BAB
28
PETANG
itu, Iddin beristirehat di balkoni biliknya ditemani semuk coklat panas. Hari
hujung minggu. Tak ada apa yang dia lakukan selain berehat. Memang dia ni jenis
yang susah nak keluar rumah melainkan kalau ada hal yang benar-benar penting.
Muk dibawa ke bibir dan diteguk sekali. Terasa nyaman sekali. Sesuai sangat
dengan cuaca yang mendung tika itu.
Sambil
merenung jalan hadapan rumah yang sangat lengang, sambil itu kepala Iddin
teringatkan kembali kata-kata Mak Yam pagi semalam. Mak Yam suruh dia
berbincang dengan Tuan Ikmal. Terasa sangat berat untuk dia laksanakan
kata-kata itu. Tapi kalau dia terus membisu begini
Sedang
ralit termenung, matanya menangkap kelibat Tuan Ikmal yang sedang duduk di
bangku hiasan, berdekatan deretan pokok bunga hiasan. Gaya macam sedang
menikmati udara nyaman petang itu. Patut ke aku pergi tegur? Tak terasa sangat
janggal ke nanti? Tapi… Hati Iddin berbolak-balik. Ah, kalau bukan hari ni,
bila lagi kan? Betul jugak kata Mak Yam semalam. Takkan selamanya aku nak
mengharapkan pertolongan Mak Yam.
Lalu
Iddin berdiri. Muk yang telah kosong dia angkut sama. Dia menuruni anak tangga
satu demi satu anak tangga. Dia membelok ke dapur. Tangannya mula lincah
mengacau air di dalam dua biji muk. Sesudah itu, Iddin menatang muk tersebut ke
laman hadapan rumah itu. Pelbagai doa dia baca di dalam hati. Nafas ditarik
dalam-dalam sebelum langkah merapati Tuan Ikmal.
“Air,
abi.” Iddin bersuara tiba-tiba. Muk di tangan dia tolak mendekati Tuan Ikmal.
Tuan
Ikmal angkat kepala. Riak wajahnya jelas sekali terkejut. Dia tak tahu sama ada
nak angguk atau nak senyum. Serba-salah pulak dia jadinya.
“Terima
kasih,” balas Tuan Ikmal. Masih terasa canggung di dalam ucapan terima kasih
itu.
Iddin
teguk sekali air dari dalam muk. Sekadar mahu menutup kegugupan diri. Dia tak
tahu macam mana nak mulakan sesi perbualan dengan abinya. Terasa serba tak kena
ni. Err… Nak mulakan dari mana ni?
“Err…
Abi sihat?” Akhirnya keluar juga soalan dari ulas bibir Iddin. Bertanya khabar
bagai sudah lama tak bersua muka. Nama aje duduk serumah tapi hakikatnya mereka
tak sehaluan.
“Hmm…
Sihat.” Sepatah Tuan Ikmal menjawab.
Ruang
antara mereka senyap-sunyi selepas itu. Tuan Ikmal tak tahu nak cakap apa.
Iddin pula sedang mengumpul semangat untuk memberitahu Tuan Ikmal akan hajat
hatinya.
“Abi,
sebenarnya saya ada benda nak cakap dengan abi.” Iddin membuka mulut, memecah
ruang sunyi antara mereka. Tuan Ikmal angkat muka dari muknya. Mata mereka
bertentang.
“Apa
dia?”
“Err…
Saya nak bertunang.” Kata ganti nama saya itu tersangat janggal didengar kan?
Namun apakan daya, hubungan anak dan bapa antara mereka baru mahu terjalin.
“Bertunang?
Dengan siapa?” Jelas sekali Tuan Ikmal sedang terkejut. Anaknya sudah mahu
bertunang? Terasa cepatnya masa berlari. Seakan baru semalam dia melihat
anaknya, Iddin Amsyar lahir ke dunia. Terasa baru beberapa jam lepas dia
melihat isterinya bertarung dengan maut untuk melahirkan anak ini. Dan
isterinya tewas. Dia pergi untuk selama-lamanya.
“Dengan
salah seorang staf IMIA Technology jugak. Web
developer baru kat sana. Nama dia Suriya Anggerik.” Jawab Iddin.
“Oh,
dah lama ke kamu rapat dengan dia? Ceritalah kat abi,” suruh Tuan Ikmal. Dia
senyum kepada Iddin.
Melihat
senyuman abinya, Iddin bagai punya kekuatan luar biasa untuk bercerita kepada
Tuan Ikmal. Barulah dia selesa bercerita segalanya tentang dia dan Suriya
Anggerik. Petang yang tadinya nampak mendung kembali bercahaya dengan cahaya
redup matahari petang. dan petang itu menyaksikan hubungan anak dan bapa yang
renggang selama berbelas tahun kembali bertaut. Semuanya kerana kuasa Allah.
Petang
itu juga Iddin bergelak ketawa dengan Tuan Ikmal. Mereka berdua bagai teman
rapat yang telah lama terpisah. Nampaknya sebaris nama Suriya Anggerik berjaya
merapatkah hubungan mereka anak beranak yang telah lama renggang.
Mak
Yam yang sedang berada di sebalik pintu rumah, mengesat air mata yang mengalir
di pipi. Tak sangka atas saranannya, Iddin mendekati juga abinya. Kesyukuran
dipanjat ke hadrat Ilahi. Semoga hubungan ini terus kekal selama-lamanya.
Doanya di dalam hati. Betapa lamanya seorang anak yang dahagakan kasih sayang
seorang bapa jelas terpancar di wajah Iddin.
SURIYA
berlari anak masuk ke dalam lobi bangunan itu. Dia dah tak hiraukan dengan
mata-mata yang sibuk memandangnya tika itu. Ah, dia dah lambat! Berhenti di
hadapan lif, mulut Suriya ternganga melihat betapa ramainya manusia kat depan
pintu lif. Lif tak terbuka pun lagi tapi yang berkerumun depan tu tersangatlah
ramai. Bila lif nak terbuka ni? Suriya pandang jam dipergelangan tangan. Lagi
lima minit sebelum pukul 9.00 pagi. Aduh! Masak aku!
Ting!
