Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Sabtu, 22 Oktober 2011

KYKS

salam semua....ramai ke yg trtunggu2 sambungan KYKS?? 
sori ya, minggu ni xde new n3 kat blog or kat p2u.. sy bz sgt minggu ni.. insya allah minggu depan ada.. sabar menanti kay..:)
Sy nak tanya skit.. macam mana pendapat anda dgn novel KYKS sepanjang 13 bab yg telah sy publish??? best ke x??
segala komen anda sy terima dengan tangan yg terbuka.. terima kasih semua..:)

Jumaat, 14 Oktober 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB13

SYAZRIL melangkah memasuki pejabatnya dengan wajah yang sangat masam. Langsung tiada senyuman yang terukir di wajah tampannya itu. Sampaikan setiausahanya yang melihat pun naik meremang bulu roma. Wadia berfikir berkali-kali sama ada patut menegur majikannya itu atau buat-buat sibuk.
Akhirnya Wadia mengambil langkah selamat dengan berdiam diri. Ketika majikannya itu melintas di hadapan mejanya, tangan dan matanya sibuk merenung dan membelek fail yang berada di atas mejanya. Telinganya mendengar Syazril menarik pintu biliknya dan tidak sampai 2 saat, pintu itu dihempas kuat. Berdentum bunyi yang terhasil menyebabkan Wadia tersentak.
Sementara di dalam bilik, Syazril menghempaskan tubuhnya di atas kerusi. Beg bimbit di tangan disandarkan pada meja kerja. Beg itu tidak pula dihempas sama. Walau sebesar mana pun masalah yang dihadapinya, beg itu tidak akan dihempas atau dibaling sesuka hati. Kerana di dalam beg itu ada laptop Apple MacPro kesayangannya. Tambahan lagi di dalam laptop itu banyak tersimpan kerja-kerjanya.
Bunyi deringan telefon yang minta diangkat mengejutkannya. Lantas, telefon Blackberry yang berada di dalam saku seluar ditarik keluar. Matanya teru memandang skrin telefon. MAMA. Itu nama yang tertera pada skrin. Tanpa diangkat, telefon itu dia letakkan di atas permukaan meja dan dibiarkan berdering.
 Syazril bukan mahu berkurang ajar tetapi kata-kata yang keluar dari mulut mamanya semalam tidak dapat dia terima. Dan peristiwa semalam kembali menerjah kotak fikirannya.

SYAZRIL melangkah menuruni tangga sambil menyanyi perlahan. Tubuhnya segak tersarung kemeja polo warna biru tua dan jeans lusuh. Dirinya sudah siap-sedia untuk keluar. Namun, suara mamanya mematikan langkahnya di anak tangga terakhir.
            “Kamu nak ke mana pulak tu?”
            “Nak keluar ma. Dah janji dengan kawan ni.”
            Tidak lama kemudian, muncul kelibat Datin Sharida dari ruang dapur.
            “Lewat tak balik malam ni?” Datin Sharida menyoal lagi sambil memandang anak lelaki tunggalnya itu.
            “Tak tahu lagi, ma. Kenapa? Ada apa-apa majlis ke malam ni?” Syazril membalas dengan soalan. Kebiasaannya, jika mamanya bertanya begitu, pasti ada majlis yang tidak dapat dihadiri. Jadi mama mewakilkan kepadanya saja. Tapi aku tak ada dengar pun sebarang majlis nak diadakan malam ni. Hati Syazril berbisik perlahan.
            “Tak adalah. Boleh tak kamu balik awal malam ni? Mama dan papa ada perkara yang nak dibincangkan.”
“Perkara apa ma?” laju mulutnya menyoal.
“Malam nanti baru kamu tahu.” Datin Sharida cuba berahsia.
“Alah, mama.”
Syazril terus mendapatkan keretanya. Pertanyaannya langsung tidak dijawab setepatnya oleh mamanya.
“Balik awal tau malam ni.” Sempat Datin Sharida berpesan sebelum anaknya itu masuk ke dalam perut kereta. Tidak sampai 2 minit kemudian, kedengaran kereta mewah jenama Audi itu menderum bergerak di atas jalan raya.

