JADI
dia tinggal kat situ? Hati Fayyadh menyoal di dalam. Selama ini Fayyadh ingat
Delisya tu anak orang susah. Sebabnya selalu sangat dia nampak Delisya turun
naik bas ke tempat kerja. Rupa-rupanya… Hari ni terbongkar segala-galanya. Anak
orang berada juga Delisya tu. Duduk kat rumah besar. Senang cakap, Delisya
bukan datang dari keluarga miskin seperti mana yang dia fikirkan sebelum ni.
Tapi kenapa dia rahsiakan sebelum ni? Mesti
geng-geng di tempat kerja pun tak tahu yang Delisya tu anak orang berada. Fayyadh
berfikir-fikir.
“Syah,” Puan Irdina menepuk lengan Fayyadh yang
entah sedang fikirkan apa tu.
“Hah!” Fayyadh terperanjat. Nasib kereta yang
dipandunya itu tak tersasar ke tengah jalan.
“Dah sampai ke mana kamu ni? Ke bulan? Atau ke
Marikh?”
“Tak ada ke manalah.”
“Macam-macam kamu ni,” omel Puan Irdina.
Fayyadh memandu masuk ke dalam halaman rumah keluarganya.
Dia menurunkan mummynya.
“Syah,” Puan Irdina memanggil Fayyadh sambil tangan
mendarat di atas pemegang pintu. Dia pandang wajah Fayyadh yang sedang menanti
kata-kata yang akan keluar dari bibirnya. “Kakak Ashman tadi tu, cantik kan?”
“Huh?!” Fayyadh blur.
Apa maksud soalan mummynya? “Cantik?
Maksud mummy?”
“Yalah, cantik. Sesuai kalau bergandingan dengan
Syah.”
“Apa pulak mummy
ke situ ni? Isy!”
“Betullah cakap mummy
ni. Bagus juga kalau dia jadi menantu mummy.”
Nada Puan Irdina seperti sangat mengharap.
“Dahlah mummy.
Tak nak dah fikir pasal semua tu.” Fayyadh tukar gear kereta.
“Nak ke mana pula tu?”
“Balik ke bengkel,”
“Hmm…” Puan Irdina hampa. Usulnya langsung tak
diendahkan oleh Fayyadh. Hati kecilnya berasa, kakak Ashman tadi lebih baik
dari Gina, si kekasih pujaan hati anaknya itu.
Fayyadh mengundurkan kereta dan bergerak keluar dari
perkarangan rumah Puan Irdina. Dan sekali lagi, sambil memandu, sambil itu
kepala Fayyadh sibuk memikirkan perihal Delisya. Selagi dia tak dapat
jawapannya, selagi itu dia akan berasa pelik. Ah, aku kena tanya Delisya
sendiri! Tekad Fayyadh di dalam hati.
AKU
resah. Perasaan itu sejak semalam lagi berbelah bahagi di dalam hatiku. Antara
hendak dan tidak ke tempat kerja. Kalau nak cuti, alasan apa yang boleh aku
berikan kepada bosku? Sebenarnya aku takut bertembung dengan Fayyadh. Nanti
mesti banyak soalan yang diajukan kepada aku. Aduh! Aku nak jawab apa nanti?
Dengan rambut yang masih berbungkus dengan tuala,
aku berbaring kembali di atas katil.
“Nak pergi ke tak? Kalau pergi, takut pula terjumpa
mamat tu. Kalau tak pergi, alasan apa yang aku nak bagi? Aduh! Pening-pening.” Hal
ni tersangat memeningkan kepala aku.
Pintu bilik diketuk mendadak.
“Yaya,” suara umi.
“Ya, mi.”
“Pergi kerja tak hari ni?”
“Err…” aku tak tahu nak jawab apa.
“Yaya, dengar tak soalan umi ni?”
“Dengar. Err… tak pergi kut.”
“Kenapa? Tak sihat ke?” banyak pula soalan umi.
Aduh!
“Err… tak.”
“Habis tu? Oh, lupa pula. Kawan Yaya ada tunggu kat
bawah tu.”
“Kawan?” laju aku bangun dari pembaringan. “Siapa?”
