Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 7 Oktober 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB12

“ASSALAMUALAIKUM, Sya.”
“Wa’alaikumussalam. Ya saya aunty. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” ramah sekali aku melayan panggilan daripada Aunty Ida.
“Macam ni, Sya ingat tak lagi yang aunty pernah sebut nak tempah baju pengantin dengan Sya untuk anak aunty, Sya ingat lagi tak?”
Aku diam seketika. Memikirkan tentang kata-katanya itu.
“A’ah. Saya ingat aunty. Kenapa? Aunty nak tempah sekarang ke?”
“Rancangnya nak ke butik Sya petang ni. Sya free tak?”
“Emmm, petang ni insya ALLAH saya free.”
“Okey, kalau macam tu, petang ni aunty ke butik Sya, ya.”
“Okey, kita jumpa petang ni ya aunty. Assalamualaikum.”
Sejurus salam bersambut, aku meletakkan kembali Blackberry Curve kesayanganku itu di atas meja. Mataku di halakan kembali ke arah borang permohonan pinjaman Bank Rakyat.
Sudah seminggu borang itu tersadai tanpa usik di atas mejaku. Aku memang memerlukan sejumlah wang sekarang ini untuk membeli keperluan butik kerana aku ingin memperbanyakkan lagi produk di butikku. Tidak hanya bergantung pada tempahan baju, tempahan jahitan manik dan tudung sahaja.
Tetapi apabila aku melihatkan jumlah ansuran bulan-bulan yang perlu aku jelaskan, membuatkan aku berfikir berulang kali. Aku takut aku tak mampu untuk menjelaskan bayaran tersebut kerana sekarang ini sahaja aku perlu membayar gaji dua orang pekerjaku, ansuran kereta, sewa butik dan pengambilan stok baru. Itu tak termasuk lagi peruntukan untuk diri sendiri. Hisy, pening, pening!