SYAZRIL memandu masuk keretanya ke garaj. Jam sudah menunjukkan angka 11 malam. Sepatutnya dia pulang lebih awal, seperti mana pesanan mamanya. Tetapi tadi kawannya mengadakan majlis makan-makan. Jadi dia pula leka bersembang dengan kawan-kawan yang telah lama tidak dijumpai. Hinggakan tidak sedar hari sudah jauh malam. Lebih-lebih lagi apabila teringatkan pesanan mamanya, cepat-cepat dia meminta diri.
Setelah dipastikan yang yang keretanya selamat berkunci, Syazril melangkah ke arah pintu utama rumah. Biasan cahaya malap yang terpancar keluar dari dalam rumah membuatkan Syazril mengandaikan yang seisi rumah sudah tidur.
Pintu rumah dibuka, dia melangkah masuk dan pintu dikunci kembali. Dia berjalan perlahan ke arah tangga.
“Lewat balik?” suara teguran seseorang telah mematikan langkahnya. Pantas badannya dipusing. Mencari kelibat si empunya suara.
Dalam kesamaran cahaya, matanya dapat menangkap kelibat dua orang yang sedang duduk di atas sofa tiga berangkai di ruang tamu itu. Kakinya pantas melangkah ke arah suis lampu dan ditekan. Terang-benderang suasana ruang tamu itu. Barulah dia dapat melihat siapa empunya diri yang menegurnya tadi.
“Tak tidur lagi, ma, pa?” selamba dia menyoal. Langsung tiada riak bersalah pada wajah itu.
“Kamu pergi mana sampai sekarang baru balik?” tanpa berselindung, Datuk Nawawi terus menyoal.
Ini yang Syazril tidak suka jika balik ke rumah mama dan papanya. Jika lewat balik pasti banyak soalan yang akan ditanya. Jika balik ke rumahnya, dia bebas untuk balik pukul berapa pun. Dia balik ke sini pun disebabkan oleh pesanan mamanya siang tadi. Jika tidak, dia lagi suka balik ke rumahnya di Manir. Tak perlu dia sakit telinga mendengar siaran radio tak berbayar.
“Jumpa kawan, pa. Dia ada buat majlis makan-makan sikit tadi.” Syazril berjalan mendekati sofa sebelum duduk di atas sofa itu. Berhadapan dengan mama dan papanya.
“Petang tadikan mama dah pesan, suruh Aril balik awal. Tapi lewat malam jugak baru nampak batang hidung kamu.” Giliran Datin Sharida pula meluahkan kata.
Bagi kamus hidup Syazril, balik pada pukul 11 masih awal lagi. Lainlah jika jam menginjak ke pukul 3 atau 4 pagi. Itu baru betul-betul lewat.
“Alah mama, baru pukul 11 malam. Masih awal lagi. Okey, sekarang Aril dah ada kat sini. So, apa perkara penting yang ingin mama bincangkan dengan Aril?” Syazril malas mendengar bebelan panjang mamanya. Jadi, dia terus mengubah topik.
“Aril kenal Cellicia?” Datin Sharida menyoal.
“Cellicia? Cellicia Yan ke mama? Kalau Cellicia Yan, Aril kenal, kawan  Aril tu. Kenapa dengan Cellicia, mama?” setahu Syazril, dia hanya kenal orang yang bernama Cellicia Yan. Jika Cellicia lain tidak pula dia kenal.
“Err… macam ni, mama bercadang nak jodohkan Aril dengan Cellicia. Mama te..” belum pun habis Datin Sharida mengusulkan cadangannya, Syazril lantang bersuara.
“What? Menjodohkan Aril dengan Cellicia? Mama sedar tak dengan keputusan mama ni? Kami cuma kawan mama. Tak lebih dari itu!” Syazril jadi berang tiba-tiba saat mamanya mengeluarkan ayat ‘mama bercadang nak jodohkan Aril dengan Cellicia’.
Baginya hubungan antara dia dan Cellicia tidak lebih daripada ikatan persahabatan. Pada pendapatnya, Cellicia tidak layak untuk dijadikan isteri. Kehidupan Cellicia terlalu bebas. Ya, memang Cellicia bukan beragama Islam. Cellicia berketurunan Cina tetapi menganut agama Kristian. Jadi Cellicia bebas keluar masuk kelab malam. Bir dan wiski sudah menjadi minuman sehariannya.
Manakala bagi Syazril, perempuan yang akan menjadi isterinya dan ibu kepada anak-anaknya nanti mestilah seorang yang beriman dan berpegang teguh pada ajaran Allah serta semestinya umat Islam sejati. Kerana dia sedar yang dia tidak sesempurna mana. Jadi dia memerlukan seorang perempuan  yang boleh menegur dan membimbingnya ke jalan Allah. Terlintas satu wajah di matanya secara tiba-tiba.
“Kenapa? Hina sangat ke bila kawan sendiri menjadi isteri Aril? Mama tak nampak apa-apa silapnya di sini.” Datin Sharida menentang mata anak lelaki tunggalnya itu.
“Mama, mama sedar tak yang Cellicia tu beragama Kristian. Dia bukannya seorang muslim. Sejahil-jahil Aril, Aril masih inginkan seorang perempuan Islam menjadi isteri Aril yang boleh membantu Aril bertemu Allah. Atau sudah pupus semua perempuan Islam di Malaysia ni?” sinis sekali Aril membidas kata-kata mamanya.
“Jika berlainan agama, kita boleh suruh Cellicia masuk Islam. Kemudian kita aturkan kelas agama untuk dia.”
Amboi, senangnya mama bercakap! Mama ingat mengajak orang kafir masuk agama Islam semudah yang dicakapkan. Huh! Syazril berkata di dalam hati. Tugas membimbing seorang mualaf tersangatlah berat. Diri sendiri pun tak betul, ni nak bimbing orang pulak!
“Papa rasa apa yang mama cadangkan tu ada baiknya,” Datuk Nawawi yang hanya membisu dari tadi tiba-tiba mencelah.
“Apa baiknya pa? Aril tengok tak ada baiknya dengan rancangan mama ni! Mama, mama kena sedar yang anak lelaki mama ni bukan seorang alim ulama yang setaraf dengan ustaz yang boleh membimbing seorang mualaf mengenal Islam.” Sinis dan tajam Syazril membalas kata-kata mama dan papanya. “Walau apa pun yang terjadi, keputusan Aril muktamad! Aril tak nak dan tak akan kahwin dengan Cellicia!” lantang Syazril menyatakan penolakkannya itu di hadapan kedua ibu dan bapanya.
Tanpa menunggu lama, dia terus mendaki anak tangga ke biliknya. Pintu bilik dibuka dan dihempas kuat. Berdentum bunyi yang terhasil. Syazril berjalan menghampiri katil. Badan dibaringkan kasar ke atas tilam empuk itu. Kedua tangan disilangkan dan diletakkan di bawah kepala. Matanya membuntang memandang siling. Setiap patah kata yang keluar dari mulut mamanya masih terngiang-ngiang di telinganya. Bagai irama sebuah lagu sumbang!
Tidak sampai 5 minit dia berbaring. Satu keluhan keluar dari bibirnya.

p/s:salam.. sori ye, n3 kali ni pendek skit.. huhuhu.. harap anda semua enjoy..:)

Jumaat, 7 Oktober 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB12

“ASSALAMUALAIKUM, Sya.”
“Wa’alaikumussalam. Ya saya aunty. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” ramah sekali aku melayan panggilan daripada Aunty Ida.
“Macam ni, Sya ingat tak lagi yang aunty pernah sebut nak tempah baju pengantin dengan Sya untuk anak aunty, Sya ingat lagi tak?”
Aku diam seketika. Memikirkan tentang kata-katanya itu.
“A’ah. Saya ingat aunty. Kenapa? Aunty nak tempah sekarang ke?”
“Rancangnya nak ke butik Sya petang ni. Sya free tak?”
“Emmm, petang ni insya ALLAH saya free.”
“Okey, kalau macam tu, petang ni aunty ke butik Sya, ya.”
“Okey, kita jumpa petang ni ya aunty. Assalamualaikum.”
Sejurus salam bersambut, aku meletakkan kembali Blackberry Curve kesayanganku itu di atas meja. Mataku di halakan kembali ke arah borang permohonan pinjaman Bank Rakyat.
Sudah seminggu borang itu tersadai tanpa usik di atas mejaku. Aku memang memerlukan sejumlah wang sekarang ini untuk membeli keperluan butik kerana aku ingin memperbanyakkan lagi produk di butikku. Tidak hanya bergantung pada tempahan baju, tempahan jahitan manik dan tudung sahaja.
Tetapi apabila aku melihatkan jumlah ansuran bulan-bulan yang perlu aku jelaskan, membuatkan aku berfikir berulang kali. Aku takut aku tak mampu untuk menjelaskan bayaran tersebut kerana sekarang ini sahaja aku perlu membayar gaji dua orang pekerjaku, ansuran kereta, sewa butik dan pengambilan stok baru. Itu tak termasuk lagi peruntukan untuk diri sendiri. Hisy, pening, pening!