Pintu lif terbuka. Laju Suriya merapati pintu lif. Dia pun nak bersesak sama
dengan yang lain-lain tu. Dia dah tak kira. Yang dia tahu dia nak sampai cepat
ke mejanya sebab dia dah terlewat.
Merahlah kad aku! Rungutnya lagi.
“Aduh!”
Dalam tolak-menolak itu, Suriya terjatuh. Suriya cuba bangun tapi tak berjaya.
Akhirnya pintu lif tertutup dan Suriya hanya mampu pandang saja.
“Cik,
okey ke ni?” Ada satu suara asing bertanya. Suriya angkat kepala. Seorang
lelaki berusia awal lima puluhan sedang mencangkung di sebelahnya.
“Okey
kut.” Balas Suriya. Dia tak pasti dengan keadaan dirinya. Suriya cuba bangun.
Tapi… “Ouch!” Mulutnya berdencit.
Punggungnya kembali memijak lantai. Sakitlah pulak.
“Kaki
awak terseliuh tu. Sekejap saya panggilkan orang.” Lantas lelaki itu berlalu ke
lobi. Beberapa minit kemudian dia muncul dengan dua orang perempuan. Jamsari
dan Kamilia. Dua-dua ni penjaga kaunter penyambut tetamu. Kalau dah dua-dua ada
kat sini, siapa pulak yang jaga kaunter tu? Sempat lagi Suriya berfikir dalam
sakit-sakit tu.
“Kenapa
ni Su?” Jamsari menyoal Suriya.
“Jatuh
sikit tadi,”
“Awak
berdua papah dia. Kita ke klinik ya,” lelaki itu bersuara kepada Suriya.
“Eh,
tak apalah. Saya boleh jalan. Tak payahlah susahkan encik. Saya nak ke meja
saya aje.” Jawab Suriya. Dia dah malas nak jumpa doktor bagai.
“Kalau
macam tu, papah dia masuk lif. Ha, lif dah terbuka tu.” Arah lelaki itu kepada
Jamsari dan Suriya.
“Baik
tuan,”
Jamsari
dan Kamilia mula memapah Suriya. Tuan? Mereka panggil lelaki ni tuan? Mereka kenal
ke dengan lelaki ni? Namun soalan itu hanya berlegar di dalam kepala Suriya.
Sampai saja di mejanya, Suriya pantas berterima kasih dengan Jamsari, Kamilia
dan lelaki itu. Aish! Apa nama lelaki
tu ek? Tak sempat nak tanya lelaki tu
dah menghilang.
“Su,
kenapa Sari dengan Lia papah Su sampai ke atas ni?” Noraini pantas menyoalnya.
Dah nama pun Noraini. Mesti nak korek cerita punya.
“Su
terjatuh depan lif tadi. Terseliuh kut kaki ni,” Suriya urut kaki yang mula
terasa sakit. Mencucuk-cucuk rasa sakit itu.
“Hah?
Macam mana boleh jatuh pulak ni? Teruk tak?” Cemas sekali nada Noraini. Laju
tangannya membelek kaki Suriya.
“Tak
ada apalah kak. Sikit aje ni. Janganlah cemas sangat kak. Saya okey-okey aje
ni.” Suriya senyum dengan kecemasan Noraini. Noraini walaupun nampak kaki
kepoh, tapi dia sebenarnya sangat penyayang. Sangat mengambil berat.
“Okey
apa ni? Akak nampak macam tak okey aje. Jom pergi klinik.” Gesa Noraini.
“Eh,
tak payahlah kak. Saya okey aje. Saya nak duduk aje,” Suriya alihkan tangan
dari kaki. Saja dia nak tunjuk yang kakinya tak sakit. “Kak, nak mintak tolong
sikit boleh tak?” Suriya buat suara merengek.
“Hmm…
Sakit-sakit tu tetap cakap tak sakit. Apa dia?”
“Tolong
buatkan air Milo satu kak. Muk biasa ye,”
Suriya kerdipkan mata. Pandai dia guna cara itu mahu mencairkan hati Noraini.
“Yalah,
yalah.” Noraini berlalu ke pantri.
“ASSALAMUALAIKUM,”
Tuan Ikmal menghulur salam. Dia lihat insan di hadapannya ini tekun sekali
menghadap kerja.
“Wa’alaikumussalam.
Eh, abi!” Iddin terkejut. Tak pernah-pernah Tuan Ikmal melawat pejabat ini.
Tiba-tiba aje muncul hari ni. Mau tak
terkejut dia. Dia bangun.
“Duduk,
abi.” Iddin persilakan abinya duduk. “Abi nak coffee or tea?”
“Eh,
tak apa. Tak payah susah-susah. Abi sekejap aje ni.” Larang Tuan Ikmal. Tangan
Iddin yang mahu menekan interkom berhenti mendadak.
“Betul
ni?”
“Yes. Abi ada appoiment dengan client
sekejap lagi. Saja aje singgah kat sini sekejap. Hmm… Yang mana satu bakal
menantu abi?” Tuan Ikmal terus kepada sebab kenapa dia ada dipejabat ini.
Memang itu yang dia cari-cari tadi. Wanita yang telah berjaya mencuri hati anak
terunanya.
“Err…
Dia ada kat luar sana.” Gagap pulak Iddin jadinya. Mendadak aje abinya datang
ke pejabat ni semata-mata mahu melihat yang mana satu bakal tunangnya. Terlebih
teruja pulak abi aku ni. Gumamnya di dalam hati.
“Yang
mana satu? Ramai staf perempuan kat luar sana.”
Iddin
menyelak sedikit langsir yang menutupi cermin biliknya.
“Abi,”
panggil Iddin. Tuan Ikmal merapati anaknya. “Yang pakai baju kurung biru tu,”
beritahu Iddin.
“Eh,
yang baju biru tu? Betul ni?” Soalan Tuan Ikmal seakan pelik di telinga Iddin.
“Haah,
kenapa abi?” Iddin kerut kening.
“La…
Dia nilah yang abi tolong sekejap tadi. Dia terjatuh kat depan lif. Lepas tu
abi ingat nak bawa dia ke klinik tapi dia cakap kaki dia okey. Dia nak abi
hantarkan ke meja dia aje. Abi pun suruh Sari dengan Lia naik ke atas ni. Tak
tahu pulak tulah bakal menantu abi. Tak sangka pulak itulah Suriya Anggerik.”
