Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Selasa, 31 Januari 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB2

MATAHARI sudah meninggi di atas kepala namun tiada tanda yang Syarifah Arlyssa Waheeda akan bangun dari lenanya. Semalam entah pukul berapa baru dia sampai di rumah. Yang pasti tika itu sudah pagi kerana dia sempat mendengar bunyi kokokan ayam milik jiran sebelah rumah. Tambah lagi Puan Aini tiada di rumah, jadi dia bebas untuk pulang pukul berapa pun. Tiada bebelan Puan Aini yang akan berirama pada waktu-waktu begini.

Bibik Nor yang sedang ligat mengemas rumah mengerling seketika jam yang tergantung di dinding ruang tamu. Tak bangun lagi ke anak puan ni? Sudah pukul 1.00 tengah hari begini takkan masih nggak bangun-bangun juga? Bibik Nor menyoal diri sendiri. Dia hanya berani menyoal diri sendiri tapi dia memang tak berani nak naik ke tingkat atas dan mengejutkan tuan puteri itu. Dahulu dia sudah kena bambu. Pengalaman lama mengajar dan menjadikankan dia sentiasa beringat. Tambah pula kata-kata pedas anak majikannya dulu buat dia gerun. Bunyi telefon di atas meja kecil yang tereletak di penjuru tangga mengejutkan Bibik Nor. Pantas dia merapati meja itu dan ganggang telefon diangkat perlahan.

“Assalamualaikum, bik.”

“Wa’alaikumussalam, puan. Iya, ada apa puan?” soal Bibik Nor dengan slang Indonesia yang masih pekat walau sudah lama menetap di Malaysia.

“Bik, Lys dah bangun ke?” soal Puan Aini. Kepala Bibik Nor pantas mendongak ke atas. Bilik anak majikannya di pandang.

“Err.. belum lagi puan.” Teragak-agak Bibik Nor menjawab.

“Apa nak jadi dengan budak ni? Patutlah saya telefon dia dari tadi tak berangkat. Bik, pergi kejutkan dia sekarang.” Arah Puan Aini.

“Tapi puan…” Bibik Nor sudah serba salah. Jika dituruti arahan majikannya, nanti telinganya yang pedih penangan amarah cik muda.

“Tak ada tapi-tapi lagi bik. Ini arahan. Kalau dia marah bibik, cakap saya yang suruh bibik kejutkan dia. Kalau dia nak marah, suruh dia marah depan saya ni,” agak beremosi Puan Aini membalas kata-kata pembantu rumahnya itu. Siapa tak naik darah kalau ada anak dara sebegitu? Tak habis-habis dengan masalah. Itu tak masuk lagi dengan sikap kuat memberontaknya tu. Dia nak orang ikut semua angin dia tapi angin orang dia tak ambil peduli pulak. Sudah bermacam cara Puan Aini ikhtiarkan tapi anak bongsunya masih begitu. Hidup hanya ingat mahu enjoy saja.

“Err.. baiklah puan,” perlahan Bibik Nor menjawab sebelum ganggang diletakkan kembali.

Kepalanya lama didongak memandang ke arah bilik cik muda. Hatinya tidak betah untuk mengetuk pintu bilik itu. Kata-kata cik muda dahulu kembali berlegar di fikirannya. Dia tidak akan lupakan setiap kata-kata itu. Sangat sakit dan merobek hatinya. Namun kerana arahan dari Puan Aini, dia ringankan jua langkah kaki memijak anak tangga satu persatu. Tegak Bibik Nor di hadapan pintu bilik cik muda.

“Waduh, gi mana ni? mahu ketuk atau enggak?” soal Bibik Nor pada diri sendiri. Dia takut kena marah dan herdik seperti dulu. Nafas ditarik sekali sebelum mengetuk pintu bilik itu perlahan. Tiga kali mengetuk tapi senyap saja. Tiada langsung sahutan dari dalam bilik.

Bibik Nor serba salah. Sama ada mahu teruskan arahan Puan Aini atau berlalu dari bilik itu. Nak kata dia tak kejutkan, sudah diketuk pintu bilik itu tapi tuannya masih juga begitu. Mesti masih berlingkar di atas katil sambil menarik bantak menutupi muka. Dia sudah terlalu masak dengan cik muda yang sangat mengada-ngada ini. Pintu bilik itu dia ketuk lagi.

“Hoi! Kau nak apa?!” tersentak Bibik Nor dengan laungan itu. Sudah diagak begini penerimaan cik mudanya. Begitulah cantiknya bahasa Arlyssa kepada pembantu rumah mamanya.

“Err.. Cik Lys, mama cik nyuruh bibik kejutkan cik. Maaf jika bibik mengganggu,” lemah Bibik Nor bertutur. Cepat-cepat Bibik Nor melangkah menjauh dari bilik itu. Sebelum ‘gunung berapi’ itu semakin memuntahkan lavanya, lebih baik Bibik Nor cepat beredar. Hatinya pun tak sakit.

“Huh!” dengus Arlyssa. Dia paling tak suka jika dikejutkan dari tidur. Laju tangannya melontar sebiji bantal ke arah pintu bilik. Tanda protes kepada bibik. Tangannya mencapai jam kecil yang berada di atas meja kecil. Bulat matanya merenung jam itu sebelum dicampak ke atas katil. Laju dia bangun dan berlari masuk ke dalam bilik air selepas mencapai tuala.

Damn! Sumpah seranah membanjiri ruang hatinya. Dua hari lalu dia sudah berjanji dengan alongnya untuk ke pejabat hari ni. Tapi sekarang sudah pukul 1.30 tengah hari. Sudah terlalu lewat untuk masuk ke pejabat.

BERPASANG-pasang mata memandang ke arah Arlyssa sepanjang dia melewati ruang pejabat itu. Pandangan yang buat dia lemas dan rimas. Apa yang tak kena dengan penampilannya? Sehelai tube yang ditutupi jaket senteng dan dipadankan dengan skirt paras peha. Tak ada yang pelik dengan pakaiannya. Berjenama luar negara lagi. Kalau dia pakai baju tanpa lengan yang bertali halus tu agaknya terjojol biji mata mereka ni. Ah, lantak kau oranglah. Aku bukannya campur urusan kau orang. Desis hati Arlyssa.

Dia berdiri seketika di hadapan pintu bilik yang tertulis TIMBALAN PENGARAH URUSAN HAJRA TRAVEL HOLDINGS, Tuan Haji Jamal bin Ismail. Pintu bilik itu dia ketuk dan laungan masuk kedengaran. Perlahan-lahan daun pintu dia tolak. Kepala yang sedang menunduk itu dia pandang. Tanpa dipelawa, Arlyssa terus duduk di atas kerusi yang tersedia.

“Ehem…” sengaja Arlyssa berdehem untuk menarik perhatian bapa saudaranya itu.

“Dah tak pandai nak bagi salam ke, Lys?” sinis Haji Jamal membidas. Tanpa mengangkat kepala pun Haji Jamal sudah tahu siapa yang ada di hadapannya kini. Macam mana tak tahu kalau minyak wangi yang Arlyssa pakai ni sebatu pun boleh bau!

“Kenapa along suruh saya datang ke pejabat hari ni Pak Cu?” soal Arlyssa, cuba mengalihkan topik perbualan antara dia dan Haji Jamal. Malas telinga mendengar bebelan panjang bapa saudaranya itu. Sama aje dengan mama! Getus hatinya.

“Takkan along kamu tak cakap apa-apa?” Haji Jamal pelik dengan soalan anak bongsu abangnya ini. Pantas kepalanya mendongak ke atas. “Astaghfirullah hal azim! Apa yang kamu pakai ni?! Siapa yang suruh kamu pakai begini?!” memetir soalan dari Haji Jamal.
Melolot matanya memandang pakaian yang tersarung di tubuh anak saudaranya itu. Tidak sedarkah perniagaan apa yang dijalankan oleh syarikat ini? Takkan Arlyssa tak perasan semasa melangkah masuk tadi yang semua pekerja wanita diwajibkan memakai tudung dan menutup aurat? Macam mana nak jadi ketua kalau begini contoh yang diberi pada hari pertama bekerja? Kalau beginilah tingkah Arlyssa nampaknya tak lama lagi masuk wad juga aku ni. Desis hati tua Haji Jamal.

“Kenapa? Apa yang tak kenanya dengan baju saya? Okey aje ni Pak Cu,” tanpa rasa bersalah Arlyssa menyoal balik.

“Kamu tahu tak perniagaan apa yang syarikat ni jalankan? Perniagaan menguruskan pakej umrah dan haji! Begini ke contoh bakal pewaris syarikat ini yang akan turut serta dalam rombongan nanti?! Pak Cu jamin, tak ada seorang pun yang akan percayakan Lys! Dengan pakaian yang langsung tak ada nilai-nilai Islam. Memang tak boleh dijadikan contoh langsung.” bidas Haji Jamal lagi. Sebelum orang mengata, lebih baik dia dulu yang kata.

Arlyssa pandang diri sendiri. Dia tak rasa pun ada apa-apa silap dengan bajunya. “Habis, Lys kena pakai baju yang macam kelambu tu baru Lys boleh masuk pejabat ni?! Macam pekerja Pak cu kat luar tu?!” agak tinggi suara Arlyssa. Dia bosan dengan semua orang. Mama dengan cara mama. Sekarang Pak Cu pulak. Bosanlah!
Arlyssa terus berlalu keluar dari bilik yang nyaman dengan penghawa dingin itu. Wajahnya usah cakaplah masam semasam-masamnya. Pintu bilik dia hempas sekuat-kuatnya. Haji Jamal menggeleng kepala melihat reaksi anak arwah abangnya itu. Entah bilalah mahu berubah. Desis hati Haji Jamal.

“MA, macam mana? Dapat call adik?” soal Syed Yusri. Ketika itu mereka di dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur. Esok masih ada tugasan yang menanti Syed Yusri di hospital. Pekerjaan sebagai doktor memerlukan dia lebih banyak menghabiskan masa di hospital. Sampaikan masa untuk diri sendiri pun terabai.

Puan Aini melepaskan keluhan perlahan sebelum menjawab soalan anak sulungnya. “Tak dapat. Tapi mama dapat call bibik. Entah apa nak jadi dengan adik kamu tu. Dah macam-macam nasihat mama bagi kat dia tapi masih jugak macam tu. Tak pernah nak berubah,” luah Puan Aini.

“Sabarlah, ma. Mungkin bukan masanya lagi dia nak berubah,” ujar Syed Yusri mahu menenangkan Puan Aini. Bukan dia tak tahu Puan Aini ada penyakit darah tinggi. Nanti kalau fikir sangat, naik lagi darah tinggi mamanya tu.

“Mama dah banyak sabarlah, long. Mama rasa macam mama tak berjaya nak didik anak bila tengok Lys jadi macam tu. Arwah abah pun terseksa sama di alam sana kalau Lys berterusan macam ni," Puan Aini masih lagi tak puas hati.

Puan Aini mendiamkan diri. Matanya melilau memandang ke luar dari kereta. Pemandangan hijau menjamu pandangan mata. Syed Yusri juga turut ikut diam. Matanya tertumpu kepada pemanduan dan jalan raya yang lengang itu.

“Long, mana kad yang Harith bagi tadi?” tiba-tiba Puan Aini menyoal. Sedikit terperanjat Syed Yusri dengan soalan mamanya.

“Ada, ma. Tapi dalam wallet. Nanti bila dah berhenti kat R&R long bagi.” Jawab Syed Yusri.

“MA, ni kad Harith. Lupa nak bagi kat mama tadi,” ucap Syed Yusri sambil menghulurkan kad nama itu. Ketika itu mereka sudah sampai di rumah Puan Aini.
Puan Aini membaca setiap butir yang tertulis di atas kertas keras itu.

HARITH HABIBURRAHMAN AHMAD
PEGUAMBELA, PEGUAMCARA DAN PEGUAM SYARIE’

“Peguam? Rupanya Harith ni peguamlah long.” Beritahu Puan Aini. Syed Yusri berpaling. Wajah mamanya dipandang.

“Ya ke, ma? Tak sangka pulak. Dari luaran, tak nampak pun Harith tu gaya macam peguam. Along ingatkan dia budak pejabat biasa aje.” Komen Syed Yusri.

“Bilalah dia nak ke sini ya long? Mama rasa Lys perlu dibimbing oleh suami dia sendiri. Biar dia sedar berubah. Nasihat mama sikit pun tak jalan. Bibik tu, dah banyak kali kena sembur. Bukan mama tak tahu. Memang bibik sengaja sembunyikan dari pengetahuan mama tapi mama tahu semuanya.” Ujar Puan Aini lagi.

“Habis, mama nak paksa adik ke? Jangan, ma. Nanti memberontak lagi dia.” Tegah Syed Yusri. Bukan dia tak kenal perangai kuat memberontak adik bongsunya itu. Dulu, arwah abah pernah marahkan Arlyssa. Sampai seminggu dia hilangkan diri.

“Dah tu, kamu nak tengok aje adik kamu tu makin hanyut? Kalau kita suruh dia ikut Harith, kurang-kurang tanggungjawab kita sudah terlepas sedikit. Lagi pun, Lys bukan lagi tanggungjawab kita. Dia sudah ada suami. Sekarang semuanya adalah tanggungjawab Harith. Termasuklah semua dosa yang telah dia lakukan. Sepatutnya kita buat semua ni enam tahun dulu tapi disebabkan kita ikut sangat cakap Lys, beginilah jadinya.” Bidas Puan Aini. Dia sangat tak bersetuju dengan pendapat Syed Yusri. Memanglah Arlyssa tu anak manja dan anak bongsu tapi semua keinginannya jangan dituruti sepenuhnya. Jika tidak beginilah jadinya. Tak suka aje, memberontak!

Telefon bimbit Syed Yusri berbunyi nyaring minta diangkat.

“Assalamualaikum, Pak Cu.” Sapa Syed Yusri. Dia meneruskan perbualan dengan Haji Jamal. Manakala Puan Aini berlalu masuk ke dalam rumah, meninggalkan Syed Yusri berbual dengan bapa saudaranya.

Tidak lama kemudian muncul kembali Puan Aini menatang segelas air dan di letakkan di hadapan Syed Yusri.

“Kenapa Pak Cu telefon?”soal Puan Aini apabila melihat Syed Yusri termenung jauh.

“Pasal Lys,” pendek jawapan Syed Yusri. Dia melepaskan keluhan perahan kemudiannya.

“Kenapa dengan Lys?” soal Puan Aini lagi. Hatinya pelik dengan jawapan Syed Yusri. Kenapa pula Jamal telefon Syed Yusri bercakap tentang Arlyssa? Ada perkara yang mereka sembunyikan ke? Desis hati Puan Aini.

“Semalam along suruh adik pergi ke pejabat arwah abah. Along ni dahlah tak pandai bab-bab urusniaga ni. Adikkan ada bachelor dalam bisnes. Along ingatkan nak suruh dia tengok-tengokkan perjalanan syarikat sebab minggu lepas Pak Cu cakap syarikat ada masalah sikit. Tapi…” ayat Syed Yusri tergantung buat hati Puan Aini tak sedap.

“Tapi apa? Apa yang Lys dah buat?”

