Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 6 Disember 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB17

“MASUK!” Syazril melaung kuat mendengarkan pintu biliknya diketuk dari luar. Pintu dibuka dari luar dan muncul Wadia, setiausahanya melangkah masuk.
“Err… Encik Syazril, ni ada sepucuk surat berdaftar untuk encik.” Wadia menghulurkan surat yang berada di tangannya kepada Syazril.
“Okey. Terima kasih, kak. Ada apa-apa lagi kak?” tanpa mengangkat muka, Syazril bertanya.
Wadia membelek buku berkulit hitam yang dipegangnya sejak melangkah masuk ke dalam bilik bosnya itu.
“Emm… hari ni encik perlu jumpa dengan Encik Malik dari ElectroMegah Sdn Bhd pada pukul 3 petang di Mayang Resort. Untuk hari ni, satu tu sahaja.” Ujar Wadia.
“Okey, terima kasih kak.” Syazril berterima kasih untuk kali kedua kepada Wadia.
Selepas itu, kelibat Wadia hilang di balik pintu biliknya. Dia terleka menyemak laporan pertengahan tahun yang baru sahaja dihantar oleh pekerjanya. Ketika dia mengangkat kepala sedikit, dia terpandangkan sepucuk surat yang dibawa masuk oleh Wadia tadi. Hatinya musykil. Siapa pulak yang hantar surat tersebut?
Tangannya pantas mencapai surat itu. Matanya melihat depan dan belakang sampul surat tersebut. Tiada nama penghantar. Hanya tercatat namanya sebagai penerima. Haih! Siapa pulak yang main hantar surat ni? Hatinya masih lagi tertanya-tanya.
Perlahan-lahan tangannya mengoyak sampul surat itu. Surat yang berlipat elok itu dia tarik keluar. Pelik aje nampak surat ni. Hatinya menelah sendiri. Dia baru sahaja ingin membuka lipatan surat itu, namun terhenti apabila interkomnya berbunyi. Lantas, diletakkan kembali surat itu dan butang pada interkom dia tekan.
“Ya, kak?” Tanya Syazril.
“Encik, Encik Mazlan ingin berjumpa dengan encik sekarang, boleh dia masuk?”
“Okey, benarkan dia masuk.”
Syazril terus terleka dengan kerjanya selepas itu. Perihal surat yang telah menimbulkan tanda tanya sebentar tadi, dia tolak ke tepi dahulu. Tuntutan kerjanya lebih penting saat ini.

PINTU rumah Syazril tolak perlahan. Badannya benar-benar penat kerana seharian perlu meneliti laporan pertengahan tahun dan sebelah petang pula berjumpa client di Mayang Resort. Beberapa keping fail yang masih belum habis disemak dia letak di atas meja kopi di ruang tamu rumahnya itu. Manakala briefcasenya disandarkan pada kaki sofa. Kemudian dia menekan suis lampu sebelum duduk di sofa. Badannya disandarkan pada sofa. Mata terpejam rapat. Lama dia berkeadaan begitu. Melayan rasa penat.
Tiba-tiba matanya terbuka. Badannya secara automatik bangun dari sandaran. Sesuatu terlintas di fikiran. Tangannya laju mencapai briefcase dan isi dalam briefcase dia selongkar. Hah, jumpa! Girang hatinya bersuara. Dia metarik keluar sepucuk surat dari briefcase itu. Ligat jari-jemarinya membuka surat yang masih berlipat itu. Syazril terpempam melihatkan isi kertas yang sederhana panjang itu. Akhirnya perlahan-lahan isi surat itu dia baca.

Dear Syazril;
Pertama sekali I nak minta maaf kat you sebab kedatangan surat ini akan menyebabkan you dan keluarga you akan marahkan I. Dan I sedar, kehadiran I dalam keluarga you sangat-sangat tidak disenangi.
Okey, straight to the point. Tak payah I membebel panjang-panjang. Sebenarnya I tak pernah pun masuk Islam macam yang mama you tulis di atas kad kahwin tu. Dan I nak tarik diri dari jadi pengantin you. I tahu you tak sukakan I. So, daripada I dan you terseksa di kemudian hari, lebih baik I tarik diri awal-awal. You jangan buat-buat terkejutlah sebab I tahu you memang tak suka dan tak cintakan I.
So, dengan kata mudahnya, you carilah pengganti I(kalau sempat dan kalau you nak majlis tu jadi majlis perkahwinan). Emm… kalau tak, you boleh aje tukar majlis tu jadi kenduri arwah. Hehehe…
Okeylah, bye!
Cellicia.

Sehabis membaca surat itu, Syazril terus menyambar kunci kereta dan berlalu keluar dari rumahnya itu. Dia tidak kira jam sedang menunjukkan pukul berapa pun. Kalau sudah menginjak pagi pun, dia perlu juga ke rumah mamanya. Isi surat yang baru dia baca tu betul-betul membuatkan dia naik angin dan hatinya membara. Namun, dalam marah, ada rasa suka. Suka kerana Cellicia telah membatalkan perkahwinan mereka.
Tapi hatinya masih berapi saat membaca ayat berbaur sindiran dari Cellicia.
So, dengan kata mudahnya, you carilah pengganti I(kalau sempat dan kalau you nak majlis tu jadi majlis perkahwinan). Emm… kalau tak, you boleh aje tukar majlis tu jadi kenduri arwah. Hehehe…
Siapa tak berapi apabila membacakan ayat tu. Ini bukan gurauan tapi dah menghina! Dia bertambah rasa berapi bila teringatkan kata-kata Cellicia yang dia kata dia tak pernah pun masuk Islam seperti mana yang mamanya tulis di atas kad kahwin. Perkara masuk Islam bukan perkara mainan!
Kereta yang Syazril pandu membelok masuk ke dalam perkarangan rumah Datuk Nawawi. Dia memandu terus dan berhenti betul-betul di hadapan pintu utama. Kereta tidak dimasukkan ke dalam garaj seperti kebiasannya. Sebaik kereta berhenti, dia terus meluru keluar.
“Mama, mama!” tanpa salam, Syazril memanggil mamanya keras. Kasar dia membuka pintu utama. Matanya melilau ke arah ruang tamu. Tak ada orang.
“Mama, mama!” laung Syazril lagi apabila panggilan pertamanya tidak bersahut. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan mencari kelibat mamanya.
“Apa kamu ni, terpekik panggil mama. Macamlah mama ni dah pekak!” Datin Sharida yang baru sahaja ingin lena, terkejut mendengar laungan Syazril. Meluru dia keluar dari bilik. Rasa kantuk yang tadinya menguasai diri terus hilang.
Syazril pantas memusingkan kepala, mencari kelibat mamanya. Apabila berjumpa, dia mengatur langkah ke arah mamanya yang masih terpaku di atas tangga. Surat yang hampir renyuk di tangan dihulurkan kepada Datin Sharida. Riak muka mamanya jelas terperanjat dan tertanya-tanya.
“Surat apa ni Aril?” soal Datin Sharida. Syazril memandang mamanya sekilas sebelum menjawab.
“Mama baca apa yang bakal menantu kesayangan mama tu tulis!” sinis dia menjawab.
Tanpa menunggu lama, Datin Sharida membuka surat yang berlipat itu. Matanya membulat ketika membaca isi surat tersebut. Usai membaca, dia mengangkat wajahnya. Matanya dan mata Syazril bertentang.
“Mana kamu dapat surat ni? Kamu jangan mereka-rekakan cerita. Mama tahu kamu tak sukakan Cellicia tapi janganlah kamu buat rancangan sebegini. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kamu dan dia nak bernikah. Kamu jangan buat begini. Kesian dia!” tinggi nada Datin Sharida.
Membuntang mata Syazril memandang mamanya. Panas telinganya mendengarkan tuduhan tanpa bukti mamanya itu. Orang lain yang buat salah, aku pulak yang dipersalahkan. Mama ni memang sudah menganaktirikan aku! Desis hati Syazril, geram.
“Mama, mama sedar apa yang mama cakap ni. Cuba mama baca elok-elok surat tu. Dah memang sah-sah tertulis nama Cellicia, tandatangan pun Cellicia yang punya. Itu yang mama cakap Aril mereka-rekakan cerita. Come on, mama. Kalau Aril yang nak buat semua ni, dari dulu lagi Aril buat. Kenapa perlu tunggu sekarang? Aril pun ada maruah! Aril tak akan jatuhkan air muka sendiri dengan membatalkan pernikahan last minute macam ni.” Bidas Syazril. Dia melepaskan geram sebenarnya.
Datin Sharida terkaku. Tidak berganjak dari tempat dia berdiri sejak tadi. Matanya tidak putus-putus merenung surat di tangan. Perasaan tidak percaya masih menyelubungi diri. Dia tidak percaya yang Cellicia sanggup melakukan ini semua. Tambah-tambah lagi hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi majlis pernikahan itu akan berlangsung.
Melihatkan mamanya membisu seribu bahasa, Syazril terfikirkan sesuatu. Rasanya inilah waktu yang paling baik untuk menyuruh mamanya membatalkan pernikahan ini.
“So, mama. Kiranya majlis pernikahan ni batallah ya. Dan keluarga kita tak akan ada ahli keluarga baru untuk waktu terdekat ni.” Ujar Syazril dengan perasaan gembira.
“Siapa yang cakap majlis pernikahan tu akan batal? Majlis tu tetap akan diadakan walaupun pengantin perempuannya akan bertukar dan rumah kita akan menerima ahli baru walau apa pun yang terjadi!” tegas Datin Khalida meningkah kata-kata anaknya. Tanpa menunggu reaksi Syazril, Datin Sharida berlalu masuk ke dalam biliknya.
Syazril yang mendengar setiap patah kata yang keluar dari mulut mamanya bagai petir yang sedang sambar-menyambar. Hatinya yang tadi sedang berbunga riang tiba-tiba bertukar mendung. Sampainya hati mama! Kejamnya! Hatinya memberontak dari dalam.
Dia tidak sangka yang mamanya akan bersikap begitu. Teramat keras dan degil. Fikirnya, dia boleh bertolak ansur dengan mamanya namun hati mama memang bulat. Bulat seperti mana kata-kata yang dia ucapkan. Melihatkan mamanya berlalu dari situ, dia juga mengambil langkah untuk keluar dari rumah itu. Dia berasakan lebih membahang jika lama-lama berdiri di dalam rumah itu.