Terang Tuan Ikmal.
“Dia
teruk tak abi?” Serius Iddin tengah risau.
“Hei,
cool la. Dia tak apa-apa. Paling
teruk pun kaki dia terseliuh.” Tuan Ikmal tepuk bahu Iddin. Risau sangat.
“Oh,”
Iddin bersuara lega.
“Din,
abi kena pergi dulu. Dah pukul 10.00 ni,” kata Tuan Ikmal. Dia tepuk bahu Iddin
beberapa kali sebelum berkata. “Abi setuju dengan pilihan Din, jaga dia
elok-elok.”
Iddin
anggukkan kepala lambat-lambat. Dia fikirkan kembali setiap kata abinya. Jaga
dia elok-elok? Kenapa abi cakap macam tu? Haih. Pening aku.
“TUAN,”
Noraini tundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat kepada ayah kepada
bosnya itu. Tuan Ikmal senyum kepada Noraini.
Suriya
pandang pelik ke arah Noraini. Tadi Jamsari dan Kamilia yang panggil lelaki ni
tuan. Sekarang Noraini pulak yang panggil tuan. Siapa sebenarnya dia ni ek? Orang penting dalam syarikat ke?
Hati Suriya menyoal bertalu-talu.
“Nanti
kalau tak okey jugak kaki awak tu, awak minta Iddin hantarkan ke klinik ya,”
kata lelaki itu kepada Suriya.
“Hah?
Ya, ya.” Gugup campur terkejut Suriya membalas. Lelaki tu panggil bos besar sebgai
Iddin aje? Macam ada ikatan aje mereka ni.
“Okeylah,
saya pergi dulu ya Suriya, Noraini.” Kata lelaki itu sebelum berlalu.
Dia
panggil aku apa? Suriya kan? Dia tahu nama aku? Eh, macam mana pulak dia tahu
nama aku tapi aku tak tahu pun nama dia. Konfius, konfius.
“Kak,
siapa dia tu?” Suriya tarik tangan Noraini.
“Dia
tu? Takkan Su tak kenal. Dia tahu nama Su tadi tu, takkan Su tak kenal dia.”
Noraini jadi pelik pula.
“Sungguh
tak. Su langsung tak kenal dia tu.” Suriya sungguh-sungguh gelengkan kepala.
“Haih,
kesian adik akak ni. Su, dia tu ayah Encik Iddin. Dia adalah pemegang syer
terbesar dalam syarikat ni. Syarikat dia bukan yang ni saja. Dia ada sebuah
syarikat hartanah, syarikat perumahan dan beberapa buah kilang.” Beritahu
Noraini. Suriya terdiam sekejap. Kelu lidahnya kerana maklumat baru ini.
“Ayah
Encik Iddin?” Maknanya bakal bapa mertua aku? Sambungnya di dalam hati. Aduh!
Macam mana aku tak tahu dan tak kenal ni? Suriya rasa nak hantuk kepala kat
dinding aje.
“Yalah.
Apasal dengan Su ni?”
“Sebenarnya
kak, dialah yang tolong Su tadi masa Su terjatuh kat depan lif.” Suriya membuka
cerita.
“La…
Ya ke?”
“Haah.
Eh, tapi kenapa sebelum ni Su tak pernah pun nampak dia?”
“Dia
tak selalu ada kat sini. Dah lama rasanya dia tak datang ke sini. Biasalah,
ahli perniagaan berjaya. Syarikat pun banyak. Jadi, mestilah dia sibuk. Haih,
untunglah siapa yang dapat jadi menantu dia.” Noraini sudah berangan ke bulan.
“Kenapa
pulak untung?”
“Mana
tak untungnya. Anak dia, Encik Iddin sorang tu aje. Harta pula banyak. Kalau
Tuan Ikmal meninggal, harta dia pasti jatuh kepada Iddin jugak.
Senang-lenanglah hidup. Makan tujuh keturunan pun tak habis!” Bersungguh
Noraini bercerita.
“Hisy!
Ada ke situ pulak. Dah-dah, sambung kerjalah kak.”
“Hmm…
Akak sambung kerja dululah.” Noraini berlalu ke mejanya. Tinggallah Suriya yang
masih dibelenggu persoalan.
Jadi
aku ni beruntung ke? Beruntung seperti mana kata Kak Ani?
BAB
29
WAKTU
balik! Suriya terasa mahu bersorak aje. Siapa tak suka bila tiba waktu balik
kerja kan? Suriya mula berkemas segala barang-barangnya. Kebiasaannya malam
baru Suriya balik kerja tapi hari ni dia nak balik awal. Perancangannya nak
singgah kat klinik sekejap petang ni. ni ha kaki dia macam kurang sihat lagi
aje. Berdenyut semacam apabila kaki memijak lantai. Masa rehat tengah hari tadi
terpaksa dia suruh Noraini tapaukan makanan.
“Su,
dah nak balik ke?” Noraini menyoal.
“Haah
kak,”
“Boleh
jalan tak ni?” Noraini masih risaukan Suriya.
“Err…
Boleh kut. Saya cuba.”
Perlahan-lahan
Suriya bangun. Dia cuba berdiri. Tapi cuma untuk beberapa saat saja. Kakinya
kembali mencucuk sakit. Lantas punggungnya kembali mendarat di atas kerusi.
“Allah!”
Spontan mulutnya menyebut.
“Kenapa?
Kenapa? Sakit lagi? Ha… Orang suruh pergi klinik tak nak. Degil! Sekarang macam
mana nak balik ni?” Soalan bersama bebelan keluar dari mulut Noraini. Dia risau
sangat dengan Suriya ni. Noraini pandang bilik bos mereka. “Akak panggil Encik
Iddin ya,” katanya selepas itu.
“Eh,
tak payahlah kak. Saya okey.” Halang Suriya. Dia tak naklah sampai Iddin yang
kena hantar dia lagi. Nanti apa pula kata pekerja lain. Nampak sangat Iddin
hanya ambil berat kat dia sorang.
“Okey
apanya macam ni? Dah-dah. Jangan nak melawan, akak panggil Encik Iddin.” Belum
pun sempat Suriya menghalang, Noraini lebih dulu mengatur langkah ke bilik
Iddin. Aduh! Aku punyalah nak mengelak, tapi akhirnya bertembung jugak. Hisy
Kak Ani ni!
