Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 27 Ogos 2013

3RD BABY : EPISOD CINTA HARLYS

ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA...

seperti mana tajuk kat atas tu, alhamdulillah, akhirnya novel ketiga saya yang bertajuk EPISOD CINTA HARLYS(ECH) sudah mula menjengah pasaran. boleh dapatkan di kedai-kedai buku ye.. sementara itu, jom layan sinopsis ini dulu..:)


Tajuk : Episod Cinta Harlys
Penulis : Fieyza Fadlina
Terbitan : Lovenovel
Harga : SM RM25.00 / SS RM28.00

Sinopsis :

Kerana satu peristiwa hitam, Harith dan Arlyssa disatukan dalam sebuah ikatan pernikahan. Namun, ikatan itu hanya sekadar di atas kertas, Enam tahun mereka berpisah kerana ego masing-masing. Pertemuan yang diatur oleh Puan Ainidan Syed Yusri memaksa Arlyssa kembali bersama Harith dengan status ISTERI.

“Bilik ni ke bilik kita?”
“Apa dia? Bilik kita? Sejak bila pulak ada istilah ‘bilik kita’?!”
“Err.. kalau bukan bilik kita, bilik siapa?”
“Ni bilik saya! Kalau awak nak tidur, awak boleh tidur saja di mana-mana pun tapi bukan di bilik ni dan bukan di bilik-bilik yang lain sebab bilik-bilik tu semua dah ada orang punya!”

Pergaduhan sudah seperti makanan ruji buat Harith dalam hidup bersama Arlyssa. Tapi Harith tersangat sabar. Dan sekeras kerak nasi, akhirnya lembut juga jika direndam dengan air. Begitulah juga dengan hati Arlyssa. Semakin hari rasa sayang dan cinta semakin berkembang mekar di dalam hati. Tambah manis apabila cinta yang dihulur berbalas kembali. Terasa dunia milik mereka.

Perhubungan yang semakin menemui titik kebahagian tiba-tiba dilanda badai. Perkahwinan yang menjadi rahsia dalam keluarga Harith akhirnya terbongkar. Penolakkan dari Puan Hasnah memberi tamparan besar kepada Harith. Dia berbelah bahagi. Di kanan isteri, di kiri pula ibu kandung.

Masalah yang sedia ada semakin bertimpa dengan kewujudan Najwan dan Humaira yang mempunyai misi untuk menghancurkan rumah tangga pasangan ini. Siapa Najwan? Siapa pula Humaira? Dan adakah bahagia akan selamanya bersama mereka?





Jumaat, 16 Ogos 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 27

HUJUNG minggu datang lagi. Awal-awal pagi Suriya sudah turun ke dapur selepas menunaikan solat subuh. Pagi ini dia tak punya masa untuk bermalasan di atas katil. Dia ada misi penting pagi ni lantaran Rozairul ada di rumah. Semalam Rozairul sampai di rumah. Dia balik kerja saja sudah ternampak batang tubuh Rozairul di halaman rumah.
Aik, awalnya bangun.” Tegur Rozairul sambil gosok mata. Terpacak batang tubuhnya di depan muka dapur.
“Hmm…”
“Masak apa ni?” Rozairul tanya lagi. Dia sudah menjenguk ke dapur.
“Nasi lemak. Eh, along dah mandi ke belum ni?” Suriya pandang pelik alongnya.
“Belum,”
“Eh, pergi mandi dulu. Busuk!” Spontan Suriya tolak tubuh Rozairul supaya menjauh darinya.
“Laa… Along nak makan dulu.”
“Eh, takde, takde. Along mandi dulu!” Tegas Suriya mengarah.
“Hmm… Yalah, yalah.” Rozairul mengalah. Sempat lagi dia buat muka sedih.
Suriya menyambung kembali memasak di dapur selepas Rozairul berlalu ke atas. Dah tak ada apa sangat. Tunggu hidang aje. Selepas siap menghidang sarapan, Suriya ke belakang rumah pula bersama denga sebakul baju yang sudah siap dicuci. Matahari elok saja bersinar tu, jadi sangat sesuai nak sidai baju.