DATIN Sharida gelisah. Dari tadi dia duk berjalan ke hulu ke hilir. Datuk Nawawi yang melihat pun dah naik pening. Datin Sharida memang tidak puas hati setelah membaca isi surat yang Syazril beri kepadanya dua hari yang lalu. Sudah dua hari berlalu membuatkan Datin Sharida makin gelisah. Dua hari yang terbuang tanpa apa-apa tindakan.
“Awak ni kenapa? Dari tadi duk berjalan ke kiri, ke kanan. Sampaikan saya ni naik pening kepala.” Tegur Datuk Nawawi. Dia rimas tengok isterinya itu tidak senang duduk.
“Abang, abang jangan buat-buat tanya pulak. Ni, mana saya nak cari pengganti Cellicia. Tak sampai 6 hari sahaja lagi majlis tu. Semua dah sedia. Takkan saya nak batalkan saja majlis tu. Malulah kita nanti!” sedikit tinggi suaranya membalas teguran suaminya.
Datuk Nawawi menggelengkan kepala. Dia kenal sangat dengan perangai isteri yang sudah 36 tahun dinikahi itu. Isterinya memang begitu. Dia mahukan semua orang mengikut setiap kata-kata dan arahannya. Sebagai bukti, anak-anak telah menjadi mangsa. Daripada menentukan tempat belajar, kursus semasa belajar hinggalah kepada pasangan hidup. Semuanya tindakannya dirasakan betul.
Tetapi perkhabaran anak bongsunya, Mariana Azeera yang menukar kursus belajar daripada kursus perniagaan kepada kursus komunikasi maklumat. Isterinya amat-amat marah ketika itu. Sampaikan isterinya sanggup memutuskan ikatan keluarga dengan anak sendiri. Begitu juga dengan bantuan kewangan yang diberhentikan serta-merta. Namun, dalam diam dan tanpa pengetahuan Datin Sharida, dia masih berhubung dengan Mariana.
Dan ini adalah tamparan kedua untuk isterinya. Perkhabaran Cellicia menarik diri daripada menjadi pengantin perempuan kepada Syazril benar-benar membuatkan Datin Sharida runsing. Ini baru buku bertemu dengan ruas! Bisik hati Datuk Nawawi.
“Awak yang aturkan begitu. Jadi jika keadaan bertukar jadi kelam-kabut begini, ikut awaklah nak buat apa pun. Ini semuakan rancangan awak.” Bidas Datuk Nawawi.
Sehabis berkata, dia terus mengangkat punggung dan beredar dari situ. Inilah akibatnya jika cakap orang lain tak mahu dengar. Hanya nak ikut hati sendiri sahaja. Nah, rasakan akibatnya! Dengus Datuk Nawawi.
Terpempam Datin Sharida mendengar setiap butir kata yang keluar dari mulut suaminya. Tidak disangka yang suaminya akan berkata begitu.

