Dangling Orange Hearts

Teman-teman mayaku

Jumaat, 24 September 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 20

Petang itu, aku awal-awal lagi berkemas untuk pulang. Eh, aku nak balik dengan apa? Aku datang tadi kan dengan Ariff. Nak balik dengan bas, dia kata kat kawasan rumah tu tak ada bas. Aduh, aku nak balik dengan apa ni? Takkan nak balik ke rumah mak kot, tapi nanti bermacam soalan yang emakku tanya. Nak jawab pulak macam mana. Tergagap jugak aku nanti.
Habis waktu kerja, aku keluar dari pejabatku. Terpacak aku keseorangan disitu. Aku tak tahu hendak ke mana. Kalau nak balik ke rumah mertuaku, aku tidak tahu hendak balik dengan apa. Sedang aku melangut di depan pejabatku, tiba-tiba datang sebuah kereta dan berhenti di hadapan pejabatku. Kereta itu sangat aku kenal begitu juga tuan empunyanya.
Aku tidak berganjak dari tempat aku berdiri itu. Mungkin orang lain. Bukannya Ariff. Itulah kata hatiku. Tetapi kemudiannya, hon kereta itu dibunyikan. Terkejut aku. Dan setelah itu, cermin kereta pula diturunkan sedikit. Terjengul muka Ariff setelah cermin itu diturunkan sedikit.
“Masuklah! Takkan nak jadi pak pacak kot kat situ.” Keras nada Ariff gunakan.
Aku memandang sekeliling. Ramai mata yang sedang memerhatikan drama antara aku dengan Ariff itu. Tanpa membuang masa, aku terus memboloskan diri masuk ke dalam kereta itu. Supaya orang-orang tidak terus memerhatikan drama swasta yang berlaku secara tidak sengaja itu.
“Kalau aku tahu macam ni jadinya, lebih baik aku tidak datang jemput kau. Tak pasal-pasal orang duk tengok aku. Menyusahkan orang betul.” Ketika di dalam kereta pula, Ariff tidak habis-habis membebel.
“Dah tahu menyusahkan, buat apa datang jemput aku.” Gumamku perlahan. Bimbang juga takut-takut didengari pula oleh Ariff.
“Apa kau kata? Cuba ulang sekali lagi!” Ariff nampaknya mendengar apa yang aku cakapkan.
“Err… Bila pulak saya cakap apa-apa. Saya tak kata apa-apa pun. Awak je yang duk bercakap dari tadi.” Gelabah jugak aku dengan pertanyaan Ariff itu.
“Aku ada dengar kau macam cakap sesuatu. Masakan pulak telinga aku tersalah dengar.” Tekannya lagi.
Aku pula mengambil langkah berdiam diri. Nanti, makin aku berdalih, makin pula dia tekan.
Ketika kereta Ariff memasuki Jambatan Sultan Mahmud, dia menghentak-hentak kedua-dua tangannya ke stereng kereta.
“Jam pulak jalan ni. Ni kau punya pasallah!” bebel Ariff lagi.
Semua benda dia nak salahkan aku. Tadi, masa di depan pejabatku, dia juga menyalahkan aku. Ni pulak ketika di dalam kereta. Dah memang sekarang ni masa orang balik kerja, memanglah jalan jam. Kalau ikutkan hati, aku nak balas balik dengan apa yang dia ucapkan kepadaku. Tetapi bila diingatkan balik, bersabar adalah lebih baik daripada membalas balik apa yang dia hamburkan kepadaku. Bila dia letih bercakap nanti, dia berhentilah tu. Itulah juga yang dipesan oleh emakku.
Kereta yang Ariff pandu bergerak sangat perlahan. Mulut dia pula tidak henti-henti membebel. Bermacam sumpah seranah yang dia hamburkan. Ketika itu juga aku terfikir, dia ni tak pernah terperangkap di dalam jam ke?
Hampir satu jam kemudian, barulah kami terlepas dari kesesakan jalan raya. Dan lima minit kemudian, kami memasuki taman perumahan mertuaku. Ariff memberhentikan kereta bila sampai di depan pintu pagar rumah itu. Enjin tidak di matikan. Kereta juga tidak maduk ke dalam garaj seperti kebiasaannya.
“Hei, tunggu apa lagi? Turunlah!” terkejut aku dengan sergahan Ariff itu.
Ketika kereta berhenti tadi, bukannya aku tidak mahu turun, tapi kebiasaannya dia akan masukkan kereta ke dalam garaj. Dan aku ingatkan dia terlajak dan mahu mengundurkan kereta. Alih-alih, aku pula yang disergah olehnya.
Akibat terkejut, aku cepat-cepat membuka pintu kereta dan keluar dari perut kereta itu. Kedua-dua kakiku baru saja menjejak tanah, kereta Ariff terus menderu laju. Macam pelesit, bawa kereta. Aku masuk melangkah ke dalam rumah. Salam aku ucapkan sebelum memasuki rumah tadi. Abah, ibu dan Farah yang berada di depan televisyen menjawab salam hampir serentak.
“Aik, Ariff mana?” Abah bertanya.
“Entahlah. Tadi lepas hantar Sa, terus dia pecut kereta. Tak tahulah pula dia kemana.”
“Hisy budak ni macam-macamlah. Marilah, join kami sekali.” Abah mempelawaku.
Aku menggelengkan kepala.
“Takpelah. Sa nak naik dulu. Nak mandi, rasa tak selesa je.” Kakiku terus dihayun ke arah bilik Ariff.
Didepan bilik, daun pintu aku buka. Huh, bersepah pakaian Ariff di dalam bilik ni. Macam tongkang pecah saja lagaknya. Dengan malasnya, aku mengutip setiap pakain yang berada di atas lantai itu. Macam ni ke dia setiap hari? Baju, seluar dan tuala bersepah di atas lantai. Ikut suka hati dia je sepah-sepahkan. Aku juga yang kena kemas. Dahlah penat balik dari kerja. Sampai di rumah berdepan pula dengan keadaan seperti ini. Tak sanggup rasanya untuk aku menghadapi semua ini.
Semua pakaian Ariff aku kumpulkan di dalam bakul pakaian kotor. Cuma tualanya saja aku sangkut di penyidai. Selesai mengemas pakaian yang berterabur itu, aku merebahkan badan di atas katil. Menyedari Ariff tiada di rumah, aku apa lagi, ambik kesempatanlah. Kalau dia ada memang aku tidak berpeluang untuk berbaring seperti itu.
Pertama kali aku merebahkan badanku di atas katil itu. Empuk sekali tilam ini aku rasakan. Katilnya pun luas. Mungkin saiznya King. Berbeza sekali dengan tilam dan katil di dalam bilikku di rumah kedua orang tuaku. Yalah, mana tak berbezanya. Orang miskin macam aku mana mampu beli tilam dan katil mahal sebegini. Lainlah anak orang kaya seperti Ariff. Bertuahnya dia.
Sedang aku asyik merasai nikmatnya berbaring di atas katil itu, kedengaran azan maghrib berkumandang. Aku menunggu hingga azan habis berkumandang dan sambil itu aku menjawab azan itu. Habis menjawab azan, aku menadah doa pula, doa jawab azan. Dengan malasnya aku bangun menuju beg pakaianku. Ini satu lagi masalah. Aku tak tahu nak letak di mana pakaianku ini. Jika aku letak di dalam almari yang sama dengan Ariff, aku bimbang akan di buangnya pakaianku itu. Penerimaannya terhadapku sudah dapat aku baca. Dia masih tidak berubah. Dia menjemputku mungkin kerana telah diugut oleh abah. Siapa tahu.
Jadi, buat sementara waktu, pakaianku masih lagi tersimpan di dalam begku. Aku mengeluarkan jubah mandi dari perut begku. Terus aku berlalu ke arah bilik mandi. Buat waktu ini, aku bolehlah berlagak yang bilik ini aku yang punya! Ariff kan takde…. Hehehehe…
Selesai mandi aku menbungkus rambutku dengan tuala. Sementara itu, jubah mandi masih melekat di tubuhku. Biarlah, malas aku nak tukar. Sejadah aku bentangkan dan telekung aku sarungkan. Tidak lama kemudian, aku mengangkat takbir.
Selesai menunaikan solat maghrib, aku mencapai Al-Quran yang berada di atas kecil di tepi katil. Mungkin milik Ariff. Sementara menunggu masuknya waktu solat isya’, Surah Yassin aku buka, lalu membacanya. Ketika hampir habis aku membaca surah Yassin, azan isya’ pula berkumandang. Aku menyudahkan bacaanku. Selesai membaca Al-Quran, aku terus menunaikan solat isya’.
Solat empat rakaat itu aku tunaikan begitu khusyuk sekali. Selesai menunaikan solat isya’, aku menunaikan solat sunat dua rakaat pula. Aku berdoa panjang bila selesai menunaikan kedua-dua solat itu.
