AKU berjalan kaki melewati blok taman perumahan itu. Aku di dalam perjalanan ke perhentian bas. Kaki melangkah tetapi fikiran di dalam kepala sudah melayang entah ke mana. Kepala terasa memberat dengan masalah keluarga yang entah bila akan selesai. Kalau umi terus dengan sikap keras kepalanya dan kak long tetap tak nak mengalah, masalah ini takkan ada penghujungnya. Aku mengeluh.
Aku rindukan waktu-waktu dulu. Ketika kami bersama
sebagai sebuah keluarga yang lengkap. Yang tak pernah bergaduh. Yang tak pernah
berselisih faham. Aku rindu. Tapi masa tak boleh diputar kembali. Masa indah
yang berlalu akan terus berlalu pergi.
Pin… pin… pin…
Tiba-tiba bunyi hon itu menyentakkan aku. Fikiran
kembali kepada tempat di mana aku berdiri tika itu. Aku pandang kiri dan kanan.
Aku masih di tepi jalan. Ingatkan dah nak kena langgar tadi. Manalah tahukan,
bila dah berjalan kaki ni kaki tiba-tiba terpesong melangkah ke jalan raya. Aku
pusing ke belakang. Kereta Toyota Vios? Tanpa berfikir panjang, aku meneruskan
langkah. Semakin lama, semakin laju kaki melangkah. Dalam masa yang sama hon
kereta masih dibunyikan.
Ya Allah! Bosannya aku dengan mamat ni. Aku merungut
di dalam hati.
“Isya,” Firash menurunkan tingkap kereta dan
memanggil nama aku. Malangnya nasib dia, aku hanya buat bodoh. Bagai tak ada
yang memanggil pun.
“Isya,” tiba-tiba terasa lenganku ditarik dan suara
itu! Aku toleh ke kanan. Ya Allah. Kenapa mamat ni tak pernah baham bahasa?
“Apa ni?!” Aku menengking. Pantas aku tepis tangan
dia yang suka hati pegang lengan aku. Paling pantang aku kalau orang buat macam
tu.
“Okey, okey. Sorry.”
Firash lepaskan pegangan tangannya pada lengan aku.
“Huh!” aku mendengus dan mahu menyambung kembali
langkah ke perhentian bas.
“Jomlah saya hantar awak pergi kerja,” dia
mempelawa.
“Thanks but no
thanks,” jawabku sambil berjalan.
Firash sekali lagi pegang tangan aku. Lagilah buat
aku tambah bengang. Aku cuba rentap tanganku dari pegangan tangan dia. Tapi
tenaga perempuan manalah setanding dengan tenaga lelaki.
“Kenapa awak ni tak pernah-pernah faham bahasa? Saya
dah cakap sebulan lepas dan apa yang saya cakapkan tu jelas sekali. Atau pun
awak nak saya ulang balik?” aku geram!
“Awak ugut saya?”
“Terpulang. Kalau awak rasa itu satu ugutan, maka ia
akan jadi ugutan.” Aku rimas dengan tanganku masih dalam pegangan tangan dia. Menyakitkan.
“Lepaskan tangan saya,” pintaku.
“Awak pergi kerja dengan saya baru saya lepaskan
tangan awak.”
“Saya tak nak pergi dengan awak!” Ton suaraku naik.
Aku pandang ke kiri dan kanan. Tak pasal-pasal
adegan sebabak dua itu menjadi perhatian orang ramai yang lalu-lalang.
Memalukan!
“Sampai bila awak nak mengelak dari saya?”
Apa punya soalan dia ni? Aku menyoal di dalam hati.
Tersangat geram!
“Selagi awak dengan keputusan awak, selagi itu saya
akan mengelak dari jumpa awak. Saya bukannya bola, yang boleh ditendang ke sana
ke mari sesuka hati. Saya ni manusia, ada perasaan. Bukannya patung bernyawa!”
Tiba-tiba ada sebuah kereta berhenti mengejut.
Hummer! Si pemandu keluar dari kereta dan melangkah ke arah kami. Penyelamat
sudah datang!
“Kenapa ni Isya?” Fayyadh menyoal aku. Kaca mata
hitam yang menutup sepasang matanya ditanggalkan dan disangkut pada poket baju.
Handsome tau!
Aku rentap tanganku dari pegangan tangan Farish. Aku
meluru ke arah Fayyadh. Spontan aku pegang lengan Fayyadh. Farish terlopong
melihat aksi itu.
“Dia ganggu saya,” aku buat suara sedih dan mengadu
dengan Fayyadh.
Fayyadh melangkah ke arah Farish.
“Kau ni siapa?” Farish menyoal dengan amarah.
“Siapa aku, tu tak penting. Bro, tak malu ke ganggu perempuan kat tepi jalan?” Fayyadh cuba
berlembut.
“Kau siapa nak masuk campur hal aku? Perempuan tu
hak aku!”
