Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 14 Oktober 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB13

SYAZRIL melangkah memasuki pejabatnya dengan wajah yang sangat masam. Langsung tiada senyuman yang terukir di wajah tampannya itu. Sampaikan setiausahanya yang melihat pun naik meremang bulu roma. Wadia berfikir berkali-kali sama ada patut menegur majikannya itu atau buat-buat sibuk.
Akhirnya Wadia mengambil langkah selamat dengan berdiam diri. Ketika majikannya itu melintas di hadapan mejanya, tangan dan matanya sibuk merenung dan membelek fail yang berada di atas mejanya. Telinganya mendengar Syazril menarik pintu biliknya dan tidak sampai 2 saat, pintu itu dihempas kuat. Berdentum bunyi yang terhasil menyebabkan Wadia tersentak.
Sementara di dalam bilik, Syazril menghempaskan tubuhnya di atas kerusi. Beg bimbit di tangan disandarkan pada meja kerja. Beg itu tidak pula dihempas sama. Walau sebesar mana pun masalah yang dihadapinya, beg itu tidak akan dihempas atau dibaling sesuka hati. Kerana di dalam beg itu ada laptop Apple MacPro kesayangannya. Tambahan lagi di dalam laptop itu banyak tersimpan kerja-kerjanya.
Bunyi deringan telefon yang minta diangkat mengejutkannya. Lantas, telefon Blackberry yang berada di dalam saku seluar ditarik keluar. Matanya teru memandang skrin telefon. MAMA. Itu nama yang tertera pada skrin. Tanpa diangkat, telefon itu dia letakkan di atas permukaan meja dan dibiarkan berdering.
 Syazril bukan mahu berkurang ajar tetapi kata-kata yang keluar dari mulut mamanya semalam tidak dapat dia terima. Dan peristiwa semalam kembali menerjah kotak fikirannya.

SYAZRIL melangkah menuruni tangga sambil menyanyi perlahan. Tubuhnya segak tersarung kemeja polo warna biru tua dan jeans lusuh. Dirinya sudah siap-sedia untuk keluar. Namun, suara mamanya mematikan langkahnya di anak tangga terakhir.
            “Kamu nak ke mana pulak tu?”
            “Nak keluar ma. Dah janji dengan kawan ni.”
            Tidak lama kemudian, muncul kelibat Datin Sharida dari ruang dapur.
            “Lewat tak balik malam ni?” Datin Sharida menyoal lagi sambil memandang anak lelaki tunggalnya itu.
            “Tak tahu lagi, ma. Kenapa? Ada apa-apa majlis ke malam ni?” Syazril membalas dengan soalan. Kebiasaannya, jika mamanya bertanya begitu, pasti ada majlis yang tidak dapat dihadiri. Jadi mama mewakilkan kepadanya saja. Tapi aku tak ada dengar pun sebarang majlis nak diadakan malam ni. Hati Syazril berbisik perlahan.
            “Tak adalah. Boleh tak kamu balik awal malam ni? Mama dan papa ada perkara yang nak dibincangkan.”
“Perkara apa ma?” laju mulutnya menyoal.
“Malam nanti baru kamu tahu.” Datin Sharida cuba berahsia.
“Alah, mama.”
Syazril terus mendapatkan keretanya. Pertanyaannya langsung tidak dijawab setepatnya oleh mamanya.
“Balik awal tau malam ni.” Sempat Datin Sharida berpesan sebelum anaknya itu masuk ke dalam perut kereta. Tidak sampai 2 minit kemudian, kedengaran kereta mewah jenama Audi itu menderum bergerak di atas jalan raya.