Aku sedang melipat telekung bila terdengar pintu bilik yang aku diami itu diketuk dari luar. Sapa pulak lah ni…
“Kak Sarah, ibu panggil turun makan.” Terdengar suara Farah bersuara.
“Baiklah. Nanti akak turun.” Jawabku.
“Okey.” Balasnya.
Aku jadi malu pula bila ibu yang menyediakan masakan dan memanggil aku turun makan lagi. Sepatutnya aku sebagai menantu di rumah ini yang membantu ibu menyediakan makan malam. Dan bukannya berkurung begini. Tanpa berfikir panjang, aku menyalin pakaian. Baju tidur yang menutupi aurat menjadi pilihanku. Lalu tudung juga aku sarungkan ke kepala. Yalah, nanti semua isi rumah berkumpul dan aurat perlu dijaga.
Setelah siap berpakaian, aku menuruni tangga. Dari tangga, sudah kedengaran suara ruih-rendah di dapur. Meriahnya keluarga ni.
“Ha, akak dah turun pun. Jom lah ke depan,” ajak Farah sebelum berlalu ke meja makan.
“Takpe, Farah pergilah dulu.” jawabku.
“Bu, maafkan Sarah bu. Sepatutnya Sarah tolong ibu kat dapur ni tapi balik je kerja terus berkurung. Ni ibu pulak yang kena masak untuk Sarah. Sarah rasa tak layak pula bergelar menantu ibu.” Kata-kataku beralih pula kepada ibu.
“Hisy, kenapa pulak cakap macam tu? Sarah kan penat. Baru balik kerja. Ibu tak rasa apa-apa pun. Emm, Sarah nak tolong ibu kan? Sarah bawa dulang yang ada air tu ke depan, boleh?” ibu seperti tidak kisah pun dengan keadaanku. Dia siap faham lagi dengan tugasanku.
“Okey, bos.” Jawabku sambil tertawa kecil. Ibu juga tertawa. Aku lihat ibu lebih kurang sama dengan emakku sendiri.
Aku menatang dulang berisi air bandung itu ke meja makan. Pada ketika itulah abah baru saja sampai di meja makan.
“Jun, ramainya pembantu awak. Saya dah gajikan dua orang dan yang tak bergaji dulunya seorang saja tapi dah bertambah jadi dua. Bertuahlah awak, ringan sikit beban awak. Tak perlu lagi merungut.” Abah bersuara sambil tersenyum.
“Yelah tu, abang.” Ibu bersuara sambil membawa semangkuk nasi.
“Dah lah tu, jom kita makan.” Farah mencelah.
“Eh,eh. Lupalah tu. Sebelum makan kita kena buat apa?” abah bertanya. Mukanya sengaja diseriuskan.
“Err… kena baca doa makan,” Farah menjawab tergagap-gagap.
“Ha, dah tu cepatlah baca.” Gesa abah. Ketawaku hampir-hampir terburai. Yalah, siapa tak nak ketawa bila melihat muka abah yang sengaja di seriuskan dan muka Farah terkulat-kulat.
Kami menadah tangan serentak. Farah mula membaca doa. Selesai doa dibaca, kami memulakan makan malam. Berselera sekali aku lihat abah menjamu selera. Mungkin lauk-pauk malam ni kena dengan seleranya. Masakan malam itu juga sedap sungguh. Ia terdiri daripada gulai lemak ikan tenggiri, sambal petai dan udang, ayam goreng dan kangkung goreng belacan. Pandai ibu menyediakan masakan tersebut.
Abah sampai bertambah nasi. Aku pula hanya makan sekali saja. Itupun hanya dua senduk nasi saja dan tak habis sikit. Aku rasa tak berselera saja.
“Kenapa makan sikit sangat nasi tu, Sarah?” ibu bertanya. Mungkin dia melihatkan aku hanya makan sedikit saja.
“Dah kenyanglah, bu. Best tengok abah makan nasi sampai bertambah.” Jawabku.
“Abah memang macam tu. Makan tak ingat dunia. Apa yang ibu masak, semua dia bedal.” Kata ibu sambil tersenyum.
Aku mengangkat pinggan yang digunakan sebentar tadi ke dapur. Lalu dibasuh pinggan itu. Aku ke ruang makan semula. Abah sudah tiada di situ. Manakala ibu pula sedang mengumpulkan pinggan dan gelas yang sudah digunakan tadi. Farah pula membawa semua lauk-pauk yang tidak habis ke dapur. Aku mengambil pinggan dan gelas lalu dibawa ke dapur.
“Sarah nak bawak ke mana pinggan dan gelas kotor tu?” ibu bertanya.
“Nak bawak ke dapur la. Sarah nak basuh semua-semua ni.”
“Takpe ke?”
“Takpe lah, bu. Sikit je ni. Sarah dah biasa buat.” Aku berlalu ke dapur dan membasuh semua pinggan dan gelas kotor itu.
Selesai membasuh, aku ke depan. Ibu dan abah sedang bersantai di halaman rumah. Mungkin tengah mengambil angin malam. Romantik betul mereka berdua tu walaupun dah tua-tua. Farah pula sedang menonton televisyen. Aku menghampiri Farah.
“Cerita apa yang best sangat tu?” aku bertanya kepada Farah.
“Tengah tengok cerita Puteri Salju ni.”
“Takde kerja sekolah ke?”
“Ada tapi dah siap dah. Err… tapikan ada satu soalan matematik moden yang Farah tak boleh buat. Akak boleh tolong tak?”
“Oh, matematik moden. Kacang je tu. Mana soalannya?”
“Jap. Farah pergi ambik.” Farah berlalu ke biliknya
Aku menyambung kembali menonton televisyen. Jahat betul lakonan Sabrina tu sebagai Zarina, ibu tiri kepada Puteri. Sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan kekayaan.
“Nah, ini soalannya.” Farah menghulurkan buku latihannya. Tersentak aku yang sedang khusyuk menonton televisyen.
Aku melihat-lihat soalan yang Farah hulur.
“Oh, soalan ni senang je. Soalan ni Farah kena tahu mana satu subset, persilangan, kesatuan dan set pelengkap. Macam soalan ni Farah kena cari persilangan yang berlaku antara set A dan set B. Jadi, kita cuma senaraikan semua nombor yang bersilang sahaja. Faham?” aku menerangkan kepada Farah.
“Macam mana pula dengan kesatuan dan set pelengkap?” aku dapat rasakan yang Farah masih samar-samar lagi.
“Kesatuan adalah kita kena senaraikan semua set A dan set B. Manakala set pelengkap pula ialah bukan kedua-dua set. Atau dengan kata mudah bukan nombor-nombor yang yang berada di dalam kedua-dua lingkaran. Okey, dah faham ke belum?”
Kepala Farah terangguk-angguk. Menandakan yang dia sudah faham. Dalam pada itu, ibu dan abah melangkah masuk ke dalam rumah.
“Farah, tak siap lagi ke kerja sekolah?” abah bertanya.
“Sikit lagi tak faham. Farah tanyalah dekat Kak Sarah. Sekarang barulah faham. Tak sangka pula Kak Sarah pandai juga ya.”
“Eh, takdelah pandai sangat. Sikit-sikit tu boleh la.” Aku menyampuk, memperbetulkan tanggapan Farah.
“Dah siap nanti terus tidur, ya. Esok payah pula nak bangun tidur. Kamu tu bukan ibu tak tahu. Bukan main liat lagi nak bangun tidur.” Pesan ibu.
“Yalah, ibu, abah.” Jawab Farah, dengan nada bergurau.
“Okeylah, selamat malam. Assalamualaikum.” Abah mengucapkan salam dan selamat malam. Aku menjawab salam itu di dalam hati.
“Farah dah siap ke belum? Ada soalan lain yang Farah nak tanya? Akak nak naik tidur pulak, esok nak kerja.”
“Dah takde rasanya. Kalau ada yang tak faham, boleh la Farah tanya akak, kan?”
“Yalah, mana yang akak pandai, boleh la akak ajar. Kalau Farah tanya pasal di luar pengetahuan akak, tak dapatlah akak nak tolong. Akak naik dulu, ya.”
“Okey, selamat malam. Assalamualaikum.” Aku menjawab perlahan salam itu sebelum berlalu ke tangga rumah.
Didalam bilik, punggungku dilabuhkan di atas sofa yang telah menjadi tempat tidurku sejak semalam. Aku termenung seketika. Teringatkan emak dan ayah di rumah sana. Jika dulu riuh rumah tu dengan gelagat aku dan ucu. Tapi setelah ucu ke Sekolah Integrasi Lembah Bidong, rumah itu hilang sedikit keceriaan rumah itu. Dan sekarang, aku pula tinggalkan rumah itu. Makin suramlah keadaan di sana.
Bagaimanalah khabar mereka sekarang ni, ya? Aku menguap kerana mengantuk. Tanganku menutup mulut daripada terus menguap. Jam belum pun menunjukkan pukul 11.00 malam, tapi aku sudah mengantuk. Kalau di rumah sana, sekarang ni mataku masih lagi keras. Tak terasa mengantuk langsung. Mungkin aku kebosanan di rumah ni. Tak tahu nak buat apa.
Akibat terlalu kerap sangat menguap. Aku akhirnya terlena dengan sendirinya.