“Yang datang semalam tu. Dia cakap, dia kawan kamu.
Sudah, siap-siap ya.”
Selepas tu suara umi tak kedengaran lagi. Aduh!
Siapa pula yang datang ni? Baru aje aku nak buat rancangan jahat. Baru aje nak
memonteng, dah ada yang mengacau rancangan aku ni. dengan malas aku merapati
almari pakaian. Dalam tak nak, terpaksa juga pergi kerja!
Siap berpakaian, aku turun ke ruang tamu. Kelibat
umi dah tak tahu menghilang ke mana. aku jengukkan kepala ke luar rumah,
melalui tingkap kecil. Sebuah Hummer tersadai elok di halaman rumah. Aku kenal
sangat Hummer tu. Semalam datang dengan BMW 7 Series. Hari ni dengan Hummer.
Aduh! Masak aku. Dah tak ada ruang nak lari lagi ni.
“Duk intai apa tu?” suara umi tiba-tiba menyergah.
“Hah? Umi ni! Suka buat orang terkejut macam tu.”
“Dah tu, duk mengintai macam nak mencuri. Kenapa?”
Aku pandang ke luar sekali lagi sebelum memandang
umi.
“Err… Dah lama ke dia tu sampai umi?”
“Lama tak lama, dah dekat sejam jugak.”
Dekat sejam? Lama jugak tu.
“Dia nak apa umi?”
“Dia cakap nak jumpa Yaya. Eh, apa hal banyak pula
soalan ni? Dah-dah, pergilah. Dah lama dia tunggu tu.” Umi siap tolak aku
supaya pergi ke kereta Fayyadh.
“Tapi umi….”
“Tak ada tapi-tapi.” Umi bulatkan matanya. Aku tahu.
Itu tandanya umi dah tak mahu berkompromi dengan aku.
“Alah umi,” aku mengomel.
Dan dalam terpaksa, aku turuti juga arahan umi.Aku
berdiri di sebelah Hummer itu. Dahlah tengah panas ni. Tak ada ke rasa nak
bukakan pintu untuk aku? Isy! Akhirnya aku ringankan tangan dan mengetuk cermin
kereta mahal itu perlahan dengan jari.
Fayyadh angkat kepala dari memandang entah apa yang
berada di dalam genggamannya tu. Dia pandang aku. Kemudian barulah dia bukakan pintu
kereta. Aku kerutkan kening, menghantar pertanyaan.
“Masuk.” Dia mengarah dengan nada dingin. Err… ni
apa hal pulak ni? Macam nak marah aku je.
Tapi sebab apa? Takkan bergaduh dengan Gina, aku pula yang jadi mangsa.
“Nak buat apa?”
“Masuk ajelah. Banyak tanya pula.” Fayyadh mengomel.
Ada nada marah di situ.
Malas bertanya banyak, aku masuk juga ke dalam perut
kereta. Nanti kalau aku banyak soal, bimbang ada yang makin naik angin. Sejurus
saja aku menutup pintu kereta, Fayyadh terus mengundurkan kereta dan keluar
dari halaman rumah keluargaku. Sepanjang perjalanan yang aku tak tahu hala
tujunya itu, kami berdua diam.
“So?”
Kerana bosan dia diam begitu, aku akhirnya mengajukan soalan sambil berpeluk
tubuh.
“So what?”
Eh, eh. Aku tanya dia, boleh pula dia tanya aku balik.
“Kenapa awak datang rumah saya? Ajak keluar tapi tak
tahu nak ke mana.”Seperti sengaja nak buat aku naik angin aje dia ni.
“Jadi, itu rumah awak? Bagus betul lakonan awak.”
Dia seperti sedang mengejek aku.
“Lakonan? Siapa yang berlakon?” aku pandang Fayyadh.
“Habis tu yang selama ni pergi dan balik kerja
dengan bas tu apa? Semua orang ingat awak ni orang susah, datang dari keluarga
yang miskin. Tapi hakikatnya, awak anak orang berada. Duduk dalam rumah banglo.
Pandai betul awak berlakon kan?” Fayyadh bertepuk tangan. Pedih telinga aku
kena perli begitu.
