Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 12 Januari 2016

CERITERA AKU DAN CINTA : BAB 10

“ROMBONGAN meminang?” Sedikit terjerit suara kak long.
“Syy… Kak long ni. Janganlah sebut kuat-kuat.” Aku naik malu pula bila orang sekeliling mula memandang aku. Hisy kak long ni.
Sorry, sorry. Kak long terperanjat aje. Tapi betul ke ni?”
“Betul tu memanglah betul tapi orang dah suruh dia cakap kat emak dia, batalkan aje rancangan bodoh ni.” Luahku.
“Pulak dah. Kenapa? Isy Yaya ni, dah ada orang nak tu kira untung la. Jangan jadi macam kak long, sampai sekarang tak kahwin lagi.” Komen kak long. Nampaknya kak long masih tak faham. Susahnya nak terangkan kat kak long ni.
“Kak long, tujuan Fayyadh cakap macam tu hanya kerana nak lepaskan marah dia kat Gina. Kalau dia meminang orang, maknanya dia berjaya buat Gina cemburu. Nampak tak permainan dia kat situ? Nampak sangat nak pergunakan orang. Orang tak naklah.” Ujarku, membetulkan tanggapan kak long.
“Lelaki macam tu pun ada ke?”
“Adalah ni,” gumamku perlahan.
“Kalau dia nak masuk meminang Yaya, apa cerita dengan mamat sorang lagi tu? Apa ke namanya eh? Firash eh?” Kak long garu kepala yang tak gatal. Aduh! Pelupa juga kak long ni.
“Farish.” Gumamku perlahan.
“Haah, Farish. Apa cerita dengan mamat tu?”
“Entah.”
“Entah? Lain macam aje bunyinya.”
“Orang dah lama lost contact dengan dia. Malaslah nak ambil tahu hal orang macam tu,” aku silangkan tangan di atas meja.
“Tapi kalau Fayyadh betul-betul nak masuk meminang Yaya, umi mesti gembira. Kak long dapat bayangkan suasana kat rumah mesti meriah dan umi akan senyum selebar-lebarnya.” Sahut kak long. Aku pandang muka kak long, ada senyuman di bibir kak long tapi sepasang mata itu berkaca. Kak long menangis?
“Kak long,” aku genggam tangan kak long. Aku tahu dia sedang sedih tapi dia sengaja sembunyikan kesedihan itu disebalik senyuman tawarnya.
“Kak long dapat agak semua tu. Kak long tak dapat penuhi permintaan umi dan ayah. Dan Yaya pula dapat penuhi impian mereka, mesti mereka tersangat gembira kan.” Kak long tundukkan sedikit kepala dan aku nampak dia sapu air mata yang mula menitis perlahan.
Sorry, orang tak berniat buat kak long sedih.” Aku lihat kak long menangis, aku pula yang merasa sedih sama. Aduhai.
“Isy, tak adalah. Kak long aje yang terlebih emo malam ni. Dah, dah, jom makan. Dah sejuk makanan ni.” Kak long melarikan topik perbualan.
Kami menjamu selera dalam suasana hambar. Memang di kiri dan kanan meja kami punyalah bingit dengan suara para pengunjung lain dan suara pelayan menghantar pesanan. Tapi hati kami sudah dicemari dengan rasa sedih sebabak tadi.
“Betul ke tak nak kak long hantar ni?” kak long ulang kembali soalannya. Tika itu kami sudah pun menjamu selera.
“Ya, kak long. Orang dah besar, tak payahlah risau sangat.”
“Okey. Kalau ada apa-apa hal, bagi tahu kak long tau.”
“Okey.”
“Dan tolong jagakan umi dan ayah untuk kak long. Kak long hanya boleh pandang dari jauh saja.” Sayu nada kak long. Aku dapat mengesan riak sedih dalam suara kak long. Jelas sekali kasih seorang anak untuk ibu bapanya.
“Insya-Allah.”
Di hadapan warung, kami berpisah. Kak long ke kanan, tempat dia memakir keretanya dan aku ke kiri, menghala ke arah taman perumahan rumah keluarga kami.

OIT! Apasal kau tiba-tiba berhenti kerja?