p/s:salam... sy x sangka yg blog sy ni ade follower... dh lme x buka sbb 2 xthu... hehehe.. ape2 pun thanks yg tlh mnjd follower blog ini....

Kalau Sudah Sayang : BAB 19

Jam loceng di telefonku berbunyi telah mengejutkan aku dari tidur. Terpisat-pisat aku bangun dari pembaringan. Tanganku ligat menggosok-gosok mata. Jam loceng di matikan. Terpapar di skrin telefon jam sudah menginjak ke angka 6.00 pagi. Perlahan-lahan aku bangun dari sofa dan berjalan ke arah beg pakaianku. Aku mengambil tuala dan baju yang akan aku sarungkan nanti. Setelah itu mataku melilau-lilau mencari bilik mandi.
Ternampak aku sebuah pintu yang aku pasti pintu itu bukan pintu bilik. Aku melangkah ke arah pintu tersebut. Pintu itu aku tolak. Telahanku benar. Memang pintu itu adalah pintu bilik mandi. Setelah menekan suis lampu, aku masuk ke dalam bilik mandi. Baju yang akan aku pakai nanti aku angkut sekali masuk ke dalam bilik mandi. Tak mungkin aku akan pakai baju di dalam bilik ini.
Selesai membersihkan badan, aku membentang sejadah. Solat subuh mula aku tunaikan. Seusai menunaikan solat dua rakaat itu, aku menadah doa kehadrat Ilahi agar sepanjang aku hidup di dunia ini diberkatiNYA. Aku juga meminta di ampunkan segala dosaku, dosa kedua ibu bapaku dan juga dosa suamiku itu. Selesai berdoa, aku mengaminkan doa dan meraupkan tanganku ke muka.
Telekung sembahyang aku dibuka dan lipat. Aku lihat Ariff masih enak lagi dibuai lena. Tak solat ke dia ni? Aku tertanya-tanya di dalam hati. Kakiku ringan saja berlalu ke arah katil tempat Ariff tidur dengan niat ingin mengejutkan dia.
“Ariff, Ariff. Bangunlah. Awak tak solat lagi. Waktu dah nak habis ni.” Aku cuba mengejutkan Ariff. Tapi sedikit pun tubuh itu tidak bergerak.
“Ariff, Ariff. Bangunlah.” Aku kejutkan dia sekali lagi. Kali ini dia bergerak sedikit. Matanya dibuka.
“Ada apa? Kacau betul orang nak tidur.” Terus dimarahnya aku. Lantang sungguh suara yang dikeluarkan kepadaku. Tercengang aku disitu. Bermula hari itu, aku tidak berani lagi mengejutkannya. Itu janjiku di dalam hati!
Tanpa perlu menunggu lama, aku terus berlalu ke arah sofa yang menjadi tempat pembaringanku sejak semalam. Kulihat jam dipergelangan tanganku sudah menunjukkan pukul tujuh pagi. Aku perlu bersiap ke tempat kerja. Memang sekarang masa masih awal untuk ke tempat kerja tapi aku perlu bersiap awal kerana aku bukannya berada di rumah emak dan ayahku sekarang ini. Aku sekarang berada dirumah orang mertuaku.
Aduh, rambutku masih basah. Aku mengeringkan rambutku dengan tuala kecil. Setelah rambutku kering sedikit, skaf kepala aku sarungkan ke kepala. Biarlah lembab sedikit rambutku, malas aku nak keringkannya lagi. Setelah itu, bedak muka aku oleskan ke muka. Tanganku mencapai pelembab bibir pula dan disapu ke bibirku.
Aku mencapai tudung kepala pula. Tudung yang warna senada dengan baju kurung yang aku pakai ini aku pilih. Aku langsung tiada mood untuk bergaya hari ini. Tudung di kepalaku hanya aku silangkan saja. Simple saja gayaku. Sebelum aku lupa, handbagku yang berada di tepi beg pakaianku, aku capai.
Aku turun ke tingkat bawah rumah banglo itu. Dilihat ibu sedang sibuk di dapur. Aku melilau memerhatikan ruang rehat. Tiada orang pun. Mungkin isi rumah ini sudah keluar atau masih lagi dibuai tidur. Aku mendapatkan ibu yang berada di dapur.
“Bu, orang kat dalam rumah ni ke mana?”
“Oh, abah dah ke tempat kerja. Farah pulak dah ke sekolah. Emm, Ariff dah bangun?” aku serba salah nak jawab macam mana.
“Err… tidur lagi, bu.” Aku menjawab perlahan.
“La… budak bertuah ni!” ibu mula merungut. Sedangkan tangannya ligat membuat rempah sendiri.
“Habis, Sarah nak pergi kerja macam mana hari ni?” pertanyaan yang diajukan oleh ibu itulah yang aku asyik fikirkan.
Macam mana aku nak pergi kerja hari ni? Aku tak tahu selok belok kawasan ni. Macam mana ni? Biasanya kan ke aku pergi kerja dengan motorsikal Honda EX kesayanganku. Tapi semalam Arifff telah pergi jemput aku dari rumah kedua ibu bapaku. Susahlah kalau macam ni.
“Entahlah, bu.”
“Takpelah,bu. Sarah pergi kerja dulu. Nanti lewat pula nak sampai.” Aku menambah bila melihat jam sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi.
“Eh, Sarah tunggu sekejap. Ibu pergi kejutkan dia sekejap.” Ibu berkata sebelum berlalu mendaki tangga rumah.
Takkan aku nak suruh dia hantar pulak. Tadi dahlah kena marah. Baik aku cuba ikhtiar sendiri. Aku berlalu ke arah pintu utama. Sandal milikku disarungkan ke kaki. Dan aku memulakan langkah kaki perlahan-lahan menyusuri kawasan perumahan elit itu.
Aku tidak tahu arah mana yang patut aku tuju. Aku berjalan hanya mengikut pergerakan kaki. Lebih kurang tiga puluh minit berjalan, aku mendengar ada sebuah kereta memberi hon kepadaku. Pada mulanya aku tidak menghiraukan langsung bunyi hon itu. Telahanku mungkin budak-budak nakal yang ingin mengusik gadis yang berjalan sendirian.
Pin… pin… pin… pin…
Bila bunyi hon itu bertalu-talu lagi hinggakan membingitkan telingaku, aku berpaling. Ingin melihat siapa yang punya angkara.
Kelihatan kereta Subaru Impreza yang cukup-cukup aku kenal. Tapi aku langsung tidak menghiraukan pemandu tersebut. Sebaliknya aku menyambung langkahku semula. Semakin jauh aku berjalan, semakin bertalu-talu pula bunyi hon kereta itu. Huh, nak apa lagi dia ni? Dahlah pagi-pagi tadi aku dah kena sembur.
Akhirnya pemandu kereta itu memintas jalanku. Barangkali sudah bosan membunyikan hon sehingga dapat meraih perhatian penduduk setempat.
Sedikit pun aku tidak terkejut. Dia menurunkan tingkap hadapan sebelah penumpang. Lalu dia bersuara, sedikit keras.
“Masuklah! Kau nak berjalan sampai ke mana? Sini mana ada bas yang lalu.”
Sedikit pun aku tidak hiraukannya. Aku hanya memeluk tubuh dan mematungkan diri.
Bila melihatkan aku masih tidak berganjak, dia berkata lagi.
“Kau nak masuk ke tak nak? Takpelah kalau tak nak masuk, jangan panggil aku bila ada orang ganggu kau. Kawasan ni ramai kutu jalanan yang suka kacau anak dara orang. Okeylah, bye.” Ariff menggertakku.
Entah kenapa, bila mendengar kata yang diucapkan oleh Ariff itu, akuj adi takut pula. Takut dengan gangguan jalanan yang terdapat di kawasan perumahan itu. Aku tanpa berfikir panjang terus masuk ke dalam perut kereta itu.
Dan kereta itu menderu dipandu laju. Dari ekor mataku dapat melihat yang Ariff sedang senyum sinis kearahku. Mungkin meraikan kemenangannya menakutkan aku. Perjalanan ke tempat kerjaku tidak terisi dengan butir-butir percakapan. Sunyi sepi keadaan di dalam kereta itu.
Tahu ke dia dengan tempat kerjaku? Entah kemana dia nak hantar aku aku pun tak tahu. Oh, lupa pula aku. Kan ke dia pernah makan di Restoran Nasi Kerabu yang terletak berdekatan dengan pejabatku. Jadi dia memang tahu lokasi tempat kerjaku.
Tepat pukul 8.47 pagi, Subaru Impreza itu sampai di depan pejabatku. Tanpa menunggu lama, aku lalu memboloskan diri dari perut kereta itu. Tanpa salam untuk Ariff. Biarlah, dia pun bukannya mengaku yang aku ini isterinya. Sebelum aku melangkah masuk ke dalam pejabatku, aku mendengar deruman enjin kereta mewah sport itu berlalu.
Aku melangkah memasuki pejabat. Semasa keluar dari kereta tadi, aku tidak nampak pun walau seorang pun teman sekerjaku. Tetapi sebaik saja aku melangkah masuk ke dalam pejabat, terdengarlah suara-suara sumbang mengusik.
“Hai, ade orang tu datang kerja hari ni siap pakai driver lagi. Huh, driver dia pakai kereta bukan sebarangan. Subaru Impreza lagi. Bertuahnya badan.” Zain memulakan usikan.
“Motor kau kenapa? Rosak ke sampaikan pakai driver hari ni?” Syam, si budak yang baru memulakan tugas di pejabatku pula menambah.
Aku tidak menghiraukan langsung setiap usikan yang dihamburkan oleh teman-teman sepejabatku. Aku hanya menyambung tugasku yang sudah sedia ada di atas mejanya.

Huh, bosan betul dengan suruhan abah tu. Kena jugak aku pergi jemput perempuan tu. Ketika aku sampai di rumahnya tadi, dia tidak ada. Emaknya berkata dia masih lagi ditempat kerja. Dalam rancanganku, sepatutnya aku singgah di rumah perempuan itu sekejap saja. Tapi disebabkan dia pula tak ada, terpaksalah aku menunggu. Ariff Zulkarnain meluahkan rasa.
