Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Khamis, 26 Julai 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB21

**Assalamualaikum n selamat malam.... akhirnya terpublish jugak cerita ni lepas 2 minggu rehat.. sy x rehat pun, x sempat nk rehat sbb kena betulkan balik manuskrip KYKS.. haih.. cerita ni pun x bersambung lg dlm mnuskrip asal... huhuhuhu.. ok, sy harap smua enjoy dgn n3 ni... ni yg belum d edit.. x sempat lg nk edit.. huhuhu

*****************************************************************

SEMUA fail-fail penting berselerak di atas katilnya. Dah hampir setengah jam dia begitu tapi surat yang dicari-cari masih lagi tak jumpa. Matilah kalau tak jumpa jugak. Lusa kena ke mahkamah sebabkan tuntutan dari pelanggan. Bukan hanya tuntutan tapi mereka juga mahu saman pihak syarikat. Itu yang buat Arlyssa makin pening. Ya Allah, tolonglah. Sudah letih dia mencari. Tapi semuanya fail yang sama.

“Linda, awak ada tak terambil surat penting dari atas meja saya semalam?” tanpa berfikir panjang, Arlyssa menelefon Linda. Besar harapannya jika surat itu ada di tangan Linda.

“Surat penting? Rasanya tak ada puan. Boleh saya tahu, surat apa tu puan?”

“Surat kes saman yang pelanggan kita failkan. Kes mereka sama dengan kes Encik Najwan tapi mereka ni nampaknya sengaja mahu bawa kes ni ke tengah.” Terang Arlyssa.

“Oh,” panjang ‘oh’ Linda.

“Okeylah, kalau tak ada dengan awak. Mungkin saya silap letak ni. Maaf ganggu awak malam-malam ni, assalamualaikum.” Arlyssa memberikan jawapan untuk menyedapkan hati sendiri. Perbualan antara mereka terputus usai salam Arlyssa bersambut.

“Habis, kat mana kau duduk wahai surat? Aku dah letih duk pusing satu bilik cari kau.” Bibir Arlyssa mengomel-omel. Matilah kalau tak ada surat tu.

“ASSALAMUALAIKUM, along.” Harith menghulurkan salam. Setelah hampir lima kali mencuba menelefon nombor abang iparnya itu, akhirnya talian bersambut juga.

“Wa’alaikumussalam, sihat Harith?”

“Alhamdulillah, sihat long. Along pulak macam mana?” Soal Harith, sekadar berbasa-basi.

“Along sihat, alhamdulillah.”

“Along, sebenarnya ada benda yang saya nak tanya kat along ni. Err.. Tentang syarikat. Along free tak ni?”

“Hal syarikat? Berkaitan dengan apa ni? Along free je ni, baru habis shift.”

“Err.. Macam ni, saya ada terjumpa sepucuk surat dari beg kerja Lys. Bila saya baca, surat ni surat saman dari pelanggan kepada syarikat. Lusa kes ni akan diperdengarkan di mahkamah. Lys ada tak bagi tahu kat along?” satu-persatu Harith khabarkan kepada Syed Yusri.

“Surat saman? Tak ada pulak Lys cakap apa-apa pasal tu. Lys ni pun satu hal, perkara macam ni tak boleh buat senyap macam ni. Hal ni Harith kena rujuk kes ni dengan HQ. Along tak boleh bagi jawapan sebab along tak ada kuasa. Apa kata Harith telefon Pak Cu? Lebih elok kalau Harith deal dengan dia sebab Pak Cu yang uruskan syarikat,”

“Okey, along. Nanti along hantar nombor telefon Pak Cu kat saya ya,” pesan Harith sebelum perbualan mereka semakin meleret ke topik lain.

Keesokkannya, sejurus mendapat nombor telefon Pak Cu, Harith terus menelefon adik kepada bapa mertuanya itu. Hampir sejam juga mereka berbual di talian. Syed Yusri telah memperkenalkan Harith sebagai kawan baiknya yang tinggal di Terengganu dan bekerja sebagai peguam. Tiada gelaran suami kepada Arlyssa di sini. Saudara-mata Harith dan saudara-mara Arlyssa masih belum tahu tentang berita pernikahan mereka.

Peguam syarikat tidak dapat hadir kerana sedang berkursus di Pulau Pinang, maka Haji Jamal telah menyuruh Harith menggantikan tempat peguam syarikat untuk sementara waktu. Kes sebegini perlukan pantauan dari peguam syarikat. Haji Jamal betul-betul kesal dengan sikap Arlyssa yang hanya berdiam diri apabila ditimpa musibah begini. Tambah dia kesalkan, kenapa Arlyssa yang perlu selesaikan masalah ni? Kenapa tidak pengurus cawangan sana? Ini yang perlu disiasat. Gumam hati kecil Haji Jamal.

BERTEMANKAN Linda pagi itu, Arlyssa ke mahkamah dengan hati yang berat. Nasib baik ada Linda yang menemaninya, tidaklah dia sesat mencari di mana terletaknya mahkamah ni. kalau di Kuala Lumpur, pantang ada masa terluang, habis tempat dia redah. Tapi sekarang, dia semacam sudah tidak punya perasaan untuk merambu ke sana ke mari. Mungkin kerana nama Kuala Terengganu itu sendiri yang kedengaran sangat terpencil dan kekampungan. Baginya tiada apa yang penting di sini selain kemudahan asas yang agak selesa. Tapi kalau nak cari butik-butik mewah seperti yang terdapat di Pavilion, memang tak ada.

“Err.. Puan, tak apa ke kita datang tak diwakili peguam?” teragak-agak Linda bertanya. Dia sendiri tak pernah kenal siapa peguam syarikat. Cuma dia pernah dengar yang syarikat ni ada peguam tapi di Kuala Lumpur sana.

“Entah, saya pun tak pernah masuk mahkamah ni. Tapi kat dalam surat tu ada tulis perkataan sebutan kes. Jadi saya rasa sekarang ni cuma sesi diperdengarkan kes. Harap-harap tak ada apa,” besar harapan Arlyssa. Dengan langkah memberat, dia melangkah merapati ruang menunggu.

Mereka berdua menunggu dengan pelbagai rasa. Arlyssa yang lebih lagi. Penuh dengan rasa tak keruan. Tiba-tiba dia terasa ada orang duduk di sebelahnya. Dia pandang dengan ekor mata. Macam kenal tapi dia kurang cam. Ah, abaikan je, bukan penting pun. Tidak lama kemudian, kedengaran namanya dipanggil. Pantas Arlyssa dan Linda bangun. Sekarang giliran mereka untuk masuk ke kamar mahkamah.

“Jom, dah kena panggil tu,” tiba-tiba orang sebelah Arlyssa bersuara. Dia juga turut bangun.

Laju kepala Arlyssa menoleh, mahu melihat siapa si lelaki itu. Dan saat wajah mereka bertentang, Arlyssa tergamam. Dia??! Arlyssa terasa mahu pengsan di situ juga. Kakinya terasa lemah. Otaknya bagai terhenti berfikir untuk seketika.

INGAT, 6 hari bulan ni kena hadirkan diri ke mahkamah lagi. Hari ni hanya sebutan kes saja. Tak ada sebarang perbicaraan atau saksi lagi.” Pesan Harith, tegas.

Arlyssa masih lagi dengan perasaan tak percayanya. Melihatkan Arlyssa diam tak berkutik, Harith mula mengatur langkah ke keretanya. Tapi belum pun sempat dia sampai di sisi keretanya, kakinya terhenti melangkah. Dia berpatah balik mendapatkan Arlyssa.

“Tengah hari ni saya ambil awak kat pejabat, kita lunch sama.” Kata-kata berupa arahan itu Harith tujukan khusus kepada Arlyssa.