“ALONG,” Suriya memanggil Rozairul sambil tangan mengutip pinggan kotor.
“Hmm…” Rozairul angkat kepala.
“Su ada benda nak cakap dengan along,” Suriya mulakan mukadimahnya.
“Apa dia?”
“Err… Pasal cadangan along tu.”
“Hmm… Kenapa dengan cadangan along tu? Su ada cadangan lain ke?” Laju Rozairul mencelah. Manalah tahu kalau-kalau Suriya ada cadangan lain dari cadangan yang dia berikan itu.
“Eh, bukan, bukan.”
“Habis tu?”
“Su setuju dengan salah satu cadangan along tu.”
“Yang mana satu? Cadangan along ada tiga. Su bertunang dengan Amsyar, atau berkahwin dengan Amsyar atau pun Su balik tinggal dengan mama dan papa. Hmm…?” Rozairul ulang balik semua cadangan yang pernah dia berikan kepada Suriya.
“Err… Su setuju bertunang dengan bos Su.” Membulat mata Rozairul saat bertentang mata dengan Suriya. Telinganya tak salah dengar kan?
“Su, betul ni?” Rozairul menyoal seakan tak percaya.
Lambat-lambat Suriya anggukkan kepala. Keputusan dia dah keluar dari mulut, nak tarik pun dah tak guna. Jadi, hadap ajelah.
“Hmm… Along kena bincang dengan mama dan papa pasal perkara ni. kita akan buat majlis dalam masa terdekat ni kat sana.” Putus Rozairul sambil bangun.
“Kat sana? Sana tu kat mana?” Suriya menyoal bagai orang bingung.
“Kat rumah mama dan papa. Kat Terengganu.” Rozairul yang baru beberapa langkah ke depan berhenti mendadak. Dia berpaling dan mendekati kembali Suriya.
“Kenapa kita tak buat saja kat sini?” Suriya bukan apa. Seboleh mungkin dia tak nak susahkan keluarga angkat mereka di Terengganu.
“Su, kita masih ada orang tua walaupun mereka cuma keluarga angkat kita. Takkan kita nak buat kerja-kerja ni tanpa pengetahuan mereka. Kecik hati mereka. Cuba Su fikir balik, siapa yang besarkan kita. Mereka kan? Jadi, apa salahnya kita buat kat sana sebagai membalas jasa mereka. Along tahu, Su masih marahkan mama kan? Su, niat mama baik sangat. Mama nak kita juga ada ibu dan rasa kasih sayang ibu macam mana orang lain. Mama tak nak kita rasa terpinggir. Boleh kan kita buat majlis kat sana?” Panjang lebar kata nasihat Rozairul. Dia tak mahu orang gelar mereka berdua sebagai anak yang tak kenang budi. Jadi, sebelum orang mengata di belakang, adalah lebih baik mereka tutup mulut-mulut itu.
Suriya diam sejenak. Diam kerana berfikir. Akalnya cuba mencerna setiap patah kata Rozairul. Dia menimbang kembali betul atau tidak kata-kata itu. Suriya akhirnya menganggukkan kepala.
“Okey, that’s my girl.” Rozairul senyum sambil menggosok ubun-ubun Suriya perlahan. “Oh, sebelum along lupa. Su bertunang tiga bulan aje ya,”
“Hah? Tiga bulan?” Suriya terperanjat. Alongnya tak pernah pun bincangkan pasal ni. Tiba-tiba hari ni ada tempoh pulak. Tiga bulan pulak tu. Singkatnya!
“Kenapa? Bertunang ni Su tak boleh lama-lama. Banyak yang buruk dari baiknya. Cabaran orang bertunang ni lagi hebat dari orang bercinta tau. Orang cakap, masa nilah darah tengah manis.”
“Along cakap macamlah along pernah bertunang.” Gumam Suriya.
Rozairul ketawa lepas. Lucu benar kata-kata adiknya itu. Tapi betullah. Dia bercakap macamlah dia dah pernah rasa bertunang, berkahwin. Sejujurnya dia tak pernah lagi merasai semua itu. Entahlah, susah baginya mencari perempuan yang benar-benar dapat memahaminya. Bekerja yang tak tentu masa. Nampak memang berduit tapi dia tak selalu di darat. Kerjanya asyik terbang saja di awan biru.
“Memanglah along tak kahwin lagi. Jangan kata kahwin, bertunang pun belum. Tapi along dapat maklumat dari pembacaan di Internet. Dari pengalaman kawan-kawan along. Mereka semua cakap macam tu.” Balas Rozairul bersama senyum panjang.
“Hmm… Okeylah. Along nak bincang dengan papa dulu.”
Suriya hanya memandang langkah Rozairul yang semakin menjauh. Nak halang dah tak boleh. Semuanya keputusan sudah dibuat. Tunggu apa kata Encik Razak pula.