Dahlah perempuan itu tiada, dia diajak pula oleh ayah mertuanya ke masjid. Bersolat berjemaah di masjid katanya. Pada mulanya gelisah juga dia dengan ajakkan ayah mertuanya itu. Tapi bila difikir balik, dia tiada tempat untuk melarikan diri, dia terpaksa akur juga dengan ajakkan ayah mertuanya itu.
Bila Ariff Zulkarnain fikir-fikir kembali, nasib baik ayah mertuanya hanya mengajaknya ke masjid. Kalau diajaknya berjemaah sekali di rumah iru, tak ke mati dia. Lebih parah jika dia disuruh menjadi imam. Tak dapat dibayangkan macam manalah keadaannya ketika itu.
Ariff Zulkarnain meminta diri dulu untuk berlalu ke biliknya. Tiada hati dia hendak mendengar perbualan ibu dan abahnya dengan menantu kesayangannya mereka itu. Dibiarnya perempuan itu terkontang-kating keseorangan. Ah, lantak dialah. Malas aku nak layan dia. Aku buat balik dia ke sini pun dah kira nasib baik. Tugas melyan perempuan tu terserahlah kepada ibu dan abah. Ariff Zulkarnain berkata-kata di dalam hatinya.
Di dalam bilik, mata Ariff Zulkarnain tidak mahu melelapkan mata. Puas dia berpusing ke kanan dan ke kiri. Masih juga tidak dapat melelapkan mata. Yalah, matanya mana nak tidur kerana dia merasakan masa masih awal. Biasanya sekarang ini dia masih lagi sedang berlibur dengan teman-temannya termasuklah Hani. Pada jam sedang menginjak ke pukul 12.00 tengahmalam, dia tidak betah untuk lena. Waktu tidurnya biasanya pada pukul 2.00 atau 3.00 pagi!
Matanya merenung siling, memikirkan apa kebaikan perempuan tu. Rasanya langsung takde! Sedang dia termenung, dia terdengar suara Farah yang dilaungkan dari tingkat bawah. Perempuan tu dah nak masuk ke dalam bilik aku ke? Aku kena tidur sebilik dengan dia ke? Aduh, macam mana nak buat ni.. Ariff Zulkarnain mula menggelabah.
Akhirnya dia mengambil langkah untuk berpura-pura tidur. Dia mendengar pintu bilik dibuka dari luar oleh perempuan tu. Dalam samar-samar cahaya, dia dapat melihat semua pergerakan yang dilakukan oleh perempuan itu. Dari perempuan itu sedang berfikir-fikir hinggalah perempuan itu membaringkan tubuhnya di atas sofa yang berada di dalam biliknya itu. Setiap pergerakan perempuan itu diperhatinya.
Setelah dilihatnya perempuan itu terbuai dalam mimpinya, Ariff Zulkarnain melangkah menghampiri sofa tempat pembaringan perempuan itu. Diperhatinya wajah yang tenang itu. Ada ke tidur pakai tudung begitu? Tiba-tiba terlintas soalan itu di dalam benaknya.
Ariff Zulkarnain tunduk sedikit untuk memerhati muka itu dengan lebih dekat. Cantik juga dia ni. Patutlah ibu dan abah berkenan untuk menjadikan perempuan itu sebagai menantu mereka. Tapi cantik lagi Haninya! Getus hati kecil Ariff Zulkarnain.
Cukup tenang dia tidur. Aturan nafas juga teratur. Seperti orang yang langsung tidak mempunyai masalah. Cemburu aku dibuatnya.
Seketika kemudian ringan saja tangannya untuk menyentuh wajah itu. Tangannya hampir mengenai wajah perempuan itu. Tiba-tiba pergerakan tangannya terhenti bila mendengar satu suara.
‘Kau tak boleh sentuh dia!’ dan satu suara lagi berbunyi.
‘Kenapa pulak aku tak boleh menyentuh dia? Bukan ke dia ini isteriku. Jadi tidak salah bagiku untuk menyentuhnya.’
‘Apa kau kata? Isteri? Kau pernah mengatakan yang kau tak mengaku dia tu isteri kamu dan sekarang kau kata dia ni isteri kau! Hei mana pergi kata-kata yang pernah kau ucap dulu?’
Terus Ariff Zulkarnain menarik kembali tangannya. Tidak sempat pun dia menyentuh wajah itu. Dia kembali semula ke arah katilnya. Dia duduk di atas katil itu dan meraup mukanya dengan kedua belah tangannya. Kecewa kerana tidak dapat menyentuh wajah itu disebabkan larangan oleh satu suara. Dia membaringkan tubuhnya semula di atas katil. Ketika matanya asyik menadah siling, dia tidak sedar pukul berapa dia terlena.
Pagi itu, terkejut dia bila mendengar ada suara memanggilnya. Siapa pulak yang memanggilnya yang sedang asyik tidur ni. Nak kata Farah bukan kerana Farah tidak pernah masuk ke dalam bilik ini. Ibunya juga begitu. Kalau abah, mustahil kerana suara ini adalah suara perempuan. Syira pula sudah kembali ke universiti yang telah membuka semester baru.
“Ada apa? Kacau betul orang nak tidur.” Terus dihamburkan amarah kepada perempuan yang sedang mengejutkannya itu. Semasa itu matanya masih lagi terpejam. Jadi, dia tidak dapat mengetahui siapakah gerangan yang mengejutkannya itu.
Bila tubuh itu berlalu setapak dua, barulah dia mencelikkan sedikit matanya. Sekarang barulah dia nampak susuk tubuh perempuan itu. Dia ke yang kejutkan aku? Sungguh aku tidak tahu dia yang mengejutkan aku. Ariff Zulkarnain berkata-kata di dalam hati.
Dia melihat segala kelakuan yang di lakukan oleh perempuan itu. Dari dia mengeringkan rambutnya, menyapukan bedak muka ke mukanya hinggalah dia siap memakai tudung di kepala. Cantik juga dia ni. Pertama kali aku melihat auratnya. Semua auratnya ditutup. Tetapi aku sempatlah melihat rambutnya. Hanya itu aurat yang dia tunjukkan untuk aku lihat. Rumus Ariff Zulkarnain di dalam hati.
Bila perempuan itu berlalu keluar dari bilik, Ariff Zulkarnain berhajat menyambung kembali tidurnya. Tetapi baru saja matanya hendak terlelap, pintu biliknya pula diketuk orang.
“Huh, siapa pula yang kacau aku pulak ni?” Dengus Ariff Zulkarnain.
“Siapa tu?” tanyanya.
“Ibu ni. Buka pintu ni, Riff.” Suara di luar menjawab.
Ariff Zulkarnain bangun malas dari katil dan bergerak ke arah pintu biliknya.
Dia membuka pintu biliknya sedikit. Dengan mata masih mengantuk, dia bertanya ibunya.
“Ada apa, bu?”
“Kamu tak bangun lagi ke?”
“Dah bangunlah ni.”
“Dah, dah. Pergi mandi. Lepas tu kamu pergi hantar Sarah ke tempat kerja. Dia dah tunggu kat bawah tu.”
“Kenapa pulak Ariff yang kena hantar dia? Diakan pergi kerja sendiri.”
“Eh, budak bertuah ni! Kamukan pergi jemput dia kelmarin. Dia mana ada bawa motor dia. Jadi kamu pergilah hantar dia. Kawasan nikan mana ada bas. Pergilah hantar dia. Kesian dia. Dia dah tunggu kat bawah tu.”
“Yalah, yalah.” Memang mulutnya mengikut apa yang ibunya suruh tetapi di dalam hati macam-macam yang dia sumpah seranah.
Huh, menyusahkan aku betul. Tak menyusahkan tak boleh ke. Itulah apa yang di sumpahnya di dalam hati. Dengan berat hati dia berlalu juga ke bilik mandi. Selesai mandi, dia bersiap ala kadar. Dia menyarungkan seluar pendek bermuda dan baju t-shirt lengan pendek. Selesai bersiap, dia turun ke bawah. Dari sedang menuruni tangga lagi matanya melilau mencari kelibat perempuan itu. Tetapi tak nampak pula.
“Bu, mana dianya?” dia bertanya kepada ibunya.
“Dia dah pergi. Ibu rasa dia dah berjalan slow-slow. Rasanya dia berjalan tak jauh lagi tu. Kamu pergilah menyusul cari dia.”
Pulak dah! Tadi ibu kata dia ada tunggu kat bawah. Ni pula ibu kata dia jalan sendiri pula. Menyusahkan orang betul. Ariff Zulkarnain melepaskan geram di dalam hati. Kemas kunci kereta dia genggam di dalam tapak tangannya. Terus dia mendapatkan keretanya yang terparkir di dalam garaj.
Dia menyusuri perlahan-lahan jalan di kawasan perumahan itu. Matanya liar mencari kelibat perempuan itu. Setelah lima minit di atas jalan, dia akhirnya nampak kelibat perempuan yang dia cari itu. Sedang berjalan perlahan-lahan di tepi jalan.
“Hisy, perempuan ni menyusahkan orang betul.” Entah kali keberapa dia merungut ayat yang sama.
Hon dia tekan bertalu-talu. Eh, perempuan ni. Buat dek je dia. Ni yang buat aku geram ni. Dia menahan geram. Hon dia tekan lagi. Tak hiraukan juga perempuan ni. Akibat terlalu geram, dia memintas perjalanan perempuan itu. Cermin hadapan di sebelah penumpang dia turunkan sedikit.
Awalnya perempuan tu tak mahu naik kereta dia. Tapi baru dia gertak sikit, terus jadi takut. Cepat-cepat perempuan tu masuk ke dalam kereta dia. Dalam diam, bibirnya melakarkan senyuman sinis terhadap perempuan tu. Tahu pulak dia ni takut. Aku ingatkan berani sangat tadi. Ariff Zulkarnain mengata di dalam hati.
Sepanjang perjalanan menghantar perempuan itu, mereka berdua sedikit pun tidak mengeluarkan suara. Sehinggalah sampai di depan pejabat perempuan itu, keadaan di dalam kereta sunyi sepi saja. Tidak seperti pasangan yang telah berkahwin lain, yang sepatutnya si isteri menyalami dan mengucup tangan si suami. Bila melihat perempuan itu keluar dari kereta tanpa melakukan rutin itu, dia terus memecut keretanya.
Di dalam hati dia berkata. Sekali dia tak mahu, seribu kali aku tak ingin! Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