“Tak ada apa yang Lys dah buat. Cuma cara dia berpakaian yang buat Pak Cu tak senang. Ada ke dia masuk pejabat dengan baju sendat dan skirt paras peha. Kalau tak nak pakai tudung tak apalah. Pakai baju kurung saja pun tak apa. Tak adalah orang nak marah. Bila Pak Cu tegur, terus aje angkat kaki. Siap hempas pintu lagi. Entah apa nak jadilah adik ni! Menyusahkan orang aje.” Luah Syed Yusri kegeraman. Selama ini dia ambil langkah membisu. Hanya mendengar luahan mamanya. Tapi hari ni hatinya benar-benar geram dengan tingkah-laku Arlyssa.

“Astaghfirullah hal azim,” ucap Puan Aini. Dia menggelengkan kepala.

“Lys ada kat atas ma?” soal Syed Yusri. Matanya sudah melirik ke arah tangga.

“Tak ada rasanya. Tu kereta dia tak ada kat luar,” jawab Puan Aini lemah. Kepalanya masih memikirkan gelagat anak bongsunya itu. Sudah macam-macam cara dia buat tapi Arlyssa masih macam tu. Masih tak nak berubah. Nampak gayanya dia terpaksa juga jalankan rancangan tadi. Arlyssa tak boleh terus dibiarkan begitu sahaja. Jika tak dimulakan dari sekarang, makin tersasar jauh pula budak tu.

Syed Yusri mencapai telefon bimbit dari atas meja kopi. Nombor telefon adiknya dia dail. Tiga kali dia mendail tapi satu pun tak berangkat. Makin buat hatinya panas. Dia mencuba lagi. Alhamdulillah, talian bersambut.

“Ada apa, long?” soal Arlyssa tanpa salam. Dia memang tak nak jawab panggilan alongnya itu tapi disebabkan bunyi bingit telefonnya berkali-kali, akhirnya dia angkat juga.

“Assalamualaikum! Kamu ada kat mana ni? Bisingnya!” tinggi ton suara Syed Yusri.

“Keluar makan dengan kawan. Ada apa long call ni?” bosan betul along ni, banyak soal betul! Rungut Arlyssa di dalam hati.

“Kamu makan kat mana ni? Balik sekarang! Kamu sedar tak dah pukul berapa ni? Dah tengah malam! Balik sekarang!” tegas Syed Yusri menyuruh Arlyssa balik.

“Kenapa pulak? Selalu okey aje.”

“Along cakap balik, balik! Jangan banyak songeh!”

“Tak nak!” keras suara Arlyssa dan talian terputus.

“Lys, Lys!” Syed memanggil nama adiknya yang telah menamatkan panggilan. Tingkah Arlyssa semakin melampau! Kunci kereta yang tersangkut di sebelah suis lampu dia capai dan bergegas keluar dari rumah.

“Along nak ke mana tu?” soal Puan Aini apabila melihat Syed Yusri tergesa-gesa keluar.

“Nak cari Lys.” Jawab Syed Yusri sebelum kereta menderum keluar dari dalam pagar.

p/s: special utk anda semua.. harap terhibur.. terima kasih..:)

Ahad, 29 Januari 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB28

NASI dah masak, sambal petai bersama udang juga sudah siap. Cuma ikan tenggiri masak lemak cili api saja yang kurang menjadi, dah pecah minyak. Tulah, akibat terkejut dan ralit menilik wajah suami sendiri. Huh, teruk betul kau Fiza! Ah, jadi ke tak jadi, janji aku dah masak dan lauk ni tetap akan aku hidang. Itu terpulang pada dia sama ada nak makan atau tidak. Dan lagi satu tak ada masakan berasaskan sayur. ‘Pak cik’ tu tak makan sayur. Alergik sangat dengan sebarang jenis sayur. Macamlah sayur tu bawa penyakit. Lagi menyihatkan badan adalah.

Siap menghidangkan juadah di atas meja, aku berlalu ke bilik Aril. Tuan besar rumah ni memang kena panggil setiap kali masuk waktu makan. Macamlah aku ni dayang tak bergaji! Kadang-kadang naik angin jugak aku dengan perangai dia ni. Perlahan-lahan tangan kanan aku angkat dan mengetuk perlahan pintu bilik yng diperbuat dari kayu jati.

“Apa?” Tinggi suara orang di dalam bilik menyoal.

Amboi, aku dah panggil makan ni dah kira elok! Kalau aku biarkan macam tu aje, tak panggil makan, lagi bising mulut ‘pak cik’ ni. Macam burung murai tercabut ekor.

“Waktu berbuka dah nak masuk, tak nak berbuka ke?” Balasku sinis sebelum berlalu kembali ke dapur.

Aku dah tak larat nak berlawan cakap dengan dia. Tenaga aku dah hampir tahap sifar ni. Dari pagi tadi sampai ke petang dah berkejar kat butik. Petang ni nak kena masak lagi. Siapa tak penat! Kalau beli aje kan senang. Pada hal bukan ramai yang nak makan, cuma kami berdua aje. Tapi siapa pulak nak pergi beli? Aril tu kalau tak pukul 6.00 lebih tak akan nampak batang hidung kat rumah ni. Huh! Memang tak boleh harap.
Aku menatang dulang berisi jag air dan dua biji gelas. Air sirap sudah. Senang. Tak payah nak demand air sedap-sedap. Ni pun dah kira sedap bagi orang hidup susah. Aku lihat dia sudah duduk di atas kerusi. Radio sudah aku buka siap-siap sebab laungan azan dari radio lebih tepat kerana azan Maghrib masjid tak sampai ke rumah ni. Mana nak dengar kalau masjid paling dekat terletak dalam 3 kilometer dari rumah ni. Tak macam kat rumah abah, boleh dikatakan setiap kampung ada masjid. Surau pulak sangat banyak. Sampaikan dalam sebuah kampung ada 4 buah surau.

Lagi 5 minit azan akan berkumandang. Aku turut duduk di kerusi meja makan. Aku lihat dia memandang pelik mangkuk berisi ikan tenggiri masak lemak cili api. Apa kes pulak tengok ikan tu macam ikan tu ada buat salah besar.

“Ni lauk apa? Pelik aje saya tengok.” Dia bertanya akhirnya.

“Ikan tenggiri masak lemak cili api. Kenapa pulak pelik? Biasa-biasa aje saya tengok.” Jawabku cuba berlagak selamba.

“Pelik sebab mama masak lauk ni jadi warna kuning tapi kenapa yang awak masak ni jadi warna keperang-perangan?” Pasal warna pun jadi masalah besar dia ni.

Belum pun sempat aku menjawab, azan Maghrib berkumandang dari corong radio. Spontan kami mengangkat tangan dan mengaminkan doa yang dibaca oleh Aril. Gelas berisi air sirap aku hulurkan padanya dan kemudiannya aku mengambil sebiji kurma.

“Makan ajelah, kalau nak makan. Kalau rasa pelik sangat, jangan makan!” Balasku sedikit keras. Aku pun bukannya nak sangat dia makan masakan aku.
Nasi aku sendukkan ke pingganku. Sebelum bertanya kepada Aril. “Awak nak makan tak?” Sengaja aku bertanya. Nak tahu jugak reaksi dia lepas komen masakan aku.

Dia menghulurkan pinggan. Ha, nak makan jugak! Aku tahu, kalau dia tak hulur pinggan tadi, laparlah dia. Sebab aku ni jenis kalau orang tak suka makan masakan aku, aku tak akan simpan. Aku akan habiskan jugak sampai licin. Lagi pun masakan untuk dua orang banyak manalah sangat. Setakat lekat celah gigi aje.

Sunyi-sepi mengisi ruang semasa kami menjamu juadah berbuka. Aku sudah makan dia tak sudah lagi. Haih, sedap sangat ke? Tadi bukan main jual mahal. Komen macam-macam. Tapi nampak gaya makin laju aje tangan dia menyuap nasi masuk ke dalam mulut. Orang macam ni pun ada rupanya. Mulut cakap tak suka tapi makan nasi berpinggan-pinggan.

Aku berlalu ke dapur membawa pinggan yang sudah licin. Kemudiannya aku mula mengemas meja makan dan membawa pinggan yang sudah licin ke dapur. Tapi belum pun sempat aku mencuci semua pinggan mangkuk yang baru diguna, aku terdengar bunyi telefon bimbit menjerit minta diangkat. Macam penting aje. Tanpa menunggu lama, aku bergegas ke bilik, pinggan yang ingin dicuci aku biarkan dahulu di dalam singki.

Telefon yang berada di dalam beg bimbit aku capai dan skrin telefon aku tatap. Abang Din. Itu nama yang terpapar pada skrin.

“Helo, assalamualaikum.” Aku menghulurkan salam.

“Wa’alaikumussalam. Fiza, dah solat ke?” Soal Abang Din. Aku pelik dengan soalannya itu.

“Belum lagi. Kenapa bang?”

“Fiza pergi solat dulu lepas tu Fiza ke hospital. Abah masuk wad. Sekarang abah ada di wad kecemasan.” Luah Abang Din.

Aku tergamam. Terkaku. Berdiri tak berganjak. Aku terasa telefon seperti terlucut daripada tangan tapi tak dengar pulak telefon aku jatuh.

“Abah kenapa bang?” Ada suara asing bertanya. Aku tak sedar sejak bila Aril ikut aku masuk ke dalam bilik aku.

“Okey, kami akan ke sana seberapa segera.” Suara Aril memberi persetujuan kemudiannya.

Setelah salam bersambut, dia menghulurkan kembali telefon kepadaku. “Awak pergi solat dulu lepas tu kita ke hospital.” Dia memberi arahan.

“Abah kenapa?” Aku bertanya, tak sabar.

“Abah kena serangan jantung.”

“Allah!” Sebaik mendengar jawapannya, pandanganku gelap tiba-tiba.

AKU terjaga kerana terasa titisan air mengenai wajahku. Perlahan-lahan aku membuka mata. Silau cahaya lampu menjadikan pandanganku berbalam kembali. Aku ingin memejam mata kembali tapi aku mendengar suara seseorang menahan niatku itu.

“Awak, awak.” Panggilan seseorang membuatkan aku mencelikkan mata kembali.
Aku mencari suara itu, pandanganku terpaku pada batang tubuh Aril yang sedang memandangku.

“Alhamdulillah, awak dah sedar.” Ujarnya lega.

“Abah mana? Saya nak pergi kat abah.” Tiba-tiba aku jadi tak tentu arah apabila teringatkan khabar berita yang baru Abang Din maklumkan. Aku sudah bersiap-siap bangun dari pembaringan.

“Eh, awak pergi solat dulu. Waktu dah tinggal hujung-hujung ni. Lepas tu baru kita ke hospital.” Dia menahanku dari terus bertindak terburu-buru.
Aku memandangnya. Aku masih keliru dan terpinga-pinga sebenarnya.

“Cepatlah. Awak tak nak qada’ solat ke?” Sergahan beserta tepukan di bahuku mengembalikan aku ke alam nyata.

Pantas aku masuk ke dalam bilik air. Tengah berkobar-kobar nak ke hospital ni. Apabila aku masuk kembali ke dalam bilik, kelibat Aril sudah tiada. Tanpa membuang masa, aku terus membentangkan sejadah menunaikan solat Maghrib.

Siap bersolat, aku terus menyarung tudung ekspres dan mencapai beg duit serta telefon bimbit sebelum keluar ke ruang tamu. Dua barang tu paling penting dalam hidupku. Kiranya tanpa dua barang ni hidup aku rasa tak sempurna, rasa kekok. Mataku meliar mencari kelibat Aril. Puas kepala dipusing ke kiri dan ke kanan tapi tak nampak pun batang tubuh Aril.

“Hisy, dia buat apa pulak berkurung dalam bilik tu?” Gerutuku sambil menghampiri pintu biliknya. Tanpa sabar, aku mengetuk pintu bilik itu agak kuat.

“Awak nak pergi pukul berapa? Cepatlah.” Gesaku tanpa sabar.
Aku baru aje nak ketuk pintu bilik tu sekali lagi dan pintu terbuka. Nasib baik tak terketuk kepala dia. Pantas aku menurunkan tangan. Dia memandangku pelik. Dari atas ke bawah, dari bawak ke atas. Baju aku terkoyak ke? Aku jadi tak selesa dengan tingkahnya itu.

“Awak nak pakai macam ni aje ke?” Soal Aril akhirnya.
Kenapa? Okey aje baju aku ni. Tak ada cacat-cela pun. Skirt labuh dan baju T lengan panjang. Okeylah tu. Bukannya aku pakai baju yang mencolok mata yang boleh buat orang juling.

“Apa yang tak kenanya? Okey aje ni. Cepatlah.” Aku malas nak layan soalan yang bukan-bukannya tu. Aku melangkah ke pintu utama. Sandal yang biasa aku pakai aku sarungkan ke kaki.

KAMI bergegas masuk ke perkarangan hospital dengan langkah yang laju. Ketika kaki ingin membelok masuk ke bahagian kecemasan, Aril pulak sibuk mendail nombor telefon siapa entah. Masa tengah gawat ni boleh pulak nak telefon orang.

“Okey.” Tanpa salam, tanpa ucap helo, Aril mematikan telefon.

“Abah dah tak ada kat bahagian kecemasan, abah baru aje dimasukkan ke wad 7 sebentar tadi. Jom naik lif.” Ucapnya kemudian. Aku hanya mengikut tanpa bantahan.

Walaupun abah sudah dimasukkan ke wad, kami tidak boleh masuk menggunakan pintu biasa yang boleh digunakan oleh pelawat. Tapi kami boleh masuk melalui pintu bahagian kecemasan kerana pintu bahagian itu dibuka 24 jam sehari. Jika melalui pintu utama, kami tak akan dapat masuk kerana para pengawal keselamatan yang bertugas di situ tidak akan memberi kami masuk melainkan jika kami mempunyai sijil menjaga pesakit.

Aku tak tahu abah diletakkan di bahagian mana kerana wad 7 mempunyai empat bahagian. Aku hanya mengekori langkah Aril yang seperti arif sangat dengan selok-belok hospital. Sebaik terpandangkan kelibat Kak Jiha di hadapan pintu yang terletak di hujung wad 7, aku terus merapatinya.

“Abah mana kak?” Aku terus menyoal tanpa menunggu lama.

“Abah ada kat dalam. Tapi tak boleh masuk ramai-ramai. Emak dan Abang Din ada kat dalam.” Beritahu Kak Jiha.

Mendengarkan yang abah tak boleh menerima ramai pelawat seperti yang diberitahu oleh Kak Jiha, perasaan tidak sedap hati melanda hatiku. Aku gelisah selagi tidak dapat melihat sendiri keadaan abah.

“Habis tu bila Fiza boleh masuk?” Aku menyoal lagi.

“Doktor cakap hanya 2 orang sahaja yang boleh masuk melawat abah dalam satu-satu masa. Keadaan abah tak mengizinkan untuk menerima ramai pelawat.” Beritahu Kak Jiha lagi.

Ya Allah, selamatkanlah abahku. Panjangkanlah umurnya. Tidak putus-putus hatiku berdoa memohon kesejahteraan ke atas abah. Tiba-tiba aku terasa sangat takut. Takut melalui proses kehilangan abah yang sangat aku sayang. Yang menjadi tulang belakangku selama ini. Yang menyokong setiap hasil kerjaku.