DATIN Sharida meneliti buku kecil di tangannya. Dia baru sahaja menulis beberapa nama anak kenalannya. Kepalanya ligat memikirkan nama-nama lain yang boleh disenaraikan lagi di dalam buku itu.
Maria, anak Datin Maimun.
Serra, anak Tengku Salina
Juju, anak Datuk Khaty.
Fareeda, anak Datin Fawziah.
Liyana, anak Puan Sri Juwahir.
“Emm… siapa lagi, ya? Hmm…” Datin Sharida berfikir-fikir sambil pen di tangan mengetuk buku memo perlahan.
Dirasakan semua anak kenalannya sudah disenaraikan tapi macam masih ada yang tertinggal aje. Tapi siapa lagi? Tanyanya pada diri sendiri.
“Ma, tengah buat apa tu?” suara Mellisa yang bertanya mengejutkan Datin Sharida daripada lamunan panjangnya.
“La, Mel rupanya. Terkejut mama.” Ujar Datin Sharida sambil memandang wajah anaknya itu.
“Mama tengah buat apa tu?” soalan yang tadinya tidak bersahut Mellisa ulang lagi.
“Emm.. ni, mama duk tulis senarai nama ni.” Jawab Datin Sharida sambil menghulurkan buku memo di hadapannya itu kepada Mellisa. Mellisa menyambut dan matanya membaca satu persatu senarai nama yang tercatat di situ.
“Mel rasa siapa lagi yang mama tak tulis?” Datin Sharida bertanya apabila melihatkan yang menantunya itu diam tanpa suara.
“Entahlah, ma. Err.. Mel pun tak kenal sangat dengan anak kawan-kawan mama ni.” Teragak-agak Mellisa menjawab sambil menghulurkan kembali buku memo di tangan kepada mamanya.
“Huh, mama pun dah naik pening dengan pilihan-pilihan yang ada ni. Kalau ikutkan memang ramai yang boleh disenaraikan tapi bila mama ingat balik perangai mereka tu, tak sanggup rasanya mama nak bermenantukan mereka. Bukan elok pun perangai. Cuma beberapa orang saja yang mama nampak elok sikit perangai mereka.” Datin Sharida meluahkan rasa di hati.
Mellisa hanya mampu memandang. Nak memberi cadangan pun bukannya dia kenal dengan kawan-kawan mamanya. Sekarang ni mamanya sibuk mencari pengganti calon pengantin perempuan untuk adiknya, Syazril yang telah melarikan diri. Mendengarkan kisah ini dari A hingga Z, dia menggelengkan kepala. Perjalanan kisahnya sungguh rumit. Dirasakan kejam juga si Cellicia tu. Sanggup menjatuhkan maruah keluarga ini. Di saat-saat akhir baru beritahu tak nak kahwin dengan Syazril. Kalau bagitahu awal-awal kan senang pihak kami nak mencari pengganti atau membatalkan saja majlis itu. Ni tak, lagi beberapa hari majlis nak berlangsung, baru cakap tak nak kahwin. Siapa tak bengang kalau macam ni!
Mengenai pengganti pula, di mana nak cari pengganti pengantin perempuan dalam masa tak sampai seminggu ni? Memang masalah besar kalau begini. Sampaikan ibu mertuanya naik pening mencari pengganti. Pengganti? Hmmm… secara tak langsung dia turut sama berfikir mencari bakal isteri Syazril. Ha, rasanya macam ada calon aje.
“Ma, dulu mama ada jemput seorang perempuan datang makan tengah hari kat sini, siapa dia ma?” tanya Mellisa pada Datin Sharida.
Soalan daripada anaknya membuatkan kepala Datin Sharida ligat berfikir. Siapa yang Mellisa maksudkan? Pernah makan kat rumah ni? Hmm… siapa ni?
“Oh, yang datang makan tengah hari dulu tu? Nama dia Sya, pemilik butik yang selalu mama tempah baju. Kenapa Mel?” Datin Sharida masih tak dapat menangkap apa yang ingin Mellisa beritahu. Dia memandang Mellisa yang juga sedang memandangnya dengan seulas senyuman yang sangat manis. Datin Sharida pelik dengan maksud senyuman anak sulungnya itu. Sampaikan berkerut dahinya memandang Mellisa.
La, kenapalah mama aku ni tak dapat tangkap maksud senyuman aku ni? Soal Mellisa di dalam hati.
“Sya tu belum berpunya lagi kan?” soal Mellisa, berkias.
“Entahlah. Mama tak ambil tahu sangat sama ada dia dah ada kekasih ke belum. Kenapa Mel?” mendatar Datin Sharida menjawab, masih lagi tidak dapat menangkap maksud kiasan Mellisa.
Ish mama ni, takkan tak faham-faham lagi!
“Mama, apa kata mama tanyakan Sya. Mana tahu kut-kut dia boleh tolong mama selesaikan masalah majlis Aril.” Akhirnya tanpa berkias, Mellisa berterus-terang. Berkias pun bukannya Datin Sharida faham.
“A’ah la. Kenapalah mama tak terfikir sampai ke situ, ya? Hisy, okey, okey. Sekarang jugak mama telefon dia.” Ujar Datin Sharida teruja. Matanya memancarkan sinar gembira.
Lantas, telefon di tepi buku memo dia capai. Tak sabar-sabar nak bercakap dengan Sya. Mellisa hanya memandang wajah gembira mamanya itu. Harap-harap Sya dapat tolong keluarga kami, doa Mellisa di dalam hati. Mellisa berlalu ke halaman rumah banglo itu, meninggalkan Datin Sharida yang sedang berbual di telefon.



Jumaat, 25 November 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB 16

SEHARIAN sepanjang aku di butik hari ni, tiada langsung seulas senyuman yang terukir di bibirku. Yang terpamer hanya wajah yang kusut, muram dan tertekan. Sampaikan aku perasan cara Miza dan Saira memandangku dengan pandangan pelik. Pasti mereka tertanya-tanya kenapa aku berperangai sebegitu. Sebenarnya bukan hari ni saja aku berkeadaan sebegitu tapi dah masuk dua minggu aku begitu.
Sejak abah memberitahu ada orang merisik Syu. Sejak itu kepalaku seakan tidak dapat berfikir dengan betul. Sampaikan minggu lepas aku tersalah jahit baju salah seorang pelangganku. Bersoal jawab jugak aku dengan pelanggan setia butik aku tu. Haih, memang parah aku macam ni!
Aku tak kisah sangat kalau orang nak masuk merisik ke nak meminang ke waima nak kahwin dengan Syu pun. Sikit pun aku tak kisah. Yang buat aku tak berapa nak betul sejak akhir-akhir ni adalah kerana permintaan abah.
“Kalau boleh, sebelum abah menutup mata, abah nak tengok Fiza kahwin.” Ayat abah yang ni yang buat aku banyak termenung sekarang ni.
Abah, di mana anakmu ini hendak mencari seorang teman lelaki a.k.a kekasih a.k.a bakal suami palsu untuk abah? Di Mydin Mall? Di Giant? Atau di Pasar Kedai Payang? Anakmu ini bukan tidak punya kawan lelaki tetapi mereka tu semua hanya kawan. Tak lebih dari tu. Ya Allah, kenapa aku diuji sebegini rupa? Di mana aku perlu mancari seorang teman lelaki untuk memenuhi permintaan abah itu?
“Cik Sya, Cik Sya.” Sayut-sayut Miza memanggil namaku. Aku tersentak dari lamunan panjang. Kepada aku alihkan ke muka Miza. “Err… ada pelanggan nak jumpa Cik Sya.” Beritahu Miza serba salah. Mukin dia rasa tak selesa sebab terpaksa mengganggu aku yang sedang jauh berangan.
Lantas, tanpa menunggu lama, aku bangun dan mengatur langkah ke arah pelanggan yang sedang menunggu.