Kalau Sudah Sayang : BAB 18

Aku duduk di atas kerusi bersebelahan dengan emakku di rung tamu rumah. Lelaki itu pula duduk berhadapan denganku dan bersebelahan dengan ayahku.
“Ada apa mak?” aku memberanikan diri membuka mulut.
“Begini, kedatangan Ariff malam ni sebab nak jemput kamu pulang ke rumah mertua kamu. Jadi, Sarah pergilah kemas baju ye.” Suruh emakku.
“Tapi….” Aku ingin mengutarakan kata-kataku.
“Takde tapi-tapi lagi. Tempat isteri adalah disisi suaminya. Walau kemana pun si suami tinggal, isteri wajib ikut suaminya. Berdosa tau ingkar cakap suami.” Giliran ayahku pula menambah.
Nampaknya aku langsung tidak diberi peluang untuk bersuara. Emak dan ayahku lebih berpihak kepada lelaki itu. Macamlah lelaki itu anak mereka. Padahal aku ni adalah anak mereka. Bukannya dia! Aku rasakan hendak menjerit saja disitu. Tetapi aku masih lagi menjaga adab-adab ketika berhadapan dengan tetamu.
Perlahan-lahan aku mengaturkan langkah ke arah bilikku. Dalam perlahan-lahan aku melangkah itu, kaki masih lagi sedikit menghentak ke lantai. Dengan cara itu saja aku dapat menunjukkan tanda protesku terhadap mereka.
Di dalam bilik, aku duduk di atas katil. Baju di dalam almari, langsung aku tidak usik. Aku hanya termanggu di situ. Lima belas minit aku duduk termanggu di birai katil. Ketika aku sedang asyik termenung, emakku masuk ke dalam bilikku.
“Astaghfirullahalazim. Kenapa Sarah tak bersiap lagi?” perlahan emakku beristghfar, bimbang didengar oleh ayah dan lelaki itu.
Aku tidak menjawab pertanyaan emakku itu. Lalu, emakku melabuhkan punggungnya di sebelahku.
“Cuba cakap kat mak, kenapa tak nak bersiap lagi?” emakku bertanya lembut.
“Boleh tak kalau Sarah tak ikut dia?” perlahan aku bertanya. Bimbang juga jika emakku menghamburkan kemarahan sejurus sahaja mendengar pertanyaanku.
“Kenapa pula?” emakku bertanya lagi.
“Takkan mak tak ingat apa yang pernah dia ucapkan kepada Sa masa malam persandingan di sebelah pihak lelaki dulu. Sarah masih lagi tak dapat lupakan. Dan sekarang senang-senang dia datang nak jemput Sarah.” Aku meluahkan apa yang terbuku di dalam hati.
“Mak nak minta satu je dekat Sarah, iaitu cuba lupakan dengan apa yang pernah Ariff ucapkan dulu. Mungkin sekarang ini dia sudah dapat menerima Sarah. Sarah, tempat isteri adalah disisi suaminya. Walaupun ke mana si suami itu tinggal. Apa yang pernah Ariff ucapkan dulu tu bukannya menyebabkan jatuhnya talak. Gantung tak bertali bukannya menyebabkan kamu berdua bercerai. Kamu berdua cuma berpisah untuk sementara waktu. Mungkin ketika itu Ariff sedang tertekan. Yalah, kita mana tahu. Tugas Sarah sekarang ini adalah ikut sahaja arahan suami Sarah. Walau Sarah kena marah sekalipun, Sarah perlu banyak-banyak bersabar kerana syurga seorang isteri itu terletak di bawah telapak suaminya. Sarah, ikut Ariff ya malam ni?” emakku memberi nasihat kepadaku.
“Kalau Sarah tak ikut tak boleh ke?” aku seakan ingin bermain tarik tali dengan emakku.
“Sarah, kan mak dah kata. Berdosa jika kita tidak menuruti perintah suami. Ini kan pula berjauhan dari suami seperti ini. Sarah, mak dan memang tiada hak untuk melarang dan menyuruh kamu tinggal di sini kerana setelah kamu berkahwin, kamu bukan lagi tanggungjawab kami. Kamu sudah menjadi tanggujawab suami kamu. Sarah, ikut Ariff balik ke sana, ye?” Emakku terus-terusan memujukku.
Aku terdiam. Berfikir-fikir tentang kata-kata emakku tadi.
“Tak payahlah fikir-fikirlah lagi. Pergi je ikut Ariff ke sana.” Emakku seperti mendesak aku saja.
“Yalah, yalah. Sarah pergi. Tapi mak kena tolong Sarah kemas kain baju.” Emakku tersenyum bila mendengarkan kata-kata setujuku.
“Okey, mem.” Alahai, perli aku nampak!
Lantas, aku mencapai beg pakaian yang tersimpan di atas almari. Diletakkan beg itu ditepi katil. Setelah itu, aku membuka pula alamri. Baju-baju yang kurasakan sesuai aku letakkan di atas katil. Tidak ketinggalan baju kurung yang aku pakai untuk ke tempat kerja. Yalah, memandangkan esok adalah hari Rabu dan aku bekerja pula seperti biasa. Emakku pula ligat melipat semua pakaian itu.
Baju yang siap dilipat oleh emakku, aku capai untuk disusun didalam beg tadi.
Setelah siap menyusun baju di dalam beg, aku beriringan dengan emakku keluar dari bilikku. Tidak aku lupa, aku mencapai handbag yang berada di atas meja solek. Kelihatan ayah dan lelaki itu masih menanti di kerusi yang sama yang mereka duduk tadi. Aku dan emakku menghampiri mereka.
“Dah lewat ni, Sarah pun dah keluar dengan beg. Jadi dengan ini ayah serahkan semula Sarah kepada Ariff. Cuma satu je ayah nak pesan. Ayah tak nak tengok anak ayah yang sorang ni balik menangis-nangis macam hari tu. Boleh Ariff janji dengana ayah?” ayahku mentipkan pesanan kepada lelaki itu.
“Ya, ayah. Ariff akan jaga anak ayah ini dan Ariff janji yang Sarah tak akan balik macam baru ni.” Lelaki itu mula berjanji. Entah betul, entahkan tidak. Aku sedikit pun tak percaya.
“Baiklah kalau Ariff kata macam tu. Ayah pegang kata-kata Ariff itu.” Ayahku berkata lagi.
Emak dan ayahku mengiringi aku dan Ariff ke keretanya. Sebelum melangkah memasuki kereta itu, aku menyalami dan mengucup tangan tua emak dan ayahku. Sedih pula aku rasakan. Setelah bersalam dengan emakku, aku seakan tak dapat mennahan kesdihan. Lantas aku memeluk tubuh emakku.
“Hei, kenapa sedih sangat ni? Bukannya Sarah dah tak dapat jumpa dengan mak dan ayah lagi. Nanti jika ada masa terluang, Sarah boleh ke mari dengan Ariff. Itu pun jika dia ada di sini. Jika dia tak ada disini, Sarah kena juga minta izin dia jika hendak kemana-mana. Walaupun ke rumah mak dan ayah sendiri,” sempat lagi emak berpesan kepadaku.
Aku akhirnya melangkah juga memasuki kereta milik Ariff itu. Dalam tidak hendak sebut nama dia, terpaksa juga aku sebut. Ketika kereta bergerak perlahan-lahan bergerak beredar dari rumah orang tuaku, sempat lagi melambai-lambai ke arah kedua wajah tua itu.
Sepanjang perjalanan ke rumah mertuaku, aku hanya mendiamkan diri. Hanya lagu dari CD yang dipasang oleh Ariff berkumandang, mengisi kesunyian antara kami. Aku langsung tidak tahu dimana letaknya rumah mertuaku. Aku hanya perlu menanti sehingga kereta yang aku naiki ini sampai di perkarangan rumah mertuaku.
Aku sedikit pun tiada hati untuk berbicara dengan lelaki di sebelahku ini. Ketika kereta Subaru Impreza ini memasuki sebuah rumah yang begitu mewah, aku dan dia masih lagi mendiamkan diri. Aku tidak tahu di mana lokasi rumah ini. Yang aku pasti rumah ini terletak di dalam kawasan perumahan elit.
Bila enjin kereta dimatikan, aku masih mematungkan diri didalam kereta itu. Ariff sudah keluar dari perut kereta.
“Hei, keluarlah. Takkan nak kena jemput macam tuan puteri kot.” Kedengaran suara Ariff mengherdikku.
Mungkin dia melihat yang aku masih lagi tidak berganjak di tempat duduk hadapan di dalam kereta. Cepat-cepat aku membuka pintu kereta dan bingkas bangun dari dalam kereta itu. Ketika sampai tadi, aku masih terpegun melihat sebuah banglo tiga tingkat yang tersergam di depan mataku. Seakan tidak percaya pula aku akan tinggal di dalam rumah yang mewah sebegini.
Laju saja si Ariff ni berjalan. Sampaikan ditinggalnya aku di belakang. Terkial-kial aku berjalan sambil membimbit beg yang boleh tahan beratnya. Nasib baik aku bawak sedikit saja baju. Kalau aku bawak semua, tak tahulah aku macam mana nak berjalan. Kalau dia menghulurkan pertolongan tu tak apalah juga.
Ariff membuka pintu utama rumah itu. Dan dia mengambil beg yang berada di tanganku. Berpura-pura membantuku mengangkat beg pakaian itu. Aku lihat semua isi rumah masih lagi di ruang tamu. Masih tidak tidur. Tertanya-tanya juga aku, lambatnya mereka tidur sedangkan sekarang ini sudah pukul 11.30 malam.
“Ibu, abah. Tak tidur lagi ke?” Ariff bersuara sekadar berbasi-basi.
Semua ahli keluarga yang sedang menonton televisyen itu berpaling ke arah pintu utama sebaik sahaja mendengar suara Ariff.
“Emm, tak rasa mengantuk lagi. Eh Sarah pun ada sama, masuklah Sarah.” Abah Ariff menjemputku masuk.
Aku terasa kekok pula berada di tengah-tengah keluarga Ariff itu. Farah yang turut berada di situ terus mendapatkan aku.
“Kak Sarah, marilah sini. Duduk kat tepi Farah ni.” Ajak Farah. Aku hanya menuruti saja ajakan Farah itu.
“Ibu, abah, berbuallah dengan Sarah. Ariff naik dulu. Mengantuklah pulak.” Ariff berlalu ke tingkat atas sambil membimbit beg pakaian aku.
Aku melayan Farah bercakap tentang itu dan ini. Becok sungguh mulutnya bercakap dan aku hanya mengangguk tanda mengiakan setiap apa yang dicakapkan Farah.
“Farah, Sarah, ibu dan abah nak masuk tidur dulu. Dah lewat benar dah ni. Farah jangan masuk tidur lambat sangat, nanti esok susah pula nak bangun. Sarah pula, abah tengok dah ngantuk tu, pergilah masuk tidur.” Abah mertuaku bersuara, menyelamatkanku dari mendengar celoteh Farah.
Ibu dan abah mertuaku berlalu ke bilik mereka sambil berpegangan tangan. Romantik sungguh! Kalah pasangan muda seperti aku dengan Ariff.
“Dahlah, Farah. Akak naik dulu. Nak tidur, mata ni dah mengantuklah. Esok akak kerja pula. Farah tak sekolah ke esok?”
“Sekolah. Tapi sekejaplah masuk tidur. Nak tengok sampai habis cerita ni dulu.”
“Iyelah tu. Jangan tidur lambat sangat tau. Esok tak pergi sekolah pulak.”
“Farah pergilah sekolah esok. Akak pergilah naik.”
Aku mengatur langkah menaiki tangga. Sampai di tingkat atas, aku tidak tahu hendak masuk ke dalam bilik yang mana satu. Aku kan tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke rumah ini. Perlahan-lahan aku berjalan. Bukan sekadar perlahan tapi terlalu perlahan.
“Bilik Abang Ariff yang kedua sebelah kiri.” Kedengaran suara Farah dilontar dari bawah.
Tersenyum aku mendengar laungan dari Farah itu. Mungkin dia melihat yang aku tidak tahu hendak masuk ke mana satu bilik. Dalam diam aku mengucapkan terima kasih kepada Farah kerana telah membantu aku.
Aku terus masuk ke dalam bilik yang disebut oleh Farah itu. Perlahan tombol pintu aku pulas. Nasib baik aku tidak jatuh tersungkur kerana tersepak sesuatu objek yang berada di tengah-tengah jalan. Aku pegang benda tersebut, beg aku rupanya. Bilik itu gelap gelita saja aku lihat. Huh, suka hati dia je nak letak beg aku.Untuk menekan suis lampu, tidak sekali-kali. Kerana aku tidak mahu mandengar dia mengherdikku lagi. Cukuplah dua kali dia mengherdikku.
Aku masuk ke dalam bilik. Dari cahaya samar-samar yang masuk melalui tingkap, kulihat sekujur tubuh sedang berbaring di tengah-tengah katil. Habis, aku nak tidur kat mana. Mataku dikitarkan pandangan ke sekeliling bilik. Terdapat sebuah almari enam pintu, sebuah katil saiz Queen, sebuah meja solek, dua meja kecil di sisi katil dan sebuah sofa dua dudukan.
Daripada pemerhatian itu, aku nampaknya akan tidur di atas sofa yang berada berhampiran dengan pintu bilik itu. Tiada tempat lain lagi yang paling sesuai untukku melelapkan mata. Katil itu sudah di monopoli oleh Ariff. Sebelum aku meletakkan kepala, aku sempat mengset jam loceng di telefonku. Manalah tahu kalau-kalau aku payah nak kejut tidur. Tak ke susah nanti.
Tanpa membuka tudung, aku melelapkan mata di atas sofa itu. Beg pakaianku pula aku biarkan ditepi sofa ini dahulu. Aku tidak mahu kemaskan lagi kerana mataku sudah terlalu mengantuk. Aku terlena juga di atas sofa itu.