AKU menerima kunjungan Aunty Ida pada pukul 3 petang. Ketika itu aku sedang menyiapkan baju rakan sekelasku, Fathanah. Katanya baju itu akan dipakai pada makan malam yang dianjurkan oleh syarikat tempat dia bekerja.
Aku mempersilakan Aunty Ida yang nampaknya tidak datang sendirian. Ada seorang perempuan yang datang bersama dengan Aunty Ida. Aku mempersilakan juga perempuan yang aku tidak tahu nama itu duduk. Adab kita mesti di jaga.
Berlagak semacam aje perempuan ni. Tengok aku nak tak nak aje. Dahlah tu, senyum pun tak! Tapikan aku rasa macam pernah jumpa aje perempuan ni. Hmm.. tapi kat mana ya?
Muka macam Chinese, pakai baju seksi. Hmm.. siapa ya? Tanpa sedar dahiku berkerut memikirkan siapa empunya gerangan perempuan ini.
“Sya, Sya.” Panggilan Aunty Ida mengembalikan aku ke alam nyata.
“Err.. Aunty, maaf, jauh betul saya mengelamun.” Ujarku sambil menghalakan pandangan pada Aunty Ida.
“Sya, ini bakal menantu aunty, Cellicia. So, macam yang aunty bagitahu pagi tadi, aunty nak tempahkan baju pengantin untuk Cellicia, baju untuk akad nikah sahaja. Sebab baju akad nikah ni aunty nak rekaannya lebih sopan. Maksudnya menutup aurat.” Aunty Ida terus memberikan gambaran baju yang dia ingini sejurus memperkenalkan bakal menantunya itu.
Mindaku perlahan-lahan mentafsir dan mencerna setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Aunty Ida. Pakaian menutup aurat? Pantas mataku menyorot ke arah perempuan yang duduk di sebelah Aunty Ida itu. Dari atas ke bawah. Dari bawah ke atas. Mataku tidak berkelip memandang batang tubuh itu.
Macam mana aku tak pandang atas bawah kalau si Cellicia ni hanya mengenakan tube untuk menutup bahagian dadanya dan mengenakan skirt sempit dan singkat untuk menutup punggung dan pangkal paha sahaja. Dan lagi satu, si Cellicia ni sombong yang amat! Dahlah tak senyum, bersalam jauh sekali. Tugas dia pulak sejak melangkah masuk ke butik aku ni adalah sebagai pemerhati. Mungkin dalam hati dia sekarang ni tengah mengutuk butik aku. Astagfirullah! Tak pasal-pasal aku dapat dosa percuma!
Malas berfikir lagi, aku terus melakarkan setiap permintaan Aunty Ida. Segala permintaannya aku turuti. Daripada ingin meletakkan hiasan yang sarat di bahagian dada hinggalah kepada rekaan gaun bertingkat di bahagian kaki baju. Fuh! Memang vogue giler baju tu. Memang lari terus dari rekaan baju pengantin Jun.
“Aunty nak bila baju ni?” aku terus bertanya. Bukan apa, senang untuk aku membahagikan masa.
“Majlisnya akan berlangsung dalam lima bulan lagi. Tapi kalau boleh siap lagi awal lagi baik. Oh ya, ni aunty dah bawa kain untuk baju ni.” Tanganku laju menyambut huluran Aunty Ida.
Aku membelek-belek kain tersebut. Rasanya ni bukan sebarangan kain. Mesti dibeli di luar negara ni. Yalah, orang berpangkat ni mesti nak yang bermutu tinggi. Citarasa pun mesti tinggi jugak!
Kemudiannya aku mengambil ukuran badan Cellicia sebelum mereka berdua berlalu dari buktikku. Sebaik saja kelibat kedua mereka melepasi pintu butik, Miza dan Saira laju merapatiku.
“Siapa dia tu Cik Sya? Rasa macam pernah tengok aje.” Amboi, kepohnya minah ni!
“Emm… Aunty Ida cakap tu bakal menantu dia.”
“Ha, baru saya ingat. Perempuan tu bukan yang dah pernah datang ke butik ni dulu? Alah, yang datang dengan sorang mamat handsome tu. Kalau tak salah, dia nak ambil baju yang aunty tu tempah.” Amboi, Miza! Detailnya jawapan awak.
“Emm… yalah tu. Awak berdua ni tak ada kerja ke?” Malas aku nak layan minah kepoh dua orang ni.
“Cik Sya, sekarang dah pukul 5 suku. Kami dah nak balik dah pun.” Balas Saira selamba.
Pantas mataku mendongak memandang jam di dinding. Macamlah kat tangan aku ni tak ada jam tangan. Ya Allah! Tu la syok sangat layan pelanggan, sampaikan jam dah pukul 5 lebih pun aku tak sedar.
“Okeylah. Sorry sangat, saya tak perasan hari dah petang rupanya. Hati-hati memandu tu ya.” Sempat aku menitipkan pesanan kepada dua orang pekerja kesayanganku ini.
Tanpa menunggu lama, aku terus menutup kedai apabila melihat jam sudah ke angka 6 petang.

BEEP, beep…
Bunyi mesej masuk. Tetikus terus aku halakan ke arah tetingkap yang menyala di skrin laptopku.
M_Syazril: salam… awak apa khabar?
Terpapar mesej pertama dari pengirim yang menggunakan nama M_Syazril, salah seorang teman mayaku. Jariku laju menaip balasan mesej tersebut.
Sya_Khira: wa’alaikumussalam.. sihat, awak?
M_Syazril: Alhamdulillah. Sihat seadanya. So, apa perkembangan terbaru di Malaysia?
Sya_Khira: hmmm.. semua berkembang kat Malaysia ni. Cuma satu aje yang kuncup, bunga.. hahahaha..
M_Syazril: amboi, sesedap rasa aje awak kenakan saya ya! Saya Tanya betul-betul, awak main-main pulak ya!
Sya_Khira: awak marah ke? Ala, saya gurau aje. Janganlah marah, nanti cepat tua tau. Hehehe…
M_Syazril: eleh, tua ke muda ke, bukannya ada orang nak kat saya. Saya macam ni jugak.
Apa kes pulak sampai melalut ke topik lain pulak ni? Hmm… layan aje la. Aku pun tengah bosan jugak ni.
Sya_Khira: eh, yang tu awak kena cari sendiri. Takkan adanya sorang perempuan datang melutut kat awak cakap macam ni, “Will you be my boyfriend?” tak pun si perempuan tu tanya macam ni, “Will you marry me?”. Perempuan sewel aje yang boleh buat macam tu. Saya jamin kerat kuku kalau ada macam tu. Hehehe
M_Syazril: what? Kerat kuku? Apa punya jamin daa…
Aku ketawa semahunya selepas membaca reaksinya. Nampaknya, dia perasankan ayat terakhir aku tu. Ikon Y!M yang sedang ketawa sambil terguling-guling di atas hantai aku klik dan dihantar kepadanya.
M_Syazril: macam mana pulak kalau awak disuruh berkahwin dengan seorang perempuan yang awak hanya anggap sebagai kawan baik? Apa reaksi awak?
Sya_Khira: hmmm… sound interesting. Reaksi saya? Tolak aje. Saya dapat rasakan, mesti bosan hidup kita bila terpaksa berkahwin dengan kawan baik sendiri.
Sekali dengar, macam kejam aje reaksi aku tu. Yalah, terus tolak tanpa kompromi!
M_Syazril: kalaulah sesenang yang dicakapkan…
Sya_Khira: wait, sebenarnya masalah siapa ni? Awak ke yang kena kahwin dengan kawan baik sendiri tu? Boleh awak terangkan dengan detail tak, saya dah confius ni.
Dari pada reaksinya pada jawapanku, aku seakan dapat merasakan yang masalah yang dia minta pendapat aku tu adalah masalah dia.
M_Syazril: ya, memang masalah saya. Macam ni, saya letakkan awak di tempat saya. Awak ada sorang kawan baik dan awak hanya anggap dia sebagai kawan baik sahaja, tak lebih dari itu. Tapi mak awak melihat sebaliknya. Tiba-tiba mak awak mengusulkan cadangan nak mengahwinkan awak dan kawan baik awak tu. Macam mana nak kahwin kalau awak tak ada langsung perasaan sayang kat kawan baik awak tu.
Sya_Khira: oh. So, apa reaksi perempuan tu? Dia terima ke?
M_Syazril: hmmm, saya pun tak tahu. Saya masih lagi tak berkesempatan untuk duduk berbincang dengan dia. Dengarnya persiapan sedang dilakukan.
Sya_Khira: Wah, ya ke? Lajunya. Bila majlisnya ni?
M_Syazril: kalau tak salah, majlis yang dirancang akan berlangsung lagi 5 bulan. Saya dah naik buntu sekarang.
Waduh, waduh. Macam mana nak tolong dia ni sedangkan aku tak pernah pun mengalami perkara sebegitu. Susah, susah.
Sya_Khira: saya rasa macam ni lah. Apa kata awak minta cuti dan balik ke Malaysia. Then, awak bincang dengan kawan baik awak tu dan dengan keluarga awak sekali. Mana tahu akan ada jalan penyelesaiannya melalui perbincangan tu.
M_Syazril: tapi sekarang ni, cuti di syarikat saya dibekukan kerana pihak syarikat telah menerima satu tender yang bernilai 2 billion dan masa untuk menyiapkan tender itu makin suntuk. So,untuk 2 atau 3 bulan ni saya tak dapat cuti.
Sya_Khira: macam tu pulak? Susahlah.
Akhirnya aku melayannya melepaskan beban yang sedang menyerabutkan kepalanya. Hampir pukul 1 pagi barulah aku dapat mengundurkan diri. Tetapi kepala aku pula yang memberat dengan masalah yang baru sahaja di luahkan oleh M_Syazril itu. Ah sudah! Macam masalah aku pulak!

