“WHAT?! Uhuk, uhuk, uhuk!” Aku terbatuk.
Terasa ada tangan yang menggosok belakang badanku. Tangan milik Puan Irdina.
“Alhamdulillah,” gumam Puan Irdina.
Alhamdulillah? Kenapa alhamdulillah? Kenapa tidak
astaghfirullah alazim? Walaupun perlahan, telinga aku masih dapat menangkap
bait kata syukur itu. Sudah mummy si
Fayyadh ni duduk sebelah aku, memanglah aku dengar dengan jelas sekali.
“Yaya okey?” Puan Irdina soal aku.
“Err… ehem… okey,”
Puan Irdina bangun dan mendapatkan anaknya.
“Betul ke ni, Syah?” Puan Irdina bertanya pula
dengan Fayyadh.
“Betullah mi. Takkan perkara macam ni nak buat
main-main pula.” Selamba saja reaksi Fayyadh. Di wajah itu langsung tak
terlukis riak bersalah. Nak senyum jauh sekali.
“Alhamdulillah. Mummy
syukur sangat-sangat. Siapa pun pilihan Syah, mummy terima asalkan bukan Gina.” Girang sekali suara Puan Irdina.
Asalkan bukan Gina? Aku ulang kembali kata-kata Puan
Irdina itu di dalam hati. Kenapa Puan Irdina cakap begitu? Seperti ada bau tak
senang dengan insan bernama Gina. Tapi apa salah Gina? Tadi Fayyadh sudah
marahkan Gina, sekarang Puan Irdina pula luahkan rasa tak senang dengan Gina.
Haih! Pelik aku.
“Yaya duduk dulu ya, mak cik nak telefon anak mak
cik sekejap,” kata Puan Irdina bersama senyumannya.
Aku diam. Nak senyum tapi tak terasa pun senyuman terukir
di bibirku. Aku tak tahu nak bereaksi macam mana. Semua ini tersangat mengejut
dan mendadak.
“Apa semua ni?” Aku menyoal lemah.
Fayyadh tak menjawab soalan aku. Sebaliknya dia
menonong ke pintu utama. Aku mengikut. Hisy! Suka dia ni diam membisu macam tu.
“Awak! Saya tanya awak ni. Bukannya tanya dinding
bisu ni.” Aku tunjuk rasa tak puas hati. Grrr… geram tau tak!
Fayyadh ke keretanya dan penggera kereta dia tekan.
Pintu bahagian penumpang dia buka.
“Masuk.” Fayyadh mengarahkan aku masuk ke dalam
keretanya.
“Nak pergi mana?” Soalan aku tak jawab lagi tapi dah
sibuk ajak aku masuk kereta dia.
“Ikut aje boleh tak? Jangan banyak bunyi.” Aku pulak
kena marah! Hisy!
Akhirnya aku akur walau terasa naksepak aje mamat
ni.
KERETA
diberhentikan berhampiran dengan taman rekreasi yang pernah aku kunjungi dulu.
Alah, taman yang aku terjumpa dengan Fayyadh dulu tu. Sudah hampir lima minit
dia duk main diam macam tu. Adoi la! Aku nak balik!
“Sampai bila nak jadi bisu macam ni? Kalau tak nak
hantar saya balik, saya boleh balik sendiri.” Aku geram. Dia buat aku ni macam
tak ada perasaan langsung.
Aku cuba tarik pemegang pintu. Tapi tak sempat aku
tarik pembuka pintu, klik! Fayyadh lebih dulu mengunci pintu. Sudahnya aku dan
dia terkurung dalam kereta mewah tu.
“Huh!” aku mendengus.
Aku berpeluk tubuh sambil pandang taman yang masih
kosong, tak berpengunjung. Baru pukul 4.00 petang, manalah ada manusia yang
sanggup berjemur tengah panas terik ni.
“Sorry,”
Aku palingkan muka, memandang Fayyadh. Telinga aku
tak pekak lagi. Memang dia ada sebut sorry
tadi. Mata kami beradu seketika.
“Sorry
pasal apa yang saya cakapkan dengan mummy
saya tadi.” Sambung Fayyadh.
“Apa motifnya? Kenapa awak libatkan saya?” Aku
perlukan penjelasan.
“Saya tak sengaja,”
“Tak sengaja?” langsung tak boleh diterima akal
jawapan dia tu.
“Sebab marahkan Gina, saya libatkan awak dalam
masalah saya.” Fayyadh mendengus. Mungkin marahnya pada Gina masih belum surut.
Apa kesalahan yang telah Gina lakukan, tak pula aku tahu dan aku tak terasa nak
tanya. Masalah dia orang, biarlah dia orang selesaikan sendiri.
“Sampai kepada menghantar rombongan meminang? Itu
kerja gila! Kita orang melayu. Meminang dan perkahwinan teramat besar maknanya.
Jangan kerana marah, awak jadikan saya mangsa.” Aku lepaskan apa yang terbuku
di dalam hati.
“Sorry,”
“Saya nak awak bagi tahu kat mak awak, batalkan saja
rancangan bodoh ni. Saya bukannya boneka, yang akan menurut saja segala arahan
tuannya.”
‘Tapi….”
“Tak ada tapi-tapi. Saya tak mahu terlibat dalam
masalah awak dan Gina. Cukuplah orang mengata di tempat kerja. Saya tak mahu
seumur hidup dicop sebagai perampas. Sedangkan hakikatnya saya tak pernah
merampas!” Aku pegang pembuka pintu kereta. “Bukalah. Kalau tak nak hantar saya
balik, saya boleh balik sendiri.” Aku ulang kembali ayatku tadi. Menapak dari
taman ini hingga ke rumah aku bukannya jauh mana.
Klik!