Sedang kami bertiga berteleku menanti di luar wad, tiba-tiba pintu wad ditolak dari dalam. Pantas aku berpusing, memandang empunya diri yang keluar.

Pergilah Fiza dan Aril masuk tengok abah. Kita cuma boleh tengok aje sebab doktor dah masukkan ubat tidur dalam badan abah semasa sampai di bahagian kecemasan tadi. Tapi sekejap aje, nanti doktor nak check abah.” Terang Abang Din. Mataku sudah berkaca mendengarkan kata-kata Abang Din.

Ya Allah, jangan kau ambil abahku. Aku masih belum puas berbakti padanya. Hatiku terus-terusan merayu pada Sang Pencipta. Kakiku berat melangkah masuk ke dalam wad. Hatiku juga turut ikut berat. Tiba-tiba aku terasa tangan kananku diraih seseorang. Aku pandang ke sisi kananku. Dia ada di situ. Tautan tangannya yang bercantum erat dengan tanganku seakan memberi aku semangat, menyalurkan kekuatan supaya aku tabah menghadapi musibah yang melanda ini.

Kami beriringan melangkah merapati katil yang menempatkan abah. Air mata yang tadinya bertakung di tubir mataku luruh setitik demi setitik membasahi pipi. Kesedihanku tak dapat dibendung lagi apabila melihat badan abah penuh berselirat dengan wayar. Jasad abah terbaring lemah di atas katil. Hanya dadanya saja yang berombak sekali-sekala.
Tanpa sedar, aku teresak-esak perlahan di situ dan ketika itu juga aku terasa bahuku dipegang dan dipaut rapat ke dadanya. Kerana terlalu sedih, aku menghamburkan tangisan di dada bidang itu. Aku sedih melihat abah terbaring kesakitan. Ya Allah, betapa terseksanya abah. Aku seakan mahu meraung di situ tapi aku masih waras.
Kemudian keadaan menjadi kelam-kabut. Secara tiba-tiba dada abah berombak kencang. Sebilangan doktor dan jururawat meluru ke arah katil abah. Aku dan Aril diminta beredar dari wad. Aku terpinga-pinga tanpa tahu apa tujuan mereka semua berkerumun di keliling katil abah.

Belum pun sempat aku bertanya, aku diheret keluar oleh Aril. Aku mengeraskan tubuh dan tubuhku terkulai kemudiannya. Pandanganku yang kabur menjadi gelap-gelita. Aku sudah tak tahu apa terjadi selepas itu.

Khamis, 26 Januari 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB27

SYAZRIL melangkah masuk ke dalam pejabatnya. Hari pertama selepas majlis perkahwinannya. Dia perasan yang para pekerjanya asyik tengok-tengok dan senyum-senyum sepanjang dia melintasi meja para pekerjanya. Dia yang buat-buat bodoh hanya membalas senyuman mereka.

“Kak, masuk bilik saya sekarang.” Dia mengeluarkan arahan setelah butang interkom ditekan.

“Baik, encik.” Jawab Wadia, setiausaha yang sangat setia dengannya sejak 3 tahun lepas.

Sejurus kemudian kedengaran ketukan di pintu biliknya. Pantas Syazril membenarkan Wadia masuk. Perlahan-lahan Wadia melangkah masuk kerana perutnya yang semakin memboyot. Tanpa dipelawa, Wadia duduk di kerusi untuk tetamu yang tersedia di depan meja majikannya itu. Semakin besar kandungannya menjadikan kakinya tidak larat untuk berdiri lama-lama.

“Apa appoiment saya untuk hari ni?” Syazril menyoal sambil matanya tidak berkalih dari memandang skrin komputernya.

“Hari ni Encik Syazril ada appoiment dengan Cik Shadira daripada MYZ Corporation pada pukul 1.00 tengah hari. Sebelah petang pula, encik perlu menghadiri mesyuarat bulanan di bilik mesyuarat pada pukul 4.00 petang. Itu sahaja untuk hari ni.” jawab Wadia sambil membelek-belek buku seakan diari berkulit hitam yang sedang dipegang.

“Emm.. lama tak mesyuarat petang nanti? Banyak ke topik berbangkit?” soal Syazril lagi.

“Rasanya lama jugak sebab saya dengar banyak kes projek terbengkalai yang perlu ditangani segera jika kita tidak mahu terus menanggung kerugian.” Ujar Wadia tenang.

“Okey, kalau macam tu, apa kata kalau akak anjakkan sedikit waktu mesyuarat tu ke pukul 4.30 petang. Bukan apa, saya tak nak teruskan mesyuarat tapi akhirnya solat Asar terabai.” Tenang Syazril memberitahu. Sengaja dia melewatkan sedikit mesyuarat kerana waktu solat Asar masuk pada pukul 4.15 petang.

“Okey, ada apa-apa lagi encik?” soal Wadia sambil menulis di dalam bukunya.

“Hmm.. dah tak ada apa. Itu saja untuk hari ni.” putus Syazril.

“Okey, saya minta diri dulu, encik.”

Syazril menganggukkan kepala sambil memandang Wadia melangkah perlahan-lahan mendapatkan pintu bilik. “Err… Kak, kandungan akak dah berapa bulan?” teragak-agak Syazril bertanya ketika tangan Wadia ingin memulas tombol pintu. Wadia kembali berpusing, memandang bosnya.

“Dah masuk tujuh bulan, encik.” Balas Wadia sambil tersenyum.

“Oh, dah tak lama akak nak bersalin. Hmm.. nampaknya saya perlu cari seorang pembantu sementara untuk menggantikan akak ketika akak cuti bersalin nanti.” Balas Syazril bersahaja.

“Encik nak saya maklumkan kepada Encik Adif ke tentang jawatan kosong tu?” Wadia bertanya sambil tangannya mula ingin mencatat arahan yang bakal keluar dari mulut majikannya itu. Adif adalah pegawai bahagian sumber manusia.

“Eh, tak payah. Saya rasa saya dah jumpa calon yang sesuai. Tak payah Adif keluarkan iklan jawatan kosong, membazirkan masa dan tenaga saja.” Ucap Syazril dengan muka berseri-seri.

Di dalam kepalanya sudah merangka strategi untuk merencanakan rancangan barunya, rancangan yang secara spontan terlintas di benaknya. Suhana yang berdiri membelakangkan pintu terangguk-angguk dengan kata-kata ketuanya.

“Eh, akak boleh keluar sekarang. Nanti berdiri lama-lama, boleh kejang pulak kaki akak tu.” Ujar Syazril dengan riak sedikit bimbang. Manakala Wadia hanya tersenyum sebelum melangkah keluar.

“Hei, bro. Amacam sekarang?”

Syazril tersentak mendengar sergahan dari Sham. Huh, keluh Syazril sambil memandang Sham dengan pandangan tajam.

“Dah berapa kali aku pesan, nak masuk bilik aku tu berilah salam. Kurang-kurang pun ketuklah pintu tu.” Sudah berkali-kali Syazril memberi peringatan kepada kawan baiknya itu tapi buat habis air luir aje dia berpesan. Bagai mencurah air ke daun keladi, langsung tak ada perubahan. Sham mencebik mendengarkan bebelan Syazril. Benda remeh macam tu pun nak bising. Gumam hatinya.

“Alah, kau ni banyak betul pantang larang.”

“Apa kes kau datang bilik aku ni? Dah tak ada kerja ke kat meja kau?” malas dia menyoal dan dalam masa yang sama dia menyindir.

“Ah, ada benda yang lagi penting dari kerja-kerja aku kat meja tu. Macam mana kau sekarang? Best?” bersinar mata Sham memandang temannya dengan semangat yang berkobar-kobar.

“Macam mana apa? Eh, tak fahamlah aku.” Balas Syazril berpura-pura tak tahu tentang apa yang Sham tanyakan.

“Eleh, buat-buat tak faham pulak kau ni. Hari ni kan hari pertama kau masuk ke ofis lepas cuti kahwin seminggu. Aku nak jugak macam mana perasaan kau lepas dah jadi seorang suami? Mesti best kan?”

Syazril memandang Sham sekilas sebelum menjawab. “Aku nak tanya kau, kau dah pernah jadi suami ke yang kau cakap best tu?” selamba dia menyoal kembali.

“Err.. aku memanglah tak kahwin lagi tapi aku dah dengar ramai orang cakap kahwin tu best sebab tu aku tanya kau, kau kan baru kahwin.”

Syazril menyibukkan diri dengan membelek fail di tangan. Telinganya masih mendengar setiap butir kata yang Sham ucapkan.

“Itu kau dengar mulut orang. Ni aku. Aku lain. Kau sendiri tahu macam mana cara aku berkahwin. Semuanya mama aku yang suka-suka aturkan. Aku pun tak tahu nak cakap best ke tak. Apa kata kau kahwin dulu, baru kau tahu best ke tak.”

Sengaja Syazril mencadangkan cadangan yang teramat payah untuk Sham laksanakan. Bukan dia tak kenal macam mana Sham tu. Sangat cerewet orangnya. Sham kalau nak cari bakal isteri mesti pandai masak macam emak dia. Mesti pandai kemas rumah macam emak dia. Pandai itu, pandai ini macam emak dia. Serba-serbi nak macam mak dia. Susah-susah sangat suruh aje kahwin dengan pilihan emak dia atau pun tak payah kahwin sampai bila-bila. Senang.

“Apasal aku pulak? Aku tanya kau, kau tanya aku pulak. Siapalah nak kat aku ni? Bujang lapuklah katakan.” Sham sengaja membuat suara sedih

‘Huh, buat suara sedih pulak. Macamlah lawa sangat muka tu. Mengada-ngada lebih!’ Bisik Syazril di dalam hati. Dia bukan tak kenal perangai kawan baiknya tu.

“Dah, dah. Kau pergi sambung balik kerja kau. Jangan nak menyemak kat sini tanya aku soalan bukan-bukan. Syuh, syuh…” Syazril menghalau beserta dengan gerakan tangannya.

“Tak apa, hari ni hari kau. Nanti bila hari aku, tak nak aku kongsi dengan kau. Nanti kalau kau ada masalah, jangan cari aku. Pandai-pandailah kau selesai sendiri. Aku tanya sikit, tak nak jawab. Huh!” dengus Sham sebelum berlalu keluar dari bilik majikan dan kawan baiknya itu.

Syazril bukan nak menghalau tapi dia tengah banyak kerja sekarang. Lagipun dia sudah masak dengan perangai Sham. Sekejap aje tu kalau nak marah. Esok-esok baiklah. Syazril hanya memandang kelibat Sham menghilang di baik pintu biliknya.

HIDUPNYA sekarang sedikit berubah, mungkin impak daripada perkahwinan tanpa rela yang baru berusia seminggu ni kut. Kalau dulu jika balik ke rumah ni hanya untuk tidur sebab sebelum balik dia mesti singgah makan kat mana-mana warung hingga kenyang. Masa tu tak payah nak sendatkan kepala nak fikir pasal barang-barang dapur atau yang seangkatan dengannya.

Tapi lepas sehari Syazril berkahwin, dia terus diheret ke pasar raya untuk membeli barang-barang dapur. Dulu ketika menemani mamanya ke Mydin Mall, dia fikir itu adalah pertama dan terakhir kali dia menjejakkan kaki ke sana. Namun, sekali lagi dia diheret ke sana. Tambah pula membantu si isteri memilih ikan, ayam dan sedikit sayur. Itu pun selepas dia membebel panjang.

Yalah, siapa tak membebel panjang kalau perempuan tu nak borong ikan, ayam dan sayur macamlah nak memasak untuk 30 orang isi rumah. Sedangkan hanya kami berdua sahaja di dalam rumah ni. Sengaja dia memberi alasan takut kotor kereta mahalnya. Tapi memang betul pun, kotorlah kereta dia dengan barang-barang basah tu, tambah lagi dengan bau yang sangat-sangat mengancam. Huh, ya ampun!

Syazril memandu keretanya masuk ke dalam garaj, bersebelahan dengan kereta isterinya. Sebelum enjin kereta dimatikan, dia terpandangkan jam yang terletak pada papan pemuka kereta. Sudah 6.30 petang.

‘Hmm.. nampaknya dia tak pernah langgar arahan aku. Tak pernah sekali pun lagi dia balik selepas pukul 6.00 petang.’ desis hati Syazril sambil melangkah keluar dari perut kereta.

Matanya memandang ke arah sekitar halaman rumahnya. Kalau di lihat dari luar, mesti orang tak percaya yang pemiliknya adalah Syazril kerana peribadi Syazril sangat kontra dengan rekabentuk rumah itu yang berkonsep rumah Melayu tradisional yang sarat dengan ukiran awan larat. Sekali imbas, pasti orang akan mengatakan pemilik rumah itu adalah seorang yang sudah berusia kerana rumah yang sarat dengan seni ukiran hanya menjadi pilihan mereka yang sudah bergelar warga emas.

Pintu rumah dia buka perlahan. Hening suasana ruang tamu rumah itu. Seperti tidak berpenghuni sedangkan isterinya sudah balik dan sedang berkurung di dalam biliknya. Isterinya hanya akan keluar dari dalam bilik apabila nak memasak dan dia akan dipanggil selepas makanan terhidang di atas meja makan. Langkah diatur ke biliknya.

Tapi, belum pun sempat dia memulas tombol pintu bilik, dia terdengar bunyi desiran yang datang dari ruang dapur. Langkahnya melencong ke dapur. Dia bersandar di muka pintu sambil berpeluk tubuh. Ralit dia memerhati tingkah-laku Syafiza. Sekejap-sekejap Syafiza mengacau lauk di atas dapur, sekejap-sekejap ke singki. Entah apa yang dimasak pun dia tak tahu. Tapi semerbak haruman gulai membuka seleranya.
Hampir 15 minit juga dia menjadi pemerhati setia kepada setiap gerakan lincah isterinya sebelum dia berdehem.

“Ehem,”

Ternyata Syafiza begitu terkejut dengan bunyi deheman dari Syazril secara mendadak itu. Pantas dia berpusing. Syazril masih lagi berpeluk tubuh di tempat tadi, memandang isterinya. Pucat raut wajah itu dia perhatikan. Bagaikan jika ditoreh pasti tidak berdarah. Senyuman yang ingin menguntum di bibir disorokkan jauh, hanya raut wajah serius yang dia pamerkan untuk tontonan isterinya. Menjadikan Syafiza makin gelabah.

“Eh, apa yang menggelegak kat atas dapur tu?” pertanyaan Syazril secara spontan menjadikan Syafiza pantas menutup api dapur dan nampaknya gulainya sudah tak menjadi!

“Huh!” bunyi Syafiza mendengus kuat.
Sedangkan Syazril sudah melambakkan tawa besar. Reaksi Syafiza yang sangat kelam-kabut mengundang rasa geli hati pada Syazril. Lantas dia berlalu kembali ke biliknya bersama deraian ketawa yang masih tidak hilang.

p/s: bab27.....><

Isnin, 23 Januari 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB26

SUDAH genap seminggu aku menggalas status sebagai seorang isteri. Mungkin esok atau lusa dah puasa, barang dapur tak beli lagi. Minggu lepas masa pergi dengan Aril, aku sempat beli sedikit aje. Dia tu amat-amat cerewet. Aku nak beli barang basah seperti ikan dan ayam banyak sikit, dah komplen macam-macam. Busuklah! Nanti kotor kereta dialah. Tahulah kereta dia mahal tapi takkan tak boleh cuci kalau kotor.