Arlyssa tegak bagai patung. Apa kes entah minah ni jadi macam orang tak berapa betul pulak pagi tu.

“Puan, puan.” Linda memanggil tapi Arlyssa tak menyahut.

“Puan,” Linda cuit bahu Arlyssa. Arlyssa terkapai-kapai bagai baru terjaga dari mimpi yang panjang.

“Ha? Ya, ada apa Linda?”

“Err.. Kita tak nak balik ke?” Soal Linda.

“Ha, jom kita balik,”

Linda garu kepala yang tak gatal. Dia sangat pelik dengan tingkah Arlyssa. Sejak terpandangkan si peguam kacak tadi, Arlyssa terus berubah. Duduk tak kena, berdiri lagi tak kena. Apa kes entah Puan Arlyssa ni aku tak tahulah. Nak kata terpukau dengan kekacakkan peguam tadi. Tak logiklah pulak. Taulah peguam tadi tu kacak tapi orang lain tak adalah sampai macam tu sekali tunjukkan reaksi. Tambah lagi Puan Arlyssa kan dah kahwin, sempat lagi pandang lelaki lain? Ingatlah suami kat rumah tu. Sempat lagi Linda mengomel di dalam hati.

“KENAPA awak diamkan saja yang syarikat sedang ada masalah?” Tanya Harith. Muka Arlyssa dia tenung tajam. Pinggan nasi ditolak ke depan. Rasa laparnya sudah merudum kerana sikap Arlyssa yang satu ni. Bila nak berubah sayang?

“Err..” Arlyssa kehilangan kata-kata. Dia tak tahu nak jawab apa sebenarnya. Beritahu perkara sebenar akan membuka pekung syarikat yang semakin nazak. Tapi...

“Kenapa awak yang hadirkan diri ke mahkamah? Kenapa tidak pengurus besar cawangan sini? Sepatutnya dia yang hadirkan diri ke mahkamah, mewakili syarikat dan bukannya awak. Ya saya tahu, awak anak kepada pemilik syarikat tapi jawatan awak bukannya sebagai pengurus besar tapi hanya sebagai pegawai pemasaran. Awak tak boleh buat pandai-pandai sendiri. Along dah pesan dulu, orang kat sini tak kenal siapa awak sebab tu awak kena berlakon jadi seorang yang lain, menjadi bukan diri awak yang sebenarnya,” bertubi-tubi kata-kata Harith menyerang Arlyssa.

Merah telinga Arlyssa mendengarkan setiap bait kata Harith. Eh, dia tak tau hal sebenar tapi nak tuduh macam-macam. Sebelum nak tudung orang membabi buta, selidiklah dulu. Ni tak, suka-suka hati aje nak serang orang!

“Awak tak tahu duduk bangun masalah kat syarikat tu, so awak jangan nak tuduh saya macam-macam. Awak tahu ke yang Encik Hairi tu amat-amat jarang masuk pejabat? Saya yang hari-hari masuk pejabat ni pun boleh bilang dengan jari aje berapa kali saya bertembung dengan dia. kalau dah macam tu, macam mana nak bagi tahu dia?Awak tau ke yang bukan masalah ni aje yang sedang syarikat alami? Ada berpuluh-puluh lagi orang kat luar sana berlumba-lumba nak saman syarikat kerana mereka ditipu. Janji ada pakej menarik, tapi bila sampai masanya, habuk pun tarak!” Lantang Arlyssa membidas balik. Dia sudah letih nak harungi semua ni. Tapi dia terpaksa juga lalui sebabnya nanti yang akan lingkup syarikat keluarga dia juga, bukan syarikat orang lain!

Orang yang lalu-lalang di sebelah meja mereka tidak dia hiraukan sebab mengikut hati yang panas. Ada yang berbisik-bisik mendengarkan suara lantang Arlyssa. Ah, ada aku kisah?

Giliran Harith pulak yang ternganga seketika. Patutlah sejak akhir-akhir ni dia asyik murung aje, bercakap pun nak tak nak aje. Fikir Harith.

“Kenapa awak tak cakap kat saya?”

“Buat apa saya nak cakap kat awak? Apa yang awak boleh buat? Kalau sekadar menjadi pendengar rasanya tak akan buat masalah saya semakin berkurang.” Ujar Arlyssa sinis. Nampak sangat seperti sedang memperlekehkan Harith.

“Sekurang-kurangnya muka awak tak muncung setiap kali balik dari pejabat. Sekurang-kurangnya kepala awak terasa sedikit lega sebab dapat luahkan masalah tu kat orang lain. Itu gunanya ada suami. Kita ni perlulah saling berkongsi. Barulah tak ada salah faham.” Tutur Harith, cuba untuk mengubah reaksi Arlyssa.

Erk! Ada pulak macam tu? Air liur Arlyssa terasa seperti tersekat di kerongkong. Huh. Arlyssa tak pernah luahkan masalahnya kepada sesiapa. Memang dia jenis yang macam tu. Bukan dia tak percayakan orang lain tapi dia akan rasa tak selesa jika orang tahu dia ada masalah. Baginya, masalah adalah lambang kelemahan. Dia tak nak dipandang lemah.

Harith pandang Arlyssa. Melihatkan Arlyssa diam seribu bahasa, dia menarik pinggan nasi yang sudah berada di depan mata. Makan lebih baik dari terus bertekak dengan Arlyssa. Dahlah waktu rehatnya sudah sampai ke hujung. Kerja-kerjanya yang bertimbun sedang menanti di pejabat.

Perbualan mereka mati begitu sahaja apabila Arlyssa dan Harith mengambil langkah berdiam diri. Arlyssa kebuntuan modal untuk berlawan kata sebenarnya. Dia bukannya pendebat yang petah berkata-kata. Tambah lagi untuk berlawan dengan Harith, si peguam muda ini.

“Eh, Lys.”

Tiba-tiba meja mereka disapa seseorang. Pantas Arlyssa panggung kepala. Harith juga turut pandang lelaki di hadapan meja yang mereka duduki walaupun mata lelaki itu galak merenung Arlyssa. Najwan?! Bala apa pulak ni? Rungut Arlyssa di dalam hati. Terasa mahu menjerit di situ juga.

You baru lunch ke? Tak nak pelawa I duduk ke?” Tanpa malu Najwan menyoal dan terus duduk. Dasar muka tembok!

What are you doing here?” Arlyssa menyoal balas dengan lagak tak senang. Betul-betul penyibuk!

Lunch la, takkan nak berjoget pulak kat sini,” Najwan tertawa dengan lawak yang langsung tak kelakar di telinga Arlyssa. Lawak la sangat. Sengal!

“Siapa ni? Your collegue ke?” Najwan hulur tangan mahu bersalam dan Harith menyambutnya.

Nope! He is my husband, Harith!” Tinggi ton suara Arlyssa saat memperkenalkan Harith kepada Najwan. Lengan Harith sengaja dia paut dan dipeluk erat. Harith terkesima. Pertama kali Arlyssa memperkenalkan dirinya sebagai ‘suami’ kepada temannya.

Suami?? Sejak bila? No! Arlyssa tak mungkin dah berkahwin. No! jerit hati Najwan. Najwan terkejut. Riak muka yang terperanjat jelas terpamer di wajahnya. Tak dia sangka, Arlyssa sudah bersuami. Tapi betul ke lelaki ni suami Arlyssa? Macam mana kalau Arlyssa upah lelaki ni supaya berpura-pura jadi suami dia? Bisikan-bisikan syaitan mula menggoda anak Adam selemah Najwan.

“Abang, ni Najwan. Kawan lama Lys,” Sehabis lembut suara Arlyssa bercakap dengan Harith.