“ASSALAMUALAIKUM, pa.” Rozairul hulur salam kepada Encik Razak di hujung talian.
“Wa’alaikumussalam, Wan. Tak kerja ke?” Suara Encik Razak sedikit termengah kerana sedang membersihkan halaman rumah.
“Tak, pa. Baru start cuti semalam. Papa sihat?”
“Oo. Sihat, alhamdulillah. Wan dengan Su macam mana kat sana?”
“Alhamdulillah, kami sihat. Err… Wan sebenarnya ada hal nak bincang dengan papa ni. Berkenaan dengan Su. Tapi sebelum tu, mama ada tak kat situ?” Sebelum apa-apa baik Rozairul tanya dulu. Sejak peristiwa lalu, Puan Jamilah jadi sangat sensetif. Kalau silap cakap sikit pasti menangis.
“Mama tak ada, keluar dengan ateh tadi. Hal apa tu Wan?” Encik Razak labuhkan punggung di atas bangku simen yang berada berdekatan dengan pagar rumahnya.
“Err… Berkenaan Su ni. Sebenarnya macam ni.” Dan Rozairul mula membuka cerita dari A sampai Z. Dia ceritakan sampai tak tertinggal walau satu pun.
“Bertunang? Wan, bertunang tak boleh nak selesaikan masalah ni. Walaupun bertunang, hubungan mereka masih lagi belum halal. Masih ada jurang antara mereka.” Ujar Encik Razak. Reaksinya pada awal tadi memang benar-benar terkejut. Siapa tak terkejut apabila dimaklumkan yang Suriya mahu bertunang. Tapi apabila Rozairul terangkan kenapa Suriya bertunang, barulah Encik Razak menarik nafas lega sedikit.
“Wan tahu, pa. Tapi Wan dah terkeluarkan cadangan tu. Kalau Wan suruh dia kahwin, awal-awal lagi dia menolak. Suruh balik ke Terengganu, lagilah dia tak nak. Wan buntu. Cadangan tu pulak spontan aje datang.” Rozairul menghela nafas berat.
“Bila rancang nak bertunang tu?”
“Wan tak bincang lagi dengan pihak lelaki. Rancangnya lepas bercakap dengan papa ni baru saya nak call pihak sana.” Beritahu Rozairul.
“Oh. Hmm… Macam nilah. Papa rasa dalam dua minggu lagi okey kita buat majlis bertunang tu. Nanti papa hantar ateh ke rumah Wan.” Selepas berfikir seketika, Encik Razak mengeluarkan cadangan.
“Okey, tak cepat sangat tak lambat sangat dua minggu lagi tu. Papa nak hantar ateh ke rumah Wan? Ateh tak kerja ke pa?”
“Ateh dah berhenti, Wan. Dah boring katanya dengan kerja tu. Ha, elok sangatlah tu.” Ujar Encik Razak.
“Okey pa. Nanti Wan call ateh. Senang sikit kalau bercakap sendiri dengan ateh.”
“Okey,” Encik Razak diam seketika. “Wan,”
“Ya, pa?”
“Lelaki yang nak bertunang dengan Su tu orang baik-baikkan?” Ini yang Encik Razak fikirkan sejak tadi. Bimbang juga jika dia nak lepaskan anaknya jika dapat tahu lelaki itu bukan dari kalangan yang baik-baik.
“Insya-Allah pa. Lelaki ni namanya Amsyar. Dia bos Su kat tempat kerjanya. Wan dah beberapa kali jugak bertembung dengan Amsyar kat masjid. Amsyar ni kalau hujung minggu dia jadi muazzin kat masjid di sini. Wan pernah sembang dengan dia sekali masa nak balik dari masjid bulan lepas. Wan tahu dia ni bos Su sebab satu hari tu teksi yang biasa hantar Su balik rosak. Su pulak tak telefon Wan. Jadi Amsyar tumpangkan Su balik. Masa nilah Wan tahu lelaki yang Wan bersembang kat masjid dengan lelaki yang hantar Su ni orang yang sama.” Panjang lebar Rozairul bercerita lagi.
“Oh, macam tu.” Lega Encik Razak.
“Okeylah, pa. Wan nak bincang dengan Amsyar dulu. Nanti kirim salam kat mama dan semua ya, assalamualaikum.” Ucap Rozairul mematikan perbualan antara mereka.
“Wa’alaikumussalam,” jawab Encik Razak. Dia tenung telefon yang telah bisu di tangan kanannya. Terasa tak sangka anak angkatnya sudah mahu bertunang. Nanti berkahwin pulak. Terasa bagai mimpi semua ni. Di matanya masih lagi ternampak-nampak telatah Suriya yang lincah ke sana ke mari ketika masih anak remaja. Bagai baru semalam dia menerima kehadiran Suriya dan Rozairul di dalam keluarganya. Sekejapnya masa berjalan. Sedar tak sedar sudah hampir 20 tahun Suriya membesar di dalam dalam keluarga Encik Razak.