MANDI sudah, makan belum, tapi aku sudah siap sedia di hadapan laptop. Dulu aku pakai laptop Compaq, sekarang dah tukar dah. Aku pakai laptop Sony Vaio pulak. Lebih canggih dari laptop Compaq lama aku. Mataku masih di skrin laptop. Hmm… mana dia ni? Kenapa tak online malam ni? Aku mula gelisah. Orang yang aku tunggu-tunggu masih lagi tak muncul. Mana dia pergi ni? Hatiku tertanya-tanya lagi.
Melihatkan yang si dia masih lagi tidak muncul, aku biarkan saja laptopku terpasang begitu. Aku menghampiri beg kerjaku dan di keluarkan sepasang jubbah moden serta perkakasan menjahit dari dalam beg itu. Raya lagi dua bulan tapi aku dah menerima tempahan baju raya. Nak buat macam mana, murah rezeki. Setakat ni, aku sudah menerima lebih dari 20 pasang baju raya. Tengoklah dalam sebulan lagi macam mana. Kalau tempahan tidak melebihi 50 pasang, aku masih membuka tempahan. Jika sebelum puasa, tempahan sudah melebihi 50 pasang, nampaknya aku perlu berhenti mengambil tempahan. Bukan apa, aku tidak cukup kakitangan untuk menjahit baju-baju tersebut dalam jumlah yang banyak. Takut nanti ada yang beraya dengan baju raya tahun lepas. Hehehe…
Dalam kekusutan memikirkan permintaan abah, aku masih lagi mampu buat kerja. Cuma peristiwa minggu lepas tu aku jadikan ikhtibar. Lepas ni, walau besar mana pun masalah yang aku tanggung, aku tak boleh campur adukkan dengan kerja. Aku tak nak pelanggan aku lari hanya kerana masalah peribadi aku.
Sedang aku khusyuk menjahit, aku terpandangkan tetingkap YM pada skrin laptop menyala. Jubah yang sedang aku jahit aku letakkan ke tepi dulu. Tangan kananku pantas menggenggam tetikus dan di klik pada tetingkap yang menyala itu.
M_Syazril: salam… awak tunggu saya ke?
Sya_Khira: wa’alaikumussalam. A’ah, lama awak tak online… pergi mana? Dah balik Malaysia?
M_Syazril: hmm.. kalau saya cakap saya dah balik Malaysia macam mana?
Sya_Khira: macam mana apa?
Aku pelik.
M_Syazril: Yalah, kalau saya dah balik Malaysia, awak nak jumpa dengan saya ke?
Tergamam aku seketika. Jumpa dia? Tak lagi kut. Aku tak sedia lagi nak jumpa dia. Aku sedar aku ni bukannya sempurna. Fiza, tak ada orang dalam dunia ni yang sempurna. Hati kecilku bersuara.
Sya_Khira: Err… entahlah awak. Awak, saya ada benda nak beritahu awak dan saya nak tahu pendapat awak. Boleh tak?
Aku memesongkan topik perbualan. Sebabnya sepanjang aku berYM, aku belum lagi berjumpa dengan mereka-mereka yang chat denganku. Hubungan aku dan mereka hanyalah di ruangan sembang itu sahaja. Tidak sampai perlu berjumpa di luar kerana bagiku, itu semua tidak perlu.
M_Syazril: boleh, apa dia?
Sya_Khira: emm.. macam ni. Dua minggu lepas ada orang datang merisik adik saya. Tapi abah saya nak tolak sebab dia cakap, selagi saya tak kahwin, adik saya tak boleh kahwin. Tak adillah macam tu. Abah saya cakap tak nak adik saya langkah bendul. Lagi pun pihak lelaki tu nak bertunang dulu dengan adik saya sebab adik saya masih lagi belajar. Lepas adik saya habis belajar, barulah mereka kahwin.
Belum pun aku habis bercerita, dia sudah memintas.
M_Syazril: dan sekarang awak perlu mencari seorang kekasih or bakal suami supaya adik awak boleh bertunang, macam tu?
Aku pelik. Macam mana dia boleh tahu?
Sya_Khira: macam mana awak tahu?
M_Syazril: daripada gaya awak bercerita tu, saya dah boleh agak. So, macam mana?
Dia tanya macam mana. Macam mana apa? Entah kenapa, kepala aku lembab betul malam ni.
Sya_Khira: err.. macam mana apa?
M_Syazril: yalah, awak dah jumpa ke lelaki yang akan jadi teman lelaki a.k.a bakal suami tu?
Sya_Khira: huh? Calon pun tak ada, macam mana nak jumpa…
Aku mengeluh perlahan.
M_Syazril: tak ada calon lagi? Emm.. apa kata saya tawarkan diri saya, awak nak tak?
Aku benar-benar terkejut dan terkaku sejurus membaca tiap patah perkataan yang dia taip. Biar betul mamat ni!
Sya_Khira: what? Biar betul awak ni! Janganlah main-main. Saya tak ada mood nak bergurau la awak.
Aku memang tak ada mood langsung nak layan dia bergurau. Cadangannya itu bagiku langsung tak masuk akal.
M_Syazril: bila pulak saya bergurau? Saya tengah serius ni!
Hah? Aduhlah!
Sya_Khira: hah? Errr… oh ya, masalah awak yang awak cerita kat saya dulu tu, dah selesai ke?
Dalam tergagap-gagap, aku cuba mengubah topik.
M_Syazril: masalah saya tu? Hmmm… tak selesai lagilah. Eh, tapikan, masalah kita ni macam berjanji pulak. Awak kena cari teman lelaki a.k.a bakal suami supaya adik awak boleh bertunang. Saya pulak tak setuju dengan pilihan mama saya. Hmmm… kalau awak setuju dengan cadangan saya tu, kiranya saya tolong awak. Kemudian awak tolong saya pulak, macam mana?
Amboi! Senangnya dia merancang. Dia ingat nak jadi pasangan hidup ni untuk sementara waktu aje ke? Bagi aku, istilah perkahwinan adalah ikatan untuk sepanjang hayat. Bukan untuk sehari dua sahaja. Penceraian langsung tidak ada dalam kamus hidupku.
Sya_Khira: awak, bagi saya sesebuah perhubungan yang membawa kepada ikatan perkahwinan  merupakan hubungan yang sangat serius. Ikatan untuk seumur hidup dan bukannya untuk bercerai akhirannya. Bagi saya, berkahwin bukan untuk bercerai tapi untuk bahagia hingga akhir hayat.
M_Syazril: la, bila pulak saya cakap berkahwin untuk bercerai? Saya memang tengah-tengah serius ni.
Sya_Khira: tak apalah awak.
Akhirnya perbualan kami terputus begitu sahaja. Aku yang inginkan begitu kerana kepalaku terasa tersangat berat tika ini. Permintaan abah satu hal, ditambah lagi dengan perancangan M_Syazril yang baru sahaja dia usulkan kepadaku sebentar tadi.
Sambungan internet aku hentikan. Laptop di tutup. Jubah pelanggan yang berada di riba aku masukkan kembali ke dalam beg kerjaku. Aku mencapai bantal dan berbaring di atas katil.
           
SEMALAM aku tak sedar entah pukul berapa aku terlena. Sedar-sedar aje pagi tu, aku terus memandang ke arah telefon bimbit yang memang sentiasa aku simpan di bawah bantal. Ingin memandang jam sebenarnya. Tapi lain pula yang terpampang.
37 miscalled.
3 new massage.
Itu yang terpapar pada skrin Blackberry kesayanganku itu. Aku pelik dan serta-merta dahiku berkerut seribu. Jari-jemariku ligat menekan pad kekunci telefon. Keluar nombor yang tak dikenali. Huh! Siapa ni? Hatiku tak henti-henti bertanya. Kemudian aku membuka peti mesej pula. Terpapar mesej pertama. Dari nombor yang sama dengan yang miscalled aku tu.
Hai…
La.. berhai-hailah pulak. Mesej kedua pula aku buka.
Dah tidur ke? Sorry ganggu.
Aku pandang pada waktu aku menerima mesej tersebut. 03.42 a.m! huh! Dah sah-sahlah aku tengah tidur masa tu. Biul ke apa tukang penghantar mesej ni? Mesej ketiga dan terakhir aku buka.
Hai.. morning, dear!
Dihantar pada pukul 06.47 a.m! Ya Allah! Siapa dia ni? Tanpa sempat aku berfikir banyak, aku terpandangkan jam pada skrin telefon. Ya Allah! Dah pukul 9.30 pagi! Aku dah lewat! Dengan tingkah yang kelam-kabut, aku berlari masuk ke dalam bilik air. Dah terlampau lewat untuk ke butik!