“Mana
kaki yang sakit tu?” Iddin yang baru muncul terus menyoal Suriya.
“Err…
Tak apa-apa. Sikit aje ni.” Jawab Suriya. Dia pandang Noraini. Mahu minta belas
kasihan dari Noraini. Dia tak nak ke klinik dengan Iddin.
“Cuba
bangun.” Tegas Iddin menyuruh.
“Err…”
Suriya tak tahu nak ikut arahan itu atau tak.
“Tunggu
apa lagi. Bangunlah. Tadi cakap okey.” Ton suara Iddin masih sama. Gerun pulak
Suriya rasa. Gerun sebab dia buat salah. Sakit tapi cakap tak sakit. Mana kawan
tu tak berangin.
Suriya
pegang meja untuk berpaut. Dia bangun dan cuba berdiri. Mamat ni nak sangat
tengok dia berdiri kan, jadi dia berdiri. Dan reaksinya sama seperti tadi.
Kakinya sakit.
“Dah,
tak payah nak paksa diri. Kalau sakit tu cakaplah sakit. Kak, tolong papah di
ke bawah. Saya nak pergi ambil kereta kat parking
lot.” Dalam mengomel, Iddin memberi arahan kepada Noraini.
“Okey,”
balas Noraini.
“Mana
beg awak?” Iddin soal Suriya.
“Ini,
encik.” Noraini pula yang rajin tolong jawabkan. Iddin angkut beg Suriya dan
berlalu dari situ. Suriya dari tadi hanya mampu pandang. Dia tak ubah seperti
pemerhati tak bergaji. Nak melawan takut kena tengking pulak.
“Jom.
Nanti lama pulak Encik Iddin tunggu.” Gesa Noraini.
“Kak,
saya tak nak pergi klinik.” Suriya merengek dengan Noraini.
“Eh,
takde-takde. Jom, cepat. Encik Iddin
dah tunggu tu.” Noraini dah malas nak layan rengekkan Suriya.
“Nampak
sangat akak tak sayang saya,” Suriya berkata sambil cuba bangun.
“Kalau
akak tak sayangkan kau, dah lama akak biarkan kau kat sini. Eh, tak kuasa aku
nak layan kau. Ni akak risaukan kau maknanya akak sayangkan kaulah. Itu pun
jadi hal.” Bebel Noraini. Dia paut lengan Suriya, membantu Suriya berjalan.
Sampai
depan pintu masuk bangunan, kereta Iddin sudah menanti di situ. Masuk ke dalam
kereta, seperti biasa, tak ada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut
mereka. Nak bertunang kalau begini gayanya? Hancur komunikasi antara mereka.
USAI
pemeriksaan di klinik, Iddin menghantar Suriya balik ke rumahnya. Di dalam
kereta semasa perjalanan balik, mereka masih berdiam diri. Dua-dua bagai sudah
tiada modal untuk berborak. Macam mana nak berborak kalau mereka sebelum ni tak
pernah pun duduk bersembang satu meja. Tak pernah!
Mata
memandang ke jalan raya tapi fikiran Suriya telah menerawang teringatkan perbualannya
dengan doktor tadi. Iddin membawanya berjumpa dengan Doktor Intan Zahara.
“Kali
ni sakit apa pulak ni?”
“Kaki
dia terseliuh, doc.” Jawab Iddin.
“Oh,
saya ingatkan dah ada isi. Manalah tahukan.” Ada isi? Muka Suriya sudah
berbahang menahan malu. Aku tak kahwin lagilah dengan mamat ni! Suriya terasa
nak menjerit begitu. Biar doktor itu tahu akan perkara sebenar. “Terseliuh?
Macam mana boleh jadi terseliuh ni?” Tanya doktor itu lagi.
“Dia
jatuh depan lif tadi,” Iddin juga yang menjawab. Iddin ni dah jadi macam
jurucakap Suriya pulak. Macamlah Suriya tak ada mulut. Suriya gigit bibir
bawah.
“Duduk
sini, saya nak tengok.” Arah Doktor Intan Zahara.
Suriya
akur dan doktor itu mula menjalankan tugasnya. Pelbagai nasihat yang diberikan
kepada Suriya supaya lebih berhati-hati selepas ni. yalah, baru ni kaki tu dah
cedera kerana tertusuk kaca. Hari ni terseliuh pula. Haih, Suriya, Suriya.
“EHEM!”
Bunyi deheman itu mengejutkan Suriya. Pantas dia tersedar dari lamunan
panjangnya.
Dia
pandang keluar tingkap. Dah sampai ke? Tapi… Kat luar sana hujan. Macam mana
nak turun ni? Dengan kaki berbalut, takkan nak redah hujan. Suriya gelisah di
tempat duduknya.
“Err…
Encik, ada payung tak?”
“Payung?
Sekejap.”
Iddin
pusingkan sedikit badannya agar dapat tangannya mencari sekaki payung yang
diminta oleh Suriya itu. Inilah pertanyaan yang Iddin nantikan keluar dari
mulut Suriya. Dia tahu kat luar sana hujan. Dan dia tahu Suriya tak akan redah
hujan kerana kakinya yang masih berbalut itu.
Suriya
sesak nafas tiba-tiba. Sesak nafas kerana minyak wangi yang Iddin gunakan.
Jarak antara mereka tersangatlah dekat tika itu kerana Iddin sedang mencari
payung yang dia minta itu. Jumpa sahaja payung yang dicari, Iddin terus
melangkah keluar dari kereta. Pintu bahagian penumpang dia buka dan beg kerja
Suriya dia sangkutkan ke bahu. Kemudian barulah dia buka pintu sebelah Suriya
perlahan.
“Boleh
jalan tak ni?” Iddin bertanya.
“Boleh
kut.” Kalau tak boleh pun dia akan buat-buat boleh.
Iddin
setia memegang sekaki payung dan memayungi mereka. Nama saja berpayung, tapi
mereka tetap basah. Payung kecil macam tu manalah muat untuk dua orang
berteduh. Iddin mengikut langkah Suriya yang sangat perlahan. Nak pegang tak
boleh. Nanti tak pasal-pasal ada yang buka silat, tak ke naya aje dia.