“MAK Yam, Mak Yam!” Iddin sibuk sekali melaung memanggil nama pembantu rumah yang sudah dianggap sebagai ibu sendiri itu. Dia baru aje sudah bercakap dengan Rozairul di telefon.
“Mak Yam!” Jerit Iddin lagi.
“Ya, ya.” Terkoncoh-koncoh Mak Yam menjawab sambil masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur.
“La… Mak Yam ada kat belakang ke?”
“Haah, Mak Yam ambil ulam sikit kat belakang tadi. Ada apanya Din?”
“Din nak bertunang!” Girang sekali Iddin memberitahu.
“Hah?! Bertunang?” Mak Yam betul-betul terkejut. Nasib baik dia tak ada sakit jantung. Kalau tak dah lama tergolek kat situ juga. Tak hujan, tak banjir tiba-tiba Iddin cakap nak bertunang.
“Ya, Mak Yam. Din nak bertunang.” Ulang Iddin sekali lagi.
“Dengan siapa?”
“Mak Yam rasa?” Iddin tarik kerusi di dapur dan duduk. Keningnya terjongket menanti jawapan Mak Yam.
“Err… Dengan perempuan tu ke?” Mak Yam berfikir. Dia lupa sebenarnya nama perempuan itu. Pada hal Iddin dah beritahu siapa nama perempuan yang berjaya mencuri hati anak muda ini. Iddin senyum dengan jawapan Mak Yam. Lantas dia anggukkan kepala.
“Haah, dengan Anggerik.” Iddin senyum lebar hingga ke pipi. “Mak Yam, dah bolehlah kita bersiap-siap. Lagi dua minggu kita hantar rombongan ke rumah keluarga Anggerik. Tapi rumah keluarga dia jauh ni Mak Yam. Kat Terengganu. Ah, tak apalah, asalkan Din dapat Anggerik.” Iddin sudah mahu bersorak kegembiraan. Mak Yam sempat menghalang dengan soalannya.
“Din dah cakap ke belum kat abi?” Senyuman Iddin pudar.
Abi? Iddin menyoal di dalam hati. Sudah terlalu lama dia tak bercakap dengan lelaki itu. Jangan kata bercakap, bertentang muka pun dah jarang sangat. Hubungan mereka memang dingin sejak dulu lagi. Iddin dibesarkan di sekolah berasrama penuh. Apabila balik bercuti, Tuan Ikmal sibuk dengan kerja. Nak nampak batang hidung kat rumah pun susah. Lepas tu Iddin masuk U. Masa ni Iddin dah tawar hati nak duduk kat rumah. Jadi dia menyewa dengan kawan-kawan. Sudahlah tak dapat kasih sayang dari umi. Dari abi pun dia tak merasa langsung.
“Din,” Mak Yam tepuk perlahan belakang tapak tangan Iddin, menyedarkan anak majikannya dari angan panjang.
“Din cuba bawa berbincang dengan abi. Insya-Allah abi boleh terima.” Saran Mak Yam.
“Tapi…”
“Din, cuba dulu. Tak cuba Din tak tahu. Abi tu baik sebenarnya,” kata Mak Yam lagi.
“Kalau Mak Yam tolong sampaikan macam biasa tak boleh ke?” Iddin cuba menagih simpati. Mak Yam gelengkan kepala.
“Bukan Mak Yam tak nak tolong. Tapi kalau Din sendiri tak mulakan langkah ni, sampai bila hubungan Din dengan abi nak baik? Takkan selamanya nak begini. Seorang ke timur, seorang ke barat. Begitu?” ujar Mak Yam. “Din, Din sebagai anak sepatutnya Din yang mengalah. Ya, memang Din dengan abi tak pernah bergaduh. Cuma tak bertegur sapa walaupun tinggal dalam sebuah rumah. Hari ni Mak Yam ada lagi. Mana tahu kalau esok atau lusa Allah menjemput Mak Yam kembali, takkan masa tu baru Din nak mula langkah yang sepatutnya Din dah mula lama dulu?” Panjang lebar kata-kata Mak Yam.
Iddin diam seribu bahasa. Dia fikirkan kembali setiap patah kata yang keluar dari mulut Mak Yam. Ada betulnya. Terasa susah untuk dia mulakan sesuatu yang baru baginya. Terasa sangat janggal.
“Din, cuba bercakap dengan abi ya,” Mak Yam mengingati lagi sebelum kembali ke belakang. Ada kerja yang perlu dia siapkan di belakang sana.
“Hmm…” Iddin hanya menggumam.