PAGI itu selepas aku selesai mengepos barang-barang pesanan pelanggan maya, mataku terpandangkan sebuah gerai menjual majalah dan akhbar yang sememangnya telah berkurun ada di depan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Terlintas sesuatu di fikiranku yang telah membuatkan aku memberhentikan kereta di hadapan gerai itu dan bergegas keluar dari perut kereta, mendapatkan gerai majalah tersebut.
Enjin kereta tidak aku matikan kerana dekat saja. Sambil tangan membelek majalah di gerai itu, sambil itu juga mataku sesekali memandang ke arah keretaku. Bukan apa, pada sebelah pagi begini, pihak polis atau pihak bandaraya suka betul menyaman orang. Tambah-tambah yang parking kereta di laluan yang telah sedia sempit. Peringatan untuk aku sebenarnya supaya cepat-cepat memilih majalah dan berlalu dari situ jika tak mahu duit melayang untuk buat bayar saman.
Sejurus menjumpai majalah yang berkenan di hati, aku terus melakukan pembayaran dan bergegas ke kereta. Sebenarnya aku dah nampak beberapa orang pekerja bandaraya sedang melilau mencari mangsa. Sebelum berlaku perkara yang tak diingini, lebih baik aku cabut. Kereta di pecut ke arah butik.
Aku berjalan memasuki butik dengan membawa bersama majalah yang dibeli tadi.
“Banyaknya Cik Sya beli majalah. Nak buat apa?” mulut becok Miza menyapa kehadiranku di butik itu.
“Nak buat bungkus nasi lemak,” dengan selamba dan dengan muka tanpa riak aku menjawab.
“Hah? Biar betul Cik Sya. Takkan Cik Sya beli majalah ni semata-mata untuk bungkus nasi lemak. Mahal majalah tu.” Dengan seriusnya dia membidas jawapanku. Nak terburai ketawaku apabila mendengar dia berkata-kata.
“Dah awak tanya, saya jawab. Tak ada salahnya jawapan saya tu,”
Saira yang sedang menyapu lantai ketawa lepas kerana mendengarkan perbualan aku dan Miza. Miza pula apabila terasa diri dipermainkan terus menarik muka empat belas. Muncung itiknya mula kelihatan.
Aku melangkah memasuki bilikku sambil tersenyum. Tersenyum dengan gelagat Miza. Plastik berisi beberapa buah majalah aku letak di atas meja kerjaku. Satu persatu majalah itu aku bawa keluar dari beg plastik. Ada majalah PENGANTIN, majalah RAJA SEHARI, majalah MEMPELAI dan majalah WANITA.
Kesemua majalah ini amat penting buatku kerana majalah-majalah ini akan aku jadikan sebagai sumber rujukan dalam menghasilkan baju pengantin untuk bakal menantu Aunty Ida. Sementelah lagi aku ni langsung tak pernah menghadiri apa-apa kursus bahagian jahitan baju pengantin.
Jadi kerja aku hari ni adalah membelek majalah-majalah tersebut agar aku dapat mengaplikasikan ilmu yang diperolehi di dalam majalah itu ke atas rekaan baju pengantin bakal menantu Aunty Ida. Wah, naik jenuh jugak nanti nak khatamkan 4 buah majalah tersebut.

Khamis, 6 Oktober 2011

SEDUTAN KYKS YG BELUM LG DISIAR DI BLOG OR P2U..

Jom baca... sedikit sedutan e-novel KYKS.. xde lg kat blog or p2u..(^_^)
bg yg suka or x suka please komen..:)

Di dalam bilik, aku merapati meja tulis. Telefon di atas meja itu aku capai. Konsol papan pemuka telefon aku tekan, mencari-cari nama Syu. Apabila jumpa, terus aku dail dan telefon ditekap ke telinga.
“Syu, apa semua ni?” tanpa salam seperti biasa, aku menyoal Syu dengan nada tinggi. Aku memang tak puas hati dengan berita yang abah khabarkan.
“Apa kak?” Syu soal aku balik. Ya Allah budak ni! Sempat lagi nak buat tak tahu!
“Syu jangan nak buat tak tahu! Rombongan merisik yang datang siang tadi tu apa?” kesabaranku semakin menipis.
“Err… pasal rombongan tu, Syu baru aje tahu. Syu tak sangka mereka bersungguh nak hantar rombongan merisik. Syu ingatkan lambat lagi rombongan tu akan datang ke rumah. Err… kak, apa reaksi mak dan abah?” Syu menjawab teragak-agak. Aku tahu, dari nada suaranya itu, dia sedang serba salah sekarang ni.
“Ha, pasal reaksi emak dan abahlah yang buat akak naik angin ni! Kau tahu tak, abah cakap abah tak akan terima pinangan mereka selagi akak tak kahwin. Abah tak nak Syu langkah bendul. Gila! Mereka tu nak ikat Syu dengan majlis pertunangan aje. Bukannya terus kahwin. Sebabkan Syu, akak yang jadi mangsa. Tahu tak, abah bagi tempoh sebulan kat akak untuk mencari pasangan jika nak abah terima pinangan mereka. Mana akak nak cekau seorang lelaki untuk dijadikan sebagai suami dalam masa sesingkat tu?” panjang lebar aku terangkan kepada Syu. Ada juga sesekali terkeluar nada geram.
Syu di hujung talian senyap tak terkata. Mungkin terkejut dengan apa yang aku luahkan.
“Syu, ada lagi ke tak ni?” soalku selepas lama Syu membisu.
“Iya, ada ni.” langsung tak ada nada bersalah si Syu ni! makin buat aku geram ni.
“Dah tu, kenapa senyap aje? Akak telefon kau bukannya nak tunggu kau membisu begini. Akak nakkan jalan penyelesaian!” dahlah mood aku tak elok. Boleh pulak adik macam ni! Tahu buat masalah aje, tak tahu nak selesaikan. Tak pasal-pasal aku kena heret sama!
“Err.. Syu tak tahu kak.” Lama dia senyap, tu aje yang dia jawab. Haih, berapi aku ni!
“Apa? Tak tahu? Kau ni tahu buat masalah aje. Tapi tak tahu nak selesai! Habis macam mana sekarang? Mana akak nak cari seorang lelaki ni?” semburku melepaskan geram.