Isi pesanan ringkas itu aku baca. Dihantar oleh Zima. Sebelah tangan memegang tuala dan digosok pada kepala. Sebelah lagi memegang telefon bimbit. Mesej dari Zima aku tak balas lagi sebaliknya aku capai sikat dari atas meja solek. Sikat rambutlah dulu. Bangun pun dah tengah hari buta. Bagusnya anak dara ni!
Tengah syok aku menyikat rambut, telefonku bergetar tanda ada panggilan masuk. Cepat-cepat aku dapatkan telefonku itu. Miza. Adoi! Tak sabar betul mak cik ni!
“Apa hal?” sejurus telefon dibawa ke telinga, aku pantas menyoal.
“Aku mesej kau tak balas.”
“Tak pandai nak sabar betul kau ni,” aku merungut.
“Lambatlah. Tu yang aku terus call. Eh, apa cer?”
Cer apa pula?” Aku ni kan johan bab buat-buat blur ni. Nasiblah Zima oi! Hahaha…
“Buat-buat tanya pula. Aku hempuk jugak kau ni!”
“Yalah, cer apa? Aku tak tahu sebab tu aku tanya. Itu pun nak marah. Cuba kau cakap terang-terang kau aku, tak adalah aku teraba-raba.”
“Aku dengar semalam ada perang besar kat sini, apa kes ha? Kau gaduh ke?”
Aku berfikir-fikir. Pap! Patutlah Zima tak tahu apa-apa. Zima cuti tiga hari, memanglah dia tak tahu apa yang jadi. Lupa sungguh aku.
“Pasal semalam tu? Ada drama swasta sikit kat sana. Eh, dari mana kau dengar semua ni?”
“Dari siapa lagi, mulut Alia la. Drama swasta? Cer citer kat aku. Tak sabar aku nak dengar ni.” Zima tersangat teruja nak tahu cerita yang sudah basi pada anggapanku.
“Kau ni, kan dah dengar dari mulut Alia. Dah-dah la tu. Aku dah malas nak cerita.” Aku mengeluh.
“Ala…. Cerita ajelah. Kau bukan tak tahu, Alia tu bila dah bercerita, banyak yang dia tokok tambahkan. Cepatlah Isya,” Zima mula merayu bagai.
“Isy!”
Dalam terpaksa, aku akur juga membuka kisah itu. Cumanya aku tak adalah cerita keseluruhan kejadian hari tu. Yang perlu-perlu saja. Kisah Fayyadh bawa aku ke rumah keluarganya dan pasal rombongan meminang tu aku tak ceritakan kepada Zima. Biarlah ia kekal menjadi rahsia. Bimbang nanti kecoh pula.
“Gina macam mana?” aku soal Zima. Nak tahu juga keadaan minah tu.
“Hari ni aku tak nampak lagi dia. Tak masuk kerja kut.” Jawab Zima. “Jadi, sekarang kau dah berhenti kerja, kau nak kerja apa pula lepas ni?”
“Entah. Aku tak tahu. Aku dah pening sekarang. Buat sementara waktu, aku jadi bibik kat rumah ni. Pengganggur tak bergaji kan.” Aku menghela nafas panjang.
“Isya,”
“Hmmm….”
“Kalau aku tanya kau jangan marah ya,”
“Apa dia?”
“Err… Macam mana hubungan kau dengan Farish?”
Semalam kak long dah sebut nama Farish. Hari ni Zima pula yang sebut. Aku dah tak tahu jawab apa lagi. Kalau ikut hati aku nak aje suruh mereka semua berhenti dari sebut nama Farish. Aku dah bosan, dah muak.
“Zima, sudah-sudahlah kau sebut nama dia. Aku dah malas nak fikir pasal dia. aku anggap dia dengan aku tak ada jodoh. Dah habis.”
“Sampai macam tu? Nampak gayanya kau dah berkerat rotan.”
“Tak kiralah berkerat apa pun. Aku dah malas nak fikir pasal hubungan yang tak berkesudahan ni.”
“Eh, aku chow dululah. Pembantu Gina dah jeling-jeling aku tu. Gina tak ada, dia pula yang berkuasa. Bosan aku.” Zima mendengus.
“Okey,”
Aku pandang telefon yang telah bisu itu.
“Selagi kau kerja kat situ, terpaksalah kau hadap dengan perangai minah perasan bagus tu. Ada hikmah juga aku berhenti kat situ. Aku tak perlu lagi susah-susah mengadap minah perasan and the gang tu. Horray!” aku bersorak. Siapa tak gembira bila terlepas dari cengkaman perempuan perasan cantik tu semua.