“Hak kau? Dia isteri kau ke? Bukan kan? Mimpilah kau
ni!” Fayyadh balas balik.
“Melampau!”
Farish angkat tangan, mahu hadiahkan penumbuk kepada
Fayyadh tapi Fayyadh lebih laju mempertahankan diri. Fayyadh tahan dengan
lengannya. Dia pulas lengan Farish. Aku terjerit kecil kerana terkejut.
“Jangan!” Aku cuba leraikan mereka.
“Jangan sesekali ganggu bakal tunang aku. Kau tak
ada hak nak kacau Isya!” keras suara Fayyadh memberikan amaran.
Bakal tunang? Aku terkaku. Keras macam patung. Muka
Farish sedang menahan sakit. Beberapa minit Fayyadh buat begitu sebelum melepaskan
tangan Farish. Dalam tak sedar, perlakuan mereka menjadi perhatian orang ramai.
Tak pasal-pasal kami menjadi tontonan umum. Bagaimana kalau Gina tahu? Hatiku
terdetik.
“Kalau kau nak rasa yang lebih teruk lagi, teruslah
kacau Isya. Teruk aku kerjakan kau nanti!” Fayyadh memberikan amaran sebelum
menarik tanganku.
Aku menurut dalam terkejut. Pintu kereta dibuka dan
Fayyadh mengarahkan supaya aku masuk. Menderu bunyi kereta akibat henjutan kuat
pada pedal minyak. Aku gerun. Ruang antara kami diisi dengan kebisuan. Aku tak
berani bertanya dengan Fayyadh. Dan dia pula dengan muka seriusnya. Perihal
bakal tunang itu memenuhi ruang kepalaku. Sejak bila kita diisytiharkan sebagai
bakal tunang?
Kereta berhenti betul-betul di hadapan pintu
pasaraya. Aku masih mematungkan diri. Tak tahu nak kata apa.
“Tak nak keluar ke?” Fayyadh menyoal. Aku bagai
terjaga dari mimpi yang panjang.
“Err… Terima kasih,” ungkapku perlahan, cukup untuk
didengari oleh telinganya dan tanganku mendarat pada pembuka pintu kereta.
“Sama-sama. Jangan dilayan lagi lelaki tu,” Fayyadh
berpesan, masih dengan muka serius.
Jangan dilayan? Aku ulang kembali bait kata itu.
Kenapa? Untuk apa? Sebab apa? Bertimpa-timpa soalan membanjiri ruang fikiranku.
Aku tolak pintu kereta. Minta-minta janganlah Gina atau kawan-kawan Gina yang
nampak aku keluar dari kereta Fayyadh. Aku berdoa di dalam hati. Tak
pasal-pasal aku kena serang nanti.
Keluar saja dari perut kereta, Fayyadh terus memecut
keretanya. Dan aku terus masuk ke dalam ruang pasaraya. Sepanjang hari itu aku
seperti manusia tak berperasaan. Banyak termenung dan semestinya kejadian pagi
itu bagai diulang-ulang seperti tontonan drama di dala kepalaku.
BAKAL
tunang? Fayyadh kembali memikirkan apa yang telah dia sebut tadi. Berkasih pun
tidak, macam mana nak bertunang. Dia berkasih dengan Gina tapi depan orang yang
tak dikenali, dia mengaku yang Delisya itu tunangnya. Tapi yang pasti niatnya
hanya mahu menyelamatkan Delisya dari gangguan lelaki tadi tu.
Niat di hati mahu ke bengkel dah melencong ke lain. Kerana
hati yang berserabut, dia ke sini. Ke rumah kakaknya, Fifi. Kereta diparkir
diluar pagar dan loceng sebelah pintu pagar ditekan. Kurang lima minit
menunggu, barulah pintu pagar terbuka dan muncul kelibat kakaknya di depan
pintu utama sambil senyum.
“Mimpi apa sampai ke sini?” Fifi menegur Fayyadh.
“Kena tunggu mimpi dulu ke baru boleh datang rumah
akak? Kalau macam tu, Syah baliklah.” Fayyadh bersuara seperti berjauh hati. dia
yang tadinya mahu menbuka kasut di kaki, terus menyarungkan kembali kasut itu.
“Ololo…. Apasal dengan adik akak ni? Merajuk?” Fifi
mengusik. Suka sungguh dia mengusik adik lelaki yang seorang itu. Kadang
Fayyadh ni manja tau dengan dia.
“Siapa merajuk? Tak ada makna nak merajuk bagai.”
Fayyadh menafikan kata-kata kakaknya buat Fifi senyum lebar.
“Dah, dah, jangan nak mengada. Jom masuk.” Fifi
malas nak layan angin Fayyadh. Bukan okey sangat pun.