Khamis, 29 September 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB 11


MAJLIS perkahwinan Jun akhirmya tiba juga. Majlis akad nikah bermula pukul dua petang tapi seawal pukul 10.00 pagi, aku dah terpacak di depan pintu pagar rumah Jun. Pertama kali buat baju kahwin la katakan. Jun pun terkejut jugak bila tengok aku datang awal pagi kat rumah dia.
Hari ni aku memang aku tak pergi ke butik. Dari semalam lagi aku dah pesan kat Saira dan Miza. Begitu juga dengan segala tempahan pelanggan maya. Penghantaran seterusnya adalah esok.
Sekarang dah pukul 1.00 petang, pengantin lelaki akan sampai kurang sejam dari sekarang. Wajah Jun sudah siap di mekap. Huh! Memang tebal siot! Sekarang giliran aku pulak memakaikan baju pengantin ke tubuh genit Jun.
Sebaik saja Jun siap memakai bajunya, aku mula memainkan perananku mengubah baju tersebut agar sedang elok terletak di tubuh Jun. Nanti tak adalah tetamu yang datang mula cakap-cakap belakang berkenaan baju pengantin yang aku reka ini.
Tepat pukul 2.00 petang rombongan pihak lelaki sampai di perkarangan rumah keluarga Jun. memang segak si bakal pengantin lelaki dengan persalinan serba putih, sepadan sangat dengan Jun. dengan dua kali lafaz, Jun akhirnya sah menjadi milik Hairul. Wah! Bertuahnya Jun!
Kemudiannya pengantin bersalaman pula dengan ahli keluarga dan sahabat handai. Majlis selesai kira-kira pukul 5.00 petang. Dan berakhir juga tugasanku untuk petang itu. Aku bersiap-siap untuk pulang bila melihatkan para tetamu semakin berkurang.
Hari ni cuma berlangsung majlis akad nikah. Esok barulah diadakan majlis persandingan dan jamuan makan besar-besaran. Dan aku cuma ditugaskan untuk menyiapkan baju untuk majlis akad nikah sahaja. Manakala untuk majlis esok hari, Jun telah menempah dengan pereka lain.
Tapi Alhamdulillah. Aku syukur sangat, nampaknya percubaan pertama aku mereka sepasang baju pengantin berjaya. Dan jika ada lagi tempahan baju pengantin untuk masa akan datang, aku akan menerimanya, insya ALLAH.
Aku merapati Jun ang sedang berbual dengan kaum kerabatnya.
“Jun, aku mina diri dulu.”
“Laa, kau dah nak balik ke? Duduklah lama sikit, awal lagi ni.”
“Awal apanya. Dah lewat ni. Kau tengok jam kat tangan aku ni, dah pukul 5.15 tahu.” Aku menghulurkan tangan kiriku yang tersarung jam di pergelangan tangan.
“Emm, yalah. Tapi esok kau jangan tak datang pulak.” Pesan Jun lagi.
“Iya. Aku janji esok aku datang. Kau ni, dah ada cik abang pun nak berkepit dengan aku jugak.” Pantas aku membalas.
“Cik abang dengan kawan baik lain tau. Takkan semua masalah perempuan aku nak cerita kat cik abang aku. Huh, kau ni!” bidas Jun.
“Yalah, yalah. Bercakap dengan kau ni memang tak habis. Ada aje jawapannya. Okeylah, aku nak balik dulu. Nanti kalau balik lambat, mak aku bising pulak. Kau tahu-tahu sajalah mak aku tu.” Lanas aku menghulurkan salam sebelum berlalu pergi.

TEPAT pukul 8.00 pagi, aku sudah berada di dalam butikku. Miza dan Saira masih lagi belum menampakkan wajah. Biasanya mereka masuk kerja pukul 9.00 pagi. Aku datang awal ke butik sebab nak selesaikan segala tempahan pelanggan yang perlu di pos hari iu juga. Pukul sebelas nanti aku nak ke rumah Jun pula. Aku takut jika aku lewat menguruskan urusan pengeposan ini, maka lewatlah aku ke rumah Jun.
Kurang 10 minit ke pukul 9.00, Miza dan Saira sudah masuk memulakan kerja. Pintu hadapan butik terus dibuka tanpa lengah. Awal-awal pagi biasanya pelanggan kurang lagi. Tapi apabila tiba waku makan tengah hari, pelanggan mula ramai. Mereka biasanya terdiri daripada para pekerja kerajaan dan swasta yang terdapat di sekitar butikku ini.
Akhirnya aku berjaya menyiapkan tempahan pelanggan kira-kira pukul 10.15 pagi. Ada dua puluh bungkusan semua sekali. Dengan panas dan tanpa lengah, aku terus mengangkut semua bungkusan tersebut ke dalam kereta. Sebelum berlalu, aku sempat menitipkan pesan kepada Miza dan Saira yang aku akan masuk lambat sedikit pada petang itu.
Semalam aku sempat melawat teman baikku, Azlira di rumahnya sebaik saja dia menghantar mesej kepadaku. Dia bersalin awal seminggu daripada jangkaan doktor. Tapi anak kembar Azlira memang comel walaupun masih merah lagi. Geram aku melihat mereka. Kelam-kabut juga aku petang semalam berkejar ke pasar raya, membeli sebuah hamper untuk bayi-bayi comel Azlira itu. Sebelum berpamitan, sempat Azlira menasihatiku.
“Bila lagi kau nak ada anak macam ni? Janganlah tunggu lama-lama. Umur kita ni makin lanjut. Kau nak ke waktu kau dah bongkok, anak kau baru nak masuk sekolah. Jangan macam tu. Nanti menyesal tak sudah kau.” Kata-kata ringkasnya itu membuatkan aku terfikir-fikir sendiri.

 KETIKA aku sampai di perkarangan rumah Jun, aku lihat orang ramai sudah memenuhi ruang makan di bawah khemah yang telah didirikan. Tanpa lengah, aku terus melangkah masuk ke dalam rumah Jun. Aku lihat bilik Jun yang telah di ubah suai menjadi bilik pengantin sedang sesak dengan tetamu yang ingin bergambar dan bertemu dengannya.
Rombongan pengantin lelaki masih lagi belum tiba. Aku merapati Jun apabila melihat tetamu semakin berkurang di dalam bilik itu. Jun sedang sibuk di solek oleh mak andam.
“Tahniah, Jun!” ucapku sambil mengucup kedua-dua belah pipinya.
“Terima kasih. Lepas ni giliran kau pulak.”
“Aku? Lambat lagilah kalau kau nak tunggu nasi minyak aku.” Gumamku perlahan.
“Eh, kau ni. Jodoh pertemuan semuanya di tangan ALLAH. Insya ALLAH, mana tahu jodoh kau ada dalam masa terdekat ni.”
“Jun…” meleret aku menyebut namanya.
“Dah, tak payah kau nak cakap banyak. Kau dah makan ke belum ni?” soalan Jun mengalihkan topik yang dia bangkitkan pada awalnya.
Aku menggelengkan kepala.
“Kau pergilah makan dulu. Tapi nanti lepas makan, kau jangan balik terus, kau temankan aku kat sini ya.”
“Iyalah tuan puteri.” Sindirku secara terang-terangan.
Aku berlalu keluar dari bilik pengantin itu. Mataku memandang sekilas pada jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 12.00 tengah hari. Dalam sejam lebih lagi pihak pengantin lelaki akan sampai. Kakiku terus di atur ke arah khemah yang menyediakan makanan.