FAYYADH menghentikan kerja-kerjanya mendadak kerana telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Siapa pula yang mengacau petang-petang ni? Dia merungut di dalam hati. Tangan yang berbekas minyak hitam dia kesat pada kain buruk.
Telefon yang telah diam itu dia bawa keluar dari poket seluar. Sudah masuk kali ketiga telefon itu berdering. Kalau sekali dua aje tadi, dia tak hiraukan sangat. Tapi bila masuk kali ketiga, terpaksalah dia tengok siapa yang menelefon. Seperti penting saja.
Kak Fifi. Sebaris nama itu terpampang di skrin telefon. Kak Fifi telefon? Kenapa? Lalu, kerana mahu menghuraikan kekusutan di dalam kepala, Fayyadh pantas mendail kembali nombor telefon kakak sulungnya itu.
“Hel…” belum pun habis Fayyadh menyebut perkataan helo, Fifi lebih dulu menyoalnya.
“Kau kat mana ni? Acap kali akak call, asyik tak berangkat aje.” Fifi merungut.
“Kat bengkel ni kak. Kenapa kak?”
“Bengkel? Hujung minggu pun bengkel buka?” Fayyadh mengesan riak pelik pada pertanyaan kakaknya itu.
“Bukalah kak. Cari rezeki sendiri, macam nilah. Kalau buka bengkel, adalah rezeki tu. Tak buka, kosonglah poket ni.” Tangan Fayyadh sibuk membelek alat ganti kereta yang baru sampai. “Eh, kenapa akak telefon ni?” lupa terus dia soalan utama yang berlegar di dalam kepalanya tadi. Ini sebab Fifilah, sibuk sekali menyoal siasat dia.
“Allah! Lupa pula akak. Ni, kamu dah tahu ke rancangan yang tengah mummy atur untuk kamu ni?”
“Rancangan? Rancangan apa?”
“Apa yang akak dengar, mummy rancang nak hantar rombongan meminang petang ni.” Maklum Fifi. Tapi hatinya ragu-ragu. Fayyadh macam tak tahu apa-apa aje ni. Aduh! Masak aku nanti. Tapi mummy tak pun pesan apa-apa kat aku. Hati kecil Fifi berbisik.
Rombongan meminang? Petang ni? Fayyadh pandang jam di dinding bengkelnya. Sudah pukul 3.00 petang!
“Petang ni? Pukul berapa? Sekarang dah pukul 3.00 ni kak.” Fayyadhbernafas bagai tak cukup oksigen. Aduh! Mummynya bikin kecoh lagi!
“Err… Kami dah dalam perjalanan ni,” Fifi pandang suaminya yang menjadi pemandu kereta.
“Hah? Mummy ni! Perempuan mana yang mummy nak pinang kali ni? Kat mana rumah perempuan tu?” Hati Fayyadh jadi tak sabar. Fayyadh lupa sebenarnya. Dia sendiri yang menyuruh Puan Irdina masuk meminang Delisya.
“Entah. Akak pun tak tahu ni. Akak follow kereta mummy aje ni.”
“Pulak dah. Tak apalah. Syah cuba call mummy,”
Talian terputus dan jari Fayyadh laju mencari nama Puan Irdina di dalam telefon bimbitnya. Dua kali dia cuba telefon tapi talian tak bersambut. Hanya suara mel suara yang menyapa telinga.

“KENAPA Fi?” Adam pelik melihat isterinya sedang mengomel sendirian.
Mummy sengaja cari penyakit ni.” Balas Fifi.
“Kenapa?”
“Syah tak tahu pun yang mummy nak pinang anak orang hari ni. Masaklah.”
“Pulak dah. Habis tu macam mana ni?”
“Macam mana apa lagi bang, kita dah ada kat sini. Ikut sajalah rancangan mummy. Tapi kalau Syah mengamuk, saya tak nak masuk campur.” Awal-awal Fifi memberikan peringatan. Memang dia tak nak masuk campur.
“Hmm…” Adam hanya menurut. Dia tak tahu nak kata apa lagi.