Harith yang masih tercengang dan terpinga-pinga menganggukkan sedikit kepala ke arah Najwan. Dia seboleh mungkin menyembunyikan riak terkejut dengan tindakan Arlyssa. Kenalah berlakon jadi pasangan yang saling sayang menyayangi.

“Err.. tengah cari meja kosong ke? Kalau nak kongsi meja dengan kami pun boleh, okey kan sayang?” Pelawa Harith. Alah, ajak-ajak ayam je. Bukan bersungguh pun. Tapi yang paling best, dapat Harith panggil Arlyssa dengan panggilan sayang depan orang lain. Lagi satu dapat peluk Arlyssa jugak. Hahaha.

“Eh tak apalah, I dah sudah ni. I gerak dululah, tak naklah ganggu orang tengah makan,” Najwan meminta diri.

Senyuman semanis gula Arlyssa hadiahkan kepada Najwan.

“Err.. bila awak nak lepas lengan saya ni? Kalau nak saya makan macam ni pun tak apa. Seribu kali saya sudi,” suara Harith menampan tepi telinga Arlyssa.

“Huh!” cepat-cepat dia lepaskan pautan tangannya pada lengan Harith. Heh, siapa nak sangat pegang tangan dia tu. Kalau tak kerana nak berlakon, malas eh nak pegang-pegang ni! Dengus Arlyssa di dalam hati. Arlyssa kan, siapa tak kenal. Perangai beranginnya tu masih tak berubah-ubah. Nasib baik dapat suami macam Harith, yang sangat penyabar tu. Kalau dapat suami yang sama kuat berangin macam dia, tak lama berumah tangga pasti bercerai.

Harith menyambung kembali menjamah makan tengah hari yang tergendala seketika tadi. Ekor matanya memerhatikan telatah Arlyssa. Heh, syoknya duk tengok mamat tu! Sampai dah tak nampak bayang pun masih nak tengok. Ada apa-apa ke ni? Tapi kalau ada apa-apa, kenapa mengaku aku ni suami kau? Hati Harith dijentik rasa cemburu.

“Ehem! Sampai bila nak tengok ke sana? Dah lewat ni.” Tegur Harith dengan nada yang tak puas hati. Biar Arlyssa tahu yang dia juga punya perasaan. Jangan pandang rendah status seorang suami tu.

“Hah? Hmm..” hanya itu reaksi Arlyssa.

Usai makan, Harith menghantar Arlyssa kembali ke pejabatnya. Harith berhentikan keretanya di hadapan pintu utama. Tika Arlyssa mahu cepat-cepat meloloskan diri dari dalam perut kereta, Harith pantas menarik lengan Arlyssa. Arlyssa pandang Harith pelik. Apa hal pulak ni?

“Siapa Najwan?”

“Huh?!” Soalan tak terjangka yang keluar dari bibir Harith buat Arlyssa kehilangan kata-kata.

“Siapa Najwan?” Harith ulang sekali lagi soalannya.

“Err.. kawan lama.” Arlyssa tak tahu nak jawab apa. Itu aje yang boleh dia bagi tahu.

“Tapi saya tengok macam bukan kawan je. Lebih dari sekadar kawan.” Wajah Arlyssa dia cari tapi wajah itu sengaja dialihkan keluar.

Ah sudah! Janganlah dia dapat hidu apa-apa.

“Lys!” Kebisuan Arlyssa mendera Harith.

“Tak ada apa-apa. Just friend. Not more than that!” Lengan di dalam genggaman Harith dia renggut kasar. Kelam-kabut langkah diatur masuk ke dalam pejabat.

Untuk hari ni, kes Najwan tertutup seketika. Tapi tidak esok atau lusa. Harith pasti akan tanyakan lagi selagi hatinya tak puas. Runsing Arlyssa. Entah jawapan apa lagi yang dia akan persembahkan kepada Harith.

Khamis, 19 Julai 2012

SALAM RAMADHAN


SALAM RAMADHAN.. IKHLAS DR FIEYZA FADLINA..
MOGA AMALAN KITA DITERIMA-NYA..(^_^)







Jumaat, 13 Julai 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB20

assalamualaikum n selamat mlm...... okey, bab baru dh ada... tp sy nak bgtau awal2 ni, minggu depan xde n3 ye sbb nk tumpukan pd manuskrip.. harap enjoy ye....:)

***************************************************************

BUNYI deringan telefon bimbit mengganggu lena Harith. Terpisat-pisat dia sambil membuka mata. Apasal cerah semacam je ni? Dah siang ke? Dia menggosok-gosok mata yang masih mamai. Bunyi deringan telefon itu sudah berhenti. Rasanya bukan telefon dia sebab bunyi ringtone tu pelik sangat. Milik siapa lagi kalau bukan Arlyssa. Arlyssa dan dia je yang tinggal kat rumah ni.

Harith cuba bangun tapi tak boleh. Seperti ada seketul batu yang besar sedang menindih dadanya. Kepala orang? Dia pandang sekeliling. Katil? Ah sudah! Macam mana pulak dia boleh tidur sebilik dan sekatil dengan Arlyssa. Tak pernah-pernah lagi ni. Aduh! Macam mana kalau Arlyssa tiba-tiba terjaga? Mahu mengamuk perempuan ni. Hisy!

Perlahan-lahan Harith menolak kepala Arlyssa. Dalam hati jangan cakaplah. Dah rasa nak meletup je sebab terlalu berdebar-debar. Baru je dia dapat tolak sikit tapi tiba-tiba kepala Arlyssa bergerak menjauh. Nasib baik mata dia tak terbuka sama. Fuh, selamat!

Harith cepat-cepat bangun dan mengambil tuala sebelum menghilang di dalam bilik air. Solat subuh memang dah sah-sah terlepas. Jaga orang sakitlah sangat. Akhirnya dengan dia-dia sekali yang tertidur.

Selesai mandi, dia terus memberitahu kepada Mastura yang dia masuk lewat sikit hari ni. Lewat macam mana pun dia perlu jugak jenguk pejabat. Ada beberapa fail kes yang perlu diteliti sebelum masuk mahkamah esok dan lusa. Batang tubuh Arlyssa yang masih terbaring di atas katil dia hampiri. Takkan tak rasa nak bangun lagi. Gumam Harith sendirian.

“Lys, Lys, bangunlah. Awak tak kerja ke hari ni?” panggil Harith cuba mengejutkan Arlyssa. Tapi Arlyssa diam tak terkutik. Ah sudah! Jangan jadi macam petang semalam pulak!

Tangannya laju menjamah dahi Arlyssa sebelum beralih pada leher jinjang Arlyssa yang terdedah. Panas!

“Lys, bangun Lys. Awak demam ni.” Suara dia kuatkan dan bahu Arlyssa digoncang.

Selepas beberapa kali dia menggoncang bahu Arlyssa, akhirnya Arlyssa menyahut perlahan dengan suara seraknya.

“Hmm...”

“Awak bangun, mandi. Dah lewat ni. Lepas tu kita ke klinik.” Harith mengeluarkan arahan.

“Klinik? Nak buat apa?” Dalam mamai Arlyssa menyoal.

Eh, eh. Diri sendiri sakit pun tak sedar. Hisy, tak boleh jadi ni. Lantas, tanpa banyak soal, Harith tarik tubuh Arlyssa dan dicempung. Dia dah malas nak layan kerenah Arlyssa yang macam-macam tu. Yang lebih penting, dia perlu ke pejabat petang hari ni walaupun sudah lewat petang. Banyak kerja yang masih terbengkalai. Arlyssa yang terkejut dengan tindakan drastik Harith cuba meronta tapi pautan Harith sangat kemas. Haruman tubuh Harith mengundang gelora di jiwanya. Bagai membuai perasaannya.

“Awak nak mandi sendiri ke nak saya yang mandikan?” soalan berbau gatal plus miang menampar cuping telinga Arlyssa. Tajam Arlyssa mencerlung pada Harith. Dalam aku tak berapa nak sihat ni pun nak ambil kesempatan. Huh, dasar lelaki!

“Saya mandi sendiri!” Agak tinggi nada suara Arlyssa.

“Saya tanya je, itu pun nak marah-marah. Tapi kalau awak nak saya mandikan, seribu kali saya sudi.” Balas Harith selamba. Mata kirinya sempat mengenyit dan bibir mengukir senyum gatal.

“Tak payah! Keluar!” lantang suara Arlyssa menjerit. Makin dilayan makin menjadi!

Harith melangkah keluar selepas Arlyssa menjerit dan tangan isterinya laju mencapai botol mandian, ura-ura mahu dilontar kepadanya. Bunyi ketawa Harith bergema mengisi ruang bilik air.

“Jangan kunci dari dalam,” sempat Harith berpesan. Bukan apa, dia takut Arlyssa tiba-tiba pengsan kat dalam bilik air tu.

MALIK pandang pintu bilik Harith yang masih tertutup rapat. Dia pandang jam tangan pula. Dah masuk pukul 10.00 pagi. Takkanlah pergi ke mahkamah terus. Tapi rasanya dia tak ada kes pagi ni. Hatinya berkira-kira sendiri.

“Kak Mas, Harith tak masuk lagi ke?” Akhirnya dia menyoal Mastura.

“Encik Harith masuk tapi lewat sikit. Pagi tadi dia telefon, katanya ada kecemasan,” jawab Mastura. Mastura ingatkan Malik dah tahu sebab tu dia tak bagi tahu pagi tadi.

“Oh, tak apalah kak,” Malik berlalu keluar dari ruang pejabat. Mastura pelik. Haih, macam-macamlah.

“Kak, kenapa tu?” Kamalia yang mejanya terletak di belakang Mastura laju menyoal.

“Entahlah Lia, angin aje pagi ni. Akak ingatkan dia dah tahu Encik Harith tak masuk hari ni, bila dia tanya tadi so akak jawablah. Angin tu tak tahulah kenapa,” jawab Mastura sambil membelek fail kewangan yang perlu dikemaskini, maklumlah dah akhir bulan.

“Hmm... Macam bergaduh je gaya mereka tu,” kening Kamalia berkerut sambil jari mengetuk perlahan dagu. Lagak bagai orang sedang berfikir. Berfikir tentang masalah orang lain.

“Hisy, jangan nak sangka buruk. Biarlah mereka nak macam mana pun, tak baik nak jaga tepi kain orang.” Tegah Mastura. Bukan dia tak kenal perangai Kamalia ni. Suka betul nak tahu hal tepi kain orang. Selagi dia boleh korek, dia akan korek!

“Isy akak ni, bukan nak buat apa pun. Nak tahu je,” balas Kamalia sambil memuncung.

“Nak tahu kamu tu bukan aku tak kenal,” gumam Mastura perlahan. Harap Kamalia tak dengar.

“APA kata doktor?” soal Harith tak sabar.

“Tak ada apa-apalah,” acuh tak acuh Arlyssa menjawab.

Harith pelik. Takkanlah tak ada apa-apa. Kalau tak ada apa-apa kenapa pagi tadi panas semacam tubuh Arlyssa.

“Nah,” Harith hulur beg tangan milik Arlyssa yang dia pegang sementara doktor memeriksa Arlyssa tadi.

“Oh ya, tadi ada orang call. Linda nama dia, budak pejabat rasanya. Saya dah bagi tahu kat dia yang awak tak masuk pejabat hari ni,” beritahu Harith. Nasib baik tak terlupa.

“Kenapa awak bagi tahu saya tak masuk pejabat pulak? Saya nak masuk pejabat nanti, banyak kerja yang saya kena selesaikan,” protes Arlyssa. Pandai-pandai buat keputusan sendiri. Sambung Arlyssa di dalam hati.

Harith diam. Malas nak jawab apa-apa sebab mereka berada di tempat awam. Air muka perlu dijaga jugak. Orang tolong jawab tu bukannya nak ucap terima kasih, ni tak. Nak marah-marah pulak.

Beberapa minit kemudian, jururawat memanggil nama Arlyssa untuk mengambil ubat. Selesai membuat pembayaran, mereka beriringan ke kereta.

“Awak nak masuk pejabat jugak ke?” tanya Harith.

“Hmm...” balas Arlyssa.

“Saya hantar terus ke macam mana?”

“Hantar balik je, saya pergi sendiri. Lagi pun ada dokumen penting dalam kereta saya,” jawab Arlyssa. Kepala dia rebahkan di atas kerusi kereta dan mata dipejam rapat. Terpaksalah Harith menghantar kembali Arlyssa ke rumah seperti mana yang Arlyssa arahkan.

“PUAN,” panggil Linda. Dia tertanya-tanya kerana tadi semasa dia menelefon Arlyssa tadi dan seorang lelaki yang menjawab panggilan itu mengatakan yang Arlyssa tak akan masuk pejabat. Alih-alih, terpacak Arlyssa di dalam pejabat ni.

Arlyssa pandang wajah Linda.

“Puan cutikan hari ni?” tanya Linda.

“Cuti? Tak adalah, saya masuk lambat sikit. Sorry, lupa nak inform kat awak.” Jawab Arlyssa mendatar.

“Tapi muka puan pucat,” Linda masih tak puas hati.

Pucat? Arlyssa raba wajahnya dengan tangan kiri. Raba saja memanglah tak dapat rasa apa-apa. Aku nilah!

“Tak ada apa-apa. Saya okey,” Arlyssa melangkah, mahu memasuki biliknya. “Kalau ada siapa-siapa cari saya awak cakap saya sibuk, saya tak nak diganggu hari ni,” pesan Arlyssa sebelum menolak pintu biliknya.

“Baik, puan,”

Beg tangan dan beg komputer riba Arlyssa letak di kaki meja. Badan dia sandarkan pada kerusi dan tangan memegang kepala. Tiba-tiba kepalanya terasa pusing dan berpinar-pinar. Aduh! Lantas, dia menggagau beg tangan, mencari paket ubat dari klinik tadi. Botol air mineral yang memang tersedia di dalam bilik dia capai. Ubat dia telan disulami dengan air. Kepala dia rehatkan seketika supaya kurang sedikit rasa sakit yang mencengkam kepala.

Tiba-tiba pintu biliknya dirempuh dari luar. Bunyi bising suara Linda menghalang si penceroboh membingitkan telinga Arlyssa. Mata yang semakin layu dia buka sedikit. Wajah seorang lelaki dan Linda berbalam-balam menyapa mata.

“Ada apa ni?” Arlyssa menyoal walau kepala sedang memberat.

“Puan, saya dah cuba halang dia tapi dia berkeras jugak nak masuk jumpa puan.” Beritahu Linda.

Arlyssa pandang lelaki di sebelah Linda. Najwan?! Dalam pandangan yang samar, dia masih dapat mengecam lelaki itu.

“Puan, saya keluar dulu,” Linda mahu meminta diri, tidak mahulah nanti dikata kacau daun pulak.

“Nanti dulu Linda, awak tak payah keluar.” Tegah Arlyssa. Dia kenal sangat dengan Najwan. Perangainya memang tak dijangka. Silap hari bulan, kalau Linda tak ada sama entah apa yang Najwan akan lakukan.

Linda mematungkan diri. Dia tak tahu nak lakukan apa selain sebagai pemerhati. Tingkah lelaki yang bernama Najwan ni sangat pelik. Memang dia pernah jadi pelanggan syarikat ni tapi segala urusan Najwan di syarikat ni sudah selesai setelah Arlyssa membayar ganti rugi minggu lalu.

“Lys, you tak kenal I ke? Atau you pura-pura tak kenal I?” Pantas Najwan menyoal Arlyssa. Kehadiran Linda yang lebih kepada pemerhati tidak dia hiraukan.

Nope! Sorry, saya memang tak kenal awak,” malas dia nak layan si Najwan ni. Rimas!

“Tipu! You’re liar! You kenal I tapi you pura-pura tak kenal I. Walaupun you dah tutup-tutup macam ni tapi I masih kenal you. I masih belum lupa setiap lenggok you!” Meninggi suara Najwan menyangkal kata-kata Arlyssa. Hatinya kuat mengatakan Arlyssa yang di hadapannya ini sama dengan Arlyssa yang dia kenal 7 tahun lalu ketika masih menuntut di Australia.

“Saya cakap tak kenal tu maknanya tak kenallah! Lebih baik encik keluar sekarang sebelum saya call polis!” ugut Arlyssa. Sebenarnya dia sudah hilang punca dan hilang sabar.

No! I takkan pergi selagi you tak mengaku you memang kenal I. Lyssa, I tahu you memang kenal I tapi you tak nak mengaku. Kenapa you tak nak mengaku? You dah jauh berubah sekarang ni,” Najwan masih tak putus asa. Dia melangkah mendekati Arlyssa.

“Linda, call polis! Suruh mereka datang sekarang!” Tanpa menghiraukan kata-kata Najwan, Arlyssa mengeluarkan arahan kepada Linda. Tahap kesabarannya sudah di paras kosong.

Linda sudah bersedia mengangkat ganggang telefon. Arahan dia turuti dengan rasa takut-takut. Dia tak pernah lagi lihat Arlyssa macam tu. Macam naik hantu!

“Baiklah, I akan pergi tapi lepas ni I akan tetap nak jumpa you. I nak you mengaku yang you ni memang Lyssa yang pernah I kenal dulu. See you!” Najwan melangkah longlai keluar dari bilik Arlyssa dan jari Linda terhenti mendail nombor telefon polis.

Whatever!” Tahu pun takut. Sambung hatinya.

Arlyssa daratkan kembali kepalanya di atas kerusi, menyambung kembali rehat yang terbantut tadi.

“Puan, puan okey?” Linda menyoal. Suaranya berbau kegusaran.

“Tak apa, saya okey. Awak boleh sambung buat kerja, saya nak rehat sekejap.” Arlyssa membalas dengan mata yang terpejam rapat. Bunyi derap tapak kaki yang semakin perlahan tanda Linda sudah beredar dari biliknya.

SEPERTI yang dijangka, Arlyssa balik lambat lagi hari tu. Ini menggusarkan hati Harith. Arlyssa tak pernah pun telefon dia atau mesej cakap nak balik lambat sebab kerja banyak ke, apa ke. Tanpa makluman sebegitu, makin besar jurang antara mereka. Hubungan antara mereka tak ubah seperti teman serumah. Sekejap Harith boleh dekat, sekejap Arlyssa jadi dingin seperti ais. Itu yang dia tak faham. Perempuan semua macam ni ke?

Tolakkan pintu mengejutkan Harith. Kepala dia panggung. Mata mereka bertemu.

“Lewat awak balik?”

“Hmm,” hanya itu yang Arlyssa jawab. Dia tak ada mood langsung nak bersoal jawab dengan Harith.

“Awak dah makan?” Makan? Ni dah terbalik. Biasanya isteri yang tanya suami dah makan ke belum tapi Arlyssa. Haih! Harith masih cuba mengumpan Arlyssa untuk bercakap.

“Dah,” Arlyssa tipu. Dia tak makan pun seharian kat pejabat. Dia hanya minum air mineral sahaja di pejabat. Dengan masalah yang semakin bertimpa-timpa telah menghilangkan selera makannya. Arlyssa menonong masuk ke biliknya. Wajah Harith yang masih tak puas hati dia tak hiraukan. Apa yang ada di fikirannya sekarang cuma mahu tidur.

Harith bingkas bangun. Dia dah tak tahan macam ni je, macam tak ada fungsi langsung. Dia bukan pemerhati. Dia ni suami! Bukannya anak kecil yang Arlyssa boleh buat tak kisah je. Buat acuh tak acuh. Pintu bilik Arlyssa dia tolak tanpa mengetuk atau meminta izin terlebih dahulu.

Mata Harith meliar mencari kelibat Arlyssa tapi tak jumpa. Mandi kut, teka Harith. Mak oi! Bersepahnya bilik. Ni bilik ke tongkang pecah? Sementara menunggu Arlyssa siap mandi, ringan je tangan Harith mengutip baju-baju yang bersepah di atas lantai bilik. Harith memang pantang tengok bilik bersepah. Jadi, walau tak dapat tolong banyak, dapat tolong sikit pun dah okey. Bukan sekadar baju. Yang dalam-dalam pun turut bersepah sama kat situ. Hisy!

Tiba-tiba mata Harith terpandang dua pucuk surat yang terkeluar sedikit dari beg komputer riba Arlyssa. Surat? Surat apa? Ringan tangan Harith mencapai surat itu. Urusan Seri Paduka Baginda. Itukan patah perkataan yang tertulis pada sampul surat. Ini tandanya surat itu surat rasmi. Tidak mahu terus dihantui perasaan ingin tahu, Harith keluarkan surat dari sampulnya. Bait-bait kata yang tertulis tambah mengejutkan Harith. Saman? Syarikat keluarga Arlyssa kena saman? Tapi kenapa? Atas sebab apa? Bertalu-talu soalan memenuhi ruang kepala Harith.

“Argh!” Jeritan spontan Arlyssa telah mengejutkan Harith. Hampir-hampir surat di tangan terlucut jatuh. Lantas dia lipat kasar surat itu dan cepat-cepat disembunyikan di dalam poket baju Melayu yang tersarung di tubuhnya.

Arlyssa sangat terkejut melihat Harith ada sama dalam biliknya. Apa kes pulak dia ada dalam bilik ni?! Aku dahlah berpakaian paling seksi sedunia. Arlyssa rasa mahu menjerit depan Harith. Tuala yang membalut tubuh dia pegang erat. Takut sangat kalau terlucut. Harith pulak, jangan cakaplah. Terlopong terus! Macam tak pernah tengok Arlyssa pakai macam ni. Padahal ni kali kedua.

“Awak nak apa?!”

“Err.. Hah?! Saya, saya...” Harith tergagap-gagap.

“Saya apa?!” Mata Arlyssa mencerlung memandang Harith.

“Err... saya nak tanya, awak nak makan tak?” Harith kalihkan wajah ke arah lain.

“Tadikan awak dah tanya. Dah, keluar!” Pekik Arlyssa kuat.

“Yalah, yalah. Macamlah luak saya tengok awak macam tu, hak milik saya jugak.” Sempat Harith menyindir sebelum berlalu keluar dari bilik Arlyssa.

Berdesing telinga Arlyssa mendengarkan sindiran Arlyssa. Pantas tangannya mencapai bantal dan spontan dilontar ke arah Harith. Sangkanya lontaran itu akan tersasar dari mengenai Harith tapi....

“Apa hal pulak ni?” Harith berpusing. Bantal yang telah mematikan langkahnya dia ambil. Matanya mencerun memandang Arlyssa. Apa pulak yang tak puas hati ni?

Harith merapati Arlyssa perlahan-lahan. Rasa di hati jangan cakaplah. Tercabar dengan reaksi Arlyssa.

Ah, kenapa pulak dia patah balik ni? Janganlah dia apa-apakan aku. Arlyssa gusar. Tulah, tadi berani sangat. Sekarang tahu pulak kecut perut. Harith berdiri betul-betul di hadapan Arlyssa. Hanya beberapa jengkal saja jarak yang memisahkan mereka. Tajam mata Harith membalas renungan takut-takut Arlyssa. Tuala yang membalut tubuh, Arlyssa tarik sedikit kerana terasa seperti mahu terlondeh. Wajah Arlyssa jangan cakaplah, sudah sehabis pucat.

“Err... Awak nak buat apa?” tergagap-gagap Arlyssa menyoal. “Awak, janganlah,” separuh merayu Arlyssa bersuara.

Bagai dirasuk, Harith mendaratkan tangannya di pinggang Arlyssa.

“Jangan apa?” Harith menyoal balas. Suara sengaja dia lunakkan. Biar Arlyssa makin gelabah.

Harith mendekatkan wajahnya ke wajah Arlyssa. Dekat dan dekat dan semakin dekat. Belum pun sempat Harith mendaratkan bibirnya di wajah Arlyssa, cepat-cepat Arlyssa menolak tubuh Harith.

“Melampau! Dasar lelaki!” sembur Arlyssa. Lantas dia masuk ke dalam bilik air kembali. Tindakan Harith sudah melampau.

Harith tercengang. Tak sangka pulak dia boleh buat macam tu. Tapi apa yang nak dihairankan. Lelaki bila dah nampak perempuan seksi begitu, pasti telan liur. Samalah dengan kucing. Mana ada kucing tolak ikan, kan? Bibirnya terukir senyum nipis. Tapi melihatkan reaksi Arlyssa yang telah berlalu ke bilik air, buat senyuman di bibir Harith pudar. Haih, masalah makin besar. Hubungan aku dengan dia baru nak baik, tapi jadi macam ni pulak. Nak menyesal pun dah tak guna, benda dah jadi. Lepas ni kenalah pandai-pandai pujuk Arlyssa.

Isnin, 9 Julai 2012

GROUP...

salam semua.. n3 ni just nak bgtau.. sy ada group kat FB... kalau nak join amat2 dialu-alukan.. x kiralah sekadar nak meramaikan keadaan or apa.. yg penting biar meriah group tu... hehehe... banyak yg sy update di sana berkenaan dgn novel sy.. selalunya berkaitan sedikit sedutan yg belum lg di letak di blog... ni linknya ya;

https://www.facebook.com/groups/379149428793136/

Jumaat, 6 Julai 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB19

HUJAN rahmat di pagi hari. Pintu balkoni dia buka. Sambil berdiri di palang balkoni sambil hidungnya menghirup udara segar. Sangat nyaman kerana udara pagi itu bersih ditambah pula dengan hujan. Sejuk. Kalau ikutkan hati, dia nak tidur bawah selimut balik tapi sebabkan tuntutan kerja, terpaksa dia kuatkan diri untuk ke tempat kerja. Bertimbun fail yang perlu dia semak dan banyak kes yang menanti giliran. Biasanya pagi-pagi begini dia dah menghilang ke gerai kuih-muih mencari nasi lemak tapi pagi tu terasa malas pulak. Ah, tak payah keluarlah. Makan je apa yang ada, bukan mati pun. Pintu balkoni dia tutup kembali dan menapak ke dapur.

Bau haruman nescafe 3 dalam 1 sudah menusuk ke rongga hidung. Harum banget! Tambah lagi si pembuatnya adalah nona manis. Amboi, gatal betul hati aku ni. Gerutu Harith walau hatinya sedang mekar berbunga.

“Saya nak roti dua keping,” pinta Harith sambil menarik kerusi.

Arlyssa menjongketkan kening. Roti? Aku silap dengar ke?

“Mana nasi lemak? Awak kan biasanya makan nasi lemak.” Tangannya menghulur dua keping roti yang sudah disapu mentega dan jem.

“Malas nak keluar,”

Kemudian mereka senyap. Menghayati sarapan yang hanya dua keping roti bakar dan semug nescafe mungkin. Usai mengisi perut, Arlyssa angkat punggung dan membawa mug ke singki. Mug dibasuh sepintas lalu sebelum mendapatkan beg laptop dan beg tangan di ruang tamu. Saat pintu utama dibuka, dia termanggu seketika. Macam nak lebat je hujan ni. Awan hitam yang menutupi ruang langit dia pandang lama.

“Awak tengok apa?” Harith kehairanan melihat Arlyssa yang masih terpaku di muka pintu.

Eh, sejak bila pulak duk berdiri kat sebelah aku ni? Arlyssa jeling orang sebelah.

“Hujan,” sepatah Arlyssa menjawab.

Memanglah hujan. Tak bagi tahu pun aku tahu. Tapi gaya dia ni macam tak pernah lihat hujan. Heh, tipulah kalau cakap tak pernah tengok hujan. Habis, yang selalu kena banjir kilat tu kat mana? Kat Kuala Lumpur kan? So, memang bohonglah kalau cakap tak pernah tengok hujan.

“Awak nak saya hantarkan ke?” Harith memberikan tawaran.

“Boleh ke?” Arlyssa pandang Harith. Macam tak percaya pulak Harith yang memberikan tawaran itu kepadanya.

Macam tahu-tahu je Arlyssa ni tak memandu kalau hari hujan. Sebenar dia memang tak memandu kalau hari hujan sebabkan kenangan silam. Dia fobia. Dulu Mellina dan dia pernah kemalangan di tengah-tengah hujan lebat. Lepas peristiwa tu, dia dah tak memandu dalam hujan. Dia sanggup tunggu hujan berhenti barulah keluar rumah.

“Kenapa tak boleh pulak? Jomlah, nanti jammed pulak. Faham-faham ajelah kalau hujan ni,” ujar Harith sebelum berlari anak ke arah keretanya.

Selepas mengunci pintu, Arlyssa terus masuk ke dalam kereta Harith. Sepanjang perjalanan mereka membisu, hanya diisi dengan bunyi hujan yang kadang kala lebat kerana ditolak angin. Bagai orang asing yang tak pernah kenal antara satu sama lain pulak. Semasa kereta memasuki pusat bandar, pergerakan kereta Harith mula perlahan. Dan mata Arlyssa asyik memandang jam di dashboard kereta. Lagi 15 minit pukul 9.00. Sempat ke tak ni? Aduh, lembabnya kereta ni bergerak! Lembab apanya, tak bergerak langsung ni. Arlyssa gelisah.

Dia pandang ke luar cermin kereta. Dah tak jauh ofis ni, seberang jalan je. Lalu, Arlyssa mencapai beg laptop yang diletak di tempat duduk belakang. Harith terkejut dengan kelakuan Arlyssa. Pemegang pada pintu sudah dia pegang. Eh, lupa pulak kat orang sebelah.

“Awak, saya turun kat sinilah. Ofis saya dah seberang jalan tu,”

“Tapi kat luar tu hujan lagi. Nanti kalau awak redah hujan, sakit pulak.” Bantah Harith. Dia bukan apa, dia bimbangkan Arlyssa.

“Tak apa, hujan dah tak lebat tu. Renyai-renyai je,” Arlyssa sudah mahu menolak pintu kereta tapi terhenti kerana suara Harith.

“Eh, sekejap. Awak pakai ni, nanti tak adalah basah sangat,” Harith hulur sehelai baju sejuk yang dia capai dari tempat duduk belakang. Nampak sedikit berkedut. Biasalah, lelaki kan.

“Hah? Hurm..” Huluran Harith bersambut juga. Usai menyarung baju itu, Arlyssa hairan melihat Harith tiba-tiba menghulur tangan.

Nak salam ke? Tak pernah-pernah nak salam aku sebelum ni. Sebabkan masa yang semakin suntuk, Arlyssa sambut tangan Harith dan mencium sekilas sebelum melepaskan genggaman. Spontan Harith mencium pipi kanan Arlyssa. Sempat jugak Harith ni walau sekejap je.

Ah, dah lambat. Laju Arlyssa meloloskan diri dari perut kereta dengan muka memerah. Kenapa merah? Jangan tanya! Dah lewat sangat-sangat ni. Langkah Arlyssa sudah sumbang gara-gara Harith. Hadoii.. Pagi-pagi Harith dah buat Arlyssa rasa semacam!

Dan Harith senyum sampai ke telinga hingga melangkah masuk ke dalam pejabat. Dah angau mamat ni!


“PUAN,” Arlyssa berpusing memandang Linda. Senyuman semanis gula dia lemparkan kepada Linda tapi wajah Linda seperti orang yang ada masalah besar.

“Ya, Linda?” Dia baru sampai kat pejabat. Bilik pun dia tak masuk lagi.

“Err.. Kita bincang kat dalam bilik.”

“Okey,”

Arlyssa berjalan di depan dan diekori dengan Linda dari belakang. Beg laptop dan beg tangan dia letak di tempat biasa.

“Duduk, Linda.” Suruh Arlyssa. “So, apa dia yang penting sangat tu?” Arlyssa menyoal setelah duduk di kerusi.

“Err.. sebenarnya puan, pelanggan yang kita jumpa minggu lepas tu bukan pelanggan pertama yang mengadu tentang dapat tiket tak wujud.” Linda mula buka mulut.

“Hah? Habis, macam mana kita selesaikan kes ni?” Arlyssa benar-benar terkejut. Maknanya kes sebegini memang dah pernah berlaku sebelum ni.

“Err.. Sebenarnya yang sebelum ni kes ni dah jadi kes polis sebab mereka yang dah terkena ni buat laporan polis,” Arlyssa terperanjat.

“Allah! Sampai dah jadi kes polis?” Arlyssa meraup muka. “Habis, takkan kita tak ambil apa-apa tindakan? Takkan kita nak diam macam tu je?” Dia geram betul dengan pegawai pemasaran sebelum ni. Suka lepas tangan!

“Entah, saya pun tak berapa pasti jugak sebab semua ni bawah seliaan Alin.” Jawapan Linda buat Arlyssa mengeluh. “Ni dia. Kita sudah dapat surat dari peguam mereka semalam,” surat di tangan Linda dia pandang kaku.

Isi surat dia baca sepintas lalu. Semuanya tertulis benda yang sama. Kes ini akan dibicarakan di mahkamah. Inilah yang mula-mula Arlyssa cuba elakkan. Kalau boleh selesai kat luar mahkamah, lagi elok. Tak adalah nama syarikat jadi busuk.

Dua hari lepas, pegawai kewangan, Fuad menghantar notis 24 jam berhenti kerja. Semua kerja-kerja Fuad diambil alih oleh Linda secara tak langsung. Makin bertambah kerja Linda. Arlyssa nak kesian pun tak boleh sebab kerja dia pun banyak yang terbengkalai. Eh, rasa macam boleh selesaikan masalah ni. Tiba-tiba Arlyssa mendapat akal.

“Sekarang ni awak yang ambil alih kerja Fuad kan?” Linda anggukkan kepala. “Okey, saya nak awak cari fail kewangan untuk lima tahun sebelum ni bermula tahun lepas,” Arlyssa mengeluarkan arahan.

“Boleh tu boleh tapi puan nak buat apa dengan fail tu?” Linda bertanya kerana Encik Fuad pernah berpesan yang fail itu sangat sulit. Bukan orang sembarangan yang tengok fail tu. Hanya pegawai kewangan dan pengurus besar sahaja yang boleh tengok.

“Saya nak siasat sikit. Rasanya macam ada yang tak kena dengan syarikat ni,” luah Arlyssa.

“Okey, sekejap saya cuba cari.” Linda menghilang di sebalik pintu. Dia tak yakin sebenarnya fail itu ada atau tidak kat dalam bilik pegawai kewangan sebab kemungkinan besar Encik Fuad bawa keluar sama semasa dia berhenti dua hari lepas.

Tambah buat Arlyssa pelik adalah kelakuan pengurus besar cawangan di sini. Encik Hairi selalu sangat tak masuk pejabat. Jawapan yang biasa dia terima kalau ditanya dengan setiausahanya, Encik Hairi ada kerja luar. Kerja luar apanya kalau syarikat pelancongan. Kalau syarikat perumahan tu bolehlah kata ada kerja luar ke, melawat tapak projek ke. Alasan tak munasabah langsung!

Sengaja dia minta Linda carikan dokumen kewangan beberapa tahun kebelakangan ni sebab dia nak buat perbandingan. Pada hari pertama dia masuk kerja dulu, dia dah buat perbandingan tapi itu cuma untuk setahun kerana Linda cakap hanya dokumen itu sahaja yang dia tahu. Surat yang Linda berikan tadi dia belek lagi. Yang pertama bertarikh 13 hari bulan, yang kedua 18 hari bulan dan yang ketiga 20 hari bulan. Arlyssa mengeluh lagi. Masalah baru yang buat dia bertambah runsing. Macam mana nak selesaikan semua ni? Semuanya berkaitan tuntutan. Pening, pening.

“Puan,” Arlyssa tersentak.

“Hah? Ya. Kenapa awak tak ketuk pintu dulu?” Tegur Arlyssa. Terkejut dia apabila melihat batang tubuh Linda sudah terpacak di depannya.

“Maaf puan, dah banyak kali saya ketuk pintu bilik tapi puan tak menyahut. Tu yang saya terus masuk.”

“Oh, tak apalah. Awak ada jumpa fail yang saya nak tu?” Arlyssa menyoal tanpa sabar. Dia kalau boleh nak selesaikan semua ni cepat dan bawa mereka yang terlibat dalam kerja jahat ni ditahan pihak berkuasa.

“Ini dia,” Arlyssa menyambut huluran Linda.

“Okey, terima kasih Linda. Nanti kalau saya perlukan apa-apa, saya panggil awak ya,” ujar Arlyssa.

Selepas matanya menghantar kelibat Linda hingga hilang di sebalik daun pintu, matanya terus terarah pada fail yang baru Arlyssa hulur tadi. Banyak kerja yang kena buat ni.


HARITH kegelisahan di dalam kereta. Sudah hampir sejam dia terpacak di depan ruang pejabat itu tapi batang tubuh Arlyssa tak jugak muncul-muncul. Dah balik ke dia ni? Kalau dah balik, dengan siapa dia balik? Lelaki ke perempuan yang hantar dia balik? Hati Harith digaru rasa cemburu tiba-tiba. Hisy, apalah aku ni. Fikir yang mengarut je! Tapi dia ada hak untuk cemburu kan?

Lantaran kebosanan menunggu di dalam kereta, Harith melangkah keluar. Jam di pergelangan tangan dia pandang sekilas. Sudah hampir pukul 7.00 malam. Bila-bila masa saja azan maghrib akan berkumandang. Nokia N8 dia bawa keluar dari poket seluar. Jarinya ligat mencari nombor telefon Arlyssa. Sebaik jumpa, nombor itu terus dia dail. Entah masuk kali ke berapa dia mendail nombor itu. Dan hanya suara operator yang menyapa telinga. Kenapa ni? Ada benda buruk ke yang berlaku? Sekali lagi hatinya berfikir yang bukan-bukan.

Harith meringankan kaki bergerak ke arah rumah kedai yang tertulis Hajra Travel & Tour itu. Tak ada pengawal ke? Pintu jeriji besi yang menjadi pintu masuk kepada syarikat pelancongan itu dia pandang. Mangga yang tergantung di situ menarik perhatiannya. Eh, tak kunci? Bahayanya! Dahlah tak ada pengawal.

Mangga dia cabut dan menarik pintu jeriji. Perlahan-lahan dia mendaki tangga. Kakinya berhenti di hadapan pintu yang tertulis nama syarikat mentuanya. Tombol pintu dia pulas. Tak berkunci jugak? Dia masuk dan pemandangan yang sangat samar menjamu mata. Mata Harith ligat bekerja mencari bilik Arlyssa. Tumpuannya terhenti pada sebuah bilik yang masih bercahaya. Langkah dia percepatkan ke arah sana. Tombol pintu dia pulas dan memang itu bilik Arlyssa. Dia masih ingat pakaian Arlyssa pagi tadi.

Dia merapati Arlyssa perlahan-lahan yang sedang menundukkan kepala. Sedang tidur mungkin.

“Lys, Lys.” Harith cuba panggil nama Arlyssa tapi tak bersambut.

Bahu Arlyssa dia goncang perlahan tapi Arlyssa masih statik begitu. Nama Arlyssa dia panggil lagi tapi Arlyssa masih juga kaku. Ah, tak boleh jadi ni. Tanpa lengah, Harith paut tubuh Arlyssa supaya bersandar di belakang kerusi. Pipi Arlyssa dia tepuk lagi.

“Lys, Lys.” Arlyssa kaku tak bergerak.

“Eh, kenapa ni?” Harith gelisah. “Aku kena buat apa ni?” Sudah datang angin serba salah dia. “Ha, call Madi!” Laju tangannya membawa keluar telefon dan mendail nombor telefon kawannya yang nama Madi itu.

“Madi, Madi. Kau kena tolong aku, aku dalam susah ni.” Tanpa salam, tanpa sapaan terlebih dahulu, Harith terus terjah.

“Apasal dengan kau ni?” Armadi menyoal pelik. Apa kena dengan kawan aku ni?

“Aku cuba kejutkan dia tapi tak bangun-bangun jugak. Aku dah tak tahu nak buat apa lagi ni.” Kelam-kabut Harith memberitahu Armadi.

“Okey, macam ni. kau cari air lepas tu kau renjiskan kat muka dia. kalau tak jadi jugak, kau kena bawa dia ke hospital. Aku takut melarat aje,” balas Armadi.

“Okey, okey.” Dan talian terputus. Tak sempat Madi nak tanya siapa yang pengsan, terus Harith letak telefon. Lahabau punya kawan!

Harith berlari anak mencari bilik air. Beberapa minit kemudian, dia muncul kembali di bilik dengan sebotol air. Air dituang sedikit di atas tapak tangan dan direnjis ke muka Arlyssa. Tiga kali dia mencuba barulah nampak mata Arlyssa sedikit bergerak. Alhamdulillah.

“Lys, Lys,” Harith panggil nama Arlyssa beberapa kali. Arlyssa nampak seperti masih mamai lagi. Beberapa kali dia mengedipkan matanya.

“Awak okey?” Harith bertanya untuk tahu tahap kesihatan Arlyssa. Manalah tahu kalau-kalau Arlyssa rasa tak sihat.

“Okey,” serak suara Arlyssa menjawab.

Tanpa menunggu lama, Harith mencapai beg komputer riba Arlyssa dan diisi komputer riba ke dalam beg itu. Meja Arlyssa yang berselerak dia kemaskan semana yang boleh. Takut tersalah kemas nanti ada yang bertukar jadi singa pulak.

“Jom,” Harith paut badan Arlyssa supaya dapat berdiri dengan betul. Arlyssa cuba berjalan dua langkah tapi badannya seakan mahu melayang. Pantas Harith pegang kembali tubuh Arlyssa supaya tidak jatuh.

“Awak tak okey ni. Kita pergi klinik ya?” Harith bimbang dengan Arlyssa yang macam ni. Dia jugak yang susah kalau Arlyssa sakit.

Arlyssa gelengkan kepala. “Tak nak,” dia masih mahu cuba berjalan walau masih terasa seperti di awangan. Dalam kepalanya cuma satu, mahu sambung tidur. Dia rasa penat sangat hari ni. Tenaganya terasa seperti sudah di tahap sifar.

Degil! Keras kepala! Rungut Harith di dalam hati. Bahu Arlyssa dia paut dan berjalan beriringan menuju ke kereta. Selepas menyuruh Arlyssa masuk ke dalam perut kereta dan meletak barang-barang Arlyssa kerusi belakang, dia mendapatkan kembali pintu pejabat Arlyssa yang masib belum berkunci. Selesai mengunci pintu itu, kepalanya tiba-tiba teringatkan sesuatu. Lantas telefon di dalam poket dia keluarkan. Nombor kawan yang bernama Madi dia dail. Usai berbual seketika, dia kembali mendapatkan Arlyssa di dalam kereta. Mata yang terpejam dan muka pucat itu dia pandang. Kalau cakap tak sihat kan senang. Tak payahlah nak berpura-pura sihat. Seksa diri betul!


“MACAM mana? Dia sakit apa? Teruk ke?” Tanpa sabar, Harith menyerang Armadi denga soalan yang bertubi-tubi.

“Kau ni, tanya satu-satulah. Semua kau tanya sekaligus, macam manalah aku nak jawab.” Bebel Armadi. Stetoskop di bahu dia alihkan dan di letak di dalam beg kerja.

“Okey, okey. Dia sakit apa?”

“Dia tak sakit apa pun cuma gastrik biasa. Aku rasa dia tak makan dari pagi sebab tu boleh pengsan kat pejabat petang tadi. Tapi kau jangan risau, aku akan bagi ubat kat kau nanti. Yang paling penting, malam ni kalau dia terjaga, kau kena bagi dia makan. Kalau dia tak nak, kau kena paksa. Kalau tak, gastrik dia akan bertambah teruk.” Ujar Armadi. Dia sudah bersiap-siap mahu pulang. Kelam-kabut dia kerana perlu berkejar ke rumah temannya ini selepas habis shift di hospital.

“Tapi aku nak bagi dia makan apa?” Terkeluar sudah soalan kurang cerdik dari mulut Harith.

“Aduhai kau ni! Tak pernah jaga orang sakit ke?” Armadi menggaru kepala yang tidak gatal. Malang betul dapat kawan macam yang sedang terpacak di tepinya kini. Nak kata tak pandai, dah berjaya jadi peguam syarie’.

Harith geleng kepala. Betul! Dia memang tak pernah jaga orang sakit.

“Kau ni, kecik-kecik dulu kenapa tak belajar. Orang sakit kenalah makan bubur. Tak kiralah demam ke gastrik ke. Perut yang kosong perlu diisi dengan makanan yang lembut macam bubur. Kau pandai masak bubur ke tak? Nak kena aku ajar jugak ke?” Soalan berbau perlian dituju khusus untuk Harith.

“Tahu. Kau ni, agak-agaklah kalau nak tanya pun,” Harith buat muka tak puas hati.

“Okeylah, aku baik dulu. Ubat tu jangan lupa bagi dia makan,”

“Yalah, terima kasih banyak-banyak. Susahkan kau je,” Harith menghantar kelibat Armadi hinggalah kereta Armadi hilang dari pandangan.

Pintu utama dia tutup. Memandangkan Arlyssa masih lagi tidur, dia mengambil keputusan untuk memasak bubur. Lengan kemeja dia sinsing hingga ke paras siku dan mula bersilat di dapur. Untung Arlyssa dapat dia sebagai suami, tahu jugak masuk dapur. Tak semua lelaki pandai masak tau. Senyuman perasan mula menghiasi pinggir bibir Harith. Kalau diri sendiri tak puji, siapa lagi yang nak puji. Biarlah orang nak cakap perasan ke apa ke.