Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Ahad, 17 November 2013

CERITERA AKU & CINTA : BAB 1

BAB 1
AKU Dhiya Delisya Durrani Binti Dzulfikri. Mesti kau orang semua tertanya-tanya, siapa aku. Biasanya orang terdekat panggil aku Isya. Masa sekolah dulu satu sekolah panggil aku 4D sebabnya nama aku tu semuanya bermula dengan huruf D. Sekali dengan nama ayah aku pun D jugak. Hmmm…. Aku orang biasa-biasa aje. bukan anak Dato’, bukan anak Tan Sri, bukan juga anak kerabat diraja. Hanya anak kepada pasangan Dzulfikri dan Zainab. Ayah aku ada buat bisnes kecil-kecil. Umi aku pulak suri rumah tangga aje. Dan inilah kisah aku….
Tali beg yang makin melurut jatuh ke lengan aku betulkan dan letak kembali di bahu. Terik matahari yang semakin mencengkam kulit tidak sikit pun memudarkan niat untuk ke tempat kerja. Hari ni aku kerja shift tengah hari. Masuk kerja pukul 1.00 tengah hari. Habis kerja pula pukul 10.00 malam. Nak buat macam mana, sudah ini kerja aku. Kalau terasa rajin, aku buat OT sejam. Tapi lepas tu mulalah tak larat nak balik.
Aku pandang ke kiri dan kanan perhentian bas itu. Sesekali mata tak lepas dari memandang jam di tangan. Aku tak pernah lewat. Takkan hari ni aku kena pecahkan tradisi tu? Tak pasal-pasal ada tanda merah pada kedatanganku.
“Mana bas ni? Takkan rosak lagi kut.” Aku mengomel sendirian. Baru beberapa hari lepas bas yang sudah berusia tu rosak. Biasanya waktu-waktu begini bas dah datang. Tapi sekarang? Ini yang buat aku tambah geram.
Pin, pin, pin!
Aku pandang ke arah kereta Toyota Vios yang asyik sekali membunyikan hon. Bingit telinga ni! Aku kenal sangat dengan mamat pemilik kereta tu. Aku buat-buat bodoh. Tingkap diturunkan dan lelaki itu bersuara.
“Isya, jomlah saya hantar awak. Bas belum tahu bila akan sampai.” Kata Farish.
Aku pandang dia sekali sebelum memandang ke kiri dan kanan. Takutlah juga jika ada yang kenal aku kat sini. Masak aku! Selepas dipastikan line benar-benar clear, aku terus tarik pintu kereta dan masuk ke dalam perut kereta.
Shift tengah hari ke hari ni?”
“Hmm…” aku hanya menggumam. Dalam kepala aku tak ada lain, aku dah lewat. Itu aje.
“Isya,” dia panggil aku pulak. Adoi! Kepala aku dahlah tengah berserabut. Ni nak ajak bersembang ke apa ni?
“Apa?”
“Kenapa awak layan saya macam ni? Awak buat saya macam tak wujud.” Tutur Farish. Oh, ni kira sentap dengan aku ke?
“Begini ya Encik Farish.” Aku pusing sedikit posisi tubuh menghadap dia. “Kita ni, pernah ada apa-apa hubungan ke? Pernah ke kita berjanji untuk sehidup semati? Pernah ke awak cakap sukakan saya? Cintakan saya, pernah ke?” dan apabila soalan demi soalan keluar dari ulas bibirku, semuanya perlian. “Sepatutnya saya yang tanya soalan tu. Bukannya awak. Sebab saya perempuan. Semakin hari, usia saya bertambah. Bukannya makin berkurang. Saya nak merasa hidup macam orang lain. Ada suami, ada anak. Tapi….” Aku sengaja menggantung kata-kata itu. Biar dia fikir sendiri.
“Habis kita?”
Allah! Apasal la dia ni lembab sangat? Aku tepuk dahi.
“Encik Farish, sudah berapa lama ye hubungan kita?” Aku sengaja menyoal soalan itu.
“Err…. Hampir lima tahun kut.” Nampak sangat dia teragak-agak menjawab soalan aku. Nampak sangat tak ambil berat langsung! Huh!
“Okey, hampir lima tahun kan. Sepanjang tempoh tu, ada ke Encik Farish menyatakan rasa hati Encik Farish kat saya? Pernah ke dalam hati tu ada hasrat nak masuk meminang saya? Pernah ke?” Panggilan Encik Farish tu sengaja aku tekan sedikit kuat. Sebelum ni tak pernah-pernah pun aku panggil begitu. Tapi sebabkan hati yang geram, semuanya jadi lepas laku.
Aku pandang tajam mata dia. Farish diam membisu. Aku tak tahu dia diam kerana tak ada jawapan atau pun diam kerana  sedang fikirkan jawapan yang akan dipersembahkan untuk aku. Dan sehinggalah kereta berhenti di hadapan bangunan tempat kerja aku, dia masih membisu macam orang tak ada mulut. Baiklah! Kebisuan dia telah memberi jawapan kepada aku.
“Encik Farish, saya tak ada masa nak tunggu Encik Farish diam macam ni. Syarikat ni bukan bapak saya yang punya. Boleh masuk kerja sesuka hati.” Tanganku sudah bersiap-sedia memegang pembuka pintu kereta. “Senang-senang macam nilah. Saya bagi tempoh tiga bulan. Dalam tempoh tu, jika ada yang masuk meminang, saya terus terima. Tak kiralah encik atau siapa-siapa saja yang masuk meminang.” Aku sudah bertekad! Pintu kereta aku tolak dengan hati penuh kecewa. Aku rasa aku dipermainkan. Down sangat-sangat.
“Tapi…” Telingaku masih menangkap baris perkataan itu. Farish seakan mahu menahan langkahku.
“Tak ada tapi-tapi lagi Encik Farish. Kalau betul mahukan saya, akhiri hubungan ini dengan ikatan yang sah. Jika tidak, maaf, saya tak boleh menolong. Assalamualaikum,” pintu kereta aku lepaskan dan terus berlalu masuk ke dalam bangunan tempat kerjaku. Aku hampa!