Isnin, 14 November 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB15

SYAZRIL masih tidak berpuas hati. Nampaknya sekeras-keras dia, keras lagi mamanya. Terang-terangan dia menolak rancangan mamanya yang ingin menyatukan dia dengan Cellicia, teman yang di anggap hanya untuk berseronok. Bukan untuk dibuat isteri!
Namun mamanya tetap berkeras. Dalam diam Datin Khalida mengaturkan segala-galanya. Daripada tempahan pakaian pengantin, gubahan hantaran hinggalah ke tempahan hidangan. Mula-mula dia tidak mengendahkan itu semua kerana tidak tahu-menahu akan rancangan mamanya itu. Tetapi minggu lepas semuanya terbongkar apabila Datuk Yusoff, kawan baik Datuk Nawawi mengucapkan tahniah kepadanya. Pada mulanya terpinga-pinga juga dia. Dan bagi ingin menjaga air muka keluarga dia menyambut juga ucapan tahniah itu.
Balik dari berjumpa Datuk Yusoff, Syazril terus pulang ke rumah keluarganya. Kelibat mamanya dicari. Namun mamanya tiada di rumah ketika itu. Entah keluar ke mana pun tak tahu. Akhirnya dengan perasaan marah yang masih belum terpadam, Syazril melangkah ke biliknya. Tanpa sedar, dia terlelap bersama perasaan amarah yang masih menguasai diri.
Syazril terjaga dari lena apabila terdengar ketukan bertalu-talu pada pintu biliknya. Tersentak dia yang sedang enak-enak tidur.
“Siapa?” Tinggi nada suaranya menyoal. Dia paling pantang kalau ada orang kacau dia tidur.
“Kamu tidur ke? Bangun! Kamu sedar tak, hari dah gelap di luar sana.” Lantang suara mamanya melaung dari luar bilik.
“Hmm…” dengan malas dia menyahut.
Lambat-lambat dia bangun dari pembaringan. Matanya merenung seketika pada pintu bilik. Kemudian kaki diatur ke bilik mandi. Tanpa menyalin pakaian dan mandi, dia berwuduk sebelum menunaikan solat Maghrib.
Syazril menapak perlahan menuruni tangga. Sekarang adalah waktu yang paling tepat untuk dia bersemuka dengan mamanya. Di tangannya ada sekeping kad yang masih kemas bersampul surat. Dia berjalan ke arah dapur kerana dia tahu, waktu-waktu sekarang mamanya ada di dapur.
“Mama,” Syazril memanggil Datin Sharida.
“Hmm..” Datin Sharida menyahut tanpa mengangkat kepala. Mata dan tangannya masih lagi pada udang yang sedang dikupas kulitnya.
“Apa semua ni, ma?” Syazril sedaya upaya menahan suaranya daripada meninggi. Dia tidak mahu menambah dosa yang sedia ada dan dikata anak derhaka pula. Kad di tangan dihulur kepada mamanya.
Datin Sharida mengangkat kepala. Matanya membulat merenung kad yang Syazril hulur. Tanpa melihat isi kad tersebut, dia sudah dapat mengagak kad apakah itu.
“Mma..mana Aril dapat kad ni?” tergagap-gagap Datin Khalida menyoal.
“Mana Aril dapat kad ni itu tak penting. Yang penting sekarang, Aril nak penjelasan dari mama. Apa semua ni mama? Malam tu Aril dan beritahu mama yang Aril tak setuju dengan rancangan mama ni! Walau apa pun yag terjadi, Aril tak akan kahwin dengan Cellicia! Tapi dalam diam, kenapa mama teruskan juga rancangan ni? Kenapa mama?” kemarahan yang tadinya ditahan-tahan akhirnya terhambur juga.
“Aril! Mama buat semua ni untuk kebaikan Aril jugak. Sama ada Aril setuju atau tidak, majlis tu akan diteruskan jugak.” Tegas Datin Sharida keras.
“Untuk kebaikan Aril? Apa yang Cellicia tu boleh buat sampaikan berkahwin dengan dia adalah kebaikan untuk Aril? Ini bukan kebaikan tapi membebankan Aril! Jika Aril tak datang, majlis tu akan berlangsung juga ke mama?” tegas dan sinis Syazril membidas kata-kata mamanya.
“Aril! Walau apa pun terjadi, mama akan pastikan majlis tu akan berlangsung dan Aril yang akan jadi pengantin lelakinya, bukan orang lain!” dengan yakinnya Datin Sharida berkata-kata. Di dalam kepalanya sudah terancang pelbagai rancangan. Hendak atau tidak, dia akan pastikan Syazril akan ada pada majlis itu.
“Huh!” Syazril melepaskan geram.
Malas bercakap banyak, dia terus berlalu keluar dari rumah agam itu. Bercakap dengan mama memang tak akan menang. Mama yang akan menang akhirnya. A kata mama maka A yang akan terjadi. Tidak akan ada B di situ. Dia kenal sangat dengan sikap mamanya yang satu itu.
Pintu rumah dihempas kuat. Biarlah pintu tu nak tercabut pun, langsung dia tak kisah! Dia lagi sakit hati sekarang ni. Tidak sampai dua minit kemudian, Syazril memandu keretanya keluar dari kawasan perumahan elit itu. Sengaja ditekan kuat pedal minyak agar menderum kuat bunyi enjin! Hati tersangat panas tika itu!
Sepanjang berada di dalam kereta, mulut Syazril tidak henti-henti menyumpah seranah. Dia amat-amat tidak suka hidupnya diatur sedemikian rupa. Lebih-lebih lagi soal teman hidup. Dan yang paling dia tidak suka adalah pilihan mamanya iaitu Cellicia. Dia amat mengenali siapa itu Cellicia. Seorang perempuan yang sangat bebas hidupnya dan tidak punya pegangan agama. Perempuan seperti itu yang mamanya berkenan?
Mamanya tidak mengenali Cellicia seratus peratus. Cellicia selalu bertukar pasangan. Wain dan bir adalah minuman kegemarannya. Perempuan seperti itu yang mama ingin jodohkan dengannya? Perempuan bebas sebegitu amat susah dibentuk. Apatah lagi jika diambil sebagai isteri, pasangan hidup untuk sepanjang hayat. Rasanya dia tidak akan dapat pahala mengislamkan seorang penganut agama Kristian malah dia mendapat dosa pula kerana gagal membimbing seorang isteri mualaf!
Sedang dia melepaskan geram yang terbuku di dalam hati, telefon bimbitnya berdering minta diangkat. sekilas dia memandang pada skrin telefon dan tanpa menunggu lama, bluetooth berbentuk hansfree dipasang ke telinga.
“Emm.. apa dia?” tanpa salam, terus bibirnya bertanya.
“Kau kat mana ni? Keluar, jom.” Ajak Sham.
“Kau kat mana ni? Aku dah ada kat luar ni.” Nadanya masih lagi kasar. Moodnya masih lagi tak okey. Masih lagi terbawa-bawa dengan perasaan bersama mamanya tadi.
“Wah! Kau nak ke mana malam ni? Lajunya.” Ada nada sini pada pertanyaan Sham. Syazril mendengus.
“Kau nak ajak aku keluar ke tak? Kalau tak, aku nak balik aje.” Berbaur ugutan Syazril membalas.
“Okey, okey. Jumpa aku kat Restoran Ikan Bakar Hamid.”
Sham pelik. Entah apa kena dengan kawan baiknya tu. Angin aje memanjang. Talian dimatikan. Syazril menekan pedal minyak. Kereta buatan Jerman itu laju meluncur di atas jalan raya menuju ke destinasi yang telah dijanjikan.
Sampai di hadapan restoran tersebut, Syazril melihat banyak betul kereta bersusun di situ. Sampaikan matanya melilau mencari ruang kosong. Restoran Ikan Bakar Hamid yang terletak di bawah jambatan Kuala Ibai dan bersebelahan dengan tebing sungai Kuala Ibai sangat terkenal kepada mereka yang sukakan juadah ikan bakar. Selain ikan bakar, restoran ini juga menyediakan masakan panas ala Thai. Memang sedap!
Sebaik memakir kereta, dia berjalan masuk ke dalam restoran. Biasanya bila dia makan di restoran ini, dia selesa duduk di bahagian luar kerana tiupan angina sepoi-sepoi bahasa daripada alunan sungai Kuala Ibai sangat mengasyikkan. Tetapi malam ini dia tak dapat berbuat begitu. Ruang di luar sudah penuh dengan pelanggan yang gilakan perlawanan bola. Tambah lagi restoran ini menyediakan skrin besar di tanah lapang bersebelahan dengan tebing sungai dan ketika ini kalau dia tidak silap ada perlawanan bola sepak antara Manchester United dan Liverpool.
Kalau ikutkan hati, Syazril merupakan peminat bola sepak tegar. Namun, perkhabaran yang baru dia terima petang tadi telah mencalarkan moodnya. Lagipun malam ni bukan pasukan pilihannya yang beraksi. Jika perlawanan malam ni membabitkan pasukan Chelsea, dia akan menonton walaupun bukan dengan sepenuh hati kerana itulah pasukan kegemarannya.
“Hei!” sergahan beserta dengan satu tepukan di bahu mengembalikan Syazril daripada lamunan panjang.
“Kau ni kenapa? Budak tu dari tadi duk tanya kau nak makan apa. Tapi kau buat bodoh aje. Apa masalah kau sebenarnya?” pertanyaan Sham membuatkan Syazril terpinga-pinga. Matanya memandang pelayan yang telah berlalu dari mejanya.
Syazril memandang kembali Sham. Dia menggelengkan kepala, jawapan kepada pertanyaan teman baiknya itu. Matanya beralih pula pada skrin televisyen. Pura-pura sedang menonton perlawanan bola.
“Kau ni kenapa? Tadi tergeleng-geleng. Ni duk tengok bola pulak. Weh, aku tahulah kau tak suka tengok game ni sebab bukan team kegemaran kaulah. Apa kena dengan kau ni?” Sham masih tidak berpuas hati dengan reaksi Syazril. Dia kenal sangat dengan perangai temannya itu. Dia kenal sangat dengan muka bermasalah di depannya ni.
Syazril tidak menjawab tapi tangannya menghulurkan sekeping kad kepada kawan baiknya itu. Sham pelik. Tapi tangannya menyambut juga huluran Syazril. Pantas tangannya membuka sampul kad itu. Matanya membulat merenung kad tersebut. Biar betul! Bibirnya membaca lagi nama yang tertulis di atas kad itu. Memang tak salah lagi. Nama yang tertera adalah sama dengan nama si empunya badan yang sedang duduk di hadapannya tika ini.
“Kau biar betul! Tapi dengan siapa?” Sham bertanya meminta kepastian.
“Kau tak nampak ke nama yang tertulis atas kad tu ke mata kau dah rabun?” pedas Syzril menyoal.
“Heh, aku nampak lagilah. Mulut kau ni tak ada insurans langsung. Tapi siapa Nur Hidayah Yan binti Abdullah? Aku tak pernah dengar pun nama ni.”
“Entah,” itu sahaja yang keluar dari ulas bibir Syazril.
“Hei, biar….” Kata-kata Sham mati apabila pelayan merapati meja mereka menghantar minuman. Sebaik pelayan itu berlalu, Sham menyambung kembali ayatnya yang tergantung tadi.
“Hei, biar betul kau ni! Habis kad ni apa? Lagi dua minggu majlisnya. Macam mana pulak kau boleh tak tahu?” Sham bertambah pelik dengan Syazril. Heh, biar betul si Aril ni. Majlis lagi dua minggu, macam mana pulak dia boleh jawab tak tahu. Rungut Sham di dalam hati.
“Cellicia,” sepatah itu sahaja yang keluar dari bibir Syazril. Kemudian dia membawa gelas berisi air nescafe susu yang berada di hadapannya ke bibir dan meneguk perlahan.
“What? Cellicia? Kau nak kahwin dengan Cellicia? Biar betul! Kenapa aku tak tahu kau nak kahwin dengan Cellicia sedangkan aku ni kawan baik kau?” pantas tindakan Sham menyoal. Bertalu-talu soala yang keluar dari bibirnya.
“Macam mana aku nak beritahu kau sedangkan aku baru aje tahu hari ni yang aku akan kahwin lagi dua minggu dari sekarang. Tak ke kelakar tu? Buatnya aku sengaja tak hadirkan diri pada hari tu, kau rasa apa yang keluarga aku akan buat?” Syazril pura-pura ketawa perlahan di hadapan Sham tetapi di dalam hati, perasaan marahnya masih tidak surut.
“Biar betul kau ni…” belum pun habis Sham bercakap, Syazril terlebih dahulu memintas.
“Kau ni dari tadi duk cakap ‘biar betul, biar betul’. Kau ada sounds problem ke? Apa yang kau dengar tu memang betul! Tak adanya yang tak betul!” keras dan sedikit tinggi Syazril membidas.
Orang dahlah tengah berangin. Dapat pulak kawan yang dari tadi duk cakap benda yang sama, siapa tak marah. Kan tak pasal-pasal kena sembur! Rungut Syazril dalam hati.
“Okey, okey. Kau ni, itu pun jadi kes. Tadi kau cakap kau baru aje tau yang kau kena kahwin, dengan Cellicia pulak tu. Macam mana kau boleh tak tahu yang kau kena kahwin ni? Pelik aku.” Dahi Sham sudah mempamerkan kerut seribu.
Dengan malas Syazril membuka cerita. Bermula dari mamanya mengusulkan cadangan untuk meminang Cellicia hinggalah saat Datuk Yusoff menghulurkan ucapan tahniah. Cerita dia bersemuka dengan mamanya juga tidak ketinggalan. Sampai ke saat itu, dia masih lagi tidak percaya dengan tindakan yang dilakukan oleh mamanya itu. Langsung tak masuk akal.
“Jadi, kau dari rumah mama kaulah ni? Dengan baju tak berganti. Selesa betul kau dengan baju yang sama dari pagi tadi hingga sekarang.” Lain yang ditanya lain pula yang keluar dari mulut Sham. Dia inginkan pendapat Sham tentang masalahnya itu, bukan menyuruh Sham menilai dirinya tika itu.
“Hmm… eh, tak kisahlah aku pakai apa pun sekarang ni. Yang lagi penting, macam mana aku nak keluar dari masalah ni?” Syazril cuba bersabar dengan reaksi temannya itu.
“Mama kau tahu ke dengan perangai sebenar Cellicia?” lain yang Syazril ingin, lain pula yang dijawab oleh Sham. Tapi bagi Sham, soalannya itu penting kerana jika Datin Sharida masih tidak mengenali Cellicia secara luar dan dalam, senang-senang saja dia akan tertipu dengan watak baik Cellicia.
“Entah. Aku pun tak tahu. Yang paling aku pelik, macam mana pulak mama aku boleh kenal dengan Cellicia? Huh, pelik tu. Yang kau tanya macam tu kenapa?” Syazril pulak yang pelik dengan soalan Sham.
“Taklah. Aku rasa mama kau tak kenal lagi dengan Cellicia yang sebenar dan dengan senanglah Cellicia dapat tipu mama kau dengan watak baik dia tu. Kita bukan tak kenal dengan Cellicia. Jadi, aku rasa kau kena buat sesuatu.” Ujar Sham.
“Itulah yang aku duk tanya kau dari tadi, tapi kau duk pusing sana, pusing sini, tanya itu, tanya ini. Heh, kau ni!” Syazril sedikit berang dengan kawannya yang seorang ni. Manakala Sham pula hanya tersenyum kambing.
“Hmmm… apa kata kau bawa jumpa calon kau sendiri, mana tahu kalau mama kau setuju. Senang kerja macam tu.” Ringkas Sham mengeluarkan cadangan.
“Idea kau tu memang senang dan mudah. Tapi mama aku tak akan menerima dengan senang dan mudahnya. Aku kenal sangat dengan perangai mama aku tu. Lagi satu, sepanjang kau kenal dengan aku ni, kau ada nampak aku ada kekasih ke? Tak ada kan? So, mana aku nak cekau kekasih olok-olok ni? Cuba kau terangkan kat aku.” Dengan muka serius, Syazril menyoal kembali Sham.
Aduh! Terkena aku! Macam mna aku boleh lupa yang si Aril ni tak ada kekasih. Haih, susah nak selesaikan masalah dia ni. Rungut Sham di dalam hati.
“Boleh bagi aku masa fikir dulu tak? Idea aku tak datanglah kalau kau duk mendesak macam ni. Eh, jomlah. Order segelas aje air tapi duduk kat sini berjam-jam.”
Syazril memandang ke sekeliling mejanya, orang sudah semakin berkurangan di kawasan restoran itu. Perlawanan bola sepak juga sudah tamat. Tapi dia tak tahu pun siapa yang menang siapa yang kalah. Semua itu langsung tak masuk ke dalam otaknya. Sesudah melakukan pembayaran, Sham dan Syazril berlalu ke kereta. Mereka berpisah di situ kerana mereka datang dengan berlainan kereta dan destinasi yang di tuju seterusnya juga berlawanan.