“KENAPA kau kelam-kabut ni? Cuba bawak bertenang. Nanti habis rosak mekap kat muka kau tu.”
“Fiza, kau kena tolong aku. Dah tak ada sesiapa yang boleh tolong aku.” tiba-tiba Jun merayu denganku.
“Tolong apa? Cuba kau cakap dengan aku satu-persatu, aku tak fahamlah kalau kau duk gelisah macam ni.”
“Tolong jadi pengapit aku.”
“What?!” spontan bibirku terjerit kecil.
“Tolonglah. Kau aje yang boleh tolong aku. Please.” Jun merayu lagi.
Masa makin genting. Pihak pengantin lelaki akan tiba bila-bila masa aje dari sekarang. Dan aku disuruh menjadi pengapit? No way!
“Fiza…” nak pujuk punya pasal, melet-leret dia sebut nama aku.
“Kau sedar tak ni? Kau tengoklah aku ni macam mana, dahlah gemuk. Nanti tak pasal-pasal majlis kau cacat disebabkan aku. Sebelum ni siapa yang akan jadi pengapit kau?”
“Aku masih waras lagi. Sebelum ni sepupu aku yang sepatutnya jadi pengapit aku tapi baru tadi dia call aku bagi tahu dia tak dapat datang. Entah hal apa pun aku tak tahu sampai penting sangat katanya. Fiza, tolonglah. Kali ni aje. Please, please!”
“Eh, tak naklah aku! Kau carilah sepupu kau yang lain. Ha, kau kan ramai kawan, suruh ajelah salah seorang dari kawan kau tu jadi pengapit kau. Aku tak nak!” keputusanku bulat.
“Masalahnya sekarang, semua kawan-kawan aku dah kahwin. Cuma kau aje yang tak kahwin lagi. Tolonglah aku, kau tak kesian ke kat aku? Nanti bersanding tanpa pengapit,” Si Jun ni dah buat muka sedih dia dah.
“Jun, pihak lelaki dah sampai. Bersedialah, kita nak turun ni.” Suara salah seorang saudara Jun mematikan perbualan antara kami.
Aku lihat Jun bangun, bersiap-sedia untuk turun ke pelamin di tingkat bawah.
“Tak apalah kalau kau tak nak jadi pengapit aku. Nampaknya aku bersanding tanpa pengapitlah hari ni.” Lirih Jun bersuara.
Aku mematungkan diri. Berfikir sejenak. Sempat lagi berfikir tu pada saat-saat genting macam ni!
“Okeylah, okeylah. Aku jadi pengapit kau.” Tuturku perlahan.
Akhirnya aku bersetuju juga menjadi pengapit bidan terjun kepada Jun. Jun yang baru sahaja melangkah melepasi pintu biliknya berpatah balik dan mendapatkan aku.
“Betul ke apa yang kau cakapkan tu? Aku tak salah dengarkan.” Terus wajah sayunya tadi bertukar girang. Amboi, kau ni Jun, pandai betul main drama!
“Aku tak ulang dua kali apa yang aku cakapkan. Nanti kang aku tarik balik kata-kata aku tu, baru padan dengan muka kau.” Ugutku.
“Okey, okey. Jom.” Jun terus menarik tanganku.
“Wei, aku ni tak payah mekap ke?”
“Alah, kau dah lawa tu. Cepatlah!” Jun terus menggesa aku. Susah betullah bila orang dah tak sabar ni.
Aku mengiringi langkah Jun menuruni anak tangga rumah berkembar itu. Sesampai di anak tangga paling akhir aku lihat pengantin lelaki melangkah merapati Jun. Mataku terpaku memandang si pengapit lelaki yang sedang berdiri di sebelah Hairul. Si pengapit mengenakan sepasang kaca mata hitam pada wajahnya.
‘Macam pernah jumpa, tapi di mana ya?’ hatiku menyoal sendirian.
Aku tersedar dari lamunan apabila terasa Jun menarikku mengikuti langkahnya ke pelamin. Soalan di dalam hati aku biarkan tanpa jawapan. Majlis persandingan Jun dan Hairul berjalan dengan jayanya dan sangat meriah.
Dalam pada aku memainkan peranan sebagai pengapit Jun, mataku sesekali mencuri pandang kepada si pengapit yang berdiri di sebelah Hairul. Aku tak akan berpuas hati selagi aku tak tahu siapa empunya diri lelaki itu.
Selepas selesai majlis persandingan, pengantin meminta diri untuk menukar pakaian. Lima belas minit kemudian, majlis diteruskan dengan upacara memotong kek setinggi lima tingkat dan majlis makan beradab. Majlis secara keseluruhannya selesai pada pukul lima petang. Aku betul-betul letih ketika itu. Sebaik saja tetamu berangsur pulang, aku juga turut meminta diri.
“Jun, aku balik dulu.”
“La, kau dah nak balik ke?” lagi mau tanya pulak. Nak suruh aku tidur kat sini ke?
“Kenapa? Kau nak aku tidur kat sini ke? Habis, cik abang kau tu kau nak campak ke mana?” laju bibirku menyoal.
“Amboi, mulut! Tak ada insurans langsung!” Aku ketawa perlahan melihatkan reaksi Jun.
“Eh, siapa yang jadi pengapit Hairul?” soalan yang aku pendam di dalam hati aku muntahkan jua.
“Oh, tu kawan Hairul, Aril nama dia. Kenapa? Kau berkenan ke? Kalau berkenan boleh aku kenenkan.”
“Eh kau ni, ke situ pulak. Nama dia Aril? Emak dia bukan ke nama Aunty Ida?”
“Entahlah. Aku pun tak tahu. Tapi kalau tak salah aku, mak ayah dia ada pangkat Datuk Datin.”
Aku rasa apa yang aku fikirkan dengan maklumat yang Jun beritahu adalah sama. Adakah dia Aril anak Aunty Ida?
Aku berpamitan dengan Jun sebelum berlalu dari majlisnya itu.

Khamis, 22 September 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB10

RUPANYA mimpi ngeri yang sangat-sangat aku ingin elakkan terjadi juga. Aku baru aje merancang untuk merehat-rehatkan diri pada hari Sabtu yang permai ini memandangkan baju Jun dan beberapa helai baju pelanggan lain sudah siap dijahit maniknya. Termasuklah baju Aunty Ida cuma aku tak telefon lagi Aunty Ida untuk memaklumkan padanya yang bajunya sudah siap.
Namun, rancanganku tergendala juga. Seawal pukul sembilan pagi, telefonku menjerit suruh diangkat. Tengah-tengah best tidur, ada aje yang mengganggu! Dengan malasnya, aku mencapai telefon yang diletak di bawah bantal. Skrin telefon aku pandang sekilas dan kemudiannya aku letak kembali di atas katil tanpa menjawabnya.
Tak sampai dua saat, aku memandang kembali skrin telefon. Dan secara automatik badanku bangun dari pembaringan. Aunty Ida! Tanpa menunggu lama, butang hijau pada keypad telefon aku tekan dan telefon dibawa ke telinga.
“Assalamualaikum, Sya.” Aunty Ida memberi salam.
“Wa’alaikumussalam, aunty.” Jawabku dengan suara yang masih serak-serak. Yalah, mana tak seraknya kalau baru bangun tidur.
“Sya, aunty ganggu ke?” tanya Auntie Ida serba salah.
“Eh, tak adalah. Kenapa aunty?”
“Aunty telefon ni nak tanya, baju aunty dah siap jahit manik ke belum?”
“Dah siap dah. Baru aje malam tadi saya siap jahit. Cuma tak sempat lagi nak bagitahu aunty. Aunty nak pakai cepat ke?”
“Oh. Boleh tak kalau aunty nak Sya hantar ke rumah aunty baju tu? Baju tu aunty nak pakai cepat, tapi aunty takut tak sempat nak pergi ke butik esok. Boleh tak Sya?”
Mendengar aje permintaan Aunty Ida membuatkan aku kelu seketika. Alah, aku kena keluar jugak ke hari ni? Aku dahlah dalam mood malas ni. Macam mana ni? Nak pergi ke tak?
“Sya? Ada lagi tak ni?” soal Aunty Ida apabila lama aku mendiamkan diri.
“Err.. ada lagi ni aunty.” Jawabku.
“So, boleh tak Sya hantar baju tu ke rumah aunty?” Aunty Ida mengulangi soalannya.
“Errr… boleh kut. Pukul berapa aunty nak saya hantar baju tu?”
Boleh aje kut aku hantar baju tu. Bukan lama pun. Cepat hantar, cepat aku balik.
“Emm… Sya hantar sebelum tengah hari boleh? Dalam pukul sebelas boleh? Sebab lepas waktu tengahari tu aunty tak ada kat rumah.”
“Okey, aunty. Err… alamat rumah aunty?” pintaku.
Di tanganku sudah tersedia sekeping kertas dan sebatang pen untuk mencatat alamat rumah Aunty Ida. Aku mencatat alamat yang Aunty Ida beritahu. Aunty Ida siap menerangkan lagi peta lokasi rumahnya. Takut aku tersesat pulak. Tapi bagus jugak sebab aku bukannya arif sangat dengan kawasan rumah Aunty Ida tu. Kampung Bukit. Aku tak pernah lagi masuk kampung tu.
Selepas berbalas salam, talian dimatikan. Aku melihat jam pada skrin telefon, sudah menghampiri pukul sembilan setengah. Hmmm… malaslah pulak! Rasa nak sambung tidur balik aje. Malas, malas, malas! Tapi kalau aku tak hantar baju tu, lewatlah dapat duit. Kalau hantar hari ni, Aunty Ida mesti bayar terus. Emmm, pergi ajelah!

