Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Khamis, 28 Oktober 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 26

Keesokkannya, sesudah aku menunaikan solat zohor, aku lihat Ariff masih berbaring di atas katil. Dia baru saja balik dari menunaikan solat Jumaat. Dia ni nak pergi ke tak? Aku tertanya-tanya di dalam hati. Aku menghampiri katil.

“Err, jadi tak hantar saya ke rumah mak saya?” aku bertanya sedikit gugup.
Aku lihat dia tidak berganjak pun dari pembaringannya. Ah lantak dialah. Nak pergi ke tak. Aku berkata dalam hati. Lantas, aku melabuhkan punggung di atas sofa. Aku menanti reaksi seterusnya dari Ariff. Aku terus menanti dan menanti.

Lima minit selepas aku menanti, aku lihat Ariff bergerak sedikit. Dia bangun dan masuk ke dalam bilik mandi. Tanpa menunggu lama, aku lantas mempersiapkan diri. Baju dan tudung sudah aku sarungkan ke tubuh. Aku menghadap cermin untuk melihat tiada sebarang solekan yang tercoreng di muka.

Kemudian, aku kembali melabuhkan punggung di atas sofa. Seketika kemudian, Ariff keluar dari bilik mandi dengan hanya melilit tuala di pinggang. Aku hanya melihat sekali imbas saja. Jadi naik malu pula aku tengok sebahagian tubuh Ariff terdedah. Dari ekor mata, aku lihat Ariff membuka pintu almari dan memilih baju yang ingin di pakai.

Sementara itu, aku pula mengambil keputusan untuk turun dahulu ke tingkat bawah sambil membimbit handbagku. Biarlah aku menanti di bawah saja. Tak sanggup aku melihat pemandangan yang di hidangkan oleh Ariff.

Di bawah, aku menunggu di ruang tamu. Punggung aku labuhkan di atas salah satu set sofa yang berada di ruang tamu itu. Sambil menanti Ariff, sambil mataku menonton televisyen yang terpasang. Kelibat isi rumah langsung tidak kelihatan. Farah, ibu, abah, Mak Yam dan Pak Atan entah menghilang kemana.

Lebih sepuluh minit menanti di depan televisyen, akhirnya Ariff turun juga dari tingkat atas. Semerbak bau wangian yang Ariff gunakan. Kaki Ariff terus saja menghala ke arah pintu utama. Aku terus saja mengekori langkah Ariff. Takut juga di herdik oleh Ariff.

Central lock kereta di tekan oleh Ariff. Bila melihatkan Ariff masuk ke dalam kereta, aku juga ikut masuk ke dalam kereta. Tidak sampai seminit, kereta yang di pandu oleh Ariff sudah berada di atas jalanraya. Sepanjang perjalanan ke rumah orang tuaku, tiada sebutir pun perkataan keluar dari mulut aku mahupun Ariff. Bukan saja sepanjang perjalanan tetapi sejak dari rumah tadi lagi.

Seingat aku, ini adalah kali pertama aku ke rumah orang tuaku semenjak aku tinggal di rumah mertua. Selama ini aku tidak berani untuk ke sana kerana aku masih mengetahui hukum-hakam bagi seorang isteri keluar dari rumah tanpa izin suami. Walaupun aku hendak melawat ibu bapa kandung yang sedang nazak sekalipun. Restu suami adalah amat penting.

Dua puluh minit perjalanan, kami akhirnya sampai di hadapan rumah orang tuaku. Ariff memberhentikan kereta betul-betul di hadapan rumah emak dan ayah. Aku turun dari kereta. Dan sebaik saja aku turu dari perut kereta, Ariff terus memecut keretanya.
Emak yang mendengar bunyi kereta keluar menjenguk ke luar melalui tingkap rumah. Sebaik saja melihat aku yang muncul di hadapan rumahnya, emak terus saja keluar ke halaman rumah.

“Kamu seorang saja? Suami kamu tu ke mana?” emak bertanya sambil aku menyalami tangannya.

“Iya, mak. Abang Ariff ada kerja.” Bohongku.

Abang Ariff? Eeiii, mual tekak aku. Aku tak pernah membahasakan dirinya sebagai Abang Ariff sejak kami berkahwin. Tup tup, depan mak ayah aku, terpaksa aku berpura-pura. Jika tidak, terbongkar semua kisah aku sepanjang aku tinggal di rumah mertua.