“Cik Sya, baju Puan Jamilah dan Puan Sharifah dah siap ni. Saya letakkan sekali dengan yang lain ni, ya.” Beritahu Saira.

“Okey,” jawabku dengan mata tidak berkalih sedikit pun dari sepasang jubah moden yang sedang dijahit manik di tangan.

Raya kira-kira sebulan lagi jadi kami tak menang tangan menyiapkan baju-baju yang ditempah oleh pelanggan. Sudah sebulan aku tidak menerima sebarang tempahan kerana takut tak terkejar nak siapkan sebelum raya. Jadi masalah pulak kalau tak sempat siap. Di tangan aku ni adalah baju milik emak mertuaku, yang dulu aku panggil Aunty Ida. Kini tidak lagi Aunty Ida tapi mama.

Kali ni mama tak tempah sepasang macam biasa tapi 7 pasang. Banyak gila tu. Kalau aku, 2 pasang pun dah cukup. Bila aku tanya, kenapa banyak sangat, dia jawab mudah saja, nanti ada rumah terbuka yang perlu dia hadiri jadi dia tak naklah pakai baju yang sama aje. Nak jugak tayang baju baru kat kawan-kawan dia nanti. Haih, orang kaya, nak apa pun dapat. Baju dia yang dah siap baru 2 pasang, ada baki 5 pasang lagi. Harap-harap sempatlah siap sebab semua baju yang dia tempah tu nak berjahit manik yang sarat.

Aku mengerling pada jam yang tersarung elok di pergelangan tangan. Pukul 4.00 petang. aku kena gerak sekarang sebab nak ke pasar raya dulu. Beli barang dapur, tambah mana-mana yang dah kosong kat dapur tu. Tanpa membuang masa, aku terus mengemas alatan jahitan dan nampaknya baju-baju yang masih belum siap dijahit manik ni aku perlu buat balik. Sambung jahit kat rumah pulak daripada kebosanan tak buat apa-apa kat rumah.

“Saira, Miza, awak tutup butik macam biasa, ya. Saya perlu pulang awal hari ni, esok mungkin dah puasa. Jadi saya nak pergi cari keperluan dapur sikit.” Beritahuku kepada kedua-dua pekerjaku itu.

“Okey, cik.” Balas mereka serentak sambil tersengih-sengih kepadaku. Apa kes entah duk sengih macam tu. Perli aku kut sebab aku kan baru jadi isteri orang, tanggungjawab tu lebihlah.

Kalau dulu, nak puasa ke nak raya ke, sikit pun aku tak kisah sebab ada emak yang boleh uruskan itu semua. Tapi sekarang bila dah duduk rumah Aril, semuanya kena buat sendiri, nasib baik ada Acik Na yang boleh mengemas rumah dan mencuci pakaian. Tugas aku taklah berat sangat. Cuma memasak aje. Setakat ni, apa yang aku masak, semuanya masuk ke dalam perut Aril. Dia tak ada komen apa-apa lagi setakat ni. Okeylah tu kut.
Siap mengemas, aku mengangkut semua kelengkapan jahitan dan baju yang perlu disiapkan masuk ke dalam kereta. Sedia untuk bertolak.

AKU sampai di rumah lagi 5 minit sebelum pukul 6.00 petang. Alhamdulillah, sempat aku sampai sebelum pukul 6.00 seperti mana syarat yang Aril tetapkan. Semua barang yang aku beli aku keluarkan dari ruang belakang kereta dan dibawa masuk ke dalam rumah. Sedang aku menyusun barang di dapur, kedengaran bunyi kereta masuk ke halaman rumah. Itu mesti Aril. Kalau bukan dia siapa lagi sebab hanya aku dan dia sahaja yang tinggal kat dalam rumah ni.

Siap menyusun barang, aku berlalu masuk ke dalam bilik. Hanya ini dunia aku di rumah ini, di dalam bilik. Aku keluar dari bilik itu jika perlu sahaja. Jika nak masak ke, nak cari makanan kat dapur tu ke. Lagi pun kat rumah ni tak ada apa yang boleh aku buat. Nak tengok TV pun tak boleh sebab kat ruang tamu tu tak ada TV. Untuk menghilangkan rasa bosan, aku hanya boleh melayari internet guna broadband Celcom yang aku langgan atau pun menjahit pakaian tempahan pelanggan.

Oh ya, bercakap pasal TV, aku nak tahu sama ada esok atau lusa puasa macam mana? Kalau kat rumah abah, aku tengok kat TV tapi kat rumah ni tak ada TV. Huh, susah macam ni. Kedekut ke apa si Aril tu? Sampaikan sebuah TV pun tak boleh beli. Nak kata tak mampu, kereta yang hampir berjuta tu boleh pulak beli. TV yang tak sampai seribu pun tak boleh beli. Ha, kan aku dah mula membebel!

Masuk aje dalam bilik, aku terus mandi. Sedang elok aku selesai mandi, sayup-sayup kedengaran azan Maghrib berkumandang. Terus aku menghamparkan sejadah untuk menunaikan suruhan kepadaNYA. Selesai bersolat, aku melipat telekung untuk disangkut pada penyangkut yang tersedia. Ketukan di pintu bilik membuatkan aku sedikit tersentak.

“Hmm… ada apa?” soalku malas.

“Awak bersiap sekarang, kita ke rumah mama malam ni. Bawak baju sekali sebab kita akan tidur kat sana.” Ujar Aril.

“Kenapa pulak?” aku malas nak ke mana-mana malam ni, nak berehat aje.

“Mama suruh balik ke sana, esok mungkin akan puasa, jadi dia nak kita bersahur kat sana.”

“Nak pergi bila?”

“Sekaranglah! Takkan pagi esok pulak.” Sedikit tinggi suara Aril. Nak marah kut sebab aku ni banyak soal sangat. Terasa kelakar pulak kami bersoal-jawab dengan dipisahkan oleh pintu dan dinding.

“Yalah, yalah.” Akhirnya aku bersetuju.

Mahu atau tidak aku terpaksa jugak ikutkan kehendak Aril jika tak nak bersoal-jawab dengan mama.

KERETA meluncur masuk ke dalam garaj. Aku melangkah keluar dari perut kereta lalu mendapatkan mama yang setia menanti di hadapan pintu rumah dengan membimbit beg pakaian sederhana besar di tangan kiri. Kedatangan kali ketiga ke rumah ini dengan gelaran yang berbeza. Jika sebelum ni aku datang dengan status sebagai tetamu, sekarang aku datang dengan gelaran menantu rumah agam itu yang mana aku merupakan sebahagian daripada isi rumah ini.

“Kamu berdua dari mana ni? Dari rumah ke?” sapa mama saat aku menyalami tangannya. Aril yang mengikut dari belakangku juga menyalami tangan mama. Dari ekor mataku, aku melihat Aril sedikit teragak-agak ketiga bersalam dengan mama, seperti orang yang tak biasa bersalam. Mungkin dia tidak mengamalkan budaya masyarakat Melayu yang satu itu.

“Haah, ma.” Jawabku ringkas. Sementara Aril sudah menghilang ke dalam rumah. Aku mengekori langkah mama masuk ke dalam rumah.

“Marilah kita makan sekali, bibik dah siap hidang makan malam.” ajak mama kepada aku, Aril dan papa yang sedang beristirehat di ruang tamu. Beg pakaian aku letakkan di tepi kaki sofa.

Di meja makan, kami menjamu hidangan makan malam itu dengan berselera sekali. Tidak seperti di rumah abah, apa yang aku perasan di rumah ini tidak mempraktikkan pembacaan doa makan. Kami hanya mengungkapkan kalimah Bismillah sebelum makanan disuap masuk ke dalam mulut. Tiada bacaan doa makan yang selalu abah terapkan di dalam diri kami adik-beradik. Aku terasa janggal pula.

Selesai menjamu selera dan mencuci pinggan di dalam singki, aku ke ruang tamu. Papa, mama dan Aril sudah menanti di depan TV. Ingin mendengar pengumuman daripada penyimpan mohor besar raja-raja sama ada esok atau lusa puasa. Bersinar mataku tatkala memusatkan pandangan pada TV saat ternampak wajah penyimpan mohor besar raja-raja.

“Dengan ini saya mengumumkan bahawa tarikh bermula satu ramadhan adalah jatuh pada hari Isnin bersamaan dengan…”

Alhamdulillah, maknanya esok puasa. Kesyukuran aku panjatkan pada Ilahi. Nampaknya aku akan bersahur di sini bersama dengan keluarga Aril. Pengalaman pertama bersahur dan berpuasa dengan keluarga mertua.

Sesudah menonton pengumuman puasa, aku ingin mendapatkan beg pakaianku tapi tiada di tempat yang aku letak tadi. Eh, pelik ni. Tadi beg itu aku letak di tepi kaki sofa tapi kenapa sekarang tak ada pulak? Siapa pulak yang ambil beg tu? Haih!

“Ma, ada nampak tak beg saya? Saya letak kat sini tadi.” Aku bertanya pada mama, takut-takut mama tahu kat mana beg aku berada.

“Tadi mama nampak Aril yang bimbit beg tu. Mungkin dia dah bawa masuk ke dalam bilik rasanya.”

Hah? Bawa ke dalam bilik? Yang mana satu bilik dia ni? Eh, kejap. Dia ajak aku tidur kat rumah mama dia ni maknanya aku kena tidur sebilik dengan dia? No way! Tanpa sedar riak kegelisahan terpamer di wajahku.

“Kenapa ni, Sya?” soal mama sedikit cemas. Mungkin terkejut dengan perubahan riak pada wajahku secara mendadak itu.

“Err… tak ada apa-apa. Ma, bilik Aab..Abang Aril kat mana?” huh, berpeluh jugak aku nak sebut perkataan ‘abang’ tu.

“Oh, bilik dia senang aje. Sya naik ke tingkat atas, bilik yang paling hujung ke kanan antara keempat-empat bilik tu bilik dialah.” Terang mama.

“Okey, thanks ma.” Ucapku samba menghadiahkan seulas senyuman hambar kepada mama.

Aku berlalu ke arah tangga. Satu demi satu anak tangga aku pijak perlahan. Terasa terawang-awangan pula aku tika itu. Sampai di atas, aku terus menuju arah bilik yang mama beritahu kepadaku sebentar tadi. Perlahan-lahan pintu bilik aku ketuk. Dua kali aku ketuk, tiada balasan dari dalam bilik. Huh, dia ni duk buat apa? Aku ketuk sekali lagi dan terjengul wajahnya beserta dengan riak marah.

“Nak apa?” amboi, suka-suka hati nak marah orang. Boleh pulak tanya nak apa. Huh!

“Nak ambik beg saya.”

“Nak ambik beg awak? Dah tu awak nak pergi mana?” soalnya lagi. “Masuk dulu.” Arahnya kemudian.

Aku turuti arahannya. Pintu bilik ditutup. Aku terpaku di tengah-tengah ruang bilik itu. Tak tahu nak duduk kat mana. Yang ada hanya sofa dan katil. Aku memang tak akan duduk kat atas sofa tu. Kat atas katil lagilah, memang taklah.

“Awak ingat kita ni kat rumah saya ke? Kat sana awak ada bilik sendiri, kat sini cuma ada bilik ni aje. So, awak nak tidur kat mana? Kat luar? Awak nak mama bising-bising nanti? Daripada orang tak tahu, jadi heboh. Awak nak macam tu?” sergahnya dengan suara yang masih perlahan.

Aku terdiam. Tak tahu nak cakap apa. Dalam diam, aku berfikir setiap butir kata yang dia ucapkan. Betul juga apa yang dia kata. Aku nak tidur kat mana kat rumah ni? Aduh, masalah, masalah.

“Err.. awak tidur kat mana?” lambat-lambat aku bertanya.

“Ini bilik saya, suka hati sayalah nak tidur kat mana pun.” Angkuh dia menjawab. Aku tahulah ni bilik dia, tapi jangan sombong sangat. Berlagak macam bagus.

“Okeylah, saya tidur kat sini, boleh?” selepas berfikir, aku mengambil keputusan untuk tidur saja sebilik dengan Aril. Tapi bukan sekatil. Aku tengok sofa ni okey jugak daripada tak ada apa-apa alas untuk tidur. Lebih baik dari aku tidur atas lantai. Tapi sebelum tu, kena mintak izin dulu dengan tuan tanah. Kalau tuan tanah tak beri izin, susah jugak aku.

“Hmm…” hanya itu sahutan Aril yang sedang enak berbaring di atas katil. Sajalah tu nak buat aku jeles. Ah, sikit pun aku tak heran.

Aku mencapai beg pakaianku yang berada di sebelah laci kecil yang berada di sebelah katil. Beg itu aku bawa ke sofa dan mengeluarkan alatan menjahit dan baju pelanggan yang perlu aku jahit. Aku mula menjahit sehingga tak sedar pukul berapa aku terlena di situ.

“AWAK, awak. Bangunlah, sahur.” Sayup-sayup telingaku mendengar orang memanggil. Mata aku masih memberat tak mahu terbuka. Huh, siapa pulak yang mengganggu ni? aku nak tidur pun tak senang.

“Awak! Bangunlah. Dah pukul berapa ni, nak sahur ke tak?!” tinggi nada suara orang tu. Marah kut.

Aku pulak masih lagi tak dapat mencelikkan mata. Beratnya kelopak mata aku ni nak terbuka. Macam bertan-tan batu sedang menindih kelopak mata.

“Awak!” suara jeritan entah siapa tu buat mataku terbuka luas. Terkejut punya pasal. Apa kes entah duk terjerit-jerit malam-malam buta ni. Bulat mataku memandang Aril dengan pandangan tak puas hati.

“Kenapa duk terjerit-jerit malam-malam buta ni? Tak malu ke kalau orang lain dengar?” semburku dengan suara serak, nampak sangat baru bangun tidur. Tangan pulak secara automatik menggosok mata. Silaulah sebab lampu kat siling tu.

“Apa? Malam-malam buta? Cuba awak tengok jam tu, dah pukul berapa? Malu? Kalau awak tak nak saya buat bising dan awak tak nak malu, bangun sekarang.” Aku sembur dia, dia sembur aku balik. Huh!

Pantas mataku terarah pada jam kecil yang berada di atas laci kecil yang berada di sebelah katilnya. Pukul 5.00 pagi! Huh, awalnya! Dengusku.

“Baru pukul 5.00 pagi. Nak buat apa bangun awal sangat? Subuh lambat lagilah. Nak solat sunat tahajud ke?” perliku.

“Awal lagi? Awak sedar tak hari ni hari pertama puasa, awak tak nak bangun sahur? Dahlah, banyak cakap pulak. Cepat bangun, mandi. Lepas tu turun ke bawah.” Aril mengeluarkan arahan sebelum berlalu keluar dari biliknya tu. Baru aku perasan, Aril dah siap mengenakan sehelai baju Melayu yang dipadankan dengan kain pelikat.