Fayyadh buka kembali kasut di kakinya dan melangkah
masuk ke dalam rumah Fifi. Matanya melilau memandang ruang dalam rumah
kakaknya. Fifi memang tak menggunakan khidmat pembantu rumah. Dia tahu pasal
tu. Selepas banyak kes melibatkan pembantu rumah warga asing, Fifi takut nak
guna khidmat mereka.
“Tak payah nak pandang-pandang sangatlah. Akak
sorang-sorang aje kat rumah ni,” Fifi melaung dari dapur. Dia tengah masak tadi
sewaktu Fayyadh sampai. Dah nak masuk tengah hari ni. nanti nak kena ambil
anak-anak kat sekolah pula. “Kalau nak minum, kau ambil sendirilah. Macam tak
biasa pula. Kalau nak tunggu akak masak, lambat sikit kut. Akak baru nak masak
ni.” Sambung Fifi lagi.
“Beres kak.” Balas Fayyadh sambil daratkan belakang
badan pada sofa. Tangan laju mencapai alat kawalan TV.
Tapi sayangnya, tak ada satu pun saluran TV yang
berjaya memikat seleranya. Lalu dia bawa keluar sebuah majalah yang telah Fifi
susun elok di bawah meja kopi. Majalah perihal dunia wanita dan keluarga. Sudah
rumah itu rumah Fifi, haruslah ada majalah begitu. Bukannya rumah Fayyadh ni.
“Hei, apa hal kau dengan mummy?” Fifi yang tiba-tiba datang mendekati Fayyadh terus menyoal.
Mereka berdua memang begitu sejak kecil. Kadang berkau dan aku saja. Bukan tak
menghormati tapi itulah cara mereka bermesra.
“Akak ni! Huh! Masalah apa pulak?” Fayyadh buat-buat
tak tahu. Makin difikir makin menyerabutkan kepalanya.
“Jangan nak pusing-pusinglah. Pasal mummy
marah-marah kat kau tu.”
“Kalau akak tahu, kenapa nak tanya lagi?”
“Akak tak tahu cerita penuh. Akak dengar sekerat
aje. Sebab tu akak tanya kau. Itu pun susah nak cerita.” Fifi mengomel. Macam
tak puas hati dengan Fayyadh.
“Kak, kenapa mummy
tu susah sangat nak faham Syah?”
Kening Fifi terjongket. Kepalanya sibuk mencerna
setiap bait kata adiknya.
“Susah nak faham? Maksudnya macam mana tu?”
“Kenapa setiap kali Syah perkenalkan pilihan Syah, mummy mesti tolak? Apa kurangnya pilihan
Syah? Mummy buat syah ni anak kecil,
yang mahu suruh ikut setiap telunjuk dia.” Fayyadh mengeluh. Mujur ada Fifi,
boleh juga dia menumpahkan apa yang terbeban di dalam kepalanya. Terasa ringan
sedikit kepalanya.
“Syah, bukan mummy
suka-suka menolak semua pilihan Syah tu. Mummy
buat bersebab.”
“Bersebab? Macam tak nak Syah bahagia aje,” komen
Fayyadh.
“Haip. Apa
cakap macam tu. Setiap emak mahu melihat anak-anak mereka bahagia. Akak pun
macam tu. Akak nak anak-anak akak dan adik-adik akak bahagia. Syah tak boleh
hanya fikirkan perasaan Syah saja. Perasaan mummy
juga perlu dijaga. Kita dah tak ada daddy,
jadi tanggungjawab mummy jadi berat. Mummy tak nak orang permainkan anak
dia.” Terang Fifi.
“Maksudnya, semua yang rapat dengan Syah sebabkan
nak harta Syah, begitu maksud akak?”
Fifi pandang Fayyadh. Susah dia nak terangkan kepada
Fayyadh. Darah muda begitu sukar mahu menerima nasihat orang.
“Tak, akak tak kata begitu.”
“Tapi akak maksudkan macam tu tadi kan? Akak dengan mummy sama aje!” Fayyadh bangun dan mahu
berlalu keluar dari rumah Fifi.
“Syah!” Fifi memanggil Fayyadh. “Apa yang akak tahu,
Gina tu bukan budak elok. Dah banyak kali mummy
terserempak dia dengan lelaki lain. Itu belum termasuk cerita-cerita yang
kawan-kawan mummy sampaikan.
Perempuan macam tu ke yang Syah nak buat isteri? Mummy nak yang terbaik untuk anak-anaknya. Tinggal Syah seorang
saja lagi. Amanah arwah daddy perlu mummy laksanakan. Lagi pun, Gina tu
bukan dari keturunan yang elok-elok. Mummy
tak nak cucu mummy nanti mewarisi
darah keturunan Gina.” Fifi ulang kembali apa yang Puan Irdina sampaikan kepada
dia dulu.
Tapi Fayyadh tetap melangkah pergi. Dan Fifi hanya memerhati.
Ya Allah, Kau lembutkanlah hati adik aku. Fifi berdoa di dalam hati.
Best nye...story ni....nk lagi...
BalasPadam