“Oh,ya. Ayah mana?” aku bertanya kepada emak.

“Ayah kamu pergi teman ucu ke bandar. Katanya nak beli barang-barang sekolah. Eh, takkan nak berbual di sini saja. Jomlah, masuk.” Pelawa emak.

“Ucu ada balik ke mak?” aku mengekori langkah emak masuk ke dalam rumah.

“Dia balik cuti hujung minggu ni je. Lepas dia balik ni, abang kamu datang ambik dia nak hantar ke sekolahnya.” Terang emakku.

“Oh, macam tu. Sekejap je dia balik.” Kataku sambil melabuhkan punggung di atas kerusi meja makan di dapur rmah orang tuaku itu.

“Yelah. Cuti hujung minggu je. Memang sekejap. Kalau nak suruh dia balik lama tunggu dia cuti penggallah.” Emak berkata.

Tangan emak aku lihat sibuk menuang minuman kepadaku.

“Eh, eh. Mak ni. Sarah boleh buat sendirilah. Macamlah Sarah tak biasa kat rumah ni.”

Sedang aku berbual kosong dengan emak, terdengar orang memberi salam dari luar rumah. Kemudian, muncul ayah dan ucu di muka pintu.

“Eh, Sarah ada kat sini. Bila sampai?” ramah ayah bertanya.

“Baru lagi, yah. Punggung pun tak panas lagi.” Aku memjawab. Lalu aku menyalami tangan ayah.

“Eh, Ariff mana? Ayah tak nampak pun dia.” Tanya ayah sambil matanya melilau mencari kelibat Ariff.

“Dia ada kerja, yah.” Jawapan yang sama aku berikan kepada ayah, seperti jawapan yaang aku berikan kepada ibu tadi.

“Habis kamu datang ke sini dengan apa? Dia tahu tak?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut ayah.

“Abang Ariff la yang datang hantar Sarah tadi. Kalau tak, tak sampai Sarah ke sini.”
Sekali lagi aku memberikan pangkat ‘abang’ kepada Ariff. Lagaknya seperti rumah tanggaku teramatlah bahagia. Sedangkan semuanya indah khabar dari rupa.

Sedang emak, ayah dan ucu bercerita tentang keadaan kampung sepanjang aku tiada di sana, tiba-tiba, kami di kejutkan dengan bunyi hon kereta yang datang dari halaman rumah. Pantas aku menjenguk ke luar rumah melalui pintu dapur. Kelihatan kelibat kereta Proton Wira Aeroback milik along berhenti di halaman rumah. Dan tidak lama kemudian keluar along dan Kak Anisa dari perut kereta rona maroon.

Aku tersenyum menyambut kedatangan mereka ke rumah emak dan ayah.

“Eh, along. Mana anak?” aku bertanya along tentang ketiadaan Syafikah Zalifa pada ketika itu.

“Along hantar ke rumah mak Kak Anisa. Kalau ada dia susah la nak bergerak nanti.” Jawab alongku.

“Ucu dah siap ke belum? Kalau dah siap, boleh la kita bertolak sekarang. Takut nanti sampai sana dah gelap.” Along mengalihkan pertanyaan kepada ucu pula.

“Dah siap ni. Tunggu along je.” Jawab ucu.

Beg berisi pakaian ucu hulurkan kepada along dan along menyambutnya. Beg itu along bawa ke keretanya untuk di letakkan di dalam bonet kereta. Sementara itu, Kak Anisa merapatiku.

“Macam mana hidup sekarang?” perlahan saja Kak Anisa bertanya kepadaku. Mungkin tidak mahu emak mendengar perbualan kami.

“Macam mana apa?” aku bertanya kembali, pura-pura tidak faham dengan pertanyaannya.

“Alah, dia ni buat-buat tak faham pulak. Dah duduk kat sana, mesti dah berbaik dengan Ariff kan?” dia menembak.

Aku diam. Tidak tahu harus di ceritakan atau tidak. Jika aku ceritakan masalahku, adakah ia akan membuka aib perkahwinan aku? Alu jadi serba salah.

“Okey, kita bertolak sekarang.” Suara along telah mematikan lamunanku.

“Akak tunggu jawapan Sarah.” Perlahan dia berbisik ke telingaku sambil mengukir senyuman di bibirnya.