Sahur? Ni yang paling aku lemah. Tahun-tahun lepas, sahurku banyak rongak. Tapi sekarang nampaknya hendak atau tidak, aku terpaksa bangun juga. Lambat-lambat aku bangun berlalu ke bilik air. Arahan ‘Tuan Aril’ wajib aku turuti sebelum dia mengamuk. Hai, takut jugak kau kat Aril, ya. Fiza, Fiza…

p/s:salam.. sudah masuk bulan ramadhan utk bab 26.. harap anda menyukainya..:D

Sabtu, 21 Januari 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB1(PART-2)

“HARITH!”

Harith yang sedang mengemas fail-fail penting di dalam kereta setelah selesai tugasnya di mahkamah pantas berpaling. Dia ni lagi! Nak apa lagi ni?! Mahkamah kan dah keluarkan keputusan. Harta tu memang tak boleh dibahagi dua sebab Datuk Hamadi beli sebelum mereka kahwin. Takkan tak faham-faham lagi. Bosan betul Harith dengan ‘mak cik’ ni!

“Hmmm…”

“Kenapa I tak dapat tuntutan tu? Kenapa mahkamah tolak?” Datin Maya bertanya. Jelas sekali nada tak puas hati pada suaranya.

“Kan dah jelas-jelas hakim cakap tadi. Harta tu bukannya harta sepencarian sebaliknya harta yang telah datuk beli ketika belum berkahwin dengan datin. Jadi harta tu memang tak boleh dibahagi dua. Cuma harta yang dibeli sepanjang perkahwinan sahaja dikira sebagai harta sepencarian dan boleh dibahagi dua.” Panjang lebar Harith menjawab. Terpaksa dia mengulang perkara yang telah diterangkan oleh tuan hakim ketika di dalam mahkamah tadi.

“Habis, takkan you tak boleh guna kuasa you untuk dapatkan harta tu? Cakap peguam terkenal, takkan benda sekecil ini pun you tak dapat handle.” Sindir Datin Maya. Memang mata duitan betul Datin Maya ni! Dahlah harta yang direbutkan tu cuma tanah sekangkang kera saja. Bukannya tanah yang berekar-ekar. Beginilah manusia, tak beryukur dengan apa yang telah dimiliki.

“Datin, saya tak pernah cakap pun saya ni peguam terkenal.” Harith menarik pintu kereta di bahagian pemandu dan masuk ke dalam perut kereta. “Kalau susah-susah sangat, datin cari orang lain sajalah. Saya memang tak dapat membantu kali ni,” ujar Harith sebelum kereta berlalu dari situ. Bosan dia bercakap dengan mak datin perasan ni. Bersyukurlah dengan harta yang dah ada tu. Songkok yang ada di atas kepala dia tanggalkan dan letak di atas kerusi sebelah.

Harith memulas stereng dan kereta membelok masuk ke dalam petak parkir. Alang-alang dah ada di kawasan Hiliran ni, dia terus mengambil keputusan untuk makan di Tcafé Food Court. Senang, tak payah dia mencari tempat makan lain. Sebaik duduk, terus datang seorang pelayan ke meja yang Harith duduki. Usai memberikan pesanan, mata Harith melilau memandang ke sekitar kawasan medan selera itu. Sakitnya mata dia dengan pemandangan yang tak elok. Perempuan dengan lelaki berpeleseran tanpa batasan. Perlakuan bebas mereka buat dia terfikir, mereka ni tak ada mak ayah ke sampai berpelakuan seperti orang tak ada pegangan agama. Hmm.. Entahlah. Keluhan berat Harith lepaskan.

“Assalamualaikum,” sapaan salam menyedarkan lamunan Harith. Pantas kepalanya berpaling. Seorang wanita yang sangat anggun sedang berdiri di sebelahnya.

“Wa’alaikumussalam,” salam dijawab tapi dahinya kerut seribu. Tak tahu siapa yang sedang menegarnya itu. “Err.. siapa ni?” soal Harith.

“Tak kenal ke?” soal wanita itu. Laju Harith menggelengkan kepala. Sememangnya dia betul-betul tak kenal dengan wanita awal 60-an ini. Tanpa dipelawa, wanita itu duduk di hadapannya.

“Ingat tak peristiwa enam tahun lalu, yang berlaku di Kuala Lumpur tu. Ingat?” soal wanita itu selepas memberikan klu.

Kepala Harith ligat berfikir. Enam tahun lalu? Air mukanya tiba-tiba berubah. Peristiwa hitam dulu kembali menerjah fikiran. Pantas tangan wanita itu dia salami. Walaupun tak kenal pada awalnya tapi kerana hormat, dia tunduk juga mengucup tangan tua itu.

“Err.. maaf puan, saya tak perasan. Puan datang seorang ke?” Harith menyoal dalam tergagap-gagap.

“Hisy, apa pulak berpuan-puan. Panggil aje mama, kitakan dah jadi satu keluarga. Mama datang dengan along tapi along pergi cari barang sikit kat dalam Giant.” Ujar Puan Aini ramah sekali.

Along? Siapa along? Along mana? Hati Harith tertanya-tanya. Dia memang tak kenal sepenuhnya lagi semua ahli keluarga Puan Aini. Yang dia kenal anaknya yang mewalikan perkahwinan Harith dahulu. Yang lain dia memang tak kenal dan tak pernah tahu jika Puan Aini punya anak yang lain. Perbualan antara mereka terhenti seketika kerana datang pelayan yang menghantar pesanan ke meja Harith.

“Makan, ma.”

“Tak apa, makanlah. Mama tak lama ni,”

“Err.. pu.. mama ada hal ke datang ke Terengganu ni?” soal Harith, cuba beramah mersa dengan ‘emak mertua’. Namun, masih nampak janggal dan kekok di situ.

“Mama memang orang sini. Kampung mama tu kat Tanjung tu tapi rumah pusaka dah tak ada kat sana sebab dah lama jual. Sekarang rumah mama ada kat Chendering. Marilah ke sana.” Ajak Puan Aini. Harith hanya melorekkan senyum nipis. Tak tahu nak jawab apa.

“Mama. Eh, ada orang rupanya.” Sapaan satu suara mengejutkan Harith.
Seorang lelaki sedang berdiri dihadapan mereka kini. Wajah lelaki itu seakan pernah Harith jumpa tapi lupa di mana. Dia bangun tanda hormat dan huluran salam dari lelaki itu dia sambut jua walau hati masih berbelah-bagi. Tanda tanya besar bagai sedang terlukis di dahinya.

“Harith, tak kenal ke?” soal Puan Aini.
Harith menggelengkan kepala. Manakala lelaki di hadapannya itu sudah mengukirkan senyuman.

“Ni alonglah, Syed Yusri. Yang walikan Lys dulu.” Ujar Puan Aini.

“Oh…” panjang ‘oh’ Harith.

“Dari mana ni?” tanya Syed Yusri kepada Harith.

“Dari mahkamah tadi, ada kerja. Lepas tu singgah makan kat sini alang-alang dah masuk waktu rehat. Eh, jemputlah duduk.” Pelawa Harith berbasa-basi.

“Tak apalah. Kami tak lama ni sebab petang dah nak balik KL,” ujar Syed Yusri. “Jom, ma. Hari nampak nak hujan tu,” Syed Yusri berkata kepada mamanya. Harith hanya memerhati sahaja perlakuan dua beranak itu.

“Harith, nanti kalau datang ke KL, singgahlah rumah kami. Ini kad along,” kata Syed Yusri lagi sambil menghulurkan sekeping kad kepada Harith. Harith menyambut huluran itu dan dia menghulurkan kadnya pula.

“Telefonlah bila senang,” pesan Syed Yusri kepada Harith sebelum berlalu bersama Puan Aini. Harith hanya memandang sebelum menyambung kembali menikmati juadah yang sudah sejuk itu. Waktu rehatnya sudah tinggal hujung dan maknanya dia perlu cepat-cepat beredar dari situ.

p/s: part 2 sudah ada.. terima kasih pada yang menyukai e-novel ini..:)

Rabu, 18 Januari 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB25

TUK.. tuk.. tuk..

Ketukkan di pintu bilik mengejutkan aku yang sedang kebosanan melayan perasaan. Ada apa pulak ni?

“Apa?” malas nak bergerak, aku melaungkan saja dari dalam bilik.

“Awak nak pergi ambil kereta tak?” soalnya.

Pantas aku membuka pintu bilik. “Hah? Awak nak pergi ke?” soalku laju. Kepalaku terjengul keluar dari bilik. Aku tengok dia sudah siap berpakaian. Siap dengan berbau minyak wangi lagi. Tapikan best sangat bau dia. Khayal aku melayan bau haruman itu.

“Emm.. nak pergi tak?” mati lamunanku mendengarkan soalan dia.

“Nak! Kejap, saya nak tukar baju.” Jawabku sambil menutup pintu bilik.

Baju yang berada di dalam almari aku bawa keluar. Bukan banyak pun baju yang ada dalam beg tu. Baju T warna hijau tua, seluar jeans dan tudung ekspress sudah tersarung eok di tubuhku. Sesudah menilik diri di depan cermin, beg tangan yang berada di atas meja solek aku capai dan berlalu keluar dari bilik.

“Emm.. jomlah.” Tegurku melihatkan dia yang sedang berehat di atas sofa sambil membelek majalah yang entah tahun bila pun aku tak tahu.

Dia bangun dan aku turut ikut mengikut langkahnya. Aku perasankan di tangannya sedang memegang jaket kulit. Aku hanya tengok, malas nak tanya. Dia mengunci pintu rumah dan menyarungkan sandal ke kaki. Kemudian, dia membuka garajnya menggunakan alat kawalan jauh. Wah, canggihnya! Kecanggihan itu mengagumkan aku. Yalah, aku tak pernah dilimpahi kemewahan sebegitu.

Sambil melangkah ke garaj, dia menyarungkan jaket yang dipegang tadi ke tubuh. Aku pelik. Perasaan tertanya-tanya yang singgah di hatiku terjawab apabila dia menyorong keluar motosikal besarnya. Ya Allah! Dia nak pergi dengan motor ni ke? Hatiku dipagut perasaan bimbang. Aku mana pernah naik motor.

“Err.. awak nak pergi dengan motor ni ke?” aku bertanya. Sedangkan di dalam hati rasa nak menjerit ni. Tapi sabar Fiza, sabar.

“Hmm.. kenapa?” dia menyoal aku kembali sambil menghidupkan motosikal dari model Kawasaki Ninja ZX-6R itu. Aku tahu model motosikal tu pun sebab ada tertulis kat badan motor tu. Kalau tak, aku memang tak tahu dan tak ambil pusing model-model motosikal ni. Kalau kereta tu tahu jugak aku sikit-sikit.

Kenapa dia tanya? Huh, aku dah nak berasap ni. “Kalau naik kereta tak boleh ke?” dalam tak puas hati, aku cuba berlembut dengannya. Untung-untung dia ubah fikiran.

“Awak nak pergi ke tak? Banyak songeh betul!” Komennya dengan nada sedikit tinggi.

“Saya tak pernah naik motor, sebab tu saya tanya kalau pergi dengan kereta tak boleh ke.” Luahku terus kepada sebab musabab aku bertanya.

“Kalau nak saya hantar, pakai jaket dan helmet ni. Kalau tak nak, awak usaha pergi sendiri. Malas saya nak campur.” Sempat lagi ugut aku tu.

Di tangannya sedang menghulurkan jaket dan helmet kepadaku. Aku tak tahu nak sambut ke tidak. Tapi kalau aku tak ikut dia pergi ambil kereta hari ni, aku nak pergi butik dengan apa esok? Hatiku tertanya-tanya sendiri. Tapi si Aril ni macam dah tak sabar-sabar. Dia pulas pedal minyak hingga mengeluarkan bunyi bising. Bingit telinga aku yang mendengar.

“Okey, nampaknya awak dah buat keputusan. Jadi, pandai-pandailah awak nak ke rumah keluarga awak.” Mungkin melihatkan aku lama senyap dan tidak menyambut hulurannya, dia berkata begitu.

Melihatkan dia ingin menyimpan kembali helmet dan jaket, aku jadi gelabah. “Err… okey, okey, saya ikut.” Putusku dengan hati yang masih berbelah bahagi. Lambat-lambat aku mengambil jaket dan helmet di tangan Aril. Jaket ni pandailah aku pakai tapi helmet ni nak pakai macam mana? Aduh! Masalah, masalah!

“Err.. helmet ni nak pakai macam mana?” teragak-agak aku bertanya sambil menghulurkan helmet itu kepadanya.

“Mari sini, helmet pun tak pandai pakai.” Sempat lagi dia mengejekku. Aku tak pernah pakai, macam manalah aku tahu. Nak aje aku sembur balik tapi mengingatkan yang dia akan hantar aku ke rumah abah, aku terpaksa tahan telinga dan sabarkan diri.

Di saat dia menyarungkan helmet ke kepalaku, mata kami bertaut. Asyik sekali aku memandangnya. Sepasang mata itu, aku rasa macam pernah tengok tapi di mana dan bila? Bukan dalam masa terdekat tapi aku rasakan seperti pernah jumpa dia dulu. Mungkin bertahun dulu. Tapi siapa? Di mana?

“Okey, dah. Naiklah.” Arahannya mematikan apa yang sedang aku fikirkan.

Hah? Naik? Macam mana ni? Pijak besi ni dulu kut. Hatiku berkata-kata sendiri. Perlahan-lahan aku memijak pemijak kaki untuk naik membonceng di belakang Aril. Nak tak nak terpaksa aku memegang bahu Aril sebagai penyokong untuk aku naik dengan elok. Terketar-ketar tanganku saat tapak tenganku berpaut pada bahunya. Pertama kali pegang bahu lelaki asing dan pertama kali naik motor.

Sebaik punggungku mencecah kusyen motor, sempat dia berpesan. “Kalau tak nak jatuh, peluk okey.” Amboi, gatalnya. Tak nak aku! Aku sengaja menjarakkan dudukku.
Dalam aku masih tak bersedia dan jarak yang sedikit jauh antara aku dan dia, Aril terus memecut motosikalnya keluar dari halaman rumah. Kerana terkejut dan takut jatuh, kedua-dua belah tanganku spontan memeluk pinggang Aril. Tanpa brek, Aril terus memecut laju motornya masuk ke jalan besar. Ya Allah, dia ni bawak motor nak ke rumah abah aku ke nak masuk litar lumba?

Tak putus-putus bibirku menyebut nama Yang Maha Esa sepanjang perjalanan ke rumah abah. Paling aku kecut perut tika kami melalui Jambatan Manir kerana jambatan itu sempit dan Aril dengan selambanya mencelah dan memintas dari satu kenderaan ke satu kenderaan. Dia menunggang motor itu ibarat kami sedang berada di atas litar lumba dan bukannya di atas jalan raya.

Sepuluh minit kami di atas jalan raya melalui perjalanan yang biasanya memakan masa selama lima belas ke dua puluh minit dengan masa yang sangat singkat. Dan selama sepuluh minit itu juga aku terpaksa memeluk pinggang Aril. Sebaik Aril membelok masuk ke jalan masuk rumah abah, aku terus melepaskan pelukan kejap di pinggangnya. Aku berjanji dengan diri sendiri bahawa ini adalah pertama kali dan untuk terakhir kali aku naik motor dengan dia. Dah tak sanggup aku untuk naik lagi dengan dia.