AKU menerima kunjungan Aunty Ida pada pukul 3 petang. Ketika itu aku sedang menyiapkan baju rakan sekelasku, Fathanah. Katanya baju itu akan dipakai pada makan malam yang dianjurkan oleh syarikat tempat dia bekerja.
Aku mempersilakan Aunty Ida yang nampaknya tidak datang sendirian. Ada seorang perempuan yang datang bersama dengan Aunty Ida. Aku mempersilakan juga perempuan yang aku tidak tahu nama itu duduk. Adab kita mesti di jaga.
Berlagak semacam aje perempuan ni. Tengok aku nak tak nak aje. Dahlah tu, senyum pun tak! Tapikan aku rasa macam pernah jumpa aje perempuan ni. Hmm.. tapi kat mana ya?
Muka macam Chinese, pakai baju seksi. Hmm.. siapa ya? Tanpa sedar dahiku berkerut memikirkan siapa empunya gerangan perempuan ini.
“Sya, Sya.” Panggilan Aunty Ida mengembalikan aku ke alam nyata.
“Err.. Aunty, maaf, jauh betul saya mengelamun.” Ujarku sambil menghalakan pandangan pada Aunty Ida.
“Sya, ini bakal menantu aunty, Cellicia. So, macam yang aunty bagitahu pagi tadi, aunty nak tempahkan baju pengantin untuk Cellicia, baju untuk akad nikah sahaja. Sebab baju akad nikah ni aunty nak rekaannya lebih sopan. Maksudnya menutup aurat.” Aunty Ida terus memberikan gambaran baju yang dia ingini sejurus memperkenalkan bakal menantunya itu.
Mindaku perlahan-lahan mentafsir dan mencerna setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Aunty Ida. Pakaian menutup aurat? Pantas mataku menyorot ke arah perempuan yang duduk di sebelah Aunty Ida itu. Dari atas ke bawah. Dari bawah ke atas. Mataku tidak berkelip memandang batang tubuh itu.
Macam mana aku tak pandang atas bawah kalau si Cellicia ni hanya mengenakan tube untuk menutup bahagian dadanya dan mengenakan skirt sempit dan singkat untuk menutup punggung dan pangkal paha sahaja. Dan lagi satu, si Cellicia ni sombong yang amat! Dahlah tak senyum, bersalam jauh sekali. Tugas dia pulak sejak melangkah masuk ke butik aku ni adalah sebagai pemerhati. Mungkin dalam hati dia sekarang ni tengah mengutuk butik aku. Astagfirullah! Tak pasal-pasal aku dapat dosa percuma!
Malas berfikir lagi, aku terus melakarkan setiap permintaan Aunty Ida. Segala permintaannya aku turuti. Daripada ingin meletakkan hiasan yang sarat di bahagian dada hinggalah kepada rekaan gaun bertingkat di bahagian kaki baju. Fuh! Memang vogue giler baju tu. Memang lari terus dari rekaan baju pengantin Jun.
“Aunty nak bila baju ni?” aku terus bertanya. Bukan apa, senang untuk aku membahagikan masa.
“Majlisnya akan berlangsung dalam lima bulan lagi. Tapi kalau boleh siap lagi awal lagi baik. Oh ya, ni aunty dah bawa kain untuk baju ni.” Tanganku laju menyambut huluran Aunty Ida.
Aku membelek-belek kain tersebut. Rasanya ni bukan sebarangan kain. Mesti dibeli di luar negara ni. Yalah, orang berpangkat ni mesti nak yang bermutu tinggi. Citarasa pun mesti tinggi jugak!
Kemudiannya aku mengambil ukuran badan Cellicia sebelum mereka berdua berlalu dari buktikku. Sebaik saja kelibat kedua mereka melepasi pintu butik, Miza dan Saira laju merapatiku.
“Siapa dia tu Cik Sya? Rasa macam pernah tengok aje.” Amboi, kepohnya minah ni!
“Emm… Aunty Ida cakap tu bakal menantu dia.”
“Ha, baru saya ingat. Perempuan tu bukan yang dah pernah datang ke butik ni dulu? Alah, yang datang dengan sorang mamat handsome tu. Kalau tak salah, dia nak ambil baju yang aunty tu tempah.” Amboi, Miza! Detailnya jawapan awak.
“Emm… yalah tu. Awak berdua ni tak ada kerja ke?” Malas aku nak layan minah kepoh dua orang ni.
“Cik Sya, sekarang dah pukul 5 suku. Kami dah nak balik dah pun.” Balas Saira selamba.
Pantas mataku mendongak memandang jam di dinding. Macamlah kat tangan aku ni tak ada jam tangan. Ya Allah! Tu la syok sangat layan pelanggan, sampaikan jam dah pukul 5 lebih pun aku tak sedar.
“Okeylah. Sorry sangat, saya tak perasan hari dah petang rupanya. Hati-hati memandu tu ya.” Sempat aku menitipkan pesanan kepada dua orang pekerja kesayanganku ini.
Tanpa menunggu lama, aku terus menutup kedai apabila melihat jam sudah ke angka 6 petang.