Rabu, 6 Januari 2016

CERITERA AKU & CINTA : BAB 9

WHAT?! Uhuk, uhuk, uhuk!” Aku terbatuk. Terasa ada tangan yang menggosok belakang badanku. Tangan milik Puan Irdina.
“Alhamdulillah,” gumam Puan Irdina.
Alhamdulillah? Kenapa alhamdulillah? Kenapa tidak astaghfirullah alazim? Walaupun perlahan, telinga aku masih dapat menangkap bait kata syukur itu. Sudah mummy si Fayyadh ni duduk sebelah aku, memanglah aku dengar dengan jelas sekali.
“Yaya okey?” Puan Irdina soal aku.
“Err… ehem… okey,”
Puan Irdina bangun dan mendapatkan anaknya.
“Betul ke ni, Syah?” Puan Irdina bertanya pula dengan Fayyadh.
“Betullah mi. Takkan perkara macam ni nak buat main-main pula.” Selamba saja reaksi Fayyadh. Di wajah itu langsung tak terlukis riak bersalah. Nak senyum jauh sekali.
“Alhamdulillah. Mummy syukur sangat-sangat. Siapa pun pilihan Syah, mummy terima asalkan bukan Gina.” Girang sekali suara Puan Irdina.
Asalkan bukan Gina? Aku ulang kembali kata-kata Puan Irdina itu di dalam hati. Kenapa Puan Irdina cakap begitu? Seperti ada bau tak senang dengan insan bernama Gina. Tapi apa salah Gina? Tadi Fayyadh sudah marahkan Gina, sekarang Puan Irdina pula luahkan rasa tak senang dengan Gina. Haih! Pelik aku.
“Yaya duduk dulu ya, mak cik nak telefon anak mak cik sekejap,” kata Puan Irdina bersama senyumannya.
Aku diam. Nak senyum tapi tak terasa pun senyuman terukir di bibirku. Aku tak tahu nak bereaksi macam mana. Semua ini tersangat mengejut dan mendadak.
“Apa semua ni?” Aku menyoal lemah.
Fayyadh tak menjawab soalan aku. Sebaliknya dia menonong ke pintu utama. Aku mengikut. Hisy! Suka dia ni diam membisu macam tu.
“Awak! Saya tanya awak ni. Bukannya tanya dinding bisu ni.” Aku tunjuk rasa tak puas hati. Grrr… geram tau tak!
Fayyadh ke keretanya dan penggera kereta dia tekan. Pintu bahagian penumpang dia buka.
“Masuk.” Fayyadh mengarahkan aku masuk ke dalam keretanya.
“Nak pergi mana?” Soalan aku tak jawab lagi tapi dah sibuk ajak aku masuk kereta dia.
“Ikut aje boleh tak? Jangan banyak bunyi.” Aku pulak kena marah! Hisy!
Akhirnya aku akur walau terasa naksepak aje mamat ni.

KERETA diberhentikan berhampiran dengan taman rekreasi yang pernah aku kunjungi dulu. Alah, taman yang aku terjumpa dengan Fayyadh dulu tu. Sudah hampir lima minit dia duk main diam macam tu. Adoi la! Aku nak balik!
“Sampai bila nak jadi bisu macam ni? Kalau tak nak hantar saya balik, saya boleh balik sendiri.” Aku geram. Dia buat aku ni macam tak ada perasaan langsung.
Aku cuba tarik pemegang pintu. Tapi tak sempat aku tarik pembuka pintu, klik! Fayyadh lebih dulu mengunci pintu. Sudahnya aku dan dia terkurung dalam kereta mewah tu.
“Huh!” aku mendengus.
Aku berpeluk tubuh sambil pandang taman yang masih kosong, tak berpengunjung. Baru pukul 4.00 petang, manalah ada manusia yang sanggup berjemur tengah panas terik ni.
Sorry,”
Aku palingkan muka, memandang Fayyadh. Telinga aku tak pekak lagi. Memang dia ada sebut sorry tadi. Mata kami beradu seketika.
Sorry pasal apa yang saya cakapkan dengan mummy saya tadi.” Sambung Fayyadh.
“Apa motifnya? Kenapa awak libatkan saya?” Aku perlukan penjelasan.
“Saya tak sengaja,”
“Tak sengaja?” langsung tak boleh diterima akal jawapan dia tu.
“Sebab marahkan Gina, saya libatkan awak dalam masalah saya.” Fayyadh mendengus. Mungkin marahnya pada Gina masih belum surut. Apa kesalahan yang telah Gina lakukan, tak pula aku tahu dan aku tak terasa nak tanya. Masalah dia orang, biarlah dia orang selesaikan sendiri.
“Sampai kepada menghantar rombongan meminang? Itu kerja gila! Kita orang melayu. Meminang dan perkahwinan teramat besar maknanya. Jangan kerana marah, awak jadikan saya mangsa.” Aku lepaskan apa yang terbuku di dalam hati.
Sorry,”
“Saya nak awak bagi tahu kat mak awak, batalkan saja rancangan bodoh ni. Saya bukannya boneka, yang akan menurut saja segala arahan tuannya.”
‘Tapi….”
“Tak ada tapi-tapi. Saya tak mahu terlibat dalam masalah awak dan Gina. Cukuplah orang mengata di tempat kerja. Saya tak mahu seumur hidup dicop sebagai perampas. Sedangkan hakikatnya saya tak pernah merampas!” Aku pegang pembuka pintu kereta. “Bukalah. Kalau tak nak hantar saya balik, saya boleh balik sendiri.” Aku ulang kembali ayatku tadi. Menapak dari taman ini hingga ke rumah aku bukannya jauh mana.
Klik!
Aku buka pintu dan mahu melangkah. Pintu aku lepaskan perlahan. Baru dua langkah aku melangkah, suara Fayyadh menampan telinga.
“Bermula esok awak tak payah lagi pergi kerja. Saya dah telefon pengurus di sana yang awak dah berhenti.”
Dan aku terus mengatur langkah berlalu dari taman itu. Semua ini mendadak dan sangat memberatkan kepala. Aku tak mahu fikir. Tapi… lepas ni aku nak kerja apa? Takkan nak goyang kaki aje kat rumah? Siapa pula nak bagi aku duit belanja? Kusut, kusut! Dalam tak nak fikir, kepala aku terpaksa fikir juga. Umi, nak menangis boleh?