Pintu
pagar ditolak perlahan. Mereka melangkah lagi. Entah di mana silapnya. Mungkin
kerana lantai di hadapan pintu pagar itu licin akibat hujan, maka Suriya seperti
hilang imbangan diri. Cepat-cepat Iddin memainkan peranan. Laju aje dia sambar
lengan Suriya, mengelak dari jatuh. Kalau jatuh takut kaki Suriya makin teruk.
Manalah tahu nanti tulang kaki patah atau retak. Dan akhirnya Suriya jatuh
menghempap tubuh Iddin.
Aduh!
Iddin mengaduh di dalam hati. Tak macholah
cakap sakit depan Suriya. Boleh tahan berat jugak Anggerik ni. Omelnya di dalam
hati.
“Su!”
Satu suara menjerit ke arah mereka berdua. Suriya apa lagi, laju aje dia bangun
dari terus menindih tubuh Iddin. Mukanya jangan ditanya warna apa tika itu.
Sudah bertukar, seperti dia baru saja makan cili merah yang sangat pedas!
“Kenapa
sampai jatuh ni?” Rozairul menyoal.
“Tergelincir
tadi, lantai licin.” Jawab Suriya.
“Eh,
kau dah basah Amsyar.” Rozairul bersuara lagi apabila dia lihat baju Iddin
sudah basah kuyup.
“Tak
apa, sikit aje ni. Aku pun dah nak balik ni.” Iddin hulur beg kerja Suriya kepada
Rozairul. “Okeylah, aku balik dulu.” Iddin meminta diri.
“Terima
kasih, encik.” Baru kini mulut Suriya bersuara.
“Sama-sama.”
Suriya hanya mampu pandang Iddin yang berlalu ke keretanya. Selepas kereta
Iddin berlalu pergi, Suriya perlahan-lahan melangkah untuk masuk ke dalam
rumah.
“Eh,
kenapa dengan kaki Su tu?” Baru Rozairul tersedar akan keadaan kaki Suriya
apabila melihat adiknya susah sekali untuk berjalan.
“Err…
Kita masuk dululah. Cerita kat dalam.” Jawab Suriya sambil masuk ke dalam
rumah.
“Su.”
Sejurus dapat duduk di atas sofa, ada suara lain pula yang menegur Suriya. Suriya
angkat kepala.
“Ateh!”
Dia menjerit spontan. Dia nak aje berlari mendapatkan kakak angkatnya itu tapi
dia sedar diri. Dengan kaki macam ni, jangan haraplah dia nak berlari. Nak
berdiri pun hanya Allah saja yang tahu rasa sakit tu.
“Eh,
kenapa kaki tu?” Ateh atau nama betulnya, Farah, bertanya sejurus duduk di
sebelah Suriya.
“Haah,
kenapa kaki tu? Takkan kena kaca lagi.” Belum pun sempat Suriya menjawab soalan
Farah, Rozairul pula menyoalnya.
“Err…
Su jatuh kat ofis tadi.”
“Jatuh?
Macam mana boleh jatuh pulak ni?” Serentak Farah dan Rozairul menyoal Suriya.
Nampakkan mereka benar-benar risaukan Suriya. Amat ambil berat akan Suriya.
“Pagi
tadi Su sampai lewat kat ofis sebab ada accident
atas highway tadi. Bila dah sampai
lewat tu, dalam duk kejar-kejar nak masuk dalam lif, masa tulah Su jatuh.”
Cerita Suriya.
“Teruk
tak tu?” Mata Rozairul sudah mendarat pada kaki Suriya yang berbalut.
“Err…
Doc cakap terseliuh sikit aje. Sehari
dua lagi eloklah ni.” Beritahu Suriya. “Eh, ateh bila sampai? Rinduuuu sangat
dengan ateh!” Ungkap Suriya sambil peluk bahu Farah di sebelah. Dia nak alihkan
topik perbualan sebenarnya. Dah malas dia nak layan soalan pasal kakinya ini.
“Ateh
pun rindu sangat dengan Su. Lama dah tak jumpa Su. Ateh sampai petang tadi. Wan
yang jemput ateh kat stesen bas.” Beritahu Farah.
“Ooo…
Eh, tapi kenapa ateh datang Kajang? Ateh dapat kerja ke?”
“Kenapa?
Kena tunggu ateh dapat kerja baru ateh dapat lawat adik kesayangan ateh ni ke?
Salah ke ateh ak melawat Su?” Farah memperli Suriya.
“Tak
adalah macam tu. Su tak kata pun salah. Tapi ateh datang mendadak macam ni.
Manalah Su tak terkejut.”
“Hmm…
Papa yang suruh ateh datang ke sini,” beritahu Farah.
“Papa
suruh datang? Kenapa?” Suriya tertanya-tanya. Kenapa papa hantar ateh ke sini?
Untuk pujuk aku ke?
“Laa…
Su kan nak bertunang. Papa suruh ateh teman Su. Manalah tahu Su nak cari barang
ke apa ke. Bila ateh ada kan senang.”
“Oh,
macam tu. Kerja ateh kat sana macam mana?”
“Ateh
dah berhenti.”
“Hah?
Berhenti? Kenapa pulak?”
“Ateh
boringlah dengan kerja tu. Kaki ampu
ramai sangat. Eh, dahlah tu. Pergi naik atas. Awak tu basah kena hujan. Naik,
mandi. Jangan tak mandi pulak. Nanti tak pasal-pasal demam. Siapa yang susah? Kami
jugak yang susah.” Pesan Farah.
“Hmm…
Yalah, yalah.” Suriya bangun.
“Eh,
boleh berjalan tak ni?”
“Boleh,
boleh.” Lepas dah kena urut dengan doktor, Suriya dah boleh berjalan
sikit-sikit. “Ateh, kalau Su nak tidur sebilik dengan ateh boleh tak malam ni?
Macam dulu-dulu kat rumah papa.” Tiba-tiba Suriya meminta dengan Farah.
“Boleh,
sayang.” Farah senyum ke arah Suriya.
“Okey,
terima kasih ateh!” Girang suara Suriya.