BEEP, beep…
Bunyi mesej masuk. Tetikus terus aku halakan ke arah tetingkap yang menyala di skrin laptopku.
M_Syazril: salam… awak apa khabar?
Terpapar mesej pertama dari pengirim yang menggunakan nama M_Syazril, salah seorang teman mayaku. Jariku laju menaip balasan mesej tersebut.
Sya_Khira: wa’alaikumussalam.. sihat, awak?
M_Syazril: Alhamdulillah. Sihat seadanya. So, apa perkembangan terbaru di Malaysia?
Sya_Khira: hmmm.. semua berkembang kat Malaysia ni. Cuma satu aje yang kuncup, bunga.. hahahaha..
M_Syazril: amboi, sesedap rasa aje awak kenakan saya ya! Saya Tanya betul-betul, awak main-main pulak ya!
Sya_Khira: awak marah ke? Ala, saya gurau aje. Janganlah marah, nanti cepat tua tau. Hehehe…
M_Syazril: eleh, tua ke muda ke, bukannya ada orang nak kat saya. Saya macam ni jugak.
Apa kes pulak sampai melalut ke topik lain pulak ni? Hmm… layan aje la. Aku pun tengah bosan jugak ni.
Sya_Khira: eh, yang tu awak kena cari sendiri. Takkan adanya sorang perempuan datang melutut kat awak cakap macam ni, “Will you be my boyfriend?” tak pun si perempuan tu tanya macam ni, “Will you marry me?”. Perempuan sewel aje yang boleh buat macam tu. Saya jamin kerat kuku kalau ada macam tu. Hehehe
M_Syazril: what? Kerat kuku? Apa punya jamin daa…
Aku ketawa semahunya selepas membaca reaksinya. Nampaknya, dia perasankan ayat terakhir aku tu. Ikon Y!M yang sedang ketawa sambil terguling-guling di atas hantai aku klik dan dihantar kepadanya.
M_Syazril: macam mana pulak kalau awak disuruh berkahwin dengan seorang perempuan yang awak hanya anggap sebagai kawan baik? Apa reaksi awak?
Sya_Khira: hmmm… sound interesting. Reaksi saya? Tolak aje. Saya dapat rasakan, mesti bosan hidup kita bila terpaksa berkahwin dengan kawan baik sendiri.
Sekali dengar, macam kejam aje reaksi aku tu. Yalah, terus tolak tanpa kompromi!
M_Syazril: kalaulah sesenang yang dicakapkan…
Sya_Khira: wait, sebenarnya masalah siapa ni? Awak ke yang kena kahwin dengan kawan baik sendiri tu? Boleh awak terangkan dengan detail tak, saya dah confius ni.
Dari pada reaksinya pada jawapanku, aku seakan dapat merasakan yang masalah yang dia minta pendapat aku tu adalah masalah dia.
M_Syazril: ya, memang masalah saya. Macam ni, saya letakkan awak di tempat saya. Awak ada sorang kawan baik dan awak hanya anggap dia sebagai kawan baik sahaja, tak lebih dari itu. Tapi mak awak melihat sebaliknya. Tiba-tiba mak awak mengusulkan cadangan nak mengahwinkan awak dan kawan baik awak tu. Macam mana nak kahwin kalau awak tak ada langsung perasaan sayang kat kawan baik awak tu.
Sya_Khira: oh. So, apa reaksi perempuan tu? Dia terima ke?
M_Syazril: hmmm, saya pun tak tahu. Saya masih lagi tak berkesempatan untuk duduk berbincang dengan dia. Dengarnya persiapan sedang dilakukan.
Sya_Khira: Wah, ya ke? Lajunya. Bila majlisnya ni?
M_Syazril: kalau tak salah, majlis yang dirancang akan berlangsung lagi 5 bulan. Saya dah naik buntu sekarang.
Waduh, waduh. Macam mana nak tolong dia ni sedangkan aku tak pernah pun mengalami perkara sebegitu. Susah, susah.
Sya_Khira: saya rasa macam ni lah. Apa kata awak minta cuti dan balik ke Malaysia. Then, awak bincang dengan kawan baik awak tu dan dengan keluarga awak sekali. Mana tahu akan ada jalan penyelesaiannya melalui perbincangan tu.
M_Syazril: tapi sekarang ni, cuti di syarikat saya dibekukan kerana pihak syarikat telah menerima satu tender yang bernilai 2 billion dan masa untuk menyiapkan tender itu makin suntuk. So,untuk 2 atau 3 bulan ni saya tak dapat cuti.
Sya_Khira: macam tu pulak? Susahlah.
Akhirnya aku melayannya melepaskan beban yang sedang menyerabutkan kepalanya. Hampir pukul 1 pagi barulah aku dapat mengundurkan diri. Tetapi kepala aku pula yang memberat dengan masalah yang baru sahaja di luahkan oleh M_Syazril itu. Ah sudah! Macam masalah aku pulak!

PAGI itu selepas aku selesai mengepos barang-barang pesanan pelanggan maya, mataku terpandangkan sebuah gerai menjual majalah dan akhbar yang sememangnya telah berkurun ada di depan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Terlintas sesuatu di fikiranku yang telah membuatkan aku memberhentikan kereta di hadapan gerai itu dan bergegas keluar dari perut kereta, mendapatkan gerai majalah tersebut.
Enjin kereta tidak aku matikan kerana dekat saja. Sambil tangan membelek majalah di gerai itu, sambil itu juga mataku sesekali memandang ke arah keretaku. Bukan apa, pada sebelah pagi begini, pihak polis atau pihak bandaraya suka betul menyaman orang. Tambah-tambah yang parking kereta di laluan yang telah sedia sempit. Peringatan untuk aku sebenarnya supaya cepat-cepat memilih majalah dan berlalu dari situ jika tak mahu duit melayang untuk buat bayar saman.
Sejurus menjumpai majalah yang berkenan di hati, aku terus melakukan pembayaran dan bergegas ke kereta. Sebenarnya aku dah nampak beberapa orang pekerja bandaraya sedang melilau mencari mangsa. Sebelum berlaku perkara yang tak diingini, lebih baik aku cabut. Kereta di pecut ke arah butik.
Aku berjalan memasuki butik dengan membawa bersama majalah yang dibeli tadi.
“Banyaknya Cik Sya beli majalah. Nak buat apa?” mulut becok Miza menyapa kehadiranku di butik itu.
“Nak buat bungkus nasi lemak,” dengan selamba dan dengan muka tanpa riak aku menjawab.
“Hah? Biar betul Cik Sya. Takkan Cik Sya beli majalah ni semata-mata untuk bungkus nasi lemak. Mahal majalah tu.” Dengan seriusnya dia membidas jawapanku. Nak terburai ketawaku apabila mendengar dia berkata-kata.
“Dah awak tanya, saya jawab. Tak ada salahnya jawapan saya tu,”
Saira yang sedang menyapu lantai ketawa lepas kerana mendengarkan perbualan aku dan Miza. Miza pula apabila terasa diri dipermainkan terus menarik muka empat belas. Muncung itiknya mula kelihatan.
Aku melangkah memasuki bilikku sambil tersenyum. Tersenyum dengan gelagat Miza. Plastik berisi beberapa buah majalah aku letak di atas meja kerjaku. Satu persatu majalah itu aku bawa keluar dari beg plastik. Ada majalah PENGANTIN, majalah RAJA SEHARI, majalah MEMPELAI dan majalah WANITA.
Kesemua majalah ini amat penting buatku kerana majalah-majalah ini akan aku jadikan sebagai sumber rujukan dalam menghasilkan baju pengantin untuk bakal menantu Aunty Ida. Sementelah lagi aku ni langsung tak pernah menghadiri apa-apa kursus bahagian jahitan baju pengantin.
Jadi kerja aku hari ni adalah membelek majalah-majalah tersebut agar aku dapat mengaplikasikan ilmu yang diperolehi di dalam majalah itu ke atas rekaan baju pengantin bakal menantu Aunty Ida. Wah, naik jenuh jugak nanti nak khatamkan 4 buah majalah tersebut.

2 ulasan:

  1. M.Syazril tu anak aunty Ida ya??? Tp sapa plak org yg bt Sya tluka pd ms lalu??? Adakah org yg sama???

    BalasPadam
  2. good question... sy suka soalan2 tu... hehehehe...
    nak tahu dgn lebih lanjut, tunggu bab seterusnya.... bukan senang rahsia nak terbongkar... teruskan mengikuti blog ini untuk mengetahui kesudahannya..:)

    BalasPadam