“KAK long!” aku panggil kak long dari corong telefon.
“Kenapa Yaya?”
“Kak long sibuk tak?”
“Sibuklah juga. Ada tender baru masuk. Eh, Yaya tak kerja ke hari ni?”
“Orang dah berhenti.”
“Berhenti? Kenapa pula? Sayangnya. Yaya dah lama kerja kat situ.” Kata kak long dengan nada terkilan. Memang dah lama pun aku kerja kat situ. Hampir sepuluh tahun. Tapi nak buat macam mana. Aku tak ada kuasa untuk menolak.
“Malaslah nak cerita.”
“Pulak dah.”
“Kak long….” Mendayu-dayu aku memanggil kak long. Hati tengah berserabut ni.
“Amboi! Panjangnya sebut nama kak long. Ada apa sebenarnya ni?”
“Kita jumpa boleh tak?”
“Bila tu? Sekarang?”
“Bukanlah sekatang, malam ni boleh? Tu pun kalau kak long tak sibuk.”
“Insya-Allah. Nanti kak long mesej pukul berapa dan kat mana ya.”
“Okey.”
Aku biarkan telefon bisu di sebelah bantal. Rambut separas pinggang aku main lilit dengan jari. Inilah kerja aku kalau tengah kepala berserabut. Dan akhirnya aku akan tertidur. Kepala tengah banyak masalah pun aku boleh tidur dengan mudah. Itulah aku.

LEPAS solat maghrib, aku dah tercongok kat depan warung ni. Nasiblah tak jauh dari rumah. Jadi, aku hanya menapak sajalah. Sambil menunggu kak long sampai, sambil itu mata aku sibuk bekerja. Sibuk memandang pelanggan lain yang memberikan pesanan dan juga yang lalu-lalang di depan warung itu
“Adik manis, mahu minum apa?” Mamat Bangla yang bekerja sebagai pelayan warung tiba-tiba menyoal aku. Kacaulah Bangla ni. Dengan adik manis segala.
“Teh O ais.”
“Makan?”
“Nanti order lagi,”
Ayoyo adik manis. Kalau muka tu kasi senyum sikit, banyak cantik.” Eh Bangla ni, sibuk nak komen orang. Sudahlah tu, tersenyum-senyum macam kerang busuk! Gatal! Aku terus memasamkan muka.
Sorry, sorry. Kak long lambat. Tadi bos besar tiba-tiba masuk pejabat.” Kak long berkata bersama nafas yang tercungap-cungap.
“Tarik nafas perlahan-lahan kak long,”
Kak long tarik dan hembus nafas.
“Fuh! Tak cukup tanah kak long berkejar ke sini.” Kak long mengibas-kibas mukanya yang sudah berpeluh.
“Nah tisu,” aku hulur tisu kepada kak long.
So, apa cerita?”
“Kita order dulu, boleh?”
“Okey,”
Aku memanggil pelayan Bangla tadi dan membuat pesanan.
“Hah, apa halnya? Macam hal penting aje. Eh, tadi Yaya cakap dah berhenti kerja kan? Apasal pulak berhenti? Dah lama kerja kat situ, ruginya.” Mulut kak long laju bersuara. Macam murai tercabut ekor. Masa tulah dia nak tanya, masa tu juga dia nak berikan pandangannya. Haih, kak long, kak long.
“Panjang ceritanya kak long,”
“Pendekkan.” Amboi kak long! Siap senyum lagi tu. Perli ke apa ni?
“Malaslah nak cerita.” Aku mengeluh.
“Tak baik mengeluh, Yaya. Cuba cerita kat kak long, apa sebenarnya yang mengganggu kepala Yaya?” lembut nada suara kak long. Memang aku mudah sangat cair kalau kak long yang memujuk.
“Sebenarnya kak long, orang bukan diberhentikan kerja tapi terpaksa berhenti.” Aku membuka cerita sambil memandang wajah kak long.
Pelayan datang menghantar minuman. Tak sempat kak long ajukan pertanyaan. Kak long tarik gelas berisi air sirap limau rapat dengannya. Disedut sekali air itu.
“Eh, tak diberhentikan tapi kena berhenti? Macam mana tu?” Jangan kata kak long, orang lain dengar pun rasa pelik. Kening kak long terjongket sama.
“Tu yang susah nak cerita tu. Nanti kak long fikir lain pula.” Aku sedut air teh O ais yang aku order tadi sedikit.
“Fikir lain apa pulak? Isy Yaya ni, macam-macam.” Omel kak long.
“Kak long jangan terkejut pula kalau dengar orang nak cerita ni.”
“Cerita ajelah.”
“Okey, ceritanya macam ni….”