Farah
hanya memandang Suriya yang sedang mendaki tangga. Terbayang di ruangan matanya
Suriya versi anak-anak. Terasa rindu sekali dengan Suriya versi itu. Yang
sangat gembira ke sana ke mari. Bagai tak pernah punya masalah. Namun sejak
beberapa tahun kebelakangan ini, Suriya sudah bertukar. Bertukar menjadi Suriya
versi pendiam. Yang tak banyak cakap.
“Wan,
ateh naik dulu ya.” Kata Farah kepada Rozairul sebelum dia angkat punggung.
BAB
30
“MORNING!” Masuk aje ke dapur, Suriya mengungkap
selamat pagi.
“Assalamualaikum,
Su.” Pantas disahut oleh Farah.
“Err…
Wa’alaikumussalam. Hehehe…” Jawab Suriya sambil tersipu-sipu. Terasa diri
disindir. “Ateh masak apa ni? Sedapnya bau!” Suriya sudah menyibuk menjenguk
masakan di atas dapur.
“Ateh
masak spageti untuk breakfast pagi
ni. Eh, kaki dah okey ke?”
“Dah
okey sikit.” Suriya cuti hari ni. Lepas jumpa doktor kelmarin, dia dapat MC dua
hari. Semalam dan hari ni. Esok dah kena masuk kerja. Apabila diri dah terbiasa
dengan cuti dan cuti, maka diri jadi malas nak masuk kerja esok.
“Jadi
ke nak keluar hari ni?” Farah menyoal sambil menutup api dapur. Kuah spageti
dah masak. Sekarang, pindahkan ke dalam bekas untuk dihidang di atas meja
makan.
“Keluar?
Nak pergi mana?” Tangan Suriya yang tadi ligat mengeluarkan pinggan dan sudu
berhenti bekerja.
“La…
Cari barang-barang Su la. Su kan nak bertunang. Kenalah cari barang-barang
hantaran,” jawab Farah.
Bertunang?
Aku nak bertunang? Suriya soal diri sendiri. Langsung tak ada gaya orang nak
bertunang. Dia rasa biasa aje. Tak ada langsung rasa gembira macam mana orang
lain rasa gembira nak bertunang tu. Haih.
“Kita
buat kecil-kecil aje kan ateh. Kenapa nak beria-ia cari barang bagai ni?”
“Memanglah
kecil-kecil tapi barang-barang kat atas dulang hantaran tu nak juga kena cari.
Takkanlah bila orang sebelah sana datang bawa hantaran, kita nak balas dengan
senyuman aje. Lepas tu mereka balik dengan langkah kosong? Macam tu? Itu tak
beradab namanya. Hisy dia ni. Selalu ambil mudah perkara macam ni.” Jawab Farah
sambil bawa bekas berisi kuah spageti ke meja makan. Suriya ikut langkah Farah
sambil bawa pinggan dan sudu di tangan.
“Oh,”
hanya itu balasan Suriya.
“So, pukul berapa nak keluar?” Farah
menyoal.
“Hmm…
Pukul 10.00 pun okey. Su ikut aje.” Jawab Suriya macam orang tak ada perasaan.
Entahlah. Mood dia hilang terus
apabila perkara berkaitan tunang ini dibangkit. Suriya tarik kerusi dan duduk.
Dia termenung di situ sambil merenung kuah spageti.
“Hei,
apa termenung depan makanan ni?” sergah Rozairul tiba-tiba. Terhinjut bahu
Suriya kerana terkejut.
“Apa
along ni! Suka sergah orang macam tu.” Marah Suriya. Dia memang tak suka cara
alongnya main sergah macam tu.
“Habis
tu, pagi-pagi dah termenung depan makanan. Tak eloklah. Nanti rezeki tu lari
baru tahu.” Rozairul tarik kerusi dan duduk.
“Apa
bising-bising ni? Tak bergaduh tak sah kau orang ni.” Farah menyampuk sambil
menatang set cawan dan teko air.
“Along
ni ha. Suka sangat sergah Su.” Suriya mengadu kepada Farah.
“Eleh,
ada ateh, bolehlah dia buat manja. Kalau tak, biasa-biasa tu okey aje Wan sakat
dia.” Balas Rozairul membela diri sendiri.
“Dah,
sudah. Depan makanan pun nak bergaduh. Macam budak-budak.” Rungut Farah sambil
mengisi spageti ke dalam pinggan Rozairul. “Wan, dalam pukul 10.00 nanti hantar
ateh dengan Su ke bandar ya. Kami nak cari barang hantaran tunang Su nanti.”
Beritahu Farah kepada Rozairul.
“Ateh
nak pergi bandar mana? Kajang ke Shah Alam?” Rozairul laju menyoal sebelum
mulutnya penuh dengan spageti itu.
“Mana
yang lagi okey?” Sebenarnya Farah pun kurang arif dengan persekitaran negeri
itu. Yalah, tempat orang.
“Kalau
nak banyak pilihan, kita pergi ke Shah Alam. Kat sana memang banyak pilihan.
Atau kita ke KL terus. Jalan TAR, pun banyak pilihan. Kat Kajang ni kedai
kecil-kecil ajelah. Takut tak ada barang yang ateh nak tu.” Ujar Rozairul.
“Apa
pulak barang yang ateh nak, bukan ateh yang nak bertunang.” Farah ketawa
mengekek. Rozairul senyum. Sedar yg dia tersilap cakap. “Hmm… Ateh rasa kita ke
Shah Alam sudah. Kalau nak kahwin nanti baru kita ke KL. Ni baru bertunanglah
Wan. Kita buat pun ringkas aje.” Balas Farah selepas berfikir sejenak. “Su,
macam mana?” Dia menyoal Suriya pula.
“Hah?
Macam mana apa?” Sah! Tengah berangan tadi.
“Ateh
cakap kita ke Shah Alam dah la. Su pulak ada cadangan lain ke? Time macam ni pun sempat berangan lagi.”
Sempat Farah merungut. Nampak sangat yang Farah lebih bersungguh dari tuan
empunya badan yang nak bertunang.
“Err…
Su ikut je.”
“Okey,
kalau macam tu kita ke Shah Alam saja. Senang.” Putus Farah. “Eh, Su dah minta
cuti ke belum?” soalan Farah terarah kepada Suriya.
“Cuti?
Kenapa pulak?” Suriya jongket kening.