“Saya tak pernah berlakon. Kenapa, salah ke saya
naik bas? Asal anak orang susah aje ke yang boleh naik bas, anak orang kaya tak
boleh naik bas, begitu? Bas tu kenderaan awam, siapa-siapa pun boleh naik.” Aku
mendengus.
“Tapi kenapa kerja kat pasaraya tu? Kalau kerja
dengan ayah awak mesti tak payah susah-susah naik bas.”
“Siapa cakap tak payah susah-susah naik bas? Saya
tak pandai memandu, jadi kerja sebagai apa pun, saya masih perlu ke tempat
kerja dengan bas. Soalan awak tadi. Kenapa saya kerja di pasaraya tu. Untuk
pengetahuan awak, saya tak suka bekerja dengan syarikat keluarga. Saya mahukan
hidup saya sendiri. Jadi, awak tak ada hak nak tentukan hidup saya.” panjang
lebar jawapan aku.
“Siapa cakap saya tak ada hak? Awak kan bakal tunang
saya.” Selamba badak mamat ni sebut pasal tu.
“What!” Aku
membuntangkan mata. Tak habis-habis pasal bakal tunang tu. Seingat aku dia cuma
main-main saja pasal tu sebab cuma nak selamatkan aku dari gangguan Firash.
Tapi hari ni kenapa diulang kembali pasal tu?
“Betullah kan. Mamat tu ada kacau awak lagi?”
Fayyadh menukar topik perbualan.
“Tak ada.” Aku memeluk tubuh.
“Bagus. Kalau dia kacau, jangan layan. Atau pun
terus telefon saya.”
Aku pelik. Kenapa dia cakap macam tu?
“Awak ni kenapa? Kenapa pula saya kena telefon awak kalau
dia kacau saya? Fayyadh, ingat sikit. Saya ni Delisya, bukannya Gina si kekasih
awak tu.” Aku rasa mahu bertempik. Ayah dengan umi pun tak ada kawal aku macam
ni.
“Saya tahu. Saya boleh bezakan lagi antara awak dan
Gina.”
“Habis tu?”
Fayyadh diam. Tak terasa langsung mahu menjawab
soalan aku.
“Awak masuk kerja tak hari ni?”
“Masuk.”
Fayyadh memandu keretanya menghala ke arah tempat
kerjaku. Soalan aku tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan.
“AMBOI,
orang tu sekarang ni dah ada driver
la.” Zima sibuk sekali mengusik aku.
Sedangkan aku buat muka blur. Malas
nak layan Zima.
“Eh, kau tak takut ke kalau Gina serang kau?”
tiba-tiba soalan itu keluar dari bibir Zima.
“Kenapa pulak Gina nak serang aku?” aku buat-buat
tanya Zima.
“Fayyadh yang hantar kau tadi kan? Boleh pula kau
tanya kenapa Gina nak serang kau? Eii!” Angin Zima naik.
“Ah, malaslah aku nak fikir.” Selamba aku jawab. Aku
tutup locker dan mahu mulakan kerja.
“Malas tak malas, kau kena fikir juga. Bahaya la kau
ni.”
Aku menonong masuk ke dalam ruang pasaraya. Aku tak
hiraukan kata-kata Zima. Kenapa aku nak takut dengan Gina? Bukan aku yang
menggedik pergi cari Fayyadh tapi Fayyadh yang sibuk datang rumah aku. Lagi pun
si Gina tu, sikit pun aku tak heran.
Aku pun dah tak tahan kerja bawah dia. kalau kena berhenti pun aku sanggup.
Lagi baik berhenti dari diberhentikan!
Memalukan kalau diberhentikan hanya kerana dituduh
merampas kekasih Gina sedangkan aku langsung tak lakukan itu semua. Huh! Dah
lama aku tahan sabar dengan Gina. Berlagak macam dia bos besar kat sini.
Sedangkan dia hanyalah penyelia saja. Berangan nak jadi bos besar. Angan aje
lebih!
Lama gak nk tgu sbugan..
BalasPadamBest.....
BalasPadamBla nk smbg citer ni..x sabarnya
BalasPadam