Dan aku mula membuka cerita. Daripada mula hinggalah ke akhir. Tak tertinggal walau satu pun. Daripada mula Gina tak suka kat aku hinggalah tiba-tiba Fayyadh suruh emak dia hantar rombongan meminang ke rumah kami. 

Ahad, 3 Januari 2016

CERITERA AKU & CINTA : BAB 8

FAYYADH hilang fokus. Semua yang dia buat hari itu serba tak kena. Pegang spanar tapi tak tahu nak sentuh kereta yang mana satu.
“Kenapa ni bos?” Amir yang merupakan salah seorang pekerja lama di bengkel itu bertanya.
“Entahlah. Hati aku rasa tak sedap aje. Macam ada sesuatu perkara yang buruk akan berlaku.” Luah Fayyadh.
“Pulak dah. Bos relakslah dulu. Tenangkan fikiran tu dulu. Aku nak sattlekan kereta puan sri dulu. Petang esok dah nak datang ambil.” Ujar Amir sebelum berlalu ke arah kereta Mercedes yang dikatakan itu.
Fayyadh kembali ke biliknya. Hari dah petang sangat. Langit pula sudah mula bertukar warna di atas sana. Kunci kereta yang tersangkut di dinding bilik dia capai.
“Mir, aku blah dululah. Bengkel ni kau tutup macam biasa,” Fayyadh mengeluarkan arahan.
Orait!” Sahut Amir.
Dan Fayyadh berlalu ke kereta BMW 7 Series miliknya. Selain Hummer, BMW itu juga keretanya. Tapi dia jarang guna kerana sayangkan kereta itu. Kalau Hummer memang dia selalu buat lasak. Tapi BMW 7 Series ni memang dia jaga sangat-sangat. Macam menjaga seorang isteri.
Fayyadh memandu tanpa hala tujuan. Dia gelisah sebenarnya. Buat itu tak kena, buat ini juga terasa tak kena. Kerana kebuntuan, dia memandu hingga masuk ke pusat bandar. Nasib baik jalan raya dah mula lengang kerana waktu puncak sudah berlalu. Dan tak hujan turun membasahi bumi. Nyaman dan sejuk. Sudah lama hujan tak turun.
Lampu isyarat menunjukkan warna merah, perlahan-lahan Fayyadh tekan pedal brek. Spontan kepalanya tertoleh ke kanan. Ada deretan bangunan hotel di sebelah sana. Lampu neon menyinari ruang pejalan kaki. Dan matanya tertancap pada kelibat satu pasangan yang sibuk berpelukan di khalayak umum. Seorang perempuan berskirt pendek paras peha dan seorang lelaki berusia lewat 60-an barangkali. Wajah Fayyadh membahang apabila terpandangkan wajah si perempuan.
Serentak dengan itu, bunyi hon kereta di belakangnya membingitkan telinga. Lantas Fayyadh memasukkan gear dan membuat pusingan U pada simpang lampu isyarat itu. Walaupun sudah terang-terang tertulis tak boleh melakukan pusingan U di simpang itu, namun dia langsung tak hiraukan semua tu. Kalau kena saman, dia bayar. Apa susah!
Kereta diberhentikan mendadak berhampiran dengan pasangan tadi. Pintu kereta dihempas kasar. Lupa terus itu adalah kereta kesayangannya. Yang dia tahu api kemarahan yang sedang menggunung di dalam hati tika ini.
“Hoi betina! Siapa jantan ni?!” tempik Fayyadh sambil pegang lengan Gina kuat.
“Eh, kau ni siapa?” lelaki tua itu pula yang menyoal Fayyadh.
“Dasar lelaki tua gayut! Kubur kata mari, rumah kata pergi! Dasar lelaki tua tak sedar diri!” Maki Fayyadh.
“You, kenapa ni? Orang tengoklah sayang.” Gina yang membisu sejak tadi kerana terkejut mula bersuara.
“Malu orang tengok? Yang kau pakai baju tak cukup kain macam ni, berpelukan pulak dengan lelaki yang dah pangkat atuk ni tak malu pulak? Aku lagi malu nak mengaku kau kekasih aku!” Ambik kau! Kena sedas.
“Sakit, sayang.” Gina mengadu, mengenangkan lengannya yang berada di dalam cengkaman Fayyadh.
“Sakit?” Fayyadh pulas tangan Gina ke belakang sebelum dilepaskan. Rasakan kau!
Argh!” Gina menjerit kesakitan.
Are you okay, sayang?” lelaki tua itu terus meluru ke arah Gina. Geli telinga Fayyadh bila dengar lelaki tu panggil Gina sayang.
“Hoi! Bawa-bawalah pergi masjid pula. Umur sebaya kau dah tak layak berkepit dengan perempuan murah macam tu. Tuhan boleh tarik nyawa kau bila-bila masa aje. Dan kau, bermula hari ni, kau dan aku putus! Patutlah mummy aku tak sukakan kau, rupanya ini kerja kau! Bodoh!” Fayyadh lepaskan apa yang terbuku di hati sebelum berlalu ke keretanya.
Menderu bunyi enjin kereta apabila pedal minyak ditekan kuat. Patutlah sejak tadi lagi hatinya berasa tak tenang. Asyik gelisah semacam. Rupanya ini yang Allah mahu tunjukkan kepadanya. Dan nasib baik juga hubungan dia dengan Gina masih belum berpanjangan hingga ke hubungan suami isteri.
Fayyadh menghentak tangan pada stereng kereta, melepaskan rasa yang masih terbuku di dalam hatinya.
“Bodoh! Menyesal aku kenal dengan kau! Buang masa dan buang duit! Bodohnya aku!” Fayyadh bertempik mengenangkan kebodohan diri. Selama ini dia tertipu dengan sandiwara Gina. Dan kata-kata kakaknya kembali terlayar di dalam benaknya.
“Apa yang akak tahu, Gina tu bukan budak elok. Dah banyak kali mummy terserempak dia dengan lelaki lain. Itu belum termasuk cerita-cerita yang kawan-kawan mummy sampaikan. Perempuan macam tu ke yang Syah nak buat isteri? Mummy nak yang terbaik untuk anak-anaknya. Tinggal Syah seorang saja lagi. Amanah arwah daddy perlu mummy laksanakan. Lagi pun, Gina tu bukan dari keturunan yang elok-elok. Mummy tak nak cucu mummy nanti mewarisi darah keturunan Gina.”
“Allahuakbar!” Fayyadh meraup mukanya. Menyesal kerana tak pernah nak dengar nasihat mummy dan kakaknya.

GINA datang mendekati aku dan tiba-tiba berbisik di tepi telinga aku.
“Aku nak jumpa kau masa rehat nanti. Aku tunggu kau kat belakang pasaraya.”
Aku pelik. Apa hal pula Gina nak jumpa aku? Jangan-jangan pasal Fayyadh. Aduh! Macam sengaja menempah bala aje aku ni. Tak apa, relaks Dhiya Delisya Durrani. Kau kuat. Kau tak salah apa-apa pun.
Tiba waktu yang dijanjikan, aku bersiap-siap ke belakang bangunan pasaraya. Tiba di sana, Gina sudah menunggu. Siap berpeluk tubuh lagi. Aku buat-buat selamba.
“Ehem,” aku berdehem. Gina memalingkan wajah ke arah aku. Muka dia? Err… bengis, macam nak makan orang. “Err… Ada apa kau nak jumpa aku?” Aku malas nak berlama-lama kat situ, jadi aku terus tanya. Masa rehat bukannya panjang mana pun. Sekejap aje ni.
“Apa hubungan kau dengan kekasih aku?” Mata Gina tajam merenung aku. Serius, aku dilayan seperti orang salah.
“Kekasih kau?” Tiba-tiba aku jadi blur.
“Ya! Kekasih aku, Fayyadh!”
“Oh, Fayyadh. Kenapa dengan dia?”
“Apa punya bengap kau ni? Aku tanya kau, apa hubungan kau dengan dia?” ton suara Gina semakin meninggi.
“Aku mana ada apa-apa hubungan dengan dia. Macam yang kau cakap tadi. Dia tu kekasih kau. Masa bila pula aku ada hubungan dengan dia?”
“Kau jangan nak main wayanglah. Kau jangan ingat aku tak nampak, siap datang kerja berhantar lagi. Apa semua tu?”
“Eh, bukan aku yang cari dia tapi dia yang cari aku. Takkan aku nak tolak bila orang ajak tumpang. Lagi pun, kalau layanan kau okey, takkan dia datang cari aku kan.” Aku sengaja. Sengaja buat dia sakit hati. Sengaja nak bagi dia marah.
“Kau ni!” Tangan Gina diangkat tinggi, mahu tampar aku. Tapi…
“Apa kau nak buat kat dia? Kau nak tampar dia? Nah ambik kau!”
Entah datang dari mana, Fayyadh tiba-tiba muncul. Dan lagi tak disangka, Fayyadh menampar Gina. Aku tergamam. Apa kes dia orang ni aku tak tahulah. Sampai Fayyadh sanggup naik tangan tu. Akibatnya, Gina jatuh tersungkur ke bumi.
“Sayang!” Gina memanggil.
“Siapa sayang kau? Aku dah cakap minggu lepas, antara kau dan aku dah putus! Faham!” Garang nada suara Fayyadh.
“Jom ikut saya.” Fayyadh pegang tangan aku dan paksa aku ikut dia. aku yang masih terperanjat dan terpinga-pinga menurut saja. Kakiku bagai diseret. Sampai di depan pasaraya, sekali lagi Fayyadh mengeluarkan arahan. “Pergi ambil beg awak. Mulai hari ni awak dah berhenti kerja kat sini.”
“Hah?” aku lagi terperanjat. Dia ingat nak berhenti senang macam tu aje ke? Main cakap aje.
“Cepatlah. Saya hantar awak balik.” Sekali lagi Fayyadh mengarah.
Dalam blur, aku ikut juga. Masuk saja ke dalam pasaraya sudah terdengar soseh-soseh antara rakan sekerjaku. Pasti ada yang nampak apa yang berlaku di belakang pasaraya sebentar tadi. Aku tak hiraukan cakap-cakap antara mereka, aku berlalu ke bahagian locker.
“Weh, kenapa tadi tu?” Alia datang menyendeng tiba-tiba. Menyendeng bukan saja-saja tapi bersama dengan soalannya sekali.
“Entah.” Aku tak kuasa nak melayan.
“Eh, apasal awal sangat kau nak balik?”
“Aku dah berhenti.”
“Berhenti? Senang macam tu?”
“Huh! Aku tak tahu!” Kan dah kena. Tanya lagi soalan masa aku tengah berserabut. Tak pasal-pasal kena tengking. Aku lepaskan pintu locker dengan kasar.
Aku menonong keluar dari pasaraya, meninggalkan Alia yang terkejut. Maaf Alia. Aku tak berniat nak tengking kau.

“KITA nak ke mana ni?” aku menyoal apabila melihat jalan yang kami lalui menyonsang dari jalan ke rumah aku. Tadi cakap nak hantar aku balik tapi sekarang ni, dah menghala ke lain ni. Dia nak bawa aku pergi mana ni? Rasa gerun tiba-tiba menguasai diriku.
Fayyadh tetap diam, membisukan diri. Aku tak ubah seperti sedang bercakap dengan papan pemuka kereta yang langsung tak bernyawa dan tak boleh bergerak.Beberapa minit kereta membelok masuk ke dalam halaman sebuah rumah agam yang besar. Rumah berkonsep English dan saiznya berkali-kali ganda lagi besar dari rumah keluarga aku. Aku terpegun.
“Tak nak keluar ke?”
Err… kereta dah berhenti ke? Aku pandang sekeliling. Asyik sangat pandang rumah ni sampai tak tersedar kereta dah berhenti. Aku keluar dari perut kereta. Tiba-tiba ada seorang wanita mendekati aku. Dia bawa aku balik rumah mak dia? Untuk apa?
“Eh, eh. Syah bawa balik tetamu.” Puan Irdina senyum dan aku balas balik senyuman itu. Orang dah senyum, kita balas balik ajelah. Takkan nak pamer muka masam pula.
Aku salami tangan Puan Irdina. Puan Irdina ni kan, tersangatlah ramah-tamah. Sampai aku tak tahu nak mencelah.
“Hmm…” Fayyadh menonong masuk ke dalam rumah, meninggalkan aku dengan Puan Irdina.
“Hisy Syah ni. Ada pula dia tinggalkan errr…. Apa nama anak ni? Lupa pula mak cik. Maklumlah, dah tua.”
“Err… Saya Delisya tapi panggil aje Yaya,” aku segan sebenarnya. Sangat tak biasa pun ya juga.
“Ha, Yaya. Jom masuk. Tadi sempatlah mak cik buat kuih sikit. Macam tahu-tahu pula ada tetamu nak datang.” Cerita Puan Irdina.
Masuk saja ke dalam rumah itu, sekali lagi aku terpegun. Aduh! Berkali-kali aku jatuh hati dengan rumah ni. Di luar sudah nampak cantik tapi di dalam lagi cantik! Puan Irdina menyuruh aku duduk dan dia mengarahkan pembantu rumahnya menyediakan hidangan.
Mummy,” Fayyadh tiba-tiba muncul dari dapur dengan muk di tangan.
“Ada apa Syah?”
Mummy free tak hujung minggu ni?”
“Hujung minggu ni? Rasanya tak ada apa-apa program. Kenapa Syah?”
“Hujung minggu ni Syah nak mummy hantar rombongan meminang ke rumah Isya.”
“Hah?!” aku keras, terpaku. Bala sudah datang!