“Laa…
Eh, orang nak bertunang kenalah minta cuti. Lagi pulak bukannya Su nak
bertunang kat sini. Su bertunang kat kampung. Kurang-kurang tiga empat hari
jugak kena mohon cuti. Itu pun ateh kena ajar ke?” Suriya buat muka. “Ni mesti
tak minta cuti lagi kan? Tengok muka pun ateh dah tahu.” Ujar Farah. Susah
betul ada adik sorang ni.
“Dik,
tak minta cuti lagi?” Rozairul pula menyoal.
“Belum.”
“Bila
nak mintanya? Esok, masuk kerja terus isi borang cuti. Nanti ikut ateh balik
Terengganu.” Putus Farah. Dia dah malas nak dengar alasan demi alasan dari
Suriya.
“Tapi…”
“No tapi-tapi. Esok minta cuti.” Tegas
nada Farah.
“Hmm…
Yalah, yalah.”
Selepas
itu mereka menikmati sarapan pagi sambil bercerita tentang itu dan ini. Suriya
tertinggal banyak perkembangan di Terengganu.
SEMENTARA
itu, di pejabat IMIA Technology. Iddin gelisah semacam. Sudah dua hari dia tak
pandang wajah itu. Entahkan sudah sihat ke belum dia di sana. Hatinya berdetik.
“Hachum!” Iddin terbersin. Inilah akibat
daripada berhujan dua hari lepas, dia selsema. Tapi berbaloi apa. Dapat jugak
dia selamatkan Suriya. Kalau tak, mesti kaki perempuan pujaan hatinya makin
teruk.
“Bos,”
panggilan itu mematikan angan Iddin.
“Hmm…
Ada apa Bad?”
“Ni
ada beberapa keping cek yang perlukan tandatangan bos.” Badrul hulur cek yang
dikatakan tadi.
“Hachum!” Iddin bersin lagi. Merah hidung
itu akibat selsema. “Nah!” Siap tandatangan semua cek itu, Iddin berikan
kembali kepada Badrul.
“Terima
kasih, bos.”
“Sama-sama.”
“Err…
Bos,” panggil Badrul tiba-tiba.
“Ya?”
Iddin angkat kepala dari memandang kerjanya.
“Bos
tak sihat ke?”
“Sikit
je ni. Terkena hujan semalam.”
“Nanti
pergilah klinik, bos. Takut melarat aje.” Pesan Badrul sebelum berlalu keluar. Iddin
hanya sempat senyum dengan keperihatinan Badrul.
Di
ruang mata Iddin sudah terbayangkan sebaris nama itu. Siapa lagi kalau bukan
bakal tunangnya. Tak sangka, hubungan mereka memang dingin tapi Suriya masih
sudi menerima dia sebagai tunang. Iddin keluarkan Galaxy Note II dari poket
seluarnya. Jarinya laju mencari nombor telefon yang dia simpan sebagai My Love. Jumpa saja nama itu, dia terus
tekan ikon mesej dan jari mula laju menaip di atas skrin telefon. Mesej
dihantar. Bibir masih dengan senyum panjang.
“Amboi!
Senyum panjang sampai ke telinga. Macam orang menang loteri. Apa hal kau ni?”
Satu suara menyergah Iddin tiba-tiba. Terkejut beruk Iddin jadinya.
“Kau
bila sampai? Masuk bilik aku tu tak pandai nak ketuk pintu ke?” Balas Iddin.
Sengaja dia seriuskan muka.
“Eleh,
suruh aku ketuk pintu. Dah naik kematu tangan aku ni duk ketuk pintu bilik kau. Nasib tak roboh aje pintu tu aku
kerjakan. Kau dah sampai ke mana ni? Ke bulan? Atau pun ke bintang? Ha?”
Shahrul menyoal lagi. Selamba badak aje dia duduk di atas kerusi yang tersedia.
“Amenda la bulan bintang ni? Aku ada kat
bumi ni lagi.”
“Yalah
tu. Gaya macam dah sampai langit ketujuh. Kau…”
“Hachum!” Ayat Shahrul mati kerana Iddin
yang terbersin tiba-tiba. Tangan Iddin laju mengeluarkan sapu tangan dari poket
seluarnya.
“Hei,
kau apasal? Tak sihat ke?” Shahrul menyoal. Hilang terus ayat yang mahu dia
luahkan tadi.
“Selsema
sikit.” Jawab Iddin.
“Selsema?
Macam mana pulak boleh kena selsema ni?”
“Aku
terkena hujan semalam.”
“Dah
tahu diri tu alah dengan hujan yang kau gatal mandi hujan tu kenapa? Saja cari
penyakitlah kau ni.” Bebel Shahrul.
“Bukan
aku mandilah. Suka-suka hati kata aku macam tu. Aku tolong orang kelmarin,
sebab tu terkena hujan.” Beritahu Iddin.
“Oh,
baik hatinya sepupu aku ni. Tolong orang dalam hujan. Orang tu tak apa-apa, kau
pulak yang kena selsema.” Perli Shahrul.
“Hmm…
Apa hal kau datang jumpa aku ni?” Iddin dah malas nak layan bebelan Shahrul
pasal dia yang sedang selsema ini.
“Jom
keluar makan.”
“Itu
aje? Sekadar nak ajak aku keluar makan? Dah lari ke semua aweks kau?” Sindir Iddin.
“Ah,
boring aku layan mereka semua tu. Perabihkan boreh yo.”
“Tau
pun. Yang kau layan jugak tu kenapa? Sengaja cari penyakit.”
“Eh,
kau nak ikut aku ke tak ni? Malaslah aku nak dengar ceramah kau.” Sedikit
memprotes nada Shahrul itu.
“Yalah,
yalah.” Iddin mengemas mejanya sebelum ikut langkah Shahrul.
BUNYI
mesej masuk ke dalam telefon bimbit Suriya semasa dia sedang ralit memilih
barang-barang hantaran tadi. Nak keluarkan telefon dari dalam beg silang tak
boleh sebab tangannya sedang penuh dengan plastik berisi barang yang dibeli.
Ini semua cadangan Farah. Dia bukannya tahu apa-apa pun.