SYAZRIL memandu masuk keretanya ke garaj. Jam sudah menunjukkan angka 11 malam. Sepatutnya dia pulang lebih awal, seperti mana pesanan mamanya. Tetapi tadi kawannya mengadakan majlis makan-makan. Jadi dia pula leka bersembang dengan kawan-kawan yang telah lama tidak dijumpai. Hinggakan tidak sedar hari sudah jauh malam. Lebih-lebih lagi apabila teringatkan pesanan mamanya, cepat-cepat dia meminta diri.
Setelah dipastikan yang yang keretanya selamat berkunci, Syazril melangkah ke arah pintu utama rumah. Biasan cahaya malap yang terpancar keluar dari dalam rumah membuatkan Syazril mengandaikan yang seisi rumah sudah tidur.
Pintu rumah dibuka, dia melangkah masuk dan pintu dikunci kembali. Dia berjalan perlahan ke arah tangga.
“Lewat balik?” suara teguran seseorang telah mematikan langkahnya. Pantas badannya dipusing. Mencari kelibat si empunya suara.
Dalam kesamaran cahaya, matanya dapat menangkap kelibat dua orang yang sedang duduk di atas sofa tiga berangkai di ruang tamu itu. Kakinya pantas melangkah ke arah suis lampu dan ditekan. Terang-benderang suasana ruang tamu itu. Barulah dia dapat melihat siapa empunya diri yang menegurnya tadi.
“Tak tidur lagi, ma, pa?” selamba dia menyoal. Langsung tiada riak bersalah pada wajah itu.
“Kamu pergi mana sampai sekarang baru balik?” tanpa berselindung, Datuk Nawawi terus menyoal.
Ini yang Syazril tidak suka jika balik ke rumah mama dan papanya. Jika lewat balik pasti banyak soalan yang akan ditanya. Jika balik ke rumahnya, dia bebas untuk balik pukul berapa pun. Dia balik ke sini pun disebabkan oleh pesanan mamanya siang tadi. Jika tidak, dia lagi suka balik ke rumahnya di Manir. Tak perlu dia sakit telinga mendengar siaran radio tak berbayar.
“Jumpa kawan, pa. Dia ada buat majlis makan-makan sikit tadi.” Syazril berjalan mendekati sofa sebelum duduk di atas sofa itu. Berhadapan dengan mama dan papanya.
“Petang tadikan mama dah pesan, suruh Aril balik awal. Tapi lewat malam jugak baru nampak batang hidung kamu.” Giliran Datin Sharida pula meluahkan kata.
Bagi kamus hidup Syazril, balik pada pukul 11 masih awal lagi. Lainlah jika jam menginjak ke pukul 3 atau 4 pagi. Itu baru betul-betul lewat.
“Alah mama, baru pukul 11 malam. Masih awal lagi. Okey, sekarang Aril dah ada kat sini. So, apa perkara penting yang ingin mama bincangkan dengan Aril?” Syazril malas mendengar bebelan panjang mamanya. Jadi, dia terus mengubah topik.
“Aril kenal Cellicia?” Datin Sharida menyoal.
“Cellicia? Cellicia Yan ke mama? Kalau Cellicia Yan, Aril kenal, kawan  Aril tu. Kenapa dengan Cellicia, mama?” setahu Syazril, dia hanya kenal orang yang bernama Cellicia Yan. Jika Cellicia lain tidak pula dia kenal.
“Err… macam ni, mama bercadang nak jodohkan Aril dengan Cellicia. Mama te..” belum pun habis Datin Sharida mengusulkan cadangannya, Syazril lantang bersuara.
What? Menjodohkan Aril dengan Cellicia? Mama sedar tak dengan keputusan mama ni? Kami cuma kawan mama. Tak lebih dari itu!” Syazril jadi berang tiba-tiba saat mamanya mengeluarkan ayat ‘mama bercadang nak jodohkan Aril dengan Cellicia’.
Baginya hubungan antara dia dan Cellicia tidak lebih daripada ikatan persahabatan. Pada pendapatnya, Cellicia tidak layak untuk dijadikan isteri. Kehidupan Cellicia terlalu bebas. Ya, memang Cellicia bukan beragama Islam. Cellicia berketurunan Cina tetapi menganut agama Kristian. Jadi Cellicia bebas keluar masuk kelab malam. Bir dan wiski sudah menjadi minuman sehariannya.