Ucu, along dan Kak Anisa bersalam dengan aku, mak dan ayah sebelum mereka berangkat pergi. Sempat lagi hon kereta di bunyikan ketika kereta menghampiri jalanraya.

Setelah kelibat kereta along tidak lagi kelihatan, aku mengambil peluang untuk menjelajah ke seluruh halaman rumah. Sudah terlalu lama aku tidak berbuat demikian. Seperti sudah bertahun aku tinggalkan rumah itu. Pada hal baru dua bulan aku menetap di rumah mertua.

Di bahagian belakang rumah orang tuaku ini penuh dengan pokok buah-buahan. Antaranya pokok durian, langsat, duku, rambutan, ciku, jambu air dan beberapa batang pokok pisang. Nyaman aku melihatkan kehijauan pokok-pokok itu. Sekali-sekala jika aku menghadapi masalah, aku akan ke belakang rumah ini. Kehijauan semulajadi yang terdapat di sini cukup menenangkan.

Emak dan ayah juga membela binatang peliharaan. Ada ayam, itik dan angsa. Memang berbau sedikit di belakang rumah orang tuaku. Ini di sebabkan oleh najis yang di hasilkan oleh haiwan-haiwan tersebut. Sedang aku asyik menghayati pemandangan di situ, aku di kejutkan dengan laungan azan dari masjid berhampiran rumahku.

‘Sudah masuk waktu asar rupanya. Ralit sangat aku di sini.’ Getus hatiku.

Dari belakang rumah, aku berjalan masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Tiada orang pun di dapur. Ayahku mungkin sudah ke masjid. Emakku pula mungkin sedang menunaikan solat di dalam biliknya. Aku masuk ke dalam bilik mandi untuk mengambil wuduk.

Selesai mengambil wuduk, aku naik ke rumah utama sebelum masuk ke dalam bilikku. Sejadah aku bentangkan dan telekung aku sarungkan ke tubuhku. Telekung sembahyang memang tersedia di dalam rumah orang tuaku ini. Aku mempunyai banyak juga koleksi telekung sembahyang. Dua pasang telah aku bawa ke rumah mertua dan yang selebihnya masih tersimpan di sini.

Selesai menunaikan solat, aku melipat semula telekung yang baru sahaja di gunakan tadi. Aku ke depan semula. Aku lihat emak sedang membasuh pinggan mangkuk yang berada di dalam sinki.

“Emak, ayah tak balik lagi ke?” aku bertanya emak.
Aku lihat tangan emak ligat menyabun cawan-cawan di dalam sinki.

“Entahlah. Sepatutnya dia dah sampai kat rumah ni.” Emak menjawab tanpa memandang aku yang berada di atas tangga dapur.

“Emm, motor Sarah tu ayah ada guna tak?”

“Motor tu ayah tak guna pun. Cuma dia selalulah hidupkan motor tu tiap-tiap pagi. Katanya tak mahu lah motor tu tersadai je, nanti sejuk pulak enjin motor tu.” Jawab emak.

“Kenapa? Sarah nak ambik ke motor tu?” emak menyambung dengan soalan.

“Rancangnya Sarah ke sini hari ni nak ambik motor tu la. Tapi nak tunggu ayah balik dari masjid dulu.” Jawabku.

Sedang aku berbual kosong dengan emak, kedengaran bunyi motorsikal milik ayah memasuki halaman rumah.

“Emm, ayah. Baru balik?” aku bertanya kepada ayahku sedangkan aku sudah mengetahui yang ayahku memang baru sampai di rumah.

“Ya, Sarah.”

“Err, ayah. Motor Sarah tu okay kan?” aku bertanya dengan ayahku dengan perasaan sedikit ragu-ragu.

“Kenapa? Sarah nak pakai ke motor tu?” ayah menjawab dengan pertanyaan.

“Ya, yah. Sa ingat, Sarah nak pakai motor tu.”

Tidak akan sekali-kali aku memberitahu kepada emak atau ayahku sebab musabababku perlu mengambil motor itu. Biarlah itu semua aku simpan di dalam hatiku sahaja. Mereka tidak perlu tahu tentang semua yang menimpaku.