Sampai di depan rumah abah, Aril memberhentikan motor dan mematikan enjin. Aku turun dari motor dan dia ikut turun. Aku pelik. Dia kan datang hantar aku aje, jadi buat apa dia turun jugak? Pergilah cepat-cepat. Di dalam hati aku sudah menghalau Aril supaya cepat-cepat pergi dari sini. Sementara itu, tanganku terkial-kial ingin menanggalkan helmet dari kepala. Nak pakai tak tahu, nak tanggalkan lagilah aku tak tahu.

Menyesal jugak tak belajar dulu tapi aku nak belajar dengan siapa? Seumur hidup aku tak pernah tunggang notor satu hal, kat rumah abah tu manalah ada motosikal sebelum ni satu hal. Cuma sejak Jad pandai tunggang motor dan memiliki lesen, barulah dia meminta dengan abah supaya dibelikan sebuah motosikal. Pada mulanya abah keberatan untuk membelikan motor untuk Jad tapi apabila melihatkan Jad mendapat keputusan SPM yang agak cemerlang dan berjaya mendapat tempat di UiTM Chendering, dapat juga Jad memiliki sebuah motosikal untuk memudahkan Jad ke kuliah. Walaupun abah hanya memberikan motosikal Honda EX, tapi reaksi dia macam abah berikan dia sebuah motosikal Harley Davidson! Melampau betul!

Tiba-tiba aku terasa tanganku disentuh seseorang. Habis terbang segala yang aku fikirkan. Mataku hanya memandang kepada Aril yang sedang menanggalkan helmet dari kepalaku. Tapi saat tu, mulut aku tak pulak membantah. Menurut aje. Atau lebih tepat lagi, aku tergamam.

“Ni apasal pulak jadi patung ni? Jaket tu nak saya tanggalkan sekali ke?”
Dia ni kenapa? Asyik nak menyindir aje. Aku tanggalkan jaket yang sedang membalut tubuhku dengan kasar. Mukaku masam mencuka. Jaket itu aku hempas kasar di atas motosikalnya. Aku berpaling dan menonong berjalan ke arah pintu utama rumah. Pintu itu aku ketuk perlahan sambil memberi salam.

“Wa’alaikumussalam,” kedengaran suara emak menjawab salam dari dalam rumah. Tidak sampai seminit, pintu itu terbuka dan terjengul wajah emak. Aku menyalami tangan emak.

“Dah lama ke sampai? Elok sangat kamu sampai masa ni, mak dah siap masak makan tengah hari, tunggu nak makan aje. Mari masuk,” Gembiranya emak menyambut kedatangan menantu lelakinya itu. Aku tak sedar pulak sejak bila dia mengekor aku dari belakang.
Kalau aku balik sorang tadi, mak tak akan menyambut dengan beria-ia begini. Siap pelawa makan tengah hari lagi. Kalau aku sorang tadi, nak makan, pandai-pandailah cari sendiri kat dapur. Tak adanya nak berjemput-jemput segala. Aku melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan ajakkan emak. Kakiku laju menghala ke arah bilik, melencong dari meja makan.

Pintu bilik yang sudah 3 hari aku tinggalkan aku tolak perlahan dan dikunci dari dalam. Masih tak berubah keadaan bilik tu. Masih sama seperti aku tinggal dulu. Tiada hiasan bilik pengantin seperti mana mereka yang baru bergelar raja sehari. Aku duduk di atas katil yang amat aku rindui itu. Walaupun di rumah Aril, aku diberikan sebuah katil King dan tilam yang empuk, tapi katil kecil dan tilam keras ini jugak yang aku rindu. Sudah terlalu lama aku membesar dengan suasana bilik yang sederhana ini.

Mataku asyik sekali memandang ke seluruh ruang bilik sebelum terhenti pada satu objek yang diletakkan di atas almari pakaian. Kotak yang sederhana besar tu membawa kembali fikiranku kepada peristiwa kira-kira 14 belas tahun lalu. Di dalam kotak itu banyak tersimpan kenangan antara aku dan ‘si dia’ yang sangat-sangat aku sayangi dulu. Sekarang? Entahlah.

Kakiku ringan merapati almari pakaian dan tanganku mencapai kotak itu. Kotak yang agak berat itu aku letak di atas lantai. Habuk penuh menutupi permukaan atas kotak, nampak sangat dah lama aku tak hiraukan kotak dan isi dalamnya. Aku terbersin juga sekali dua saat menyapu habuk itu sebelum perlahan-lahan penutup kotak aku buka dan terserlah isi perut kotak.

Perlahan-lahan tanganku membelek satu-persatu isi kotak yang berupa kad hari jadi, kad hari raya, bungkusan hadiah, diari dan bermacam benda lagi. Aku baru saja nak capai sekeping kad, aku dikejutkan dengan ketukan di pintu bilik.

“Siapa?” laungku dari dalam bilik.

“Saya ni. Abah suruh panggil turun makan tengah hari.” Mendatar kedengaran suara Aril.

Hah? Dia yang datang panggil aku? Macam mana dia tahu ni bilik aku? Ni mesti Jad yang beritahu ni. Nasib baik aku kunci pintu, kalau dia main redah aje tadi, tak tahu kat mana aku nak sorok muka ni jika dia terpandangkan barang-barang peribadi aku ni. Memang malu!

“Hmm.. nanti saya turunlah.” Sahutku kemudiannya.

“Tak ada nanti-nanti, awak kena turun sekarang jugak. Semua dah tunggu kat bawah tu. Cepatlah.” Gesa Aril. Amboi, suka-suki dia aje nak paksa-paksa orang. Tahulah sekarang dah ada pangkat sebagai suami aku dan hari ni dah jadi menantu kesayangan emak pulak.

“Huh!” keluhku sedikit kuat.

Kotak yang terbuka aku tutup kembali dan ditolak masuk ke bawah katil. Dengan malasnya, aku membuka juga pintu bilik dan terpacak Aril di depan pintu. Huh, tak turun lagi ke? Sibuk aje! Aku berlalu turun tanpa menghiraukan batang tubuhnya yang tegak berdiri memandangku.

Di meja makan, kelihatan emak, abah dan Jad sudah menanti. Si Jad ni tak ada kelas ke? Soalan yang muncul dibenakku mendadak dibiarkan tanpa jawapan. Aku melabuhkan punggung di atas kerusi bertentangan dengan Jad dan dia duduk di sebelahku. Eh, kerusi lain punyalah banyak kosong, kerusi ni jugak yang dia nak duduk. Huh!

“Aril, baca doa makan.” Arah abah. Alah, doa makan aje, kacang sangat!

Selepas doa makan diaminkan, aku mula mencedok nasi ke pinggan. “Eh, kamu ni. Cedokkan nasi tu ke pinggan Aril tu.” Arahan emak secara tiba-tiba tu membantutkan tangan yang sedang mencedok nasi ke pinggan sendiri.

Dalam hati memang tengah membantah dan kalau boleh aku nak sembur aje tapi disebabkan di depan aku ni ada abah dan emak, terpaksalah aku memaksa tangan mencedok nasi ke pinggan Aril. Si mamat ni apa lagi, duk tersengih aje macam kerang busuk dari tadi. Lagilah buat aku sakit hati dan panas hati. Dia ni memang sengaja nak tengok aku kena marah.

Lauk yang emak masak benar-benar membuka seleraku. Ikan siakap masak tiga rasa, sayur lemak pucuk paku, ikan buluh goreng dan sambal belacan. Fuh, terangkat! Suapan demi suapan masuk ke mulutku tanpa menghiraukan orang di sebelah yang sedang memerhati. Tengoklah kau nak tengok, bukan ada yang kurang pun.

Dua kali aku bertambah nasi dan licin pingganku. Aku tersandar kekenyangan. Teruk betul perangai anak dara ni! Heh, sikit pun aku tak kisah! Setelah perutku terasa sedikit selesa, aku bangun dambil menatang pinggan di tangan untuk dibawa ke dapur.

“Fiza, nanti kemas semua lauk-pauk ni.” emak mengeluarkan arahan waktu aku hendak masuk ke ruang dapur.

Selepas selesai mengemas meja makan dan mencuci segala pinggan-mangkuk dan periuk belanga yang ada di dalam dapur, aku terus memanjat tangga untuk ke bilik. Si Aril tu entah dah menghilang ke mana. Makin aku berlengah, makin banyak masa terbuang. Jadi, sebaik melangkah masuk ke dalam bilik, aku terus mengeluarkan pakaian-pakaian yang akan dibawa ke rumah Aril.

AKHIRNYA, siap jugak. Banyak juga barang yang aku nak angkut masuk ke rumah Aril. Sampaikan penuh tempat duduk belakang kereta Kenari tu. Senang cakap, hampir ranap jugak kereta tu. Banyak jugak baju yang aku bawa, baju pelanggan lagi. Cuma kotak yang aku buka tengah hari tadi aku tak bawa kerana aku rasa tak perlu kut bawa kotak tu. Tak penting sangat.

Dengan iringan Aril, aku bertolak ke rumahnya. Aku ni pelik sikit, aku kurang ingat jalan yang baru sekali atau dua kali dilalui. Jadi terpaksalah Aril jadi pemandu arah.

p/s: salam.. mcm mana? ok?

Selasa, 17 Januari 2012

EPISOD CINTA HarLys:BAB1(PART-1)

SELEPAS 6 TAHUN

“WEH, kau kat mana ni? Aku call dari tak ada satu pun kau angkat. Kau tengah buat apa ni?” laju pemanggil di hujung talian menyoal. Terasa bingit telinganya seketika kerana baru sahaja keluar dari mahkamah, menguruskan perbicaraan kes seorang pelanggan.

“Aku ada dalam mahkamah tadi. Kenapa kau cari aku, Mal?” soal Harith. Matahari yang semakin meninggi di atas kepala, menyengat kulitnya.

“Laa.. aku ingatkan kau ada kat pejabat. Aku ingat nak ajak kau makan tengah hari.” Jawab Akmal.

“Hmm.. kat mana?” Harith bertanya lagi. Tangannya ligat memasukkan fail dan beg kerjanya ke dalam kereta dengan sebelah tangan sementara sebelah lagi memegang telefon bimbit.

“Kat mana? Kat mana apa?” Akmal pelik. Tiba-tiba Harith tanya begitu.

“Kau nak ajak aku makan kat mana? Tadi beriya sangat ajak aku keluar makan tapi boleh pulak tanya kat mana. Apasal dengan kau ni?” macam-macam Akmal ni. Getus hati Harith.
Kunci kereta dia cucuk ke dalam suis sebelum dihidupkan.

“Kat The Chicken Rice Shop lah. Aku dah ada area sini ni.” Balas Akmal.

“Okey set. Aku dah tak jauh ni.”
Kereta Myvi hitam yang dipandu oleh Harith berlalu keluar dari perkarangan mahkamah.

HARITH melangkah longlai masuk ke dalam rumah keluarganya. Kerja di pejabat semakin bertambah dari sehari ke sehari memaksa dia pulang bila malam menjelmakan diri saban hari.

“Along, lambat balik?”

Harith berpaling. Wajah tua Haji Ahmad yang sedang duduk di atas kerusi di ruang tamu menggamit pandangannya. Senyuman lesu dia hulurkan kepada ayahnya.

“Banyak kerja, yah. Sejak akhir-akhir ni banyak betul kes penceraian yang masuk.” Beritahu Harith.

“Dah isyak ke belum ni?”

“Dah, yah. Ayah, along ke bilik dulu ya. Rasa penat sangat.”

“Hmm… baiklah.”

Harith berlalu ke biliknya. Tuala yang disangkut di belakang pintu bilik dia capai dan berlalu ke bilik air. Harith mahu membersihkan diri dahulu sebelum tidur. Begitulah rutin hariannya. Dari pagi hingga ke malam terpaksa berada di pejabat. Dunia sosial memang tak pernah ada dalam kamus hidupnya. Jika orang lain sibuk dengan Facebook dan Twitter tapi sejujurnya dia tak pernah ada akaun itu semua. Entahlah. Bagi dia, itu semua membazir saja buat kerja lagi baik dari layan benda-benda tak berfaedah begitu.

Usai mandi, Harith terus berbaring di atas katil bujangnya. Mata yang tadinya layu dan akan tertutup bila-bila masa sahaja tiba-tiba terasa keras. Rasa kantuk yang menguasai diri sejak tadi entah terbang ke mana. Semua rakan-rakan sebaya dengannya sudah pun punya keluarga sendiri. Ada yang telah punya anak sendiri. Hanya dia yang masih terumbang-ambing tanpa hala tuju. Pada umur 33 tahun, sepatutnya hidup Harith juga seperti orang lain. Punya keluarga yang saling melengkapi. Punya isteri dan anak-anak yang menyambut kepulangannya setiap kali sampai di rumah. Tapi entahlah.

Nafas dia tarik dan keluhan berat dia lepaskan. Emaknya tidak sudah-sudah menyuruh Harith berkahwin tapi semua itu dia tolak dengan alasan masih belum bersedia. Sedangkan bukan dia tak bersedia tapi dia punya satu hakikat sendiri iaitu dia telah berkahwin! Namun, hanya dia sahaja yang tahu rahsia besar itu. Seluruh keluarganya masih lagi tak tahu. Jika dia memberitahu kepada emak dan ayahnya, pasti mereka akan bertanya, siapa menantu mereka? Dan siapa yang Harith perlu bawa berjumpa dengan mereka berdua? Dia memang tak tahu di mana perempuan yang dia kahwini 6 tahun dahulu tinggal.

Sekali lagi dia melepaskan keluhan berat. Siling biliknya terus dipandang tanpa lepas. Ah, tidurlah wahai mata. Esok banyak lagi kerja yang menanti. Sudahlah perlu ke mahkamah lagi esok. Ujar hatinya. Mata terus dipejam rapat dan mahu terus terlena tanpa apa-apa gangguan.

“ALONG, hari ni balik kerja awal tak?” soal Puan Hasnah ketika Harith bersarapan di meja makan. Sarapan Harith tidaklah berat, cuma secawan teh atau kopi sahaja. Untung tau siapa dapat dia. Bab makan langsung tak cerewet. Bedal aje semua yang ada depan mata!

“Tak tahu lagi mak. Kenapa mak?” Harith menyoal emaknya kembali. Dia sudah bangun dari kerusi, mahu ke tempat kerja pula.

“Petang nanti ada kakak mak nak datang. Kamu ingat tak kakak mak yang mak cerita duduk dengan keluarga angkat tu?” dahi Harith berkerut. Kakak mak?

“Hmm.. Mak Long Ani ke mak? Kalau yang tu ingat, apa tak ingat pulak. Mereka nak datang? Mereka nak tidur kat sini ke?”

Harith masih ingat. Dulu Puan Hasnah ada bercerita tentang kakak sulungnya yang telah terpisah sejak kecil lagi kerana arwah neneknya dahulu menyerahkan Mak Long Ani kepada sebuah keluarga yang tidak punya anak. Tambahan pula, kesempitan hidup di zaman dahulu menyukarkan untuk membesarkan anak yang ramai. Segala-galanya memerlukan perbelanjaan.

“Eh, taklah. Mereka nak datang melawat saja sebab dah alang-alang datang ke Terengganu ni. Kamu boleh balik awal tak?”

“Oh, macam tu. Tak boleh nak janjilah mak sebab kerja kat pejabat tu bertimbun-timbun. Hari ni nak pergi ke mahkamah lagi.” Harith menyalami tangan emaknya. “Kalau along tak dapat balik, emak kirim salam sajalah kepada mereka. Along pergi dulu mak.” Harith meminta diri dan berlalu ke arah kereta Myvinya.

Perjalanan ke pejabat sangat lancar kerana masih awal lagi. Harith memang suka keluar awal ke tempat kerja kerana tak mahu terperangkap dalam kesesakkan lalu lintas. Sejak akhir-akhir ni, situasi jalan sesak pada waktu puncak di Terengganu, sudah menjadi satu kebiasaan. Tak ada yang peliknya sebab sudah ramai anak perantau kembali menabur bakti di bumi sendiri. Kereta dia parkir berdekatan dengan pintu masuk pejabat sebab nanti senang nak keluar. Pintu yang bertanda Tetuan Malik Ismail dan Harith itu dia tolak perlahan. Usai meletak beg kerja, dia terus membuka komputer ribanya. Sempat lagi untuk dia sambung kerja yang tertangguh semalam.

“Hei, awal kau masuk pejabat? Hari ni tak ada kes ke?” sergahan seseorang buat Harith sedikit terkejut. Malik berdiri di tepi pintu biliknya.

“Kau ni, suka betul main sergah-sergah. Biasalah aku sampai masa ni. Pukul 10.00 kejap lagi aku kena pergi mahkamah.” Jawab Harith.

“Ada kes hari ni? Kes yang mana satu?” tanya Malik lagi.

“Kes cerai mak datin tulah, tak selesai-selesai lagi. Entah bila nak selesai pun aku tak tahu. Nak mintak macam-macam tapi tak selesaikan sekaligus, sampai aku naik pening dengan dia ni. Banyak sangat kerenahnya.” Rungut Harith. Kes ni paling mencabar mindanya. Mencabar dari segi kerenah pelanggan yang buat dia bosan. Tahulah pelanggan bayar tapi dia juga seorang manusia biasa. Ada juga rasa nak marah.

“Itulah, aku dah pesan dulu. Mak datin tu memang banyak sangat fiilnya. Tapi dah kau sanggup nak handle kes dia, tanggunglah. Okeylah, aku ke pantri dulu.” Pinta Malik. Memang pun. Sebelum ni Malik dah pesan tapi dia tak ambil peduli tu semua. Baginya belum cuba belum tahu. Dan sekarang, bila dah cuba, dia rasa nak selesai cepat-cepat!
Bunyi interkom di atas mejanya berbunyi.

“Ada apa Mas?” soal Harith pada Mastura, kerani serta telefonis di pejabatnya itu.

“Encik Harith, ada call line 3. Nak saya pass masuk ke?” tanya Mastura.

“Siapa?”

“Datin Maya,”

Ceh, Datin Maya konon! Nama Salmiah aje tapi suruh orang panggil Datin Maya. Kutuk Mastura di dalam hati. Bibirnya mencebik. Mastura memang betul-betul menyampah dengan mak datin sorang ni. Dahlah mengada-ngada, kes cerai tak selesai lagi tapi ada hati nak goda Encik Harith!

“Pass aje la,” bosan Harith menjawab. Baru aje sebut, dah muncul. Panjang umur betul! Desis Harith.

“Assalamualaikum, datin. Ada apa datin call saya ni?” sehabis lembut Harith bersuara. Walau tak suka, periuk nasi kena jaga jugak.

“Wa’alaikumussalam. Ala you ni. Dah berapa kali I pesan, janganlah panggil I datin. Nampak tua pulak bila you panggil macam tu. Panggil Maya aje,” manja sekali Datin Maya bercakap.

Erk! Terasa seperti ada sesuatu terlekat di kerongkongnya. Inilah jadinya bila kubur cakap mari, rumah cakap pergi. Nampak tua? Dah memang kau tu tua, ada hati lagi nak jadi orang muda. Umur dah sebaya dengan ayah aku, ada hati lagi nak goda aku! Dengus Harith di dalam hati.

“You ada lagi ke tak ni?” soalan Datin Maya menyentakkan Harith.

“Hah? Err… ada aje ni. Ada apa yang boleh saya tolong, Maya?”

“Tak ada, I nak tanya pasal kes I tu? Macam mana dengan permintaan I dengan mahkamah tu?”

“Oh, pasal hak bahagi harta sama rata tu ke? Hari ni akan dapat tahu keputusan dengan mahkamah. Err.. Maya datang ya. Dalam pukul 10.00 nanti,” ujar Harith.

“Kalau I tak datang boleh tak? Ada hal la,” rengek Datin Maya. Terasa meremang bulu roma Harith. Geli-geleman sebenarnya. Telinga yang mendengar pun dah rasa berbulu semacam aje!

Tak ambik berat betul mak datin ni! Tapi masa dalam mahkamah barulah terhegeh-hegeh nak mintak itu, mintak ini. “Maya, hari ni awak kena pergi ke mahkamah. Kalau tidak, keputusan tidak akan dibacakan.” Sedikit keras Harith bertutur. Dia sudah malas mahu mendengar alasan demi alasan dari Datin Maya. Ini dah masuk dua kali tak ke mahkamah. Jika tak datang juga, alasan apa yang Harith boleh berikan kepada hakim?

Tanpa menunggu lama, Harith terus memutuskan perbualan selepas memberi salam. Buat kerja lagi elok dari layan mak datin tak sedar diri ni!


P/S: salam... kat atas ni bab 1(part 1) e-novel ECH... e-novel ni ada sambungan lg utk bab 1, kira2 separuh lg.. sy publish ni sbb ada yg tertanya-tanya kat fb.. so happy reading..:)

Jumaat, 13 Januari 2012

KAU YANG KUSAYANG:BAB24

KELENTANG… kelentung…

Bunyi bising yang datang dari dapur mengejutkan aku dari tidur. Mata yang masih mengantuk aku paksa supaya celik walaupun sedikit. Hanya pandangan yang masih berbalam-balam terlayar di mataku. Pagi tadi aku dah terjaga untuk menunaikan solat subuh, tapi aku sambung tidur balik lepas tu. Aku bukan apa, bangun awal pun bukannya ada kerja nak buat.

“Siapa pulak yang mengacau ni?! Tak boleh ke buat kerja tu pelan-pelan(perlahan-lahan)? Aku nak tidur pun tak senang!” Aku melepaskan geram yang terbuku di hati.
Aku nak rehat-rehat sepuas-puasnya tanpa apa-apa gangguan sementara hanya hari ni saja yang aku ada untuk berehat dari bebanan kerja. Esok aku dah masuk ke butik. Untuk perkahwinan kilat ini, aku hanya bercuti selama tiga hari. Tu pun aku tak tahulah apa yang dah jadi kat butik. Tapi bunyi bising yang masih lagi kedengaran telah mengganggu waktu-waktu rehatku yang amat-amat berharga ini.

Aku menggagahkan diri untuk bangun dengan mata yang masih lagi terpejam. Aku termanggu seketika di atas katil. Bagai orang tak betul pula. Yalah, mana tak betulnya dengan rambut yang berserabut dan muka yang sembab. Baru dua langkah diatur, tiba-tiba terlintas sesuatu di fikiranku. Laju aku melangkah ke arah beg pakaianku. Baju kelawar yang elok tersusun di dalam beg aku tarik keluar sebelum disarungkan ke tubuh.

Macam mana nak keluar kalau ketika itu tubuhku hanya tersarung seluar pendek paras peha dan baju bertali halus? Lagilah kalau terserempak dengan lelaki tu. Haih, tak sanggup aku!

Kemudian barulah aku keluar dari bilik. Mataku meliar mencari kelibat orang.

“Acik Na, buat apa tu?” sergahku kepada Acik Na.

“Hah, kau. Mak kau. Eh, Sya ni! Terkejut Acik Na,” Latah Acik Na. Dia mengurut dadanya.

Mengekek aku ketawa mendengarkan Acik Na melatah.

“Acik Na latah jugak rupanya.” Ujarku selepas reda ketawa.

“Kamu ni. Siapa tak terkejut kalau disergah begitu. Nasib baik Acik Na tak ada sakit jantung.” Balas Acik Na. Aku tersenyum melihatkan reaksi Acik Na.

“Sebab saya tahu Acik Na tak ada sakit jantunglah saya berani sergah macam tu. Acik Na duk buat apa ni?” soalku.

“Hmm.. Acik Na duk kemaskan barang-barang kat dapur ni.”

“Acik Na, tuan besar mana? Dari tadi tak nampak batang hidung. Dia dah ke pejabat ke?” mataku dari tadi terpandangkan pintu bilik Aril yang masih tak terbuka.
Pergi pejabat pada hari Sabtu? Rajinnya dia. Tapi kalau dia ke pejabat hari ni mesti sebab nak mengelak dari bertembung dengan aku. Aku mula membuat ulasan sendiri.

“Acik Na rasa dia tak ke pejabat sebab kereta dan motor dia ada aje kat garaj tu. Mungkin masih tidur lagi kut. Biasalah, hari minggukan.” Jawab Acik Na.
Pintu peti sejuk aku tarik. Isi dalam peti aku lihat satu persatu. Baru semalam kami ke pasar raya, memborong barang dapur selepas keluar makan dengan Aril semalam. Aku ingatkan dia nak bawa aku makan ke mana, alih-alih keluar makan kat warung tepi jalan aje. Makan pun masakan panas aje. Tapi okeylah daripada tak ada langsung. Lepas tu aku terus ajak dia ke pasar raya, membeli barang-barang kelengkapan dapur. Mati kebulur aku kalau dapur ni terus-terusan kosong macam semalam.

Ayam dan beberapa jenis sayur aku bawa keluar dari peti sejuk. Peti sejuk ditutup. Aku beralih ke arah kabinet, tempat penyimpanan barang-barang kering.

“Sya nak buat apa ni?” Acik Na tiba-tiba bertanya.

“Saya ingat nak masak bihun goreng. Acik Na tak masak lagi kan?” tanyaku sambil membawa keluar sepaket bihun dari kabinet.

“Tak. Acik Na memang tak masak kat sini. Tuan Aril memang tak bagi masak sebab dia takut membazir.” Jawab Acik Na.

“Oh. Habis tu selama duk kat sini, Acik Na makan apa? Lama tu kena buat kerja kat rumah ni. Kalau saya, dah lama kebulur.” Jujur aku membalas. Aku ni memang jenis macam tu. Tak cukup makan aje mesti gelisah, tak senang duduk. Itu kalau duduk kat rumahlah. Kalau duduk kat butik seharian tak makan pun tak apa.

“Soal makanan Acik Na tak kisah sangat sebab Acik Na kerja kat sini sampai tengah hari aje. Lagi pun rumah ni tak adalah semak sangat, jadi Acik Na tak letih sangat. Biasanya sebelum datang ke sini Acik Na makan dulu jadi tak adalah rasa lapar.” Terang Acik Na.

“Oh,” sahutku. Aku sedang tercari-cari besen kecil untuk merendam bihun supaya lembut dan kuali untuk menggoreng bihun nanti.

“Sya nak Acik Na tolong ke?” Acik Na menawarkan khidmat.

“Acik Na nak tolong ke? Tak susahkan Acik Na ke? Saya bukan apa, takut Aril marahkan saya. Acik Na hanya ditugaskan mengemas dan mencuci baju sahaja.” aku ragu-ragu nak minta dia tolong sebab Aril cakap tugas Acik Na hanya mengemas rumah dan mencuci baju yang kotor. Kerja masak-memasak ni bukan lingkungan kerja Acik Na.

“Eh, tak apalah. Acik Na tak kisah pun.” Ucap Acik Na. Tangannya sudah mencapai papan pemotong dan pisau pemotong daging.

“Kalau dah Acik Na cakap macam tu, saya okey aje. Err… Acik Na boleh tolong potong dulu sayur dan ayam ni, nanti saya masak. Saya nak mandi dulu.”

“Ya Allah, budak bertuah! Tak mandi lagi. Patutlah bau busuk! Dah, pergi mandi.” Acik Na ni, halau aku pulak. Tapi dia halau-halau manja aje. Aku ketawa kecil melihatkan tindak balasnya dan berlalu ke bilikku.

USAI mandi, aku terus ke dapur. Tanganku mula lincah menunjukkan kepakaran memasak. 15 minit kemudian, bihun yang digoreng sudah tersedia di atas meja makan. Hanya menanti untuk dimakan saja.

“Apa bising-bising pagi-pagi buta ni? Kacau betul orang nak tidur.” Aku yang sedang menyusun pinggan di atas meja makan tersentak mendengar suara Aril yang tiba-tiba muncul terus marah-marah.

“Assalamualaikum, Tuan Aril. Sekarang bukannya pagi buta tapi dah nak masuk tengah hari. Kalau Tuan Aril tak percaya, Tuan Aril boleh tengok jam yang tergantung elok kat ruang tamu tu. Atau jika Tuan Aril masih tak percaya, Tuan Aril boleh keluar ke halaman, tengok sama ada matahari tengah tegak kat atas kepala ke tak. Yang kami bising-bising tu sebab saya sedang masak sarapan pagi plus lunch. Saya minta maaf banyak-banyak jika bunyi bising tadi telah mengganggu Tuan Aril untuk beradu. Apa kata Tuan Aril sambung balik tidur yang terganggu tadi.” panjang lebar aku membidas amarahnya. Sinis sekali kedengarannya. Gelaran Tuan Aril tu sengaja aku tekankan. Ingat dia aje boleh nak sindir-sindir orang. Aku pun bolehlah!

Geram jugak hati aku bila dia dengan sesuka hati nak marah-marah. Weh, sebelum nak marah orang periksa dulu siapa salah, siapa yang betul! Tengah elok-elok aku nak bergembira hari ni, ada aje yang bikin aku panas hati!

Kata-kata aku tak dibalas sebaliknya dia duduk di atas kerusi, menghadap meja makan. Amboi, lepas marah-marah aku, ada hati pulak nak makan air tangan aku? Huh! Aku mendengus, melepaskan geram di dalam hati.

“Eh, apa ni? Mandi tak, apa tak tiba-tiba aje datang duduk kat sini. Busuk! Kalau nak makan, pergi mandi dulu.” Selamba badak aje aku menghalau dia. Tapi betul apa. Suka hati dia aje nak makan sebelum mandi. Aku paling pantang kalau jumpa orang begini. Silap-silap kesan air liur basi ada lagi kat pipi dia. Eii… tak senonoh!

“Okeylah, saya pergi mandi sekarang!” sedikit tinggi dia bersuara tapi akur jugak dengan arahan aku. Kemenangan berpihak kepada aku. Hahaha…

“Sya, tak baik bercakap dengan suami macam tu. Berdosa, tak cium bau syurga nanti.” Acik Na menegurku setelah kelibat Aril menghilang di balik biliknya. Betul apa yang Acik Na katakan tu tapi Acik Na tahu tak bagaimana kami boleh kahwin? Aku tak dapat menerima semua ni yang sangat mendadak bagiku.

“Acik Na tahu macam mana kami boleh kahwin?” aku menyoal Acik Na, manalah tahu kalau-kalau dia tahu tentang perkahwinanku ini. Dia menggelengkan kepala.

“Acik Na, perkahwinan ni bukan kehendak saya dan bukan juga kehendak Aril. Kami bukannya pasangan bercinta yang berjanji ingin sehidup semati ketika bercinta. Kami saling tak kenal sebelum berkahwin. Untuk pengetahuan Acik Na, sebenarnya Aril sepatutnya berkahwin dengan pilihan mamanya dua hari lepas. Tapi di saat-saat akhir, perempuan tersebut melarikan diri. Saya pulak terpaksa menerima Aril kerana saya perlu mencari seorang suami supaya adik saya dapat bertunang dengan kekasih hatinya. Itulah syarat yang abah saya tetapkan jika ingin melihat adik saya bahagia dengan pilihannya. Jadi Acik Na jangan terkejut kalau saya tak menjalankan tugas seorang isteri selayaknya.” Panjang jawapanku pada Acik Na beserta dengan penerangan sekali.

“Tapi Sya masih lagi berdosa jika terus-terusan menidakkan tanggungjawab yang satu itu. Sampai bila Sya nak abaikan semua tu?” Acik Na menyoal lagi.

“Acik Na, saya tahu saya berdosa dan saya tak nafikan tu tapi saya nak ruang untuk diri saya dahulu sebelum kami fikirkan tentang hubungan kami ni. Bagi saya, semua ni terlalu mendadak dan saya masih tak dapat terima ini semua. Dalam masa seminggu semuanya berubah. Daripada seorang diri, saya terpaksa menerima seorang lelaki asing dalam hidup saya dalam masa tak sampai seminggu. Mesti Acik Na terkejut melihat saya dan Aril tinggal bilik asing-asing walaupun kami dah sah jadi suami isteri. Saya tak ada pilihan Acik Na sebab dari semalam lagi Aril sendiri yang mulakan ketika dia suruh saya pilih bilik sendiri. Jadi, saya tak boleh nak buat apa Acik Na. Semua keputusan terletak di tangan dia.”

Acik Na terdiam dan aku juga ikut diam. Aku dan Acik Na baru aje kenal tapi kami rapat seperti anak dengan emak yang dah lama kenal. Kalaulah emak aku seperti Acik Na kan best! Ini tak, mak aku tu suka sangat sindir-sindir aku dan kuat membebel. Perkara kecil pun dia perbesar-besar sampai naik rimas aku. Tapi Acik Na lain. Cara dia bertanya sangat lembut dan beradab. Tak ada nak sindir atau sembur aku tanpa usul periksa.

“Kenapa senyap ni? Ada malaikat lalu ke?” suara Aril tiba-tiba menyapa.
Aku hanya menjelingnya sekilas. Malas nak bercakap banyak. Daripada pemerhatianku, dia hanya mengenakan sehelai baju T lusuh rona biru tua dan seluar pendek paras lutut berwarna krim. Sangat ringkas. Eh, tapi memang macam ni kan kalau orang nak duduk rumah berpakaian. Tak pernah lagi aku jumpa orang berpakaian kemas dengan menyarung kemeja, slack dan kot hanya untuk duduk di rumah. Tambah lagi untuk duduk makan di meja makan rumah sendiri.

Tanpa menjawab soalannya, aku meletakkan pinggan di hadapannya apabila melihat dia duduk di kerusi yang paling hujung. Acik Na sudah menghilang ke dapur. Bihun goreng aku sendukkan ke pinggan dia sebelum ke pingganku. Aku lihat berselera sekali dia menjamah hidangan pertamaku untuknya.

Aku ada mengajak Acik Na makan sekali bersama kami tapi dia menolak dengan alasan sudah kenyang kerana sudah makan di rumah sebelum datang ke sini. Aku turut duduk makan sarapan pagi yang sudah terlewat dari waktu yang sepatutnya.

“Err.. lepas ni awak nak keluar tak?” soalku memecah kebisuan antara kami.

“Kenapa?”

“Hantar saya ke rumah abah saya, boleh tak? Saya nak ambil kereta.” Pintaku padanya.

“Nak buat apa? Pakai ajelah kereta tu.” Selamba dia membalas.

Hah? Pakai kereta dia? Tak nak aku. Ngeri rasanya nak bawak kereta mahal dia tu. Nanti kalau aku terlanggar apa-apa susah pulak. Aku bukannya ada duit nak baiki kereta dia tu. Masa tu baru betul apa yang orang cakap, tak ada masalah cari masalah!

“Hah? Tak naklah saya. Saya nak pakai kereta saya jugak. Awak boleh hantar ke tidak?”
Aku sudah berkira-kira di dalam hati. Kalau dia tak dapat hantar, aku boleh telefon Jad. Suruh Jad datang ambil aku. Senang. Tak payah susahkan orang sebelah aku ni. Aku pun malas nak suruh dia, tadi aku tanya pun saja aje nak tengok dia nak ke tak hantar aku.

Sesudah makan, aku membawa pinggan kotor ke dapur dan mengemas meja makan. Kemudian aku berkurung di dalam bilik. Nak bercakap dengan dia tak ada topik yang sesuai pulak. Acik Na pulak dah balik semasa aku mengemas meja makan tadi. Huh! Bosannya. Nak menjahit, semua kelengkapan menjahit ada di rumah abah. Nak melayari internet, komputer ribaku pun ada di rumah abah. Takkan nak tidur, aku baru aje bangun tidur. Bosan!

p/s: salam.. dah baca bab 24 ni? mcm mna? ok x? sori ye, si sya ni memang cakap lepas skit.. huhuhuhu... n kalau tulisan x nampak, pls refresh ye smpai keluar background color pink...

Rabu, 11 Januari 2012

PROLOG NOVEL KE-3

PROLOG


HARITH melipat sejadah yang baru digunakan seketika tadi dan diletakkan di atas kerusi yang sudah sedia ada di dalam bilik hotel itu. Hotel Biru Laguna. Itulah nama hotel yang sedang dia menginap kerana perlu menghadiri kursus singkat di sini. Di bandar besar Kuala Lumpur. Pelikkan. Nama hotel sangat unik dan sedap di dengar tetapi berdiri megah di tengah-tengah bandaraya metropolitan yang sentiasa sibuk. Sibuk dengan gelagat manusia yang pelbagai.

Ding.. Dong…

Bunyi loceng mengejutkan Harith. Pantas dia berpaling. Badan yang keletihan dan niat mahu merehatkan diri di atas katil empuk itu terbantut. Hatinya sudah terasa tidak enak sebaik memandang jam tangan yang diletak di atas rak kecil di tepi katil. 1.00 pagi. Masakan room service pagi-pagi buta begini. Dia sangat pasti yang dia tidak memesan apa-apa dengan kakitangan hotel. Tapi siapa?

Ding.. Dong…

Bunyi loceng itu bergema lagi penanda di tetamu tidak sabar sekali. Dalam kegusaran di hati, dia pulas juga tombol pintu bilik. Dan berdiri di hadapannya sekarang adalah seorang perempuan seksi. Memakai baju sendat bertali halus dan seluar pendek yang hanya menutup punggung hingga ke paras paha. Melolot matanya seketika sebelum beristighfar panjang. Astaghfirullah! Godaan apakah ini ya Allah? Bisik hati kecilnya. Pantas matanya dipaling memandang ke arah pintu bilik.

“Encik, encik kena tolong saya. Ada orang gila sedang kejar saya, tolong saya encik.” Rayu perempuan itu. Suaranya saja sudah mengocak imannya. Astaghfirullahahazim. Sekali lagi bibirnya mengungkap istighfar.

“Apa yang saya boleh tolong?” Harith menyoal pada perempuan nampak kegelisahan di hadapannya kini.

Tanpa dipelawa, perempuan itu terus menapak masuk ke dalam bilik Harith. Tercengang Harith dengan tingkah selamba dan tidak beradap itu.

“Tolong tumpangkan saya seketika di dalam bilik ini. Saya janji, selepas orang gila itu tinggalkan hotel ni, saya akan beredar dari sini.” Luah perempuan itu bersungguh.
Gila! Berdua-duaan dengan seorang bukan muhrim adalah berdosa besar! Tak, dia takkan sesekali menumpangkan perempuan ini di sini!

“Maaf cik, jika itu pertolongan yang cik minta, saya tidak dapat membantu. Adalah lebih baik jika cik mencari orang lain atau ke bilik lain tapi bukan saya dan bukan di sini!” sehabis bersopan dia menuturkan kata.

“Tapi encik, tolonglah saya. Jika orang gila itu menjumpai saya, dia akan bunuh saya. Tolonglah endik, saya merayu sangat-sangat.” Rayu perempuan itu.

“Tak, tak boleh! Berdua-duaan dengan seorang wanita yang bukan muhrim adalah berdosa besar. Maaf, saya tak dapat menolong. Saya minta jasa baik cik. Tolong keluar dari bilik ni sebelum apa-apa yang tak diingini berlaku.” Pinta Harith. Dia tidak pernah dan tidak mahu bersekongkol dengan perempuan di hadapannya tika ini. Bukan dia tidak mahu menghulurkan bantuan tetapi pertolongan yang diharapkan adalah tidak kena pada masa dan tempat.

Dia sedar, di antara seorang perempuan dan lelaki pasti ada syaitan yang akan sentiasa ada untuk memporak-perandakan hidup anak Adam. Gelaran ustaz bukan tiket untuk dia lepas dari godaan syaitan laknatullah kerana ustaz itu juga manusia biasa yang punya kekurangan di mana-mana.

“Baiklah, encik. Maaf mengganggu encik.” Ujar perempuan itu lemah.

Lemah sekali perempuan itu mengatur langkah merapati pintu bilik. Tapi belum pun sempat dia menarik tombol pintu, kedengaran loceng bilik dibunyikan beserta dengan ketukan di pintu. Harith gamam. Sejak bila pintu itu tertutup? Rasanya tadi pintu itu masih terbuka luas. Matanya menikam pandang ke arah perempuan itu yang jelas terkejut. Ya Allah! Bala apa pula yang mendatang ni?

Bunyi loceng dan ketukan yang semakin membingitkan telinga masih kedengaran. Lambat-lambat Harith mengatur langkah merapati tombol pintu. Hatinya sudah berlagu tidak enak. Dengan lafaz bismillah, tombol pintu dia pulas perlahan. Wajah lima orang lelaki yang lengkap mengenakan songkok dan kopiah di atas kepala sedang berdiri tegak di hadapannya kini.

“Err.. ada apa encik semua datang ke mari?” soal Harith selepas menghulurkan salam. Dia cuba berlagak sehabis tenang yang mungkin.

“Kami menerima aduan dari seseorang yang mengatakan di dalam bilik ini sedang berlaku maksiat. Boleh kami masuk?” pinta salah seorang dari mereka.

Dengan hati yang berat, dia luaskan juga pintu bilik. Nak bersoal jawab banyak-banyak nanti dikatakan cuba mengelak pula. Lantas dia membiarkan saja mereka masuk ke dalam bilik hotel itu. Di dalam hati tidak putus-putus mengungkap nama Ilahi. Hati Harith sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku.

“Encik, perempuan ni siapa? Adik atau isteri? Boleh tunjukkan bukti?” soal lelaki yang elah bercakap dengannya tadi. Lelaki itu meminta kad pengenalan pula selepas itu. Dengan berat hati, Harith dan perempuan itu turuti jua.

“Encik, saya tak ada apa-apa hubungan dengan dia ni. Dia cuma selamatkan saya dari orang gila. Orang gila tu kejar saya tadi. Dia tak salah, saya yang salah.” Perempuan itu bersuara. Bersungguh sekali dia bertutur mahu para lelaki di hadapannya ini percaya.

Harith hanya mampu menggelengkan kepala. Mulutnya sudah terkunci rapat. Serasanya semua ini sangat berat sekali.

“Jangankan orang gila, orang waras pun sanggup kejar kalau tengok perempuan pakai macam ni!” sinis dan pedas kata-kata lelaki yang berbaju biru itu.
Perempuan yang mendengar kata-kata itu semakin berangin dan panas.

“Encik, kalau dengan lelaki macam tu, tak sanggup saya. Dengan baju Melayu dan kain pelikat, kolot betul!” herdik perempuan itu spontan. Tercengang Harith. Tadi elok saja merayu dengannya tapi sekarang sesuka hati mengherdik orang seperti dia tidak punya harga diri.

“Ah, tak payah cakap banyak. Ikut kami, cerita aje kat balai!” Arah lelaki yang berkopiah itu. Allah! Ungkap Harith antara dengar dan tidak. Wajah emak dan ayah di kampung tergambar di ruang mata. Jika semua ini sampai ke pengetahuan mereka, apa yang dia nak jawab? Seorang yang dikatakan alim, selalu ke masjid, menjadi imam surau kampung, ditangkap basah! Dalam terpaksa mereka akur walau pada mulanya perempuan itu memberontak juga.

OLEH kerana tak mahu memanjangkan kes, Harith akur dengan permintaan keluarga perempuan itu. Dengan dua kali lafaz, Harith sah menjadi suami kepada Syarifah Arlyssa Waheeda Binti Syed Zakaria berwalikan abang perempuan itu, Syed Yusri. Pejabat agama Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan(MAIWP) telah menjadi saksi dan lokasi pernikahan koboi itu. Arlyssa ditemani oleh Syed Yusri dan mamanya yang hanya memperkenalkan diri sebagai Puan Aini. Manakala Harith hanya keseorangan. Tiada saudara yang menemani dia di sini.

Usai akad nikah, Harith mahu segera berlalu dari situ kerana dia akan terbang balik ke Terengganu pada hari itu juga memandangkan tiket kapal terbang sudah ditempah dan esok dia akan bekerja seperti biasa. Tetapi langkahnya terhalang.

“Hei, you!” jeritan itu mematikan langkahnya. Dia mematungkan diri. Tiada rasa mahu berpaling dan memandang ke wajah itu.

“Mula dari hari ni, you dengan I tak ada apa-apa hubungan. Anggap saja kita tak pernah kenal. Jika you jumpa I di mana-mana, jangan tegur I. You dengan hidup you, I dengan I. Faham?!”

“Hmm…” hanya itu yang keluar dari mulut Harith. Rasanya dia dengan perempuan itu memang tak pernah ada hubungan. Perkahwinan yang baru dilalui ini hanya untuk menutup mulut orang-orang surat khabar. Dia ni anak orang besar-besar ke?

“Ada apa lagi?” malas Harith menyoal. Matanya memandang ke jam tangan yang tersarung di pergelangan tangan. Sebetulnya dia sedang mengejar masa. Kurang dari tiga jam lagi dia sepatutnya sudah terbang balik ke Terengganu.

“Nope!”

Lalu, Harith terus mengatur langkah pergi. Dia perlu sampai secepat yang mungkin di lapangan terbang. Masa semakin berlalu pergi. Tinggallah perempuan yang baru bergelar isterinya itu. Entah bila lagi mereka akan bertemu lagi, dia tak tahu.


p/s: salam.. kat atas ni adalah bab permulaan novel baru saya... pertama kali sy guna ganti nama ke-3... tajuk xde lg ni.. hehehe.. sila komen ye.. komen anda amat-amat sy alu-alukan.. tq..:)