Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 19 November 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 29



Aku menatang dulang yang berisi sisa makanan turun ke bawah. Sejak dari aku berada di atas tangga lagi, sudah kedengaran suara ibu dan Mak Yam berbual. Beberapa langkah sebelum aku menjejakkan kaki di dapur. Sudah tiada lagi suara mereka berbual. Senyap sunyi saja. Sebaik saja aku menjengah dapur, aku lihat ibu duduk di atas kerusi di dapur dan Mak Yam pula sibuk memanaskan masakan siang tadi untuk di hidangkan ketika makan malam nanti.
Aku membawa dulang ke singki. Lalu, aku membasuh semua pinggan mangkuk dan mug yang berada di dalam dulang itu. Aku meletakkan kembali mug dan pinggan mangkuk yang baru aku basuh ke tempat yang aku ambil tadi.
“Untuk siapa makanan yang Sarah bawa tadi?” tiba-tiba ibu bertanya kepadaku.
Aku memandang sambil melemparkan senyuman kepada ibu sebelum menjawab soalan ibu itu.
“Makanan tu untuk Abang Ariff.” Pendek saja jawapanku.
“Kenapa dengan Ariff? Dia sakit ke?” banyak pula soalan dari ibu.
“Entahlah. Bila Sarah kejut dia dari tidur tadi, dia lemah sangat. Macam orang tak ada tenaga. Sarah bagi dia minum air dan Sarah suruh dia bangun dan mandi. Lepas tu, Sarah turun ke bawah ni. Sarah tanya dekat Mak Yam yang Abang Ariff ada makan ke tak hari ni. Dan Mak Yam kata Abang Ariff tak makan lagi hari ini. Sebab tulah Sarah bawa makanan naik ke atas.” Panjang lebar aku menerangkan kepada ibu.
“Oh, macam tu.” Pendek saja tindak balas ibu.
Setelah itu aku meminta izin untuk ke ruang tamu. Dan dengan lebih senang lagi, aku ingin melarikan diri dari pelbagai soalan dari ibu. Lagi pun lebih baik aku ke ruang tamu sementara menunggu masa untuk menghidangkan makan malam memandangkan malam ini Mak Yam hanya akan menghidangkan makanan tengahari tadi yang di panaskan semula.
Untuk ke bilik tidak sekali-kali kerana Ariff ada di atas. Walaupun dia tengah tidur sekarang ini, aku tidak akan ke bilik. Tidak betah aku jadinya. Tak tahu hendak buat apa. Aku rasakan seperti Ariff sedang memerhatikan aku. Sedangkan dia sedang tidur. Ah, hanya perasaanku saja.

Sudah dua hari berlalu peristiwa Ariff Zulkarnain tidak bermaya kerana seharian tidak menjamah makanan. Sedikit pun dia tidak mengucapkan terima kasih kepada perempuan itu. Perempuan yang telah menyediakan makanan untuknya. Dia merasakan yang dia tidak memerlukan berterima kasih kepada perempuan itu. Sekali dengar, seperti kejam saja. Tapi itulah yang dia rasakan.
Sekarang ini dia dalam perjalanan ke Medan Selera Tanjung kerana dia ada pertemuan dengan sahabat baiknya, Ridhwan. Mereka sudah berjanji untuk bertemu dia sana. ada perkara yang ingin Ariff Zulkarnain bincangkan. Kali ini mereka sama-sama berada di darat. Tidak seperti kebiasaanya, jika aku berada di darat, dia akan berada di atas kapal.
Lima belas minit memandu dari rumah orang tuanya, dia akhirnya sampai di tempat yang di tuju. Jalanraya ketika ini lengang saja. Tidak sesibuk seperti waktu puncak. Dah hampir tengah malam mana tak lengangnya jalan. Apabila sampai, Ariff Zulkarnain terus memandu masuk ke petak tempat letak kereta yang kosong. Setelah di yakini posisi kereta tidak menggangu laluan kereta lain, dia berjalan ke arah salah satu kedai yang selalu dia kunjungi.
Jika tadi keadaan di atas jalanraya adalah lengang, tetapi berlainan sekali keadaannya di sini. Keadaan di sini penuh sesak dengan pelanggan yang datang menjamah hidangan lewat malam. Ariff Zulkarnain terintai-intai juga jika ada meja yang kosong. Dan akhirnya dia menemui satu meja yang baru sahaja di tinggal pergi oleh sekeluarga yang datang makan di situ.
Cepat langkah yang dia atur agar tempat itu tidak di sambar oleh orang lain. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi dan seketika kemudian datang salah seorang pelayan kedai makan itu untuk mengutip pinggan dan gelas kotor yang berada di atas  meja itu. Setelah itu, meja itu di lap dengan kain pula. Sambil tangan pelayan itu ligat mengelap meja, sambil itu juga pelayan itu bertanya kepada Ariff Zulkarnain.
“Nak minum apa, bang?”
“Emm, bagi teh tarik satu.” Ariff Zulkarnain memesan minuman yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia itu. Mengikut kajian, minuman itu adalah tidak baik untuk kesihatan. Kandungan gula di dalam susu adalah terlalu tinggi.
“Makan, bang?” tanya pelayan itu lagi.
“Nanti saya pesan, ya.” Bagi Ariff Zulkarnain, dia perlu menunggu Ridhwan dahulu. Tidak manis pula nanti bila Ridhwan sampai, dia pula sudah habis makan.
‘Emm, budak ni muda lagi ni. Dalam baya-baya Farah saja.’ Ariff Zulkarnain membuat telahan sendiri apabila melihat kelibat pelayan itu berlalu dari meja yang di dudukinya.
Sementara menanti kehadiran Ridhwan, Ariff Zulkarnain meliarkan pandangan ke arah sekelilingnya. ‘Emm, ramai juga yang suka keluar pada waktu-waktu ini.’ Dia berkata-kata di dalam hati. Kegemerlapan lampu-lampu yang tergantung di atas pokok begitu cantik sekali. Menampakkan lagi suasana suram yang cantik. Bagi pasangan-pasangan yang bercinta, suasana begini adalah sangat romantik.
Dia menghalakan pandangan kepada pengunjung yang turut sama makan di situ. Kebanyakkan mereka terdiri daripada sekumpulan budak-budak lelaki yang riuh bercerita tentang itu dan ini. Daripada cerita pasal bola hinggalah kepada cerita tentang kekasih masing-masing. Di celah-celah mereka, juga terdapat seorang dua rakan mereka membawa teman wanita.
Apabila kepala di halakan semula ke arah meja yang di dudukinya, air teh tarik yang di pesannya tadi sudah berada di atas meja. Entah masa bila pelayan tersebut menghantar minuman itu pun dia tidak sedar. Perlahan dia mencapai gelas itu. Buih yang terhasil apabila air teh itu di tarik di hirup perlahan. Bila habis buih itu dia hirup, gelas di tangan dia letakkan kembali.
Ariff Zulkarnain menyambung kembali pemerhatiannya ke arah sekitar kawasan itu. Rata-rata pengusaha kedai makan sekarang ini memasang saluran berbayar, Astro untuk menarik lebih ramai lagi pelanggan ke kedai mereka. Mereka akan mendapat berlipat kali ganda lagi keuntungan apabila musim bola tiba. Kaki-kaki bola akan melepak di kedai-kedai makan begini sehingga lewat pagi.
Sepuluh minit memerhati gelagat orang ramai yang semakin berkurang, tiba-tiba Ariff Zulkarnain terasa ada tangan yang menepuk bahunya. Pantas kepalanya di palingkan ke belakang.
“Kau ni! Buat terkejutkan aku saja. Lain kali, bagilah salam dulu.” Ariff Zulkarnain marah-marah sambil menggosok-gosok dadanya.
“Assalamualaikum, Encik Ariff.” Ridhwan berkata dengan nada jenaka menyindir.
Dalam menyindir, dia melemparkan senyuman kepada temannya itu. Tanpa di pelawa, Ridhwan melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan tempat duduk Ariff Zulkarnain.
“Tulah, asyik sangat duk perhatikan orang yang lalu-lalang. Sampaikan aku dah sampai pun tak perasan.” Ridhwan memerli sahabat baiknya itu.
Kemudian datang pelayan yang sama ketika mengambil pesanan Ariff Zulkarnain sebentar tadi untuk mengambil pesanan Ridhwan. Ridhwan memesan air limau nipis sebagai minuman dan nasi goreng patayya. Ariff Zulkarnain pula memesan mi goreng mamak memandangkan minuman sudah dia pesan tadi.
Sementara menunggu pesanan yang di pesan sampai, Ridhwan bertanya kepada Ariff Zulkarnain tentang sebab musabab dia ingin berjumpa pada malam itu.
“Ha, kenapa kau nak jumpa aku malam ni? Apa perkara penting yang kau nak bincang dengan aku tu? Dari dalam telefon tadi aku dengar tak sabar-sabar jkau nak jum pa dengan aku.”
Ridhwan tertanya-tanya juga apabila menerima panggilan daripada Ariff Zulkarnain petang tadi. Dari percakapan Ariff Zulkarnain petang tadi menunjukkan perkara yang akan Ariff Zulkarnain bincangkan itu adalah sangat penting. Asalnya Ariff Zulkarnain mahu berjumpa dengan Ridhwan pada petang tadi juga tetapi Ridhwan meminta untuk berjumpa pada malam ini kerana petang tadi dia sedang menerima kedatangan saudara sebelah isterinya yang datang dari Perak.
“Emm, apa pendapat kau jika aku dan perempuan tu pindah dari rumah orang tua aku?” Ariff Zulkarnain mula mengajukan pertanyaan.
Ridhwan sedang minum sedikit minuman yang baru saja sampai. Hampir tersembur dia mendengar soalan yang keluar dari mulut temannya itu.
“Kenapa pulak kau nak keluar dari rumah orang tua kau tu? Elok-elok duduk di sana, kau nak pindah pulak. Dan kalau kau nak keluar dari rumah tu, aku nak duduk ke mana?”
‘Pelik betul kawan aku yang seorang ni, elok-elok duduk di rumah keluarga sendiri nak pindah pulak. Hisy , tak faham betul aku.’ Rungut Ridhwan di dalam hati.
“Aku rasa, bila aku duduk di rumah sendiri, senanglah sedikit. Macam sekarang ni, ibu aku selalu sangat tanya bila aku nak keluar. Bukan ibu aku saja, abah aku pun sama. Hidup aku di dalam rumah tu seperti di kawal saja. Diaorang layan aku macam aku ni budak kecil. Hei, aku dah besarlah. Dah ada isteri pun. Huh, bosan betul aku.” Ariff Zulkarnain meluahkan rasa tidak puas hatinya.
‘Huh, mengaku juga yang dia tu dah beristeri. Dulu punyalah tak setuju bila orang tuannya telah tetapkan jodoh untuk dia. Huh, Ariff, Ariff.’ Ridhwan berbicara di dalam hati. Tanpa di sedari, bibirnya mengukirkan senyuman.
“Eh, yang kau senyum-senyum ni kenapa?” sergah Ariff Zulkarnain. Terus lenyap apa yang terlintas di fikirannya tadi. Dan senyuman di bibirnya juga tiba-tiba mati.
“Dahlah kepala aku ni tengah bengang, boleh kau senyum-senyum.” Ariff Zulkarnain masih lagi marah-marah.
“Alah, kau ni. Aku baru je senyum, kau dah marah macamlah aku ni ada buat kesalahan besar. Bukan apa. Aku senyum tadi bila dengar kau kata yang kau dah beristeri. Akhirnya mengaku jugak yang kau tu dah beristeri. Dulu bukan main bantah bila orang tua kau nak kahwinkan kau. Macam mana hubungan kau dengan dia? Dah baik?” Ridhwan memasang kembali senyuman di bibirnya.
“Eh, kau ni. Lain yang aku tanya, lain pulak yang keluar dari mulut kau. Dahlah soalan aku, kau tak jawab.” Ariff Zulkarnain cuba mengalihkan topik. Dia tidak mahu menjawab soalan yang di utarakan oleh Ridhwan itu.
“Okey, okey. Sebelum kau nak pindah tu aku nak tanya jugak. Kau nak duduk di mana kalau kau nak keluar dari rumah orang tua kau tu? Dan, ibu dan abah kau dah tahu ke tentang isu pindah-memindah ni?” Ridhwan mula beriak serius.
Baru saja Ariff Zulkarnain ingin membuka mulut, menjawab soalan yang di utarakan oleh sahabatnya itu terbantut seketika. Ini kerana datang pelayan menghantar makanan yang mereka pesan tadi. Selesai pelayan itu menghidang makanan, Ridhwan mengucapkan terima kasih kepada pelayan itu.
“Kalau kau tanya di mana aku nak duduk bila aku keluar dari rumah tu. Aku sudah ada jawapan untuk soalan kau tu. Kau lupa ke yang aku sudah beli rumah di Kuala Ibai. Di rumah tulah aku dan dia akan tinggal. Tapi untuk soalan kau yang kedua tu, aku tak ada jawapan. Aku belum lagi memberitahu kepada ibu dan abah aku. Sebab itulah aku nak jumpa kau malam ni. Aku nak minta pendapat kau.”
“Emm, beginilah. Aku nak bagi pendapat pun, aku tak ada pengalaman tinggal berdua. Kau tahulah kan, aku dan isteri aku tinggal di rumah mertua sejak kahwin lagi. Aku cadangkan kau bincanglah dulu dengan ibu dan abah kau. Mintalah pendapat mereka yang lebih berpengalaman. Ada baik dan buruknya jika kau tinggal sendiri ni.” Ridhwan pun tidak tahu mahu berkata bagaimana lagi. Dia bukanlah arif sangat untuk memberi pendapat kepada sahabatnya itu.
Mereka kemudiannya menjamah hidangan yang mereka pesan tadi. Sedang makan, sedang itu juga kepala Ariff Zulkarnain ligat berfikir tentang apa yang temannya itu cadangkan tadi. Betul juga apa yang di katakan oleh Ridhwan. Selesai makan, Ariff Zulkarnain membuat pembayaran untuk mereka berdua. Pada mulanya, Ridhwan ingin membayar makanannya tetapi pantas di halang oleh Ariff Zulkarnain. Dia berkata hendak belanja Ridhwan malam itu. Akhirnya Ridhwan akur.
Mereka berdua berpisah di hadapan kedai makan itu kerana lokasi kereta mereka berlainan tempat. Sebelum berlalu, sempat lagi Ridhwan berpesan kepada sahabatnya itu.
“Kau fikir-fikirlah apa yang aku kata tadi. Sebaik-baiknya kau kena minta pendapat orang tua kau. Jangan ambik tindakan terburu-buru pulak nanti. Ingat tu.”
Ariff Zulkarnain menganggukkan kepala. Sebelum beredar dari situ, mereka berjabat tangan. Ariff Zulkarnain memerhati langkah yang di atur temannya itu sehinggalah kelibat itu hilang di balik kegelapan malam.

3 ulasan: