Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Isnin, 18 Oktober 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 25

Sedar tak sedar dah sebulan lebih aku berulang-alik ke tempat kerja menggunakan kereta Ariff. Hari ni hari Khamis dan hari ini aku terpaksa membuat kerja lebih masa kerana ada satu dokumen laporan yang perlu aku siapkan sebelum pagi esok kerana dokumen itu perlu berada di atas meja pengurusku pada pagi-pagi esok.
Jadi, aku akan pulang lewat hari ini. Berita yang aku akan balik lewat hari ini juga sudah aku khabarkan kepada ibu ketika rehat tengahari tadi. Saja aku maklumkan kepada ibu kerana tidak mahu mereka yang berada di rumah risaukan aku.
Ketika ini di pejabatku hanya tinggal aku dan seorang pelajar praktikal bernama Irma. Irma juga sepertiku terpaksa stay di pejabat malam-malam begini. Irma terpaksa menyiapkan laporan untuk di periksa oleh penyelia yang mengawasnya sepanjang dia melakukan praktikal.
Kerjaku tinggal sedikit saja lagi untuk di siapkan. Bila aku terasa mengantuk, aku akan ke pantri untuk membuat minuman untuk menghilangkan rasa mengantuk. Akhirnya, laporan yang aku perlu sediakan siap juga. Tanpa menunggu lama, aku mengemas mejaku untuk melangkah pulang pula. Komputer aku shut down dan lampu meja aku padamkan sebelum mencapai handbag yang berada di dalam laci meja.
“Irma, akak dah nak balik ni. Irma boleh ke duduk sorang-sorang ni?” aku bertanya kepada Irma. Yalah, bimbang juga aku tinggalkan anak dara orang keseorangan di situ.
“Takpe, kak. Tinggal sikit je lagi ni. Akak nak balik, akak baliklah dulu.”
“Okey, akak balik dulu, ya. Jaga diri baik-baik tau.” Aku melemparkan senyuman dan melambaikan tangan ke arah Irma sebelum berlalu dari pejabatku.
Sesampai di kereta dan setelah menekan central lock, aku masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan dan dengan lancarnya, aku memandu keluar dari kawasan pejabatku. Sedang mataku fokus ke arah jalanraya, aku terpandangkan jam di dashboard kereta. Emm, sudah pukul 11.15 malam.
Emm, malam-malam macam ni elok juga kalau aku ronda-ronda bandar. Boleh juga tengok pemandangan malam hari. Tiba-tiba timbul satu usul dari benakku untuk ronda-ronda di malam hari. Laju saja tanganku memulas stereng menglaha ke Jalan Tok Lam. Kemudian aku melalui pula jalan di sepanjang Tanjung. Taman Syahbandar, depan Astaka, dan hadapan Hotel Grand Continental adalah antara tempat yang aku lalui.
Bandar Kuala Terengganu ketika ini sedang bermandi cahaya lampu pelbagai warna. Pengunjungnya juga boleh tahan ramainya. Mentang-mentanglah esok hari cuti hujung minggu, ramai penduduk sekitar bandar ini mengambil peluang keluar berjalan-jalan melihat panorama indah ini. Ada membawa keluarga masing-masing. Tidak kurang juuga yang membawa pasangan masing-masing.
Aku pusing-pusing bandar saja untuk menghilangkan tekanan kerja sebentar tadi. Setelah puas ronda-ronda sekitar bandar, aku mengambil keputusan untuk pulang saja ke rumah mertuaku. Keadaan jalanraya ketika ini begitu lengang sekali. Bilangan kenderaan yang berada di atas jalan boleh di kira dengan jari.
Selepas lima belas minit memandu, aku akhirnya sampai di perkarangan rumah mertuaku. Kereta Ariff aku parkir elok-elok di tempatnya. Setelah memastikan yang kereta sudah di kunci, aku berjalan ke arah pintu utama rumah pula. Nasib baik kunci rumah sudah tersedia sekali di dalam segugus kunci kereta Ariff. Jadi aku tidak perlu mengejutkan isi rumah jika aku perlu pulang lewat seperti sekarang.
Pintu utama di buka dan aku menapak masuk ke dalam rumah. Keadaan di dalam rumah sungguh gelap gelita kerana semua lampu sudah di padam. Aku berjalan hanya berpandukan cahaya bulan yang samar-samar yang menerombos masuk melalui pintu gelungsur kaca.
Di tingkat atas, aku membuka pintu bilik perlahan-lahan. Aku ternampak satu kelibat yang samar-samar sedang duduk di atas katil dalam keadaan bilik yang gelap. Aku menekan suis lampu. Dan barulah aku dapat melihat milik siapa tubuh itu. Ariff!!
Bila dia balik. Aku tak tahu pun yang dia akan balik hari ni. Muka dia macam nak marah aku saja. Pelbagai persoalan yang timbul dalam benakku. Tiba-tiba saja aku jadi seperti patung bernyawa berdiri di tepi pintu bilik.
“Siapa bagi kebenaran kat kau guna kereta aku?” Ariff bertanya dengan nada marah.
“Ibu.” Perlahan aku memberi jawapan itu.
“Bak sini kunci! Lain kali jangan suka-suka hati pakai kereta aku dan semua barang milik aku. Aku tak suka. Walaupun yang suruh tu ibu atau abah aku. Faham!” Ariff menuturkan kata-kata dengan keras sekali.
Laju saja kepalaku mengangukkan kata-kata Ariff tanda faham dengan apa yang di ucapnya. Ariff terus saja merampas kunci kereta dari tapak tanganku dan berlalu keluar dari bilik. Seketika kemudian aku dengar bunyi deruman kereta keliuar dari tempat simpanannya.
Rasa mengantuk yang aku tanggung tadi sudah hilang. Aku melabuhkan punggung di atas sofa dan sofa ini akan menjadi tempat beraduku semula. Dalam hati, aku sudah bertekad. Selepas ini, aku tidak akan lagi menggunakan kereta itu dan segala barang milik Ariff. Sekali di marahi, akan aku ingat sampai bila-bila.
Akhirnya tanpa menyalin baju kerja, aku terlelap di atas sofa itu.

Pagi Ahad menjelma lagi. Hari permulaan bagi minggu yang baru. Aku akan ke tempat kerja tidak lagi berjantar dan berjemput. Aku akan membawa sendiri kenderaan. Kenderaan yang akan aku bawa bukan lagi kereta Ariff. Aku akan menunggang motorsikalku yang dulu. Aku kembali semula seperti sebelum aku pindah ke rumah mertuaku.
Aku mengambil motorku di rumah orang tuaku semalam selepas aku memikirkan yang aku tidak akan ke tempat kerja dengan keretanya. Aku sudah bertekad untuk tidak menyentuh sebarang barang milik Ariff setelah di marahi Ariff hari Jumaat lepas. Segalanya bermula pada petang kelmarin.

Petang Jumaat adalah masa untuk mereka yang berkeluarga atau yang mempunyai pasangan keluar meronda-ronda dengan keluarga atau pasangan masing-masing tapi tidak bagi aku. Aku hanya melepak saja di rumah. Kalau nak keluar, keluar dengan siapa? Dengan apa? Itulah yang berlegar-legar dalam kepalaku.
Remote control televisyen sedang berada di dalam genggamanku. Dari satu saluran, aku beralih ke saluran lain pula. Bosan aku. Tiada satu pun yang dapat memuaskan hatiku dan menghilangkan kebosananku. Akhirnya televisyen LCD Sony 42” itu aku tutup.
Aku bangun dari sofa yang aku duduk. Kakiku menghala ke arah luar rumah. Isi rumah entah menghilang ke mana aku tak tahu. Selipar aku sarungkan ke kaki. Aku berjalan ke arah ibu yang sedang membelai pokok-pokok bunga kesayangannya.
“Ibu, ralitnya duk belai pokok bunya tu.” Sapa aku pada ibu.
“Takdelah. Ni, ibu rasa nak ubah dekorasi pokok ni. Dah puas duk tengok dekorasi yang sama saja.” Jawab ibu.
“Ibu nak Sarah tolong ke?” aku bertanya kepada ibu.
“Sarah takde kerja ke? Kalau macam tu boleh je.” Ibu mengalu-alukan pertolongan yang aku ingin hulurkan.
“Kita nak mula dari mana, bu?” aku bertanya sambil duduk mencangkung.
“Apa kata kalau kita ubah pokok bunga ros tu. Lepas tu barulah kita ubah pokok-pokok orkid yang ada di tepi tu.” Cadang ibu.
Aku hanya menurut saja kata-kata ibu. Pokok ros yang ada di alihkan ke arah tepi. Banyak betul pokok hiasan yang berada di sekeliling yang berselirat di hadapan pokok ros. Sekali tengok, macam hutan belantara saja. Semua pokok-pokok bunga aku alihkan ke tepi. Kawasan pokok-pokok itu aku biarkan kosong untuk membuat dekorasi yang baru.
Ibu juga turut sama mengerjakan tamannya itu. Di tengah-tengah dekorasi itu terdapat satu replika air terjun dan replika itu di kekalkan di tempatnya. Sedang aku mengangkat satu persatu pasu bunga, keluar Ariff dari dalam rumah. Segak sekali dia dengan seluar jeans dan t-shirt polo rona oren lembut. Dia merapati ibu.
“Kau nak kemana wangi-wangi ni?” ibu bertanya Ariff.
“Keluar sekejap, bu.” Jawab Ariff.
Ketika itu aku teringat sesuatu, lantas aku menghampiri Ariff.
“Err, esok boleh tak hantar saya ke rumah mak saya. Kalau nak balik, pandai-pandai sayalah.” Aku memberitahu Ariff tentang rancanganku.
“Emm, tengoklah macam mana.” Ariff jawab acuh tak acuh.
Aku lihat dia berlalu ke arah keretanya. Kereta dihidupkan dan Ariff memecut kereta keluar dari halaman rumah. Dan aku menyambung kerjaku membantu ibu membuat dekorasi baru kepada tamannya itu.

p/s: salam... makin ramai follower nampaknya... thanks for support my 1st e-novel... untuk pengetahuan smua, selepas ini sy terpaksa memperlahankan kerja2 meng update bab baru dlm blog ini atas sebab2 yg x dapat di elakka... di harapkan lebih rmai yg sudi singgah ke laman blog sy yg x seberapa ini... TQ....

2 ulasan:

  1. best ler kak...bler nk smbg...xsbor nk bce next n3....huhuhuhu

    BalasPadam
  2. thanks... insya allah... novel ni akan ada n3 baru x lama lg...

    BalasPadam