Manakala bagi Syazril, perempuan yang akan menjadi isterinya dan ibu kepada anak-anaknya nanti mestilah seorang yang beriman dan berpegang teguh pada ajaran Allah serta semestinya umat Islam sejati. Kerana dia sedar yang dia tidak sesempurna mana. Jadi dia memerlukan seorang perempuan  yang boleh menegur dan membimbingnya ke jalan Allah. Terlintas satu wajah di matanya secara tiba-tiba.
“Kenapa? Hina sangat ke bila kawan sendiri menjadi isteri Aril? Mama tak nampak apa-apa silapnya di sini.” Datin Sharida menentang mata anak lelaki tunggalnya itu.
“Mama, mama sedar tak yang Cellicia tu beragama Kristian. Dia bukannya seorang muslim. Sejahil-jahil Aril, Aril masih inginkan seorang perempuan Islam menjadi isteri Aril yang boleh membantu Aril bertemu Allah. Atau sudah pupus semua perempuan Islam di Malaysia ni?” sinis sekali Aril membidas kata-kata mamanya.
“Jika berlainan agama, kita boleh suruh Cellicia masuk Islam. Kemudian kita aturkan kelas agama untuk dia.”
Amboi, senangnya mama bercakap! Mama ingat mengajak orang kafir masuk agama Islam semudah yang dicakapkan. Huh! Syazril berkata di dalam hati. Tugas membimbing seorang mualaf tersangatlah berat. Diri sendiri pun tak betul, ni nak bimbing orang pulak!
“Papa rasa apa yang mama cadangkan tu ada baiknya,” Datuk Nawawi yang hanya membisu dari tadi tiba-tiba mencelah.
“Apa baiknya pa? Aril tengok tak ada baiknya dengan rancangan mama ni! Mama, mama kena sedar yang anak lelaki mama ni bukan seorang alim ulama yang setaraf dengan ustaz yang boleh membimbing seorang mualaf mengenal Islam.” Sinis dan tajam Syazril membalas kata-kata mama dan papanya. “Walau apa pun yang terjadi, keputusan Aril muktamad! Aril tak nak dan tak akan kahwin dengan Cellicia!” lantang Syazril menyatakan penolakkannya itu di hadapan kedua ibu dan bapanya.
Tanpa menunggu lama, dia terus mendaki anak tangga ke biliknya. Pintu bilik dibuka dan dihempas kuat. Berdentum bunyi yang terhasil. Syazril berjalan menghampiri katil. Badan dibaringkan kasar ke atas tilam empuk itu. Kedua tangan disilangkan dan diletakkan di bawah kepala. Matanya membuntang memandang siling. Setiap patah kata yang keluar dari mulut mamanya masih terngiang-ngiang di telinganya. Bagai irama sebuah lagu sumbang!
Tidak sampai 5 minit dia berbaring. Satu keluhan keluar dari bibirnya.

p/s:salam.. sori ye, n3 kali ni pendek skit.. huhuhu.. harap anda semua enjoy..:)

2 ulasan:

  1. Waaa! aril da marah...
    yg x thn tuh, blh plak dia x hempas beg sbb syg kt lappy apple. haha...

    tp kn penulis, kalo blh jgn mskkan hal2 agama lain dlm penulisan sbb bkn hny org islam je yg baca karya ni. nk consider org lain juga sbb xnak nnt ada isu2 yg berat n parah. fhm kan? bkn apa, sbb bagi sy n3 kali ni agak x sopan bila seolah2 mengutuk agama lain. tidakkh nnt pandangan org lain atas islam dh negatif sbb selalu mengutuk agama lain. fikir2 la ye... xnak la ada gado2 nnt. err... gadoh2 hehe...

    BalasPadam
  2. ok dear... ni bukan manuskrip panuh lagi, masih byk yg belum di edit masuk ke dalam manuskrip ni n byk yg kena edit balik.. anyway, tq for ur comment n suggestion..:)

    BalasPadam