SUDAH dua kali aku pusing kawasan kampung Bukit ni tapi tak jumpa-jumpa rumah Aunty Ida. Hisy, mana rumah dia ni? Dah naik berpeluh aku ni. Kalau tak jumpa jugak aku balik ajelah. Aku berkira-kira dalam hati. Sedang aku berkira-kira untuk balik saja, telefon di dalam handbagku menjerit minta diangkat. Pantas tangan kananku menyelongkar dalam handbag mencari telefon bimbitku.
Sejurus jumpa, aku memandang nama yang tertera pada skrin telefon. Aunty Ida! Macam tahu-tahu aje aku nak pusing balik. Nasib baik Aunty Ida call aku.
“Assalamualaikum,” aku memberi salam.
“Wa’alaikumussalam. Sya, Sya ada kat mana ni? Tak sampai lagi ke?” tanya Aunty Ida. Aku dapat dengar suaranya seperti risau aje.
“Err.. aunty, saya sebenarnya tak jumpa rumah aunty. Dah dua kali saya pusing kawasan ni tapi still tak jumpa jugak.” Aku memberitahu perkara sebenar.
“Oh, ya ke? Sya ada kat mana tu?”
“Saya ada kat depan Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit ni. Saya ingat kalau tak jumpa jugak rumah aunty, saya nak pusing balik aje.” Aku berterus terang.
“Eh, janganlah pusing balik. Okey, macam ni, aunty suruh anak aunty ambik Sya kat sekolah tu. Sya pakai kereta apa ya? Senang anak aunty nak cari Sya.”
“Saya pakai Kenari warna hitam. Saya ada kat depan pintu pagar sekolah ni. Lagi pun kat sini memang tak ada kereta lain, saya aje ada kat sini.”
“Okey, lagi sepuluh minit anak aunty sampai. Dia pakai kereta Audi, warna hitam jugak ya.”
“Okey, terima kasih aunty.” Selepas salam berbalas, aku menekan butang merah.
Aku susahkan anak Aunty Ida pulak! Harap-harap anak dia yang lain, tak naklah anak dia yang buat kecoh kat Mydin Mall tu. Huh! Sombong! Bongkak!
Hampir sepuluh minit aku menunggu, aku dikejutkan dengan bunyi hon kereta sebanyak dua kali. Mataku terus memandang ke sekeliling. Sebuah kereta Audi sedang menantiku di hadapan kereta abah ini. Tanpa menunggu lama, aku terus menghidupkan enjin kereta dan gear dimasukkan.  Perlahan-lahan aku mengikut buntut kereta mewah itu.
Sedang memandu, aku terintai-intai ke arah kereta itu. Nak tahu jugak anak Aunty Ida yang mana datang menjemputku. Mamat sengal yang  pernah aku jumpa atau anaknya yang lain. Tetapi hajatku tak kesampaian, seluruh cermin kereta itu telah di tinted gelap. Jadi memang aku tak boleh mengintailah siapa si dia ni.
Dia belok ke kanan, aku ke kanan. Dia belok ke kiri, aku ke kiri. Lima minit kemudian, dia berhenti di depan sebuah rumah banglo yang aku tak tahu berapa tingkat tingginya kerana terlindung di sebalik pagar dan pintu pagar yang amatlah tinggi. Macam tembok kat penjara pulak aku tengok.
Pintu pagar terbuka secara automatik. Wah! Memang betul-betul kaya Aunty Ida ni. Aku mengekori kereta Audi itu memasuki kawasan rumah besar itu. Aku menekan brek secara mendadak. Si kereta Audi telah selamat masuk ke dalam garaj. Tapi aku nak letak kat mana kereta ni? Tiba-tiba cermin kereta diketuk orang. Aunty Ida! Aku menurunkan cermin.
“Sya park kereta kat garaj sana ya.” Aunty Ida memberi arahan sambil tangannya dihala ke garaj kereta.
Aku menganggukkan kepada dan memulas stereng kereta ke arah garaj yang Auntie Ida arahkan. Aku parkir kereta disebelah kereta Audi yang aku ekori tadi. Hanya di situ sahaja kosong tanpa kenderaan. Sebaik elok kedudukan kereta, aku membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Dan dia di dalam perut Audi juga membuka pintu di bahagian pemandu sebelum keluar dari dalam kereta. Macam berjanji pulak! Nampaknya aku dapatlah tengok siapa empunya gerangan yang telah menjemputku itu. Aku berpaling ke arah kereta Audi itu.
“Hah!” jeritku perlahan. Dia ke? Mamat sengal yang aku langgar di Mydin Mall tu? Oh GOD! Apalah nasibku ni!
Dia juga memandang ke arahku dengan pandangan yang teramat tajam. Huh! Aku heran pun tak! Aku mengambil baju milik Aunty Ida dari dalam kereta. Auntie Ida mendapatkan aku.
“Auntie, ni baju aunty.” Hulurku bungkusan plastik berisi baju miliknya.
“Terima kasih, Sya. Jom masuk.” Dia menyambut huluranku dan mengajakku masuk. Apa? Masuk? Hisy, tak boleh jadi ni! Kalau sengaja nak tempah bala, sangat dialu-alukan untuk menerima pelawaan Aunty Ida itu.
“Eh, tak apalah aunty. Saya datang hantar baju ni aje. Saya mintak diri dululah aunty.” Aku sehabis boleh mengelak dari menerima pelawaannya itu.
“Laa.. kenapa pulak? Aunty dah siap masak tu. Marilah.” Dia masih mengajakku.
“Err.. tak apalah aunty, susah-susah aje. Saya datang ni nak hantar baju aunty aje. Lagi pun saya dah janji dengan kawan, nak jumpa dia.” Aku mencipta alasan. Senyuman terukir di bibirku. Entah ikhlas ke tidak tak tahulah.
“Alah, jomlah. Kawan tu, bila-bila boleh jumpa. Aunty dah siap masak banyak tu, nanti tak ada orang makan, membazir pulak.” Aunty Ida masih tidak berputus asa untuk mengajakku menyertai makan tengahari dirumah besarnya itu.
Kalau aku menerima pelawaannya itu, mesti aku akan bertembung dengan anak lelaki dia yang kerek tu. Adoi! Perkara yang aku elakkan nampaknya akan terjadi jugak! Macam mana ni? Nak pakai alasan apa lagi ni?
“Err..” aku kematian alasan.
“Alah, tak payah fikir-fikir lagi. Mari ajelah.” Aunty Ida telah memaut erat lenganku. Dan secara tak langsung dia menarikku masuk ke dalam rumahnya.
Anaknya yang telah menjemputku tadi telah laam masuk ke dalam rumah. Apalah reaksinya apabila dia lihat aku ada sama dalam makan tengah hari bersama keluarganya. Hisy! Aku ni memang betul-betul cari masalah!