Jumaat, 4 November 2011

KAU YANG KUSAYANG:BAB14

TANPA aku sedar, hari berlalu berganti hari. Minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan. Cuma tahun aje tak bertambah lagi. Sudah empat bulan masa berlalu. Empat bulan penuh dengan pelbagai cerita dan sepanjang empat bulan itu aku amat-amat sibuk. Sibuk menyiapkan tempahan baju pengantin untuk bakal menantu Aunty Ida, Cellicia.
Aku sangat-sangat teliti dan cerewet saat menjahit baju itu. Jika tersilap sedikit, habislah rosak baju orang. Jika rosak, di mana aku nak cari kain serupa dengan kain itu? Di mana pulak aku nak cekau duit beribu-ribu hanya untuk membeli sepasang kain tersebut?
Akhirnya hasil kerjaku siap juga. Sekarang sedang tergantung di ruangan khas dalam butikku ini. Hatiku puas setiap kali terpandangkan baju tersebut. Puas mengenangkan hasil kerja kerasku selama empat bulan itu tidak sia-sia.
“Cik Sya, kami balik dulu, ya.” Lamunanku dicantas oleh suara Miza.
Pantas aku memusingkan tubuh menghadap mereka.
“Okey. Bawa motor tu hati-hati.”
Sempat aku menitipkan pesan kepada mereka. Sebaik Miza dan Saira melangkah keluar dari butik, aku terus mencapai beg tangan dan mengunci pintu butik. Waktu urusniaga sudah tamat.