“EWAH, ewah, ewah. Hari ni tuan puteri ni siap berhantar lagi. Untunglah badan.” Sebaik memijak lantai ruang pejabat, suara Alia pantas menampar telingaku. Aku buat-buat bodoh aje. kaki laju menghala ke arah mesin pengetip waktu.
Lambat seminit, maknanya merahlah kad aku. Gumamku di dalam hati.
“Wei, aku cakap dengan kaulah. Boleh pulak kau buat bodoh macam tu.” Alia menyergah tiba-tiba. Entah bila datang dekat aku pun aku tak perasan. Macam minah tiga suku pulak dia ni!
“Hmm… tu bukan bercakap. Tu namanya kau sergah aku. Nasib tak pekak telinga aku.” Aku membalas sambil melangkah ke arah tempat simpan beg.
“Ah, tak kiralah. Farish hantar kau tadi kan?” Alia ni masih tak putus asa nampaknya. Tanganku yang sedang memasukkan beg ke dalam kotak simpanan barang terhenti. Aku pandang Alia.
“Kau mengendap aku?”
“Eh, tak ada maknanya aku nak mengendap kau. Baik aku buat benda lain yang lagi berfaedah.”
“Kalau macam tu, tolong buat benda lain tu.”
Pintu locker aku tutup dan aku menonong masuk ke dalam pasar raya. Inilah kerjaku. Sebagai promoter untuk pakaian kanak-kanak.
“Eh, soalan aku kau tak jawab lagi.”
“Malas!” sahutku. Memang aku malas nak layan Alia. Mood aku bukannya okey sangat sekarang ni. Nanti tak pasal-pasal Alia kena sembur dengan aku.
“Isya!” Alia menjerit. Ah, lantak kaulah nak jerit ke apa. Mulut kau, bukan mulut aku!
Dalam masa yang sama aku perasan mata Gina sibuk sekali menjeling ke arah Alia. Gina ni penyelia kat tempat aku kerja. Dia memang budget bos besar. Baru pegang jawatan penyelia dah tunjuk gila kuasa. Teruk sungguh manusia ni.

HABIS waktu kerja hari tu dalam pukul 10.15 malam, aku terus menapak ke depan perhentian bas. Nasib baik ramai lagi yang sedang menunggu bas sama macam aku. Aku pandang pada kerusi di perhentian bas itu. Penuh! Dan aku tak adalah can nak duduk. Makna kata, berdirilah Dhiya Delisya Durrani oi sampai bas sampai.
Sedang aku asyik membilang kereta yang lalu-lalang, telefon di dalam beg galasku berbunyi. Lantas aku bawa keluar telefon itu dari dalam perut beg. Pada skrin telefon tertulis nama Kak Long.
“Helo,” aku memulakan perbualan.
“Assalamualaikum. Amboi, dah tak pandai nak bagi salam ke? Berhelo-helo bagai.” Sedas aku kena bidas. Bisa jugak tu.
“Err… Wa’alaikumussalam.” Rendah aje suara aku menjawab balik salam dari kak long. Aku manalah boleh meninggikan suara dengan kak long. Dia tulah sumber kewangan aku time-time terdesak. Hahaha….
“Ada kat mana ni? Kenapa bising sangat?”
“Tengah tunggu bas.”
“Tak balik kerja lagi?”
“Kak long ni, orang tengah tunggu bas. Maknanya tak balik lagilah.” Apalah kak long aku ni. Tanya soalan kurang cerdik.
“Pukul berapa bas nak sampai?”
Kak long aku dah bertukar jadi polis pencen tak bergaji. Aduh la….
“Biasanya dah sampai ni. Tapi tak tahulah kalau-kalau macam ni lewat,”
“Tunggulah kat situ. Kak long datang ambil kau.”
“Datang ambil?” aku pelik. Apa maksud kak long?
“Yalah, sambil-sambil tu kita singgah kedai makan. Kak long tengah lapar ni,”
“Kak long belanja kan?” aku senyum di pinggir bibir. Tang belanja tu memang selalunya kerja kak long aku. Aku tukang bedal aje. Hehehe….
“Asal ajak keluar makan aje, kak long yang kena belanja. Susah betul nak merasa duit adik kak long ni.” Dia macam berjauh hati aje dengan aku.
“Dah kak long yang sibuk ajak orang, kak longlah yang kena belanja.”
“Yalah, yalah. Susah bercakap dengan kau ni. Penghabisannya, kak long jugak yang kalah. Tunggu dalam sepuluh minit lagi kak long sampai.” Kemenangan berpihak kepadaku. Senyum panjang aku.
Orait bos!” dan talian terputus.
Aku senyum sambil menunggu kak long aku datang ambil. Sambil aku menunggu tu, datang sebuah kereta Toyota Vios. Aku kenal sangat dengan pemandu kereta ni. huh! Masih tak faham-faham bahasa ke? Aku palingkan kepala ke arah lain.
“Isya,” si pemandu panggil aku selepas menurunkan cermin kereta.
Aku keraskan tubuh sambil pandang sebelah kiriku.
“Isya, jom saya hantar awak balik.” Farish besuara lagi. Mungkin sebab aku tak hiraukan dia dan semua mata sedang tertumpu pada dia. Yalah, berhenti di hadapan perhentian bas, siapa tak pandang kan.
“Isya,” dia panggil lagi.
Serentak dengan itu, bunyi hon kereta di belakang kereta Farish berbunyi. Pantas aku memandang ke arah kereta Perodua Viva itu. Tanpa memandang ke arah Farish, kakiku laju melangkah ke arah kereta Perodua Viva itu. Aku tarik pintu dan masuk.
“Siapa tu?” kak long menyoalku tanpa sabar.
“Malaslah cakap pasal dia. Kita nak makan kat mana ni?” aku memusingkan topik perbualan. Memang aku malas nak bercakap tentang mamat tu. Buat sakit hati saja.
“Mana-mana ajelah. Port biasa pun boleh,” kak long menjawab sambil mata tertumpu pada jalan raya.
“Okey, ikut kak longlah.” Putusku.
Asal ada orang nak belanja tu aku kira okeykan aje. Dah untung sangat-sangat ada orang nak belanja tu. Hilang seketika bayang Farish dari kepalaku.

“KAK long.”
“Hmm…”
Aku nak tanya kak long sesuatu sebenarnya. Kami dah habis makan waktu tu.
“Err… kalau orang nak tanya sikit, boleh tak?”
“Hmm… tanyalah.”
“Kenapa kak long dah lama tak balik rumah?”
Aku pandang kak long. Lambat-lambat kak long angkat kepala, dia pandang aku.
“Yaya tahukan kenapa kak long tak balik rumah sana. Kak long dah malas nak bercakap pasal ni.” Lemah suara kak long.
Hampir setahun setengah kak long keluar dari rumah keluarga kami. Selepas bertengkar teruk dengan umi dan ayah. Mereka bertengkar kerana kak long masih belum bersedia untuk berumah tangga tapi umi dan ayah terus memaksa kak long berkahwin. Apabila kak long cakap masih tiada calon, beria-ia mereka carikan jodoh. Tapi kak long tak bersetuju dan menolak sekeras-kerasnya. Dan pengakhirannya, kak long melangkah keluar dari rumah itu. Pada malam itu juga, ayah telah mengharamkan kaki kak long memijak kembali ke rumah itu.
Reaksi kak long apabila aku tanyakan pasal ni sudah tak seperti dulu. Jika awal-awal dahulu, kak long pasti marah-marah. Tapi kini, tidak lagi. Mungkin hati kak long sudah sejuk.
“Kak long langsung tak ada calon ke?” aku menyoal lagi.
Umur kak long pula sudah menginjak ke angka 30 tahun. Sudah terlebih layak memegang status isteri orang.
“Yaya tanya kak long ni, Yaya dah ada calon ke?”
“Apa Yaya pulak. Orang tanya kak long, ni kak long pusing balik kat orang. Tak sukalah.” Aku tayang muncung. Aku suka bermanja begitu dengan kak long.
“Manalah tahu kan. Habis, kereta Toyota Vios tadi tu siapa? Mesti yang special kan?” kak long sengaja mengorek rahsia dari aku. Adoi la…. Tak suka betul bila cerita itu dibuka kembali.
“Tak ada siapa-siapalah.”
“Kalau bukan siapa-siapa, takkanlah dia tu sanggup ajak tumpang. Tak percayalah kak long.”
“Tak percaya sudah. Jomlah balik kak long. Nanti umi bising.” Aku mengalihkan topik perbualan dan bangun.
“Yalah, yalah.”
Kak long mengalah akhirnya. Selepas membayar semua harga makanan, kami beredar ke kereta.


PROLOG BOLEH DIBACA DI SINI --> PROLOG CERITERA AKU & CINTA