Saat kaki menjejak ruang tamu rumah Aunty Ida, aku terpaku dan terpegun. Susun atur perabot dan hiasan dalaman rumah itu jauh berbeza dengan rumah keluargaku. Perabot-perabotnya adalah dari luar negara. Begitu juga perhiasan-perhiasan yang ada di tuang tamu itu. Huh! Memang kaya Aunty Ida ni. Dan punya citarasa yang tinggi.
Aunty Ida meletak bungkusan berisi baju yang aku baru beri sebentar tadi di atas meja berhampiran dengan televisyen. Dia kemudiannya mengheret aku ke ruang dapur. Wah! Sangat teratur dapur aunty ni. Macam dapur hotel. Semuanya susunan pinggan mangkuk, cawan, gelas dan segala bahan mentah untuk memasak dalam keadaan amat teratur.
“Sya, duduk sini dulu ya. Aunty nak hidang lauk untuk  makan tengah hari sekejap.”
Aku jadi kekok jika terus menjadi pemerhati begini. Akhirnya aku bersuara.
“Err.. Aunye, ada apa-apa yang boleh saya tolong?”
“Emm, tak payahlah. Sya duduk aje kat situ. Nanti bila dah siap aunty panggil ya.”
“Err… tapi saya tak selesalah bila jadi pemerhati begini.” Aku berterus-terang.
“Okey, kalau macam tu, Sya tolong bancuhkan air boleh?”
“Okey,” aku melembarkan senyuman manis ke arahnya.
Aku bangun dari kerusi yang diduduki untuk sekian kalinya. Aku melangkah ke arah singki. Tak tahu sebenarnya nak ambil jag yang mana satu. Rumah orang kan. Kalau rumah aku senanglah, aku mesti tahu kat mana aku simpan semua peralatan tersebut.
“Err.. Aunty, jag air kat mana?” aku bertanya.
“Oh, jag air kat sini Sya.” Aunty Ida menunjukkan kepadaku tempat letak jag. “Sya, Sya cuma perlu tuangkan kordial yang dalam peti sejuk tu. Kemudian campur air masak dan ais ya.” Tambahnya lagi.
Oh, senang bangat!
“Okey,” jawabku pendek.
Siap membancuh air, aku menatang dulang berisi gelas dan air roselle ke ruang makan. Ketika aku meletak dulang, kedengaran orang memberi salam dari luar. Aunty Ida mendahuluiku menerpa ke arah pintu besar rumah itu. Aku memasang telinga mendengar perbualan antara mereka.
“Laa.. kenapa baru sampai? Rumah kamu bukannya jauh pun dari sini.” Kedengaran suara Aunty Ida bertanya.
“Ada accident atas jambatan tadi ma, sejam lebih jugak terperangkap kat atas tu.” Jawab suara lelaki.
“Iye ke? Ish, ish. Jomlah masuk. Mama dah siap masak dah.” Ajak Aunty Ida.
Eh, ramai ke yang nak makan tengah hari ni? Aduh! Aunty Ida ni! Berapa orang lagi yang Aunty Ida jemput ni? Aku ingat hanya aku, dia, suaminya dan anak lelakinya yang kerek tu aje. Nampaknya ada tetamu lain la.
“Hah, Sya. Jom ke depan. Semua dah sampai tu.” Aunty Ida yang tiba-tiba muncul dari ruang tamu mengajakku ke depan.
“Semua? Siapa aunty?” aku terus bertanya. Dah tak sabar nak tahu ni.
“Alah, tak ada siapa-siapa pun. Anak aunty aje.” Jawabnya sambil tersenyum.
“Err.. seganlah aunty.” Aku menahannya dari menarik tanganku.
“Eh, tak ada apa yang nak disegankan. Cuma anak menantu aunty aje. Jomlah.” Tanpa menunggu jawapan lanjut dariku, Auntie Ida terus menarikku ke ruang makan.
“Ma, banyak lauk hari ni. Mama ada nak raikan sesiapa ke?” tanya si lelaki yang masih asing di pandanganku. Mungkin anak lelakinya yang baru sampai sebentar tadi.
“Tak adalah. Saja mama terasa nak masak lebih sikit.” Aunty Ida menjawab pertanyaan anaknya itu.
“Eh, ma. Siapa yang kat sebelah mama tu? Calon menantu ke?” si perempuan yang sedang mendukung anak kecil pula menyoal Aunty Ida. Amboi, dia cakap aku ni calon menantu? Calon isteri untuk siapa? Untuk anak Aunty Ida yang sangat aku tidak sukai itu ke? Oh, no!
“Oh, lupa pulak mama. Ini Sya, dia ni pemilik butik yang selalu mama tempah baju tu. Sya, ni anak sulung Auntie, Melissa. Yang sebelah Kak Melissa tu suaminya, Abang Adam. Kalau Mel nak tahu, jahitan manik dia kemas sangat.” Wah, Aunty Ida siap promote butik aku lagi ni.
Aku menghulurkan tangan untuk bersalam ke arah Kak Melissa, anak Aunty Ida. Manakala untuk suaminya, aku hanya menganggukkan kepala.
“Iya ma? Nanti bolehlah Kak Mel ke butik Sya ya. Dah lama jugak teringin nak tempah baju yang ada jahitan manik ni. Tapi tak jumpa lagi yang berkenan di hati.” Ramah betul Kak Melissa ni. Tak macam adiknya tu.
“Boleh, kak.” Aku menjawab sambil melemparkan seulas senyuman ke arahnya.
Sedang kami berbual, tiba-tiba kedengaran suara seorang lelaki mencelah di antara kami. Siapa lagi akalu bukan si mamat kerek tu!
“Akak, abang, bila sampai?”
“Dah lamalah jugak. Kau baru bangun tidur ke? Akak tengok mata merah aje.”
“Eh, taklah. Mama kejut Aril bangun awal-awal lagi sebab suruh jemput tuan puteri yang sesat. Sebesar-besar rumah kita ni pun boleh dia tak jumpa. Ish, ish. Pelik betul.”
Amboi, amboi! Sesedap rasa aje kau perli aku! Mataku memandangnya. Pandangan kami bertembung.
“Apa ni Aril? Benda dah lepas. Sya bukannya selalu datang ke sini. Sebab tulah dia tak berapa tahu selok belok kawasan ni.” Yes! Aku ada pembela nampaknya. Semyuman sinis aku lemparkan kepada si lelaki yang digelar Aril itu.
“Dahlah, jom makan. Dah lewat ni. Papa tak dapat join kita hari ni. Dia ada meeting dengan Datuk Muzir.” Tambah Aunty Ida.
“Alah papa ni. Selalu aje meeting. Kalau papa terus serahkan syarikat tu kepada Aril kan senang. Papa tak perlu kena meeting lagi. Jumpa orang tu, jumpa orang ni.” Rungut Kak Mel.
Kami menikmati makan tengah hari dengan amannya. Eh, bukan kami sebenarnya. Mereka aje yang menikmati makan tengahari dengan amannya. Tetapi aku terganggu dengan renungan tajam mata anak lelaki Aunty Ida tu. Sampai nak masukkan nasi ke dalam mulut pun jadikan aku serba salah. Hisy!

p/s..salam...  jom layan sambungan e-novel kau yg kusayang... harap ada yg menyukainya..(^_^)