KERETA aku parkir elok di dalam garaj. Sebaik alarm kereta berbunyi menandakan yang kereta telah dikunci, aku melangkah masuk ke dalam rumah. Aku memandang pelik ke arah ruang tamu. Kusyen sofa juga elok tersusun. Seperti di pagi raya pula aku rasa. Mataku memandang pula ke arah meja kopi yang berada di hadapan set sofa. Ada set cawan tembikar di atas meja itu. Aku jadi bertambah pelik.
Biasanya emakku hanya akan menggunakan set cawan tersebut jika menerima kehadiran tetamu istimewa. Tapi, siapa tetamu emak yang istimewa sangat tu? Hatiku tertanya-tanya.
Aku mengkah ke dapur. Mancari kelibat emak tetapi emak tiada pula di situ. Aku melangkah lagi hingga ke belakang rumah. Aku terpandangkan kelibat abah yang sedang ‘bermesra’ dengan ayam-ayam seramanya. Hobi yang amat abah gemari selepas memancing.
“Abah, ada orang datang ke tadi? Saudara kita ke?” tanpa sabar aku terus bertanya dengan abah.
“A’ah. Ada orang datang tadi. Bukan saudara kita, bakal saudara kita, Insya Allah.”
Aku pelik dengan jawapan abah. Bakal saudara? Siapa? Hatiku masih tertanya-tanya.
“Bakal saudara kita? Siapa, bah?” aku menyoal lagi.
“Kalau nak tahu, tunggu lepas makan malam nanti abah bagitahu.” Tenang abah manjawab.
“Alah abah ni. Orang nak tahu sekarang, ni kena tunggu pulak.” Aku mengomel sendirian sebelum berlalu masuk ke dalam rumah.
Hubungan aku dan abah sangat akrab. Sebab itu abah hadiahkan kereta Perodua Kenarinya itu kepadaku. Aku boleh bercerita apa saja dengan abah. Tetapi tidak dengan emak. Aku akan berfikir berkali-kali jika hendak memberitahu apa-apa perkara kepada emak. Emak suka membebel. Perkara kecil akan diperbesarkan. Pernah juga aku terfikir, emak tak malu ke bercerita tentang keburukkan anak sendiri ke pada orang lain?
Sekali emak nampak kesilapanku, seribu kali dia akan mencanang kepada saudara-maranya. Sampaikan aku naik malu. Nampak sangat aku ni tak pandai buat apa-apa. Malas berfikir lagi, aku meneruskan langkah mendaki tangga ke bilikku.