Aku buka pintu dan mahu melangkah. Pintu aku
lepaskan perlahan. Baru dua langkah aku melangkah, suara Fayyadh menampan
telinga.
“Bermula esok awak tak payah lagi pergi kerja. Saya
dah telefon pengurus di sana yang awak dah berhenti.”
Dan aku terus mengatur langkah berlalu dari taman
itu. Semua ini mendadak dan sangat memberatkan kepala. Aku tak mahu fikir. Tapi…
lepas ni aku nak kerja apa? Takkan nak goyang kaki aje kat rumah? Siapa pula
nak bagi aku duit belanja? Kusut, kusut! Dalam tak nak fikir, kepala aku
terpaksa fikir juga. Umi, nak menangis boleh?
“KAK
long!” aku panggil kak long dari corong telefon.
“Kenapa Yaya?”
“Kak long sibuk tak?”
“Sibuklah juga. Ada tender baru masuk. Eh, Yaya tak
kerja ke hari ni?”
“Orang dah berhenti.”
“Berhenti? Kenapa pula? Sayangnya. Yaya dah lama
kerja kat situ.” Kata kak long dengan nada terkilan. Memang dah lama pun aku
kerja kat situ. Hampir sepuluh tahun. Tapi nak buat macam mana. Aku tak ada
kuasa untuk menolak.
“Malaslah nak cerita.”
“Pulak dah.”
“Kak long….” Mendayu-dayu aku memanggil kak long.
Hati tengah berserabut ni.
“Amboi! Panjangnya sebut nama kak long. Ada apa
sebenarnya ni?”
“Kita jumpa boleh tak?”
“Bila tu? Sekarang?”
“Bukanlah sekatang, malam ni boleh? Tu pun kalau kak
long tak sibuk.”
“Insya-Allah. Nanti kak long mesej pukul berapa dan
kat mana ya.”
“Okey.”
Aku biarkan telefon bisu di sebelah bantal. Rambut
separas pinggang aku main lilit dengan jari. Inilah kerja aku kalau tengah
kepala berserabut. Dan akhirnya aku akan tertidur. Kepala tengah banyak masalah
pun aku boleh tidur dengan mudah. Itulah aku.
LEPAS
solat maghrib, aku dah tercongok kat depan warung ni. Nasiblah tak jauh dari
rumah. Jadi, aku hanya menapak sajalah. Sambil menunggu kak long sampai, sambil
itu mata aku sibuk bekerja. Sibuk memandang pelanggan lain yang memberikan
pesanan dan juga yang lalu-lalang di depan warung itu
“Adik manis, mahu minum apa?” Mamat Bangla yang
bekerja sebagai pelayan warung tiba-tiba menyoal aku. Kacaulah Bangla ni.
Dengan adik manis segala.
“Teh O ais.”
“Makan?”
“Nanti order
lagi,”
“Ayoyo
adik manis. Kalau muka tu kasi senyum sikit, banyak cantik.” Eh Bangla ni,
sibuk nak komen orang. Sudahlah tu, tersenyum-senyum macam kerang busuk! Gatal!
Aku terus memasamkan muka.
“Sorry, sorry.
Kak long lambat. Tadi bos besar tiba-tiba masuk pejabat.” Kak long berkata
bersama nafas yang tercungap-cungap.
“Tarik nafas perlahan-lahan kak long,”
Kak long tarik dan hembus nafas.
“Fuh! Tak cukup tanah kak long berkejar ke sini.” Kak
long mengibas-kibas mukanya yang sudah berpeluh.
“Nah tisu,” aku hulur tisu kepada kak long.
“So, apa
cerita?”
“Kita order
dulu, boleh?”
“Okey,”
Aku memanggil pelayan Bangla tadi dan membuat
pesanan.
“Hah, apa halnya? Macam hal penting aje. Eh, tadi
Yaya cakap dah berhenti kerja kan? Apasal pulak berhenti? Dah lama kerja kat
situ, ruginya.” Mulut kak long laju bersuara. Macam murai tercabut ekor. Masa
tulah dia nak tanya, masa tu juga dia nak berikan pandangannya. Haih, kak long,
kak long.
“Panjang ceritanya kak long,”
“Pendekkan.” Amboi kak long! Siap senyum lagi tu.
Perli ke apa ni?
“Malaslah nak cerita.” Aku mengeluh.
“Tak baik mengeluh, Yaya. Cuba cerita kat kak long,
apa sebenarnya yang mengganggu kepala Yaya?” lembut nada suara kak long. Memang
aku mudah sangat cair kalau kak long yang memujuk.
“Sebenarnya kak long, orang bukan diberhentikan
kerja tapi terpaksa berhenti.” Aku membuka cerita sambil memandang wajah kak
long.
Pelayan datang menghantar minuman. Tak sempat kak
long ajukan pertanyaan. Kak long tarik gelas berisi air sirap limau rapat
dengannya. Disedut sekali air itu.
“Eh, tak diberhentikan tapi kena berhenti? Macam
mana tu?” Jangan kata kak long, orang lain dengar pun rasa pelik. Kening kak
long terjongket sama.
“Tu yang susah nak cerita tu. Nanti kak long fikir
lain pula.” Aku sedut air teh O ais yang aku order tadi sedikit.
“Fikir lain apa pulak? Isy Yaya ni, macam-macam.”
Omel kak long.
“Kak long jangan terkejut pula kalau dengar orang
nak cerita ni.”
“Cerita ajelah.”
“Okey, ceritanya macam ni….”
Dan aku mula membuka cerita. Daripada mula hinggalah
ke akhir. Tak tertinggal walau satu pun. Daripada mula Gina tak suka kat aku
hinggalah tiba-tiba Fayyadh suruh emak dia hantar rombongan meminang ke rumah
kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan