menjawab soalannya itu. Hanya esakkan yang terdengar dari bibirku beserta dengan hinggukan bahu menahan tangis. Dia memaut bahuku dan memelukku sambil mengusap belakangku. Dia juga diam. Hanya mendengar aku menangis teresak-esak. Lama juga kami berkeadaan begitu.

“Syy…” dia memujukku.

“Saya rindukan abah,” akhirnya keluar jugak suaraku bersama sendu yang masih berlagu.

“Fiza, setiap yang hidup pasti akan pergi. Kalau awak rindukan abah, bukan begini caranya. Menangis tak boleh mengurangkan rasa rindu awak pada arwah abah. Sepatutnya awak perlu perbanyakkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah abah. Menangis tu boleh tapi jangan sampai meratap. Berdosa. Allah murka pada mereka yang meratap kerana itu menandakan yang kita tidak menerima fitrah yang telah Dia tetapkan.” Panjang lebar dia menasihatiku.

Dengan air mata masih lagi belum kering mengalir, aku mencernakan setiap apa yang Aril ujar. Pelukkannya yang tadi kemas melilit tubuhku terasa semakin longgar.

“Ala, dah lah menangis tu. Buruk tau muka macam tu, senyumlah sikit. Awak pergi ambil wuduk. Kita solat berjemaah dan kita mengaji sama-sama lepas tu.” Sempat lagi kutuk aku tu. Dia memberikan cadangan seraya melepaskan pelukan dan mengusap belakangku selepas itu. Aku hanya mengangguk dan menurut cadangannya.

Malam itu kami menunaikan solat Maghrib dan solat Isyak secara berjemaah. Masa senggang semasa menunggu masuk waktu solat Isyak terisi dengan alunan bacaan surah Yassin untuk arwah abah. Pada malam itu juga aku seakan sudah jatuh cinta pada suami sendiri. Jatuh cinta pada imej keislaman yang dia tonjolkan. Memang inilah yang aku cari. Di dalam senarai ciri-ciri calon suami, aku menetapkan seorang lelaki yang kuat agama sebagai ciri utama. Walaupun bukan seorang ustaz, tapi seorang lelaki yang taat pada suruhan Allah sudah memadai bagiku, yang boleh membimbingku ke jalan yang diredhai.

SEMINGGU aku memerap di rumah melayan perasaan sendiri. Seminggu juga aku tidak hiraukan keadaan butik. Dan selama seminggu aku tidak menjahit baju tempahan pelanggan. Tapi hari ini aku ke butik dengan semangat baru. Awal-awal pagi lagi aku siap mengenakan sepasang baju kurung polkadot hitam putih untuk keluar ke butik. Tapi aku balik awal dari butik kerana nak memasak juadah berbuka puasa.

Selepas menunaikan solat Asar, aku melangkah keluar dari bilik. Bahagian dapur menjadi hala tujuku. Aku terasa mahu memasak selepas seminggu aku abaikan tanggungjawabku nan satu itu. Pintu peti sejuk aku tarik, kepalaku menjenguk ke dalam peti. Niat di hati nak sediakan sarapan untuk Aril kerana sudah lama rasanya aku tidak buat semua tu. Tapi nampak gayanya tak dapatlah aku sediakan sarapan. Peti sejuk di hadapanku ini hanya terisi sekotak susu yang sudah masam baunya dan botol-botol berisi air masak. Semalam aku tak pula check peti sejuk ni. Bersahur pun aku teguk air sejuk aje pagi tadi.

Eh, sekejap. Aku rasa ada sesuatu yang boleh dijadikan menu berbuka. Aku tiba-tiba teringat yang aku pernah membeli makanan segera yang boleh dimakan dalam masa-masa gawat macam ni. Peti sejuk bahagian sejuk beku aku buka. Ha, ada pun kau. Paket-paket nugget ayam dan sosej daging aku bawa keluar. Eh, tapi kenyang ke makan makanan segera ni buat berbuka? Ah, kenyang ke tak, itu lain kira, yang penting ada makanan. Kuali di dalam kabinet aku keluarkan dan diletak di atas dapur.

Sedang elok aku siap menghidang juadah berbuka yang baru aku goreng dan membancuh air limau nipis, aku terpandangkan kelibat Aril melangkah masuk ke dalam rumah dan merapati meja makan. Aku jadi malu nak pandang wajah dia. Yalah, lepas free-free kena peluk, siapalah tak malu. Lagi pulak dengan juadah yang aku hidangkan ni.

“Ini aje ke? Tak kenyanglah kalau berbuka dengan nugget dan sosej ni aje.”
Amboi, banyak komen pulak dia. Makan ajelah apa yang ada. Ni nasib baik ada makanan, bukan macam orang lain, nak makanan perlu minta simpati orang.

“Okeylah ni. Ada jugak makanan daripada tak ada langsung. Cuba awak tengok kat luar sana, berapa ramai yang tak ada makanan? Bersyukurlah sikit.” Ha, mulut aku dah laju menjawab lepas seminggu tak berdebat dengan Aril.

Dia menghulurkan bungkusan berisi makanan yang berada di tangannya sebelum duduk di tempat biasanya. Terkejut jugak aku, tadi aku tak perasan pun yang dia sedang membimbit bungkusan di tangan. Aku sambut hulurannya itu beserta dengan senyuman yang terukir di bibir dan dibawa ke dapur. Haruman nasi beriani yang menusuk hidung sangat-sangat menggodaku.

Kami menjamu selera sejurus azan Maghrib berkumandang dari radio kecil yang terpasang di dapur. Usai berbuka, tiba-tiba Aril berkata.

“Terima kasih,”

Aku pelik. Wajahnya aku pandang. Mukaku sememangnya sedang menunjukkan tanda soal sebesar-besar alam.

“Terima kasih sebab sediakan juadah berbuka ni walaupun tak seberapa,” lembut sekali kata-kata yang keluar dari bibirnya. Terasa seakan mahu luruh jantungku. Lantas tanpa menunggu lama, aku melarikan diri ke dapur. Mahu meredakan debaran di dada.

5 ulasan:

  1. Best nk lgi.Nk taw bla Aril n Fieza dh bleh trima diri msg2.

    BalasPadam
  2. terima kasih... insya Allah... mereka dpt juga terima diri masing2.. happy ending kan..:)

    BalasPadam
  3. pergh dik..fieza tak terkilan ke..dia tak dapat melihat ayahnya buat kali yg terakhir ...
    pemergian ayahnya merapatkan dirinya dan aril..adakah layanan aril terhadapnya menunjukkan bahawa mereka telah boleh menerima diri masing masing seadanya dan aril menerima takdirnya beristerikan wanita yg tidak dicintainya dan kedatangannya macam ribut dan tanpa sedar telah menguasai seluruh ruang hatinya...

    BalasPadam
  4. ni kan rahmat yg allah turunkn untk dia, bunga bunga cinta sedang bkembang

    BalasPadam
  5. kak ida; Fiza kan dah tatap abah dia buat kali terakhir kat hospital.. cuma sy x nak masukkan part Fiza pergi kubur jgk sbb sy thu dia akan menangis kat sana nanti.. kitakan x blh iringi jenazah dengan air mata sebab itu dah kira meratap.. nanti org soal sy balik.. huhuhuhu... perghh!! ayat last akak tu buat sy terpegun seketika.. kenapa x tulis novel je?? hehehehe... akak syg, Aril sebenarnya dh kenal siapa Fiza cuma Fiza je yg x tahu...
    zawani; bunga2 cinta? dah macam lagu misha omar.. hehehe.. yup, mreka sudah mula rapat..:)

    BalasPadam