AKU menuruni tangga setelah siap mandi dan menunaikan solat. Baju kelawar sudah tersarung elok di tubuhku. Kepala pulak dah berbungkus dengan tuala kerana rambutku masih basah lagi. Mataku memandang ke arah ruang tamu. Televisyen sedang terpasang tapi aku tak nampak lagi kelibat orang.
“Lebih baik tutup. Siapa punya kerja ni? Membazir aje tau.” Aku mengomel sendirian sambil tangan mencapai alat kawalan jauh TV. Tetapi belum pun sempat tanganku mencapai alat kawalan jauh, ada suara menegur.
“Eh, nak buat apa tu? Orang nak tengok TV ni.”
Aku mengangkat kepala. Adik bongsuku, Muhaizad yang menegurku tadi. Dia sedang duduk di sofa yang paling hujung. Patutlah aku tak perasankan dia tadi. Di tangannya menggenggam telefon bimbit. Aku baru perasankan satu sikap baru Muhaizad, suka mengusung telefon bimbitnya itu walau ke mana dia pergi. Ke tandas dia bawak jugak kut.
“La, akak ingat tak ada orang tengok. Akak nak tutuplah. Eh, kau yang tengok TV ke TV yang tengok kau? Akak tengok dari tadi mata kau kat skrin handphone aje. Sikit pun tak tengok TV. Akak tutuplah macam ni, membazir aje.” Aku baru perasan yang matanya tidak pada TV tapi lebih terarah kepada telefon bimbitnya itu.
“Eh, janganlah. Okey, Jad tengok.” Balas Muhaizad sambil meletakkan telefon bimbit di atas meja kopi.
Jad adalah nama manjanya di rumah. Tapi emak aku masih lagi panggil dia Adik. Adiklah sangat! Aku kemudiannya berlalu ke dapur. Mahu menjenguk apa yang sedang emak lakukan. Nanti tak jenguk, lagi panjang dia membebel.
“Mak, dah nak hidang ke?” tegurku sepatah.
“Hmm..” hanya itu sahutan emak.
Aku tanpa menunggu lama terus mencedok lauk yang telah siap dimasak ke dalam bekas sebelum dibawa ke meja makan. Malam ni mak tak masak banyak lauk. Hanya asam pedas ikan gelama, sambal udaang bersama kacang, sedikit sambal tempoyak, ikan goreng dan timun batang yang di hiris sebagai ulam. Jangan pelik tau kalau ada asam pedas, ada sambal tempoyak. Asam pedas Terengganu amat berbeza dengan asam pedas negeri pantai barat.
Air pula hanya air masak kerana sejak abah disahkan mempunyai penyakit jantung dan kencing manis akhir tahun lepas, emak mula menjaga pemakanan abah. Jika diikutkan abah tak boleh makan nasi pada waktu malam. Tapi abah tu degil. Yang orang larang tulah yang dia buat. Kalau aku dan adik-beradik atau emak yang larang abah makan melebihi had, dengan selamba abah menjawab.
“Hidup sekali aje. Kalau rasa nak makan, makan ajelah. Nanti dah mati, semua tak boleh makan.” Hisy, abah ni! Suka cakap macam tu. Kami hanya mampu menggelengkan kepala mendengarkan kata-kata abah.
Sedang elok aku selesai menghidang makan malam, kedengaran bunyi orang membuka pintu utama. Abah dah balik dari surau rasanya.
“Assalamualaikum,” suara abah menghulurkan salam.
Aku dan emak menjawab salam itu perlahan.
“Abah, jom makan.” Aku mengajak abah.
“Kamu makanlah dengan emak dan adik kamu tu. Abah rasa nak makan roti aje malam ni.” Balas abah perlahan. Tangannya perlahan menanggalkan kopiah dari kepala.
“Aik? Abah tak nak makan nasi ke? Selalunya abah makan nasi, malam ni tak nak makan pulak?” aku menyoalnya pelik.
“Nanti kalau kerap sangat makan nasi, naik pulak kencing manis abah tu. Nanti ada pulak yang terlebih catu makanan. Sebelum apa-apa terjadi, baik abah kawal dari sekarang.” Mendatar abah bersuara.
Alhamdulillah jika abah sedar sendiri. Tak perlu emak dan aku adik-beradik bising-bising nasihatkan abah agar menjaga makan. Aku mengucap syukur di dalam hati. Malam itu abah juga makan di meja bersama aku, emak dan Jad Cuma menu sahaja yang lain. Abah makan roti kosong dicicah dengan air milo kosong. Manakala aku, emak dan Jad makan nasi bersama lauk-pauk yang  telah aku hidangkan tadi.
Aku mengangkat pinggan ke dapur setelah selesai makan dan pinggan itu dicuci bersih. Kemudian, selepas emak dan Jad selesai makan, tanpa lengah aku terus membawa semua lebihan lauk yang terhidang tadi kembali semula ke dapur.
Selesai mengemas semuanya aku mengatur langkah ke ruang tamu. Abah telah berpesan semasa sebelum makan tadi agar terus ke ruang tamu sejurus selesai makan kerana ada perkara yang ingin dia bincangkan denganku. Aku lihat abah sudah tersedia menunggu di hadapan TV. Emak juga ada di situ, cuma Jad saja entah menghilang ke mana.
“Err… ada perkara apa abah nak bincangkan dengan Fiza?” aku menghulurkan soalan sebaik saja punggungku mencecah kusyen sofa.
“Fiza jangan terkejut bila dengar apa yang abah nak beritahu ni dan abah nak Fiza banyak-banyakkan bersabar. Fiza dan bersedia nak dengar?” mukadimah abah begitu lembut sekali.
Aku jadi berdebar-debar mendengarkan setiap bait kata yang keluar dari mulut abah. Aku menganggukkan kepala sebagai jawapan kepada soalan abah itu. Aku lihat abah memandang emak seketika sebelum membuka mulut.
“Lewat petang tadi ketika Fiza sampai di rumah, Fiza ada bertanyakan abah, siapa yang datang siang tadi. Sebenarnya siang tadi abah dan emak ada menerima kunjungan sebuah keluarga. Mereka datang dengan hajat besar mahu mengeratkan hubungan sesama umat Islam.” Kata-kata abah mati di situ.
Mengeratkan hubungan sesama umat Islam? Apa maksudnya tu? Aku tertanya-tanya sendiri. Aku mengambil peluang bertanya apabila melihatkan abah senyap.
“Mengeratkan hubungan sesama umat Islam? Boleh abah terangkan dengan lebih jelas? Fiza tak berapa faham dengan ayat tu.”
“Begini, mereka tu datang bertanyakan Syu. Mereka dah bawa sebentuk cincin sebagai cincin tanda.”
“Bertanyakan Syu? Jadi, mereka tu datang mahu merisik Syu, begitu bah?”
Saat abah menuturkan mereka datang bertanyakan Syu, aku sudah tidak sedap hati. Dan apabila abah mengatakan yang mereka ada bawa sebentuk cincin tanda, aku merasakan bagai ada petir yang sedang memanah! Beraninya Syu ada hubungan dengan lelaki. Dia sedar tak emak tu jenis yang bagaimana? Dan lagi satu, jika emak dan abah bersetuju, maka Syu sudah langkah bendul! Dalam keluarga kami tiada yang langkah bendul!
Aku lihat abah mengaggukkan kepala perlahan.
“Tapi emak dan abah tak beri jawapan lagi dan kalau jadi pihak lelaki nak adakan majlis pertunangan dahulu. Lepas Syu dah habis belajar nanti baru dinikahkan.” Abah menyambung lagi.
“Jadi, untuk apa abah beritahu Fiza semua ni?” aku jadi tawar hati untuk mengetahui cerita selanjutnya.
“Abah bagi tahu Fiza sebab abah tak nak Syu langkah bendul. Abah bukan mahu memaksa Fiza berkahwin tapi tapi jika boleh abah nak Fiza dulu yang kahwin, lepas tu baru giliran Syu. Keluarga kita tak ada sejarah langkah bendul dan abah tak nak memecah tradisi dengan ada langkah bendul dalam keluarga kita.” Akhirnya abah berterus-terang dengan niatnya.
Aku pandang abah tak berkelip. Ayat abah buat aku pening kepala. Di mana aku nak cari teman lelaki yang boleh dijadikan suami sedangkan aku langsung tiada kekasih! Disebabkan Syu yang gatal nak kahwin, aku pulak yang jadi mangsa?
“Abah, dengan siapa Fiza nak kahwin? Kekasih pun Fiza tak ada.” Ujarku tegas sambil memandang wajah abah.
“Takkan tak ada langsung? Sepupu-sepupu kamu yang sebaya dengan kamu tu dah beranak-pinak semuanya. Kamu tu bila lagi?” emak yang hanya membisu dari tadi tiba-tiba mencelah.
“Kalau boleh, sebelum abah menutup mata, abah nak tengok Fiza kahwin. Umur Fiza dah banyak, tak elok perempuan kahwin lambat. Atau pun ada sesiapa yang Fiza tunggu?” sayu aku mendengar kata-kata abah.
Mukaku merona merah tiba-tiba mendengarkan soalan abah. Abah seakan dapat menbaca setiap apa yang aku fikirkan. Aduh, macam mana ni? Aku pula yang terbeban dengan masalah ini.
“Abah, boleh tak kalau abah beri tempoh untuk Fiza fikirkan dulu. Bila dah ada jawapannya nanti, Fiza beritahu abah.” Aku sekadar memberi jawapan selamat. Selamat untuk sementara waktu, bukan untuk selamanya.
“Fiza boleh fikirkan tapi pihak lelaki cuma beri tempoh sebulan sahaja.” Tenang abah memberikan persetujuan bersyarat.
What? Sebulan? Ya Allah, mana sempat! Mana aku nak cekau kekasih a.k.a bakal suami palsu ni? Kepalaku sudah memberat. Aku hanya menganggukkan kepala kepada abah. Kemudian, tanpa lengah aku mengangkat punggung dan berlalu ke tingkat atas. Aku masih bingung lagi.
Di dalam bilik, aku merapati meja tulis. Telefon di atas meja itu aku capai. Konsol papan pemuka telefon aku tekan, mencari-cari nama Syu. Apabila jumpa, terus aku dail dan telefon ditekap ke telinga.
“Syu, apa semua ni?” tanpa salam seperti biasa, aku menyoal Syu dengan nada tinggi. Aku memang tak puas hati dengan berita yang abah khabarkan.
“Apa kak?” Syu soal aku balik. Ya Allah budak ni! Sempat lagi nak buat tak tahu!
“Syu jangan nak buat tak tahu! Rombongan merisik yang datang siang tadi tu apa?” kesabaranku semakin menipis.
“Err… pasal rombongan tu, Syu baru aje tahu. Syu tak sangka mereka bersungguh nak hantar rombongan merisik. Syu ingatkan lambat lagi rombongan tu akan datang ke rumah. Err… kak, apa reaksi mak dan abah?” Syu menjawab teragak-agak. Aku tahu, dari nada suaranya itu, dia sedang serba salah sekarang ni.
“Ha, pasal reaksi emak dan abahlah yang buat akak naik angin ni! Kau tahu tak, abah cakap abah tak akan terima pinangan mereka selagi akak tak kahwin. Abah tak nak Syu langkah bendul. Gila! Mereka tu nak ikat Syu dengan majlis pertunangan aje. Bukannya terus kahwin. Sebabkan Syu, akak yang jadi mangsa. Tahu tak, abah bagi tempoh sebulan kat akak untuk mencari pasangan jika nak abah terima pinangan mereka. Mana akak nak cekau seorang lelaki untuk dijadikan sebagai suami dalam masa sesingkat tu?” panjang lebar aku terangkan kepada Syu. Ada juga sesekali terkeluar nada geram.
Syu di hujung talian senyap tak terkata. Mungkin terkejut dengan apa yang aku luahkan.
“Syu, ada lagi ke tak ni?” soalku selepas lama Syu membisu.
“Iya, ada ni.” langsung tak ada nada bersalah si Syu ni! makin buat aku geram ni.
“Dah tu, kenapa senyap aje? Akak telefon kau bukannya nak tunggu kau membisu begini. Akak nakkan jalan penyelesaian!” dahlah mood aku tak elok. Boleh pulak adik macam ni! Tahu buat masalah aje, tak tahu nak selesaikan. Tak pasal-pasal aku kena heret sama!
“Err.. Syu tak tahu kak.” Lama dia senyap, tu aje yang dia jawab. Haih, berapi aku ni!
“Apa? Tak tahu? Kau ni tahu buat masalah aje. Tapi tak tahu nak selesai! Habis macam mana sekarang? Mana akak nak cari seorang lelaki ni?” semburku melepaskan geram.
Akhirnya perbualan kami terputus begitu saja tanpa menemui jalan penyelesaian. Dia juga tidak dapat menolongku kerana masalah ini sangat rumit.

p/s: salam semua.. lamanya blog ni sunyi tanpa n3 baru... akhirnya blh jgk sy publish smbungan KYKS.. so, happy reading...:)