Jumaat, 2 Ogos 2013

SEWANGI CINTA ANGGERIK : BAB 26

“ENCIK, encik!” Apa kena pulak bos aku ni? Kena sampuk ke?
“Encik Iddin!” Jerit Suriya.
“Hah!” Iddin pandang Suriya. Dia senyum. Senyum panjang. Suka sangat dia dengan keputusan Suriya itu. Dapat bertunang tu kira peluangnya makin cerah. “Sorry, saya terkejut je tadi tu. Ehem, ehem.” Iddin berdehem. “So, bila kita boleh bertunang?”
Suriya tersentak. Matanya mencerun memandang Iddin. Tak sabar-sabar! Omel hati Suriya.
“Boleh sabar tak? Biar saya bincang dengan abang saya dulu,” putus Suriya.
“Oh, okey.” Lemah Iddin menjawab. Tulah. Siapa suruh teruja sangat.
“Sampai bila kita nak duduk kat sini ni?” tanya Suriya tiba-tiba. Rimas pula bila berdua-duan di dalam kereta dengan Iddin begitu.
“Awak nak ke mana?” Iddin tanya balik Suriya.
“Balik ofis.” Suriya berpeluk tubuh.
Iddin pandang jam papan pemuka kereta.
“Jom lunch!” Tangan Iddin laju menolak gear.
“Hah? Awal lagi ni encik.” Suriya turut pandang jam. Baru pukul 11.05 pagi kut.
“Tak ada apa yang perlu awak risau. Saya bos awak. Ingat tu.” Iddin memberikan peringatan.
“Habis Emma?” Tiba-tiba Suriya teringatkan minah gedik yang Iddin tinggalkan di pejabatnya. Kesian pulak minah tu kena tinggal macam tu. Ini ayat perli. Harap maklum. Ah, tak ada maknanya Suriya nak kesiankan minah tu. Buang masa aje.
Iddin tak menjawab soalan Suriya. Sebaliknya dia keluarkan iPhone dari poket seluarnya. Jarinya ligat mencari satu nama. Sejurus jumpa butang dail dia sentuh dan telefon dibawa ke telinga. Suriya hanya memerhati setiap tingkah Iddin. Nak telefon siapa pulak ni? Minah tu ke?
“Helo. Bad, Emma ada lagi kat pejabat ke?”
“Dia dah balik encik,” jawab Badrul di hujung talian.
“Okey. Awak batalkan semua appoiment saya hari ni. Awak postpone ke hari lain. Saya tak masuk pejabat hari ni. Hmm… Saya keluar dengan dengan Suriya.” Maklum Iddin kepada Badrul.
“Eh, encik nak ke mana pulak ni? Kalau encik nak keluar, hantar saya balik ofis dulu.” Tiba-tiba aje ajak orang keluar. Dahlah tak bawak beg duit. IC pun tak bawak ni. Betul-betul rasa macam pendatang tanpa izin.
Iddin masukkan kembali Galaxy Note II ke dalam poket seluarnya. Tanpa menghiraukan kata-kata Suriya, Iddin terus memecut kereta ke arah jalan raya. Tercengang Suriya. Dalam kepalanya sudah berfikir macam-macam. Entah ke manalah bos aku ni nak bawa aku.
“Encik, kita nak ke mana ni?”
“Saya yang memandu kereta ni. Awak ikut ajelah. Jangan banyak bunyi.” Balas Iddin bersama amarannya.
Suriya terdiam. Apabila bos di sebelah sudah mengeluarkan arahan, maka dalam terpaksa dia wajib turuti. Kalau tak ikut, buatnya Iddin tinggalkan dia sorang-sorang kat sini. Dia nak balik dengan apa? Sudahlah kiri dan kanan jalan ni sunyi semacam. Mahu meraung tak berlagu dia nanti kalau kena tinggal kat situ.

SEMENTARA itu di pejabat IMIA Technology. Badrul meletakkan ganggang telefon kembali di tempatnya.
“Siapa? Bos ke?” Belum pun sempat Badrul menarik nafas panjang, Noraini lebih dulu menyerangnya dengan soalan.
“Hmm… Laju aje kak Ani nak korek cerita.”
“Eh, mestilah. Kalau tak korek cerita, bukan Kak Ani lah namanya. So, apa cer?”
“Bos tak masuk pejabat hari ni. Dia suruh saya postpone kan semua appoiment dia.” jawab Badrul.
“Habis tu Suriya apa kes? Bos dapat kejar dia tak?”
“Hmm… Bos cakap dia dengan Su, itu aje.”
Wow! Berita hangat ni.” Girang Noraini menyambut kata-kata Badrul.
“Kak, Emma mana?” Badrul baru teringatkan minah gedik itu. Tadi lepas Noraini sembur dia, terus tak nampak-nampak minah tu.
“Entah akak. Dah blah kut. Weh! Tak kuasa akak nak layan dia tu!” Angin pulak Noraini apabila Badrul sebut pasal Emma. Noraini berlalu ke mejanya. Dan badrul kembali menyambung kerja-kerjanya. Aduh! Kena telefon dua buah syarikat hari ni. Encik Iddin punya pasallah ni. Nak kena postpone appoiment pulak hari ni. Badrul merungut.

“KAT mana ni?” Suriya menyoal.
Suriya pandang ke luar tingkap kereta. Kat food court mana pulak dia berhenti ni? Suriya menyoal di dalam hati.
“Nak buat apa kat sini?”
Iddin pandang Suriya. Soalan macam tu pun ada jugak ke?
“Dah nampakkan saya berhenti kat food court. Maknanya nak makanlah. Takkan nak beli baju pulak kat sini.” Balas Iddin sambil tolak pintu sebelah pemandu.
Makan? Lunch ke? Suriya tenung jam di pergelangan tangan. Baru 11.30 pagi. Awal lagi kut.
“Tapi saya nak balik ofis.”
“Awak nak balik dengan apa? Teksi? Silakan, saya tak halang. Tapi kalau jadi apa-apa kat awak saya takkan bertanggungjawab.” Balas Iddin selamba.
Suriya mematungkan diri. Nak tunjuk tanda protes. Iddin yang sudah beberapa langkah ke depan kembali berpatah ke arah kereta.
“Awak nak ikut saya ke tak ni? Nak duduk dalam kereta ni? Tak takut ke kalau ada yang cuba ambil kesempatan nanti?” Sengaja Iddin memprovok Suriya. Dia nak tengok Suriya ni berani ke tak.
Ambil kesempatan? Perogol? Suriya seram sejuk tiba-tiba. Lambat-lambat dia menolak pintu kereta. Dengan muncung itik yang dipamerkan di bibir, Suriya mengekori langkah Iddin. Sampai di meja makan, Suriya hanya memesan segelas air Milo. Perutnya tak terasa lapar walaupun belum menjamah sebarang sarapan pagi. Melihat gelas Milo, teringat dia kat air yang dia buat tadi. Yang diletakkan di atas meja Badrul. Kononnya nak tumpang tinggalkan sekejap tapi dah berjam-jam dia tinggalkan muk di atas meja Badrul. Nak telefon Badrul, telefon dia tak bawa. Dah terasa macam kena culik ni.
“Tak nak makan ke?” Iddin menyoal sambil letak sepinggan nasi berlauk di atas meja mereka.
Suriya gelengkan kepala. Suriya hanya pandang Iddin menyuap nasi ke dalam mulut. Gelas air dia tarik mendekat. Straw dipusing-pusing ke dalam gelas.
“Hai dear,” tiba-tiba meja mereka dihampiri seorang perempuan. Suriya angkat kepala. Spesies Emma jugak minah ni. Desis hati kecilnya. Dah tak ada perempuan berpakaian elok ke kat dunia ni? Semua yang mendekati Iddin semuanya spesies pakai baju tak cukup kain.
Uhuk, uhuk.” Iddin terbatuk kerana terkejut. Lantas dia capai gelas yang paling hampir dengannya.
“Eh,” Suriya mahu menghalang tapi kata-katanya mati begitu sahaja. Air aku! Sambungnya di dalam hati.
“Kenapa dengan you ni? Cuba makan elok-elok.” Manja sekali lenggok suara itu menasihati Iddin. Di telinga Suriya pula, dia rasa nak muntah dengar suara minah ni. Tersangatlah gedik!
“You buat apa kat sini?” Iddin tanya perempuan yang baru menyapanya itu.
“I teman kawan I. Dia ada kat sana. Eh, boleh I duduk?” Tanpa menunggu kata putus dari Iddin, perempuan itu terus duduk. Iddin tayang muka terperanjat.
“Su, ni kawan saya. Kenalkan, Aina. Aina, ni tunang I, Suriya.” Iddin memperkenalkan perempuan gedik itu kepada Suriya.
Tunang? Sejak bila pulak kita bertunang Encik Iddin Amsyar oi! Baru pagi tadi aku bagi persetujuan nak bertunang dengan kau. Belum pun bertunang. Pandai-pandai reka cerita! Gumam Suriya di dalam hati.
“Hai,” Aina hulur tangan bersalaman dengan Suriya. Tapi hanya hujung jari saja yang bersentuhan. Bukan Suriya yang tak nak sambut salam tu tapi Aina yang lebih dulu melarikan tangannya. Ceh! Budget macam artis! Kutuk Suriya.
“You dah bertunang? Tak jemput I pun.” Aina bersuara manja lagi.
“Baru bertunang. Nanti majlis kahwin kami jemput. Kan sayang,” Iddin pandang Suriya. Dia mahukan pertolongan Suriya.
“Hah? Haah.” Suriya tak tahu nak kata apa. Fikirannya bukan di situ.
“Okeylah, I gerak dulu. Kawan I dah tunggu kat sana.” Aina bangun dari kerusi yang dia duduki. Sebelum berlalu, sempat dia berbisik di tepi telinga Suriya.
“You memang bertuah sebab dapat miliki dia. Selama ni kami sangka dia tak sukakan perempuan. Tapi sangkaan kami meleset. Nampaknya dia masih ada selera dengan perempuan. Jagalah dia elok-elok. Jangan sampai dia jatuh ke tangan kami.” Kata-kata berbau amaran itu menampar telinga Suriya. Dia tercengang. Tak tahu nak kata apa. Akhirnya dia hanya menghantar pemergian Aina dengan ekor mata.
“Jom balik,” habis nasi sepinggan, Iddin ajak Suriya balik ke pejabat. Suriya masih diam tak terkata. Entah kenapa, kepalanya sibuk sekali memikirkan kata-kata Aina tadi. Aduh! Menyesakkan kepala betul.