“Ateh,
kita berhenti minum dulu boleh tak?” Suriya menyoal Farah. Kakinya dah terasa
lenguh semacam. Inilah akibatnya jika membeli-belah dengan Farah.
“Hmm…
Boleh juga. Kat mana Su?”
“Mana-manalah
ateh.”
“Hmm…”
Farah melilaukan mata mencari restoran yang sesuai. “Kita masuk kat sanalah.”
Farah menunjuk ke arah restoran Mc Donald.
Suriya
hanya mengikut. Dapat aje duduk kat atas
kerusi, dia terus meluruskan kakinya. Lenguh sangat! Dia hanya membiarkan Farah
membuat pesanan di kaunter. Oh, dia sangat tak larat nak beratur kat kaunter.
“Su,”
“Hmm…”
Suriya pantas mencapai air yang Farah hulurkan dan terus menyedut laju.
“Ateh
nak tanya. Lelaki yang hantar Su kelmarin tu siapa?” Soalan itu memang sudah
lama berlegar di dalam fikirannya. Sengaja dia pendam kerana mahu mencari masa
yang sesuai.
Erk!
Terasa air yang mahu keluar kembali air yang dia sedut masuk tadi.
“Err…
Dia, dia bos Su.” Hanya itu yang terlintas di kepalanya.
“Bos?
Bukan dia ke yang nak bertunang dengan Su?”
“Hmm…
Dialah.”
“Oo…
Orang yang sama rupanya.” Sambut Farah.
“Ateh,
Su nak tanya sikit boleh tak?”
“Apa
dia?” Farah gigit sedikit Big Mac yang dia pesan tadi.
“Err…
Kenapa ateh tak kahwin lagi?” Bukan Suriya tak tahu. Farah pernah bertunang
beberapa tahun lepas tapi hubungan itu tak panjang kerana bekas tunang Farah
terlibat dengan benda terlarang. Lepas dari tu, dia tak pernah nampak Farah
punya teman lelaki.
“Belum
sampai jodoh kut.” Selamba Farah menjawab. Dia dah kalih benar dengan
soalan-soalan begini. Bagi dia, dia percaya pada jodoh. Jika Allah belum
memberikan jodoh buatnya maka dia perlu terus bersabar. Semua ini urusan yang
di atas.
“Takkan
ateh langsung tak ada special boyfriend?”
“Nak
buat apa ada boyfriend kalau kita
asyik makan hati dengan mereka? Hati ateh dah tawar dengan semua ni. Apa yang
ateh tahu, ateh berserah semuanya kepada Allah. Biar dia tentukan siapa jodoh
ateh.” Jawab Farah tentang pendiriannya kini.
Suriya
diam. Betul juga apa yang ateh cakap tu. Kata hatinya. Lagi sakit kalau kita
dijodohkan dengan orang yang salah. Akhirnya bercerai juga.
“Ateh
tak berkenan ke dengan along Su tu? Dia single-mingle
lagi.” Suriya ketawa perlahan dengan kata-katanya. Spontan dia menyoal Farah.
Terkedu Farah mencari jawapan.
“Apa
Su ni? Ateh lagi tua dari alonglah. Mana padan.” Sanggah Farah. Muka dia dah
bertukar warna sedikit demi sedikit.
“Alah
tua beberapa bulan aje. Ateh bulan dua, along bulan enam. Tua empat bulan aje
la ateh. Orang lain tua sampai berpuluh tahun okey aje.” Suriya sudah pandai
sekarang. Pandai kenenkan alongnya
dan Farah. Suriya senyum penuh makna.
“Hisy,
ada-ada aje dia ni. Dah-dah. Banyak cakap pulak. Dah sudah ke belum ni?” Sengaja
Farah memusingkan topik.
“Nak
pergi mana pulak?”
“Ada
sikit lagi barang tak cukup ni.” Kata Farah sambil membelek beberapa plastik
berisi barang-barang yang dibeli tadi.
“Ala…
Dah tak larat ni ateh.” Rungut Suriya. Dah memang dia tak larat.
“Eh,
jangan nak banyak bunyi. Cepat. Kita cari sikit lagi barang. Selebihnya kita
beli kat Terengganu. Dia yang nak bertunang, ateh pulak yang sibuk-sibuk. Macam
ateh aje yang nak bertunang. Semangatlah sikit, Su.” Bebel Farah.
“Yalah,
yalah.” Suriya akur dalam terpaksa.
MATA
Iddin ralit sekali memandang ke arah satu sudut. Ada sesuatu yang menarik
perhatian matanya. Khusyuk sekali dia memandang ke arah itu. Sampai tak
berkelip matanya.
“Hoi!
Kau pandang apa?” Sergah Shahrul sambil tangan meletak talam berisi pesanan
mereka. Ajak makan punyalah bersemangat. Alih-alih, makan kat McD aje.
“Hah?
Mana ada. Sibuklah kau ni.” Iddin menafikan kata-kata sepupunya.
“Eleh,
dah nampak terang-terang pun nak nafikan lagi.”
“Mana
BicMac aku?”
“Dia
orang hantar nanti. Lambat sikit siap.” Kata Shahrul. “Eh, kau pandang minah tu
tadi kan?” Shahrul masih mahu mengorek cerita sebenar dari Iddin. Pertama kali
keluar makan dengannya Iddin berkelakuan begini. Sangat asyik memandang
perempuan. Sebelum ni tak pernah okey. Jangan kata nak tenung lama-lama. Nak
pandang perempuan pun Iddin tak pernah.
“Tak
ada siapa-siapalah.” Dalih Iddin lagi. “Eh, dahlah. Makan. Aku nak balik ofis
pulak ni.” Iddin mengalihkan topik berbualan antara mereka.
“Alasan!”
Sambil
makan, sambil itu mata Iddin mencuri pandang ke sudut tadi. Eh, dah tak ada.
Tak sedar pulak entah bila perempuan yang diintai tadi berlalu dari situ. Iddin
mengeluh hampa. Ini semua salah Shahrul.
memandangkan ini n3 terakhir, akan rindulah kpd Iddin n Anggerik, nak kena tunggu versi cetak
BalasPadamAkirnya...dah sampai N3 akhir.....Iddin pun dah ok dgn Abi nya
BalasPadamSuriya pun dah 'cool' sikit hehe
Tak sabar nak tunggu versi buku pula