Aku terus keluar dari rumah dan menghala ke arah tempat tersimpannya motor kesayanganku itu. Ayahku juga mengikut sama langkahku ke arah motor. Kain yang di gunakan untuk membalut motorku, aku tarik perlahan-lahan. Dan terserlahlah rupa motorku. Motor itu aku sorongkan ke depan dan di tongkat. Perlahan-lahan, enjin motor aku hidupkan.

Setelah tiga kali mencuba, akhirnya motorku itu hidup juga. Pedal minyak aku pulas sedikit demi sedikit. Bukan apa, sekadar hendak mengetahui kondisi motorku berada dalam keadaan baik-baik saja. Agar ia tidak menyusahkan aku kelak.

“Emm, okay motor ni. Boleh lah Sarah bawak balik ke sana, ya ayah.”

“Boleh.” Sepatah saja ayah menyahut kata-kataku.

Mungkin ayah berasakan yang aku bersungguh-sungguh akan tinggalkan rumah itu. Tidak! Tidak sama sekali. Aku tidak akan meninggalkan rumah dan tempat aku membesar. Tetapi, kali ini tolonglah fahami keadaan aku. Aku sangat memerlukan pengangkutan ini agar aku tidak mengalami kesukaran untuk ke pejabat. Kejadian kelmarin tidak akan berulang lagi. Itulah janjiku.

Aku mengerling ke arah jam di pergelangan tanganku. Emm, sudah pukul 5.30 petang. Aku harus bertolak sekarang. Sementara hari masih siang. Nanti gelap pula. Aku melangkah masuk ke dalam rumah untuk berjumpa emakku dan mengambil handbagku. Enjin motor tidak aku matikan kerana bagiku ia akan memudahkan aku bila ingin memulakan perjalanan tadi.

“Mak, Sarah dah nak balik ni.” Laungku kepada emak yang berada di tingkat atas rumah.

“Eh, kamu dah nak balik ke? Nak balik dengan apa? Ariff dah sampai?” bertubi-tubi soalan yang datang daripada emakku.

“Taklah. Sarah balik dengan motor Sa tu.” Aku menjawab sambil menunding ke arah motorku yang terparkir di hadapan rumah orang tuaku itu.

“Habis tu, kamu dah beritahu ke belum kepada Ariff?”
Hisy emak ni. Lebih pentingkan menantu kesayangannya itu daripada aku, anaknya sendiri.

“Dah, mak.” Aku tidak tahu Ariff masih ingatkan atau tidak apa yang aku pesan kepadanya petang semalam semasa ingin menyuruhnya menghantarku ke sini.
Handbag aku capai dan tangan tua emakku aku salami. Di muka pintu dapur, aku menyarungkan seliparku ke kaki. Dan tangan ayahku pula salami. Handbag aku letakkan di dalam bakul motor dan di tindih dengan baju hujan yang memang sedia ada di dalam bakul itu. Ini adalah langkah keselamatan daripada jenayah ragut yang semakin berleluasa sekarang ini. Beberapa saat kemudian, aku sudah duduk di atas motorku dan bersedia untuk menunggang motor tersebut.

Aku mengucapkan salam sebelum bertolak keluar dari perkarangan rumah orang tuaku. Sepanjang melalui jalan kampungku itu, aku akan memicit hon jika bertembung dengan penduduk kampung yang aku kenali. Tidak kira muda mahupun tua. Ini tidak dapat aku alami jika aku menaiki kereta. jika pemandunya aku, bolehlah lagi. Tetapi jika pemandunya Ariff, emm nampaknya tiada peluang langsung untuk aku menegur penduduk kampung.

5 ulasan:

  1. best la...tak sabar nak baca n3 kisah seterusnya

    BalasPadam
  2. cepat sambung nyer...
    harap2 hari isnin ne dah ada sambunganny...

    BalasPadam
  3. salam... sori sesangat coz sy x dpt letak n3 trbaru pd hri isnin(esok)... ini kerana sy x trkejar utk siapkn bab yg seterusnya... tp kan sy nk tahu la jgk siapa Tanpa Nama ni... sy pun nk jgk kenal insan yg sudi meninggalkan komen pada setiap n3 sy ni...

    BalasPadam
  4. xada sambungan hari ini...
    sedihnyaaaaaa...
    bila sambungan baru nak masuk...
    hari Isnin dah berlalu...

    BalasPadam
  5. bila n3 baru nak masuk...

    BalasPadam