“WAH, wah, wah. Orang keluar dating dah balik.” Suara Noraini riuh menyambut kepulangan Suriya. Nasib dia tak hampar karpet merah.
Dating? Dating amendanya kak? Merepek aje.” Sanggah Suriya.
“Habis tu dah keluar berdua, apa lagi kalau bukan dating. Haaa… Nak mengelak lagi tu.” Aduh Kak Ani ni, sengaja bikin kecoh! Suriya tepuk dahi.
“Akak rasa tak lama lagi satu ofis akan keluar bunyi ni.”
“Bunyi apa pulak akak ni?”
“Bunyi. Kepung, kepung, kepung. Kepang, kepang, kepang.”
Erk! Suriya jongket kening.
“Apa tu?”
“Aduh! Bunyi kompanglah. Itu pun tak tahu Su ni.” Noraini tepuk bahu Suriya.
“Bunyi kompang?”
“Haah la. Kompang orang nak kahwin.” Selamba Noraini memjawab.
“Kompang? Kahwin? Siapa nak kahwin Kak Ani?” Suara Iddin menyergah Noraini dari belakang. Lambat-lambat Noraini berpaling. Dia tak sedar entah sejak bila Iddin ada kat belakang dia. Tu lah, bila dah bercakap tak tengok kiri kanan, belakang depan.
“Err… Tak. Semalam kat taman perumahan rumah akak tu ada bunyi kompang. Ada orang buat kenduri kahwin. Tak ada siapa-siapa nak kahwin. Saja akak cerita kat Su.” Fuh! Ayat kelentong sudah keluar dari mulut Noraini.
“Hmm… Macam-macamlah akak ni. Kerja dah siap ke belum ni?”
“Err… Belum.”
“Habis tu? Tak pandai-pandai siapkan kerja tu?” Keluar sudah aura bos besar Encik Iddin Amsyar.
“Ha… Sekarang jugak akak siapkan.” Bagai lipas kudung Noraini berlalu ke mejanya. Dah kena sound dengan bos besar, tak reti-reti lagi?
Iddin pandang Suriya. Cuma sekejap saja pandangan mereka bertaut. Suriya berlalu ke mejanya.