“Abang, nampaknya Ariff tu takut juga dengan ugutan abang, ya.” Puan Junaidah bersuara kepada suaminya.
“Memanglah. Kalau tak abang tak akan benarkan dia jejakkan kaki di rumah ni lagi. Dia buat isterinya itu macam barang. Suka-suka hati je nak buang.” Encik Abdul Rahman merungut-rungut.
“Awak kena tengok-tengok mereka tu. Takut nanti dia buat hal lagi. Jangan sampai Sarah pulang semula ke rumah orang tuanya. Kita jugak yang susah nanti.” Encik Abdul Rahman berpesan kepada isterinya.
“Yalah, yalah.” Sahut Puan Junaidah.
“Awak tak nak tidur lagi ke?” tanya Encik Abdul Rahman sambil melirik isterinya yang masih lagi duduk di depan meja solek. Sedangkan dia sudah melabuhkan punggungnya di atas katil.
“Saya nak tidurlah ni,” Puan Junaidah berkata sambil menekan suis lampu. Menutupnya. Dia kemudiannya berlalu ke arah katil.

Selasa, 21 September 2010

Kalau Sudah Sayang : BAB 17

Ucu sudah membuat keputusan untuk ke Sekolah Integrasi Lembah Bidong, Setiu. Pada mulanya, muncung juga dia semasa hendak dihantar ke sekolah itu. Yalah, dia tak pernah berpisah dengan emak dan ayahku. Mesti dia sedih dan perasaannya ketika itu berbelah bahagi saja. Dalam keadan terpaksa, dia mesti pergi juga ke sekolah itu. Keputusan yang diterima sudah melayakkan dia masuk ke sekolah itu. Sayanglah kalau dia tolak tawaran itu.
Sekarang, aku pula yang sunyi bila dia tiada kat sini. Gelak ketawanya sudah tidak dapat aku dengar. Kalau boleh pun bila ucu balik cuti sekolah. Huh, lambat lagilah. Timbul rindu pula aku pada ucu. Bila depan mata selalu gaduh tapi bila berjauhan rindu pula. Seperti kata orang tua-tua.
Aku pulang lewat sedikit hari itu. Lagi lima belas minit, azan maghrib akan berkumandang. Aku tidak singgah dimana-mana. Dari pejabat terus aku pulang ke rumah.
Sesampai di rumah, aku lihat sebuah kereta mewah sport terparkir di halaman rumah orang tuaku. Mesti ada orang datang ke rumahku. Tetapi bila diingatkan kembali, siapa pula yang datang ketika hari sudah hendak masuk maghrib? Tertanya-tanya juga aku, siapakah gerangan tuan punya kereta ini? Kalau nak katakan kereta ini milik jiran sebelah rumah, tidak mungkin. Ini kerana sebelah rumah orang tuaku adalah semak samun dan sebuah rumah pusaka yang dibiarkan usang. Berbagai andaian yang berlegar didalam benakku. Aku membaca tulisan di belakang kereta itu, terpampang jenis dan jenama kereta itu. Kereta jenis Subaru Impreza.
Aku mematikan enjin motorsikal. Aku turun dari motorsikal dan menyorong motorsikal ke bawah rumah. Tempat aku menyimpan motorsikal. Perlahan-lahan aku melangkah menaiki tangga rumah. Ketika aku berdiri di depan pintu utama rumah itu, aku tidak pula mendengar suara orang berbual-bual. Senyap saja. Memang takde orang datang ke rumah. Mungkin ada orang saja-saja meletakkan kereta di situ.
Aku terus mendapatkan emakku yang berada di dapur.
“Mak, kereta siapa kat luar tu? Ada orang datang ke?” aku bertanya, masih tidak berpuas hati dengan andaian sendiri.
“Ada orang datang tadi.” Terlalu pendek jawapan yang emakku beri.
“Siapa?” aku bertanya lagi.
“Nanti Sarah tengoklah siapa dia tu.”
“Habis dia tu kemana?”
“Dia ikut ayah ke masjid. Berjemaah solat maghrib dan solat isyak disana.”
Jawapan yang emakku beri masih tidak dapat memuaskan hatiku. Aku masih lagi tertanya-tanya. Aku berlalu ke bilikku. Aku perlu mandi sebelum menunaikan solat maghrib. Selesai aku menunaikan solat maghrib, aku turun menjenguk emakku yang sedang menyediakan juadah makanan yang akan dihidangkan pada makan malam.
“Malam ni mak nak masak apa?”
“Mak dah masak ikan bakar dan singgang ikan tongkol. Mak ingat nak jugak buat budu. Boleh Sa tolong buat kailan goreng ikan masin? Barulah kena dengan ikan bakar.” Pinta emakku.
“Okey, bos. Tapikan, yang mak masak banyak sangat ni nak buat apa? Ramai sangat ke tetamu tu?”
“Sarah boleh tak jangan banyak tanya. Mak tak nak lagi jawab soalan kamu tu. Kamu kena sabar je. Tunggu dia balik dengan ayah nanti.”
“Yalah, yalah.” Aku terpaksa akur dengan kehendak emakku.
Lalu, tanganku lincah memulakan masakan. Kalian kuambil dan dihiris sederhana nipis. Selesai menghiris kalian, tanganku ligat pula mengambil ikan masin untuk dikerat kecil-kecil. Setelah selesai mengerat ikan masin, aku letakkan pula kuali di atas dapur. Api dapur dinyalakan. Minyak dituang sedikit ke dalam kuali. Bila minyak panas, bawang putih dan bawang merah yang telah diketuk aku campakkan masuk ke dalam kuali.
Seketika kemudian, siap aku menggoreng kalian ikan masin. Terus aku hidangkan ke atas meja.
“Apa lagi yang mak nak suruh Sarah buat?” tanyaku, untuk meringankan tugasnya.
“Boleh Sarah tolong buat air? Ikut Sarah lah nak buat air apa. Rasanya tetamu kita tu takde pantang larang.”
Aku menurut tanpa banyak tanya. Jag dan sudu dicapai. Tanganku ligat mengacau air di dalam jag.
Selesai semuanya, makanan dan air dihidangkan di atas meja makan. Sementara tetamu yang ditunggu dan ayahku pulang dari masjid, aku berlalu ke dalam bilik. Solat isyak perlu aku tunaikan.
Memandangkan ayah dan tetamu yang ditunggu itu belum lagi pulang dan semua makanan dan minuman sudah terhidang, seusai menunaikan solat isyak, aku mengambil peluang yang ada dengan membaca Al-Quran. Aku hanya sempat membaca Surah Al-Baqarah dari ayat 1-35. Bacaanku terhenti bila aku terdengar bunyi enjin motorsikal ayahku. Aku cepat-cepat melipat kembali telekung sembahyang dan disidai ditempat penyidai baju.
Sebelum ayahku masuk ke dalam rumah, aku lebih dulu keluar dari bilik. Tidak lama kemudian, kedengaran ayahku memberi salam.
Mataku terus menghala ke arah pintu utama. Hatiku melonjak-lonjak ingin tahu siapakah gerangan tetamu yang begitu emakku ingin rai itu. Bila kelibat ayahku kelihatan, aku jadi semakin tidak sabar. Siapalah ‘dia’ itu? Hatiku jadi tertanya.
Terpaku aku apabila terlihat kelibat orang itu. Aku begitu tidak menyangka yang orang itu adalah dia ini. Memang pada mulanya bila melihat kereta yang terparkir di halaman rumah orang tuaku, aku sudah mengagak yang tetamu yang hadir itu adalah lelaki muda kerana dari jenis keretanya sudah dapat aku agak. Masakan kereta sport seperti Subaru Impreza itu dipakai oleh lelaki tua.
Dan bilangan tetamu yang hadir sudah dapat aku agak iaitu hanya seorang. Ini kerana ayahku ke masjid dengan orang itu menggunakan motorsikal dan bukannya kereta Kancil kesayangannya itu. Cuma aku masih tidak dapat mengagak siapa yang telah datang bertandang ke rumahku itu.
Kalau aku tahu dia ini tetamu yang emakku hendak rai-rai sangat, lebih baik aku berkurung saja didalam bilik. Hatiku mula merungut. Bukan apa terasa geram sangat-sangat. Aku jadi teringat kembali apa yang pernah dia pernah ucapkan kepadaku. Kata-kata pedih yang telah membuatkan hatiku tersayat.
“Masuk, Riff. Jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri.” Tersentak aku. Seperti baru terjaga dari lena yang panjang bila mendengar kata-kata ayahku itu.
Aku yang tadinya terpaku seperti patung, terus berlalu ke dapur. Aku tidak akan sesekali melihat ke arahnya lagi. Perasaan benci makin menyelinap ke dalam hatiku. Aku mendapatkan emakku di dapur.
“La, kenapa tak layan tetamu yang di atas tu?” emakku bertanya.
Aku hanya mendiamkan diri. Langsung tiada hati untuk menjawab soalan emakku itu. Bila melihatkan aku membisu seribu bahasa, emakku terus berlalu ke atas rumah.
Aku duduk termanggu di atas kerusi berhadapan dengan meja makan di dapur. Termenung aku di situ. Malas aku nak naik ke atas. Benci aku nak pandang wajah lelaki itu. Sedfang aku syok-syok termenung, terdengar suara emakku menjerit dari atas.
“Sarah, marilah naik ke atas ni. Layan suami kamu ni.” Aduh mak ni! Potong betullah. Tak boleh lihat orang senang langsung.
Kalau emakku dah menjerit macam tu, maknanya aku terpaksa jugak pergi ke atas. Huh, fed up betul aku! Aku terpaksa akur juga. Aku berlalu ke atas rumah. Ketika berjalan, kakiku sedikit dihentak-hentak. Menunjukkan tanda yang aku tidak menyukai kedatangannya ke sini.
Kedengaran lantai rumah papan itu berbunyi bila aku memijaknya. Yalah, mana tak berbunyinya kalau berjalan sambil menghentak-hentak kaki. Boleh roboh rumah kalau macam ni.
“Sarah, berjalan tu boleh tak baik-baik sikit. Janganlah hentak-hentak macam tu. Roboh rumah ayah ni nanti.” Tegur ayahku.
Langsung aku tak hiraukan teguran ayah itu. Bukan hendak menjadi derhaka dengan emak dan ayah sendiri, tapi inilah satu-satunya cara aku menunjukkan protesku terhadap mereka secara diam. Sesampai di meja makan, aku berdiri saja di situ. Sedikit pun aku tidak rasa hendak duduk di kerusi di situ.
“La, buat apa lagi tu? Duduklah. Takkan nak kena suruh jugak.”
Kerana tiada pilihan lain lagi, aku terpaksa juga akur dengan perintah emakku itu. Aku perasan yang mata lelaki itu asyik memerhatikan aku. Sejak dari aku mula muncul dari dapur lagi. Apa pandang-pandang? Macam orang takde mata. Aku melepaskan geram di dalam hati.
“Kenapa dengan kamu malam ni? Serba tak kena aje. Dah, ambikkan nasi tu, sendukkan ke dalam pinggan suami kamu tu?” suruh emakku.
Alah mak ni, macamlah tak tahu. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Apasal dengan emakku malam ini? Pelik je dia ni. Gembira pulak tu.
Hisy, mak ni. Ada ke dia suruh aku sendukkan nasi ke pinggan lelaki itu. Huh malas aku. Biarlah. Sikit pun aku tak heran! Aku hanya mematungkan diri. Tanda aku tidak mahu menyendukkan nasi ke pinggan lelaki itu.
“Hei, senduklah cepat! Kami semua dah lapar ni. Lauk pauk ni pun dah sejuk ni.”
Bila terdengar sergahan dari ayahku, secara automatik tanganku mencapai mangkuk nasi. Dalam tak mahu tak mahu, aku terpaksa akur juga. Nasi disendukkan ke dalam pinggan lelaki itu. Kelam kabut dan gelabah aku jadinya.
Ketika aku kelam kabut mencapai mangkuk nasi tadi, dari ekor mataku, aku melihat lelaki itu tersenyum sinis ke arahku. Mungkin di dalam hati dia sedang mengutuk aku. Lantak kaulah nak kata apa pun, aku sikit pun tak kisah. Dan sepatutnya aku juga tidak kisahkan kau. Tapi disebabkan ada emak dan ayahku, bolehlah aku buat baik.
Nasi yang berada di dalam pingganku, sebutir pun tidak masuk ke dalam mulut. Kepalaku ditundukkan ke arah maja makan. Memang aku akui, ketika aku melihat lauk-pauk yang emakku sediakan, aku terasa berselera sungguh. Sampaikan terasa hendak makan selalu. Namun bila terpandangkan muka tetamu yang datang ini, seleraku jadi tertutup terus.
Kulihat lelaki itu cukup berselera sekali makan juadah makan malam itu.
“Ini yang Sarah masak. Cubalah, biasanya sedap.” Emak mengunjukkan bekas berisi kailan goreng ikan masin kepada lelaki itu.
Emak ni, tak payahlah nak naikkan saham aku depan lelaki itu. Aku sikit pun tak berminat.
Selesai makan malam itu, aku membasuh pinggan dan gelas yang telah digunakan ketika makan tadi. Aku memberi peluang kepada emak dan ayahku berbual dengan menantu kesayangan mereka itu. Aku mengambil peluang itu membasuh pinggan yang berada didalam sinki ini. Saja menyibukkan diri. Tidaklah aku perlu menghadap muka lelaki itu. Entah bila nak balik, aku pun tak tahu.
Sempat lagi ketika membasuh pinggan itu, aku berkhayal. Bukan berkhayal tentang apa pun, cuma terlintas di fikiranku tentang sebab musabab dia datang ke rumah orang tuaku malam ini. Tidak mungkin saja-saja kerana dia sudah menjatuhkan gantung tak bertali terhadapku. Tidak akan sekali-kali aku lupa setiap patah perkataan yang pernah dia hamburkan kepadaku.
“Sarah, Sarah.” Tersentak aku mendengar laungan emakku dari atas rumah.
Ada apa lagilah diorang ni. Panggilan pertama itu, tidak aku hiraukan.
“Sarah, Sarah. Marilah kat sini sekejap.” Laung emakku sekali lagi.
“Ya, sekejap.” Aku menyahut juga lambat-lambat.
Aku menyudahkan basuhan pinggan yang terakhir. Setelah itu, aku mengatur langkah perlahan-lahan ke atas rumah. Entah untuk apalah yang emak memanggilku.

Kalau Sudah Sayang : BAB 16

Mata yang terpejam Ariff Zulkarnain tergerak-gerak. Dia merasakan ada cahaya terang yang begitu merimaskannya. Perlahan-lahan matanya dibuka. Silau dirasakan pada matanya. Cahaya dari luar tingkap yang menerombos masuk telah menyebabkan matanya silau. Dia langsung tidak ingat yang katil di rumahnya ini bersebelahan dengan tingkap. Tingkap itu pula langsirnya telah diselak ke tepi. Lupa yang dia telah selak langsir itu semasa sampai malam semalam.
Dia bangun perlahan-lahan dari pembaringan. Dia berdiri dan menggeliatkan badannya. Meregangkan urat-urat dalam tubuhnya. Kemudian dicapainya tuala lalu masuk ke dalam bilik air.
Lima belas minit kemudian, dia berlalu keluar dari bilik mandi. Dia lantas menyarungkan t-shirt kosong berwarna putih dan seluar pendek paras lutut. Setelah itu. Dia mencapai telefonnya. Untuk melihat, manalah tahu kalau-kalau ada missed call atau mesej yang masuk tanpa di sedari. Sambil-sambil dia mengesat rambutnya dengan tuala, sambil-sambil itu dia menbelek telefonnya.
Dilihatnya ada tiga puluh satu missed call dan enam mesej. Bila dibuka satu persatu, terpapar sepuluh missed call dari ibunya, lima belas dari abahnya dan selebihnya dari nombor yang tak dikenali. Juga terdapat mesej daripada ibu dan abahnya. Semua mesej tentang mengingatkannya tentang untuk menjemput perempuan itu. Mesej dari abah berbunyi.

+ As’kum, jgn lupa pergi jemput Sarah. Jgn seksa isteri yg x bersalah. Berdosa, Riff…

Dan mesej dari ibu pula berbunyi.

+ As’kum, Ariff tidur kat mana mlm semlm? Ariff x balik ke rmh kan? Lg 1 pergilah jemput Sarah, sblum abah bising baik kmu pergi jemput isteri kmu tu.. jgn seksa anak org. Walaupun kamu x sygkn dia, pergilah jemput dia. Dia ada mak & ayh. Jgn biarkan dia menderita!..

Panjang betul mesej dari ibu, nak sungguh Ariff Zulkarnain pergi menjemput perempuan itu. Dia langsung tiada hati nak sebut nama perempuan itu. Baginya bila dia sebut masa akad nikah dulu, itulah kali pertama dan kali terakhir. Itu sudah tekadnya!
Ni pula abah dan ibunya menyuruh dia menjemput perempuan tu. Perlu ke dia memanggil perempuan itu dengan namanya? Itulah yang tertanya-tanya dalam benaknya. Eh, memanglah kena panggil dia dengan namanya. Kalau tak, nak panggil dia apa. Bodoh betullah aku ni. Itu pun tak dapat fikir sendiri. Omel Ariff Zulkarnain kepada dirinya sendiri.
Dalam pada itu, dia berfikir-fikir. Apa reaksi kedua orang tuanya jika dia tidak membawa balik perempuan itu ke rumah. Mungkin mengamuk orang tua itu. Kadang-kadang terfikir juga hendak buat kerja gila seperti itu. Tapi dia masih waras untuk melakukan perkara sebegitu.
Tanpa berfikir panjang, dia mencapai kunci rumah dan kunci kereta. Tuala yang dia gunakan tadi sudah dia lemparkan ke atas katil. Dia keluar dari rumahnya dan berlalu ke kereta. Destinasinya cuma satu. Ingin mencari surat khabar dan sarapan pagi. Tapi bila diingatkan kembali, jam sudah menunjukkan pukul sebelas pagi. Tidak ada dah makanan pagi. Dah masuk makanan tengahari dah. Ah, lantaklah, makan tengahari pun tengaharilah. Asalkan dapat makan!

Aku ke tempat kerja seperti biasa hari itu. Mataku terpandang jam ditangan. Ucu mungkin sudah mengetahui keputusannya. Baik aku menghantar pesanan ringkas dulu kepadanya.

-As’kum, dah dpt ke result? Mcm mana, dpt brpa A?

Kurang tiga minit, mesej yang aku kirim berbalas.

+W’slm. Alhamdulillah, dpt semua A.

-Bestnya dia… habis lepas ni nk stay kat sekolah lama ke nak ke MRSM? @ pun nk ke sekolah integrasi?

+xtahu lagi. Mungkin stay sekolah lama. Tapi bila fikir2 balik nk je masuk MRSM…. Fikir dululah mcm mana.

-Ok. Fikirlah dulu. Kita sambung bila acik balik kerja nanti.

+ok, bye. As’kum…

Selesai berbalas mesej dengan ucu, aku terus keluar makan tengahari dengan teman-teman sepejabatku. Kami hanya berjalan kaki sahaja ke Restoran Nasi Kerabu kerana terletak berdekatan sahaja dengan tempat kerjaku. Konsep yang diamalkan di restoran ini adalah layan diri. Pelanggan diberi kebebasan untuk memilih sendiri lauk yang dikehendaki dan selepas itu pelayan akan datang mengira harga makanan yang diambil dan bertanyakan minuman yang ingin dipesan.
Aku hanya memilih nasi kerabu yang terdapat banyak pilihan lauk tambahan. Antaranya daging goreng dan ayam goreng selain bahan asas nasi kerabu seperti nasi, ulaman yang dihiris halus, ikan celup tepung, sambal goreng, budu, lada, solok lada, telur masin, kuah tumis dan bawang jeruk.
Setelah mengambil makanan yang dihajati, aku memilih tempat duduk. Sejurus itu barulah rakan-rakan lain mengekoriku. Setelah itu datang pelayan untuk mengambil pesanan air. Aku hanya memesan air laici.
Sebelum makan, kami berborak dahulu di meja makan. Setelah itu barulah makanan masuk ke dalam mulut. Ketika aku ingin menyuapkan suapan pertama ke dalam mulut. Aku berasa tidak selesa. Seperti ada seseorang sedang memerhatikanku. Kepalaku lalu tertoleh ke arah kiriku.
Seseorang yang sungguh aku tidak sangka akan bertemu dengannya lagi. Lelaki itu duduk dimeja bersebelahan dengan meja yang aku duduk. Lelaki itu memakai cermin mata hitam dan aku tahu disebalik cermin mata itu, mata lelaki itu tajam merenungku. Lelaki itu kelihatan segak dengan pakaian yang tersarung ditubuhnya. Hanya mengenakan t-shirt kolar bulat dan seluar pendek paras lutut. Sungguh ringkas.
Aku kembali menoleh ke arah mejaku. Makanan yang terhidang di depan mata sudah tidak jadi dijamah. Tertutup terus seleraku bila melihat wajah lelaki itu. Lelaki yang telah meletakkan maruahku begitu rendah, seakan tiada harga langsung!
Nasi kerabu yang terhidang didepan mata sungguh menyelerakan. Tetapi seleraku sudah hilang. Aku hanya menguis nasi di dalam pinggan. Perutku juga sebu tiba-tiba.
“Kenapa tak makan nasi tu?” Kak Raihana yang melihat gelagatku bertanya.
“Entahlah, kak. Tiba-tiba rasa tiada selera pulak.” Tidak sekali-kali aku akan memberitahu masalahku.
“La, tadi akak tengok bukan main gembira lagi nak makan. Tiba-tiba pulak takde selera, pelik tu.” Kak Raihana ingin mengorek lagi masalahku.
“Eh, kau orang semua perasan tak ada sorang mamat yang sedang perhatikan meja kita.” Perlahan salah seorang daripada rakan sekerjaku, Zarina bersuara.
Tetapi, malang sungguh. Aku mengambil langkah berdiam diri selepas itu. Aku tidak menjawab persoalan yang berlegar-legar di benak Kak Raihana. Aku hanya mencapai gelas berisi air laici yang aku pesan tadi. Perlahan-lahan air itu aku minum
Teman-temanku yang lain, bila mendengar sahaja Zarina berkata begitu terus sahaja menoleh ke kiri dan kanan meja yang kami duduki itu.
“Mana, mana?” Ayu yang terkenal dengan sikap gediknya itu laju bertanya. Ada sesetengah rakan sekerja lelaki tidak berapa menyukai perangainya itu.
Mereka memang tidak mengenali lelaki itu. Kalau kenal pun hanya Kak Raihana saja. Ini kerana hanya Kak Raihana sahaja yang menghadiri majlis kahwinku sedikit waktu dahulu. Tapi, nampak gayanya Kak Raihana pun tidak dapat mengecam lelaki itu. Mungkin di sebabkan oleh wajah lelaki itu yang sedikit terlindung di sebalik cermin mata yang di pakai.
“Alah, tu, yang pakai cermin mata hitam tu. Yang duduk meja sebelah tu.” Zarina menjawab. Pantas saja Ayu menoleh ke arah meja sebelah.
“Wow, hendsomenya! Bertuahlah badan siapa yang dapat dia.” Ayu mula menunjukkan sikap gediknya.
“Hei, sudah-sudahlah tu. Cepat makan, nanti lambat masuk pejabat pulak.” Kak Raihana mematikan sikap gedik Ayu yang makin melampau-lampau itu. Muncung dia bila Kak Raihana berkata begitu.
Setelah semua rakan-rakan sepejabatku selesai makan, kami beredar dari restoran itu. Pada aku keluar dari restoran, aku perasan yang lelaki yang memerhatikanku tadi masih lagi memerhatikanku. Aku memerhatinya dari ekor mataku sehinggalah kelibatnya tidak lagi kelihatan.

Ariff Zulkarnain sedikit pun tidak menyangka yang dia akan bertembung dengan isterinya di Restoran Nasi Kerabu. Kedatangannya ke situ adalah untuk makan tengahari. Sungguh tidak disangka. Tajam matanya merenung perempuan itu. Ditenung perempuan tu bagai nak tembus perempuan itu dibuatnya.
Sengaja dia tidak mengambil makanan dan minuman sejurus sampai di restoran itu tadi. Matanya lebih berminat untuk memerhatikan gelagat perempuan itu. Ditenungnya perempuan itu sampaikan perempuan itu perasankannya. Dilihatnya perempuan itu tidak jadi makan bila sedar dirinya diperhatikan.
Sesudah sekumpulan isterinya berlalu pergi, barulah dia memesan makanan dan minuman. Terasa seronok pula dia melihat gelagat perempuan itu bila perasankan yang dirinya diperhati. Gelabah habis!

Dua minggu berlalu sejak hari dia disuruh menjemput isterinya. Kemungkinan tiga atau empat hari lagi dia akan ke laut kembali. Dia perlu menunggu pihak atasan menelefonnya dulu kerana keadaan laut yang kurang selamat. Ditambah pula sekarang ini sedang musim tengkujuh. Keadaan dilaut tidak terjamin dan kapal mengalami kesukaran untuk berlabuh.
Selama dua minggu itulah dia berkurung di rumahnya. Tidak sekali pun dia menjejakkan kaki ke rumah orang tuanya. Dia tahu jika dia kesana pasti dia akan dileter oleh ibu dan abahnya. Malas dia mendengar siaran radio yang tak langsung tu! Baginya mendengar orang tuanya memebebel menambahkan sakit hatinya.
Dan dalam dua minggu itu jugalah tidak putus-putus dia menerima masej dari ibu dan abahnya. Semuanya berkaitan dengan perempuan itu. Bosan betul! Dalam pada itu, dia juga masih tidak berganjak dari keputusannya yang dia tidak akan menjemput perempuan itu. Muktamad!
Jika dia keluar pun sekadar untuk membeli makanan atau membeli keperluan yang diperlukan. Keluar dengan Hani pun kadang-kadang saja. Perempuan seperti Hani perlu diberi ruang untuk bebas bergerak untuk bertemu kawan-kawannya. Kalau tidak, mahu memberontak dibuatnya.
Bila difikirkan kembali, dia akan kembali ke laut dan dengan ini dia perlu pulang ke rumah orang tuanya karana semua kelengkapannya berada di sana. Dan untuk balik ke sana, dia perlu membawa perempuan itu bersama. Macam mana ni? Susah betul kalau begini. Egonya menghalang dia daripada menuruti kehendak ibu dan abahnya.
Petang itu penat dia berfikir. Sebelah malam itu sepatutnya dia keluar dengan Hani tapi dibatalkan bila tarikh untuk dia kembali ke laut semakin dekat. Masih terngiang-ngiang diruang fikirannya kata abahnya yang perempuan itu perlu dibawa balik sebelum dia kembali ke laut. Kalau tidak, dia mungkin tidak akan dapat lagi elaunnya seperti biasa.
Bagaimana jika pihak atasan telefon supaya dia kembali ke laut. Dan segala barang-barangnya berada di rumah sana. Huh, alamatnya terpaksa juga dia menjemput perempuan itu.

Kalau Sudah Sayang : BAB 15

Manakala itu, Syira dan Farah bersiar-siar dengan kakak ipar mereka yang sorang ni. Kagum sungguh mereka berdua dengan keadaan kampung itu. Sungguh nyaman sekali. Mereka berdua tidak pernah dibesarkan dalam keadaan desa seperti itu. Ini kerana mereka dibesarkan dibandar Kuala Terengganu. Baru tiga tahun kebelakangan ini mereka menetap di Kampung Tok Jembal disebabkan abah yang mahu lari daripada kesibukan bandar.
“Wah, best sungguh duduk kat kampung ni. Kiri kanan jalan dihiasi dengan kehijauan pokok. Mesti keadaan pagi-pagi disini nyaman, kan Kak Sarah?” tanya Farah.
“Memang kat sini, kalau pagi-pagi udaranya nyaman. Best sangat. Kalau suka duduk kat sini, selalu-selalulah datang ke sini.” Aku mempelawa mereka.
“Kalau Farah okey je tapi takde orang nak hantar Farah ke sini. Nak bawak kereta atau motor sendiri Farah takde lesen. Kalau Kak Syira bolehlah. Dia ada kereta.”
“Eh, akak cuma ada kat sini bila cuti semester je. Tak boleh jugak nak datang selalu.” Syira menyampuk percakapan adiknya.
Jika tidak salah aku, Syira adalah sebaya denganku. Tapi nasibnya sungguh baik. Dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Bukan macam aku ni. Kena kerja dan lepas tu kena kahwin muda pula tu. Jika tidak, aku juga sedang berada di universiti juga sekarang ini. Seperti Syira.
“La, sudah-sudahlah tu. Takpe kalau datang sekali-sekala je. Kalau datang selalu dan asyik lihat muka yang sama je, mesti jemu kan.” Aku berseloroh dengan mereka ila dilihatkan mereka berdua seakan hendak bergaduh saja. Macam budak-budak. Aku mengomel didalam hati.
Ketawa Syira dan Farah dengan kata-kata aku itu. Mungkin di dalam hati mereka berkata, bertuahnya Abang Ariff dapat isteri macam Kak Sarah. Best! Tapi abang langsung tak menghargai kurniaan yang cukup terindah ni. Hisy, pandai-pandai saja aku membuat telahan hati orang.
“Dah, jomlah. Kita jalan kat depan tu. Masih luas lagi sawah padi kat depan tu. Nak rasa tak meniti atas laluan pemisah antara sawah padi?” aku bertanya, saja mengumpan adik-adik iparku.
Laju Farah dan Sarah menganggukkan kepala. Begitu teruja mereka dengan usul yang dikatakan oleh aku.
“Kalau macam tu, jom!” ajakku.
“Jom!” serentak Farah dan Sarah bersorak.
Begitu gembira lagak mereka. Gembira sungguh aku melihatkan gelagat mereka. Di rasakan hilang masalah yang terbeban dikepala. Biarlah, jika melayan mereka berdua dapat mengurangkan beban yang di galas, aku sanggup menanggungnya.

Encik Abdul Rahman, Puan Junaidah dan dua anak daranya meminta diri bila di rasakan senja makin berlabuh. Bimbang bila di biarkan rumah tanpa orang. Yalah, pembantu rumah mereka dan pemandu mereka meminta cuti untuk menghadiri kenduri kahwin saudara mereka.
“Abang, kakak. Kami sekeluarga meminta diri dulu. Takut pula tinggal rumah tanpa orang.” Encik abdul Rahman meminta diri, mewakili mereka sekeluarga.
“Yalah, bawa kereta tu hati-hati.” Pesan Encik Abdul Rahman.
Hon dibunyikan sebelum kereta berlalu dari perkarangan rumah tradisional Terengganu itu. Syira dan Farah melambai-lambai tangannya ke arah Encik Roslan sekeluarga.
Perjalanan di teruskan memasuki jalan besar. Ketika mata Farah dan Syira sedang enak dijamu dengan pemandangan sekitar perjalanan, ibu mereka bersuara memecahkan lamunan yang baru saja mereka anyam.
“Bila Abang Ariff balik nanti, kamu jangan beritahu yang kita pergi ke rumah isterinya. Ibu nak rahsiakan perkara ni dari pengetahuan dia. Jangan juga terlepas cakap.”
“Baiklah, bu.” Jawab Farah dan Syira perlahan.
Encik Abdul Rahman yang sedang memandu hanya menumpukan pemanduannya. Dia mendengar apa yang dipesan oleh isterinya terhadap dua anaknya.
Sesampai di rumah, mereka melihat kasut kerja Ariff Zulkarnain sudah berada di atas rak kasut. Ini bermakna Ariff Zulkarnain sudah sampai di rumah.

Jam sudah menginjak ke pukul tiga pagi. Ariff Zulkarnain memutuskan untuk pulang sahaja kerana hari sudah lewat malam sangat. Dia menghampiri Hani yang sedang asyik bercakap dengan teman-temannya.
“Jom, kita balik. Dah lewat sangat ni.” Ariff Zulkarnain mengajak Hani pulang.
“Dah nak balik ke? Awal lagilah.” Jawab Hani. Sambil itu dia melihat jam di tangannya. Dalam kesamaran cahaya itu, jam ditangannya baru menunjukkan pukul 3.10 pagi.
“You nak balik ke tak? I dah nak balik ni. Kalau you tak nak ikut I balik, you suruh saja kawan-kawan you yang hantarkan.” Malas Ariff Zulkarnain mahu melayan Hani.
“Yalah, yalah. I ikut you.” Hani terpaksa akur dengan kata-kata Ariff Zulkarnain. Kalau tidak, siapa yang nak hantarnya pulang. Teman-temannya pasti akan pulang dengan pasangan masing-masing. Dia mencapai tas tangannya. Dia meminta diri daripada rakan-rakannya.
“Hei, semua. Aku balik dululah. Ariff dah nak gerak tu.”
Hani melambai-lambai kearah teman-temannya sebelum mengekori langkah Ariff Zulkarnain. Di dalam hati dia merungut. Iyalah, baginya masih awal lagi untuk balik. Dia tak habis lagi berbual dengan teman-temannya. Mereka berjalan ke arah kereta Ariff Zulkarnain. Setelah central lock kereta di tekan, lalu, Hani masuk ke dalam kereta. Dia menghempaskan punggungnya dia atas kerusi kereta. Marah saja lagaknya.
Ariff Zulkarnain pula buat-buat tidak memahami dengan tingkah laku yang Hani tunjukkan. Lantak kaulah nak protes ke nak apa. Yang penting, aku nak balik! Ariff Zulkarnain membebel di dalam hati. Malas dia nak layan perangai Hani. Silap sikit nak marah. Kadang-kadang tak tahan juga dia dengan perangai Hani itu.
Sepanjang perjalanan sunyi sepi. Tiada perbualan yang berlaku antara Ariff Zulkarnain dan Hani. Sehinggalah sampai di dalam perkarangan rumah Hani, sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari mulut Ariff Zulkarnain mahupun mulut Hani.
Sampainya dihadapan apartmentnya, Hani terus keluar dari kereta Ariff Zulkarnain tanpa sepatah perkataan. Tanpa ucapan selamat tinggal seperti biasa. Kuat pintu kereta Ariff Zulkarnain di hempas oleh Hani. Setelah Hani keluar dari keretanya, Ariff Zulkarnain terus memecut keretanya keluar dari kawasan apartment itu. Ini bukan masanya untuk memujuk Hani. Biarlah dia dengan marahnya dia dulu.
Ariff Zulkarnain memandu tanpa arah. Tidak tahu hala tuju yang hendak di tuju. Setelah berfikir-fikir, dia tidak boleh balik ke rumah orang tuanya sekarang kerana pasti dia akan bertembung dengan ibu dan abahnya. Setelah itu, mereka akan selalu menyuruh dia pergi jemput perempuan itu.
“Huh, bosan sungguh! Asyik-asyik perempuan tu. Entah, apa yang istimewa sangat dengan perempuan tu aku pun tak tahu. Nampak macam bodoh je. Maklumlah budak kampung.” Ariff Zulkarnain merungut-rungut sendirian.
Setelah puas dia berpusing-pusing sekitar bandar Kuala Terengganu, dia akhirnya memutuskan untuk bermalam dirumah miliknya yang dia beli dua tahun lalu. Rumah banglo dua tingkat itu terletak di Kuala Ibai. Dia memasuki ke dalam rumah setelah memarkir kereta didalam garaj. Suis lampu di tekan.
Keadaan ruang tamu rumah itu masih lagi seperti dulu. Cuma, sedikit berdebu. Mungkin kerana dia sudah lama tidak ke sini. Kunci rumah dan kunci kereta di lemparkan ke atas meja kopi di ruang tamu. Matanya sudah betul-betul layu. Dia lantas berlalu ke tingkat atas. Langkahnya berhenti di depan bilik tidur utama. Dia memasuki bilik itu. Keadaannya juga teratur. Sepatutnya rumah ini tempat tinggal dia dan Hani selepas kahwin. Tetapi apa yang dirancang tidak tercapai.
Ariff Zulkarnain merebahkan badannya ke atas katil. Matanya terus terpejam. Pakaian yang dipakai tidak bersalin.

Aku sungguh gembira menerima kunjungan adik-adik iparku kelmarin. Melayan mereka dapat mengurangkan beban masalah yang aku tanggung. Sangkaku anak orang kaya mestilah sombong dan tidak bertegur sapa dengan orang biasa sepertiku. Tetapi sangkaanku meleset sama sekali. Mereka berdua sungguh baik sekali. Peramah pula tu.
Mereka ingin sangat melihat sekeliling kampungku yang dikelilingi oleh sawah-sawah padi dan kebun buah-buahan. Tidak terkejut aku bila mereka katakan yang mereka tidak pernah berkunjung ke kampung yang mempunyai sawah padi. Mereka kan anak bandar. Memang tidak pernah melihat sawah padi dari dekat.
Aku bawa mereka bersiar-siar disekitar kampung. Gembira aku melihat gelagat mereka. Sedikit pun mereka tidak janggal denganku. Mereka melayan aku seperti aku ni kakak kandung mereka dan bukannya kakak ipar mereka.
“Acik, acik.” Panggil ucu. Malas aku menyahut.
“Acik, acik.” Ucu masuk ke dalam bilik.
Aku yang ketika itu pura-pura tidur. Malas aku hendak melayan ucu. Kalau dia panggilku, pasti ada perkara yang dia hendakkan. Ataupun dia nak mengajakku keluar.
“Acik, acik.” Panggil ucu lagi.
Melihatkan aku tidak berganjak dari pembaringan, dia lantas menggeletek pinggangku. Itulah kelemahanku. Aku geli bila orang menggeletek pinggangku. Aku cepat-cepat bangun. Ketawa ucu dengan gelagatku.
“Ada apa ucu panggil acik ni?” aku pura-pura marah kepadanya. Tetapi ucu terus-terusan ketawa. Dia tidak menghiraukan langsung yang aku marah tadi.
“Ucu, apa hal panggil acik? Janganlah ketawa, jawablah acik tanya ni.”
“Yalah, yalah. Begini, esok keputusan PMR dah keluar, acik teman ucu boleh tak?”
“Tapi, acik kerjalah esok. Ucu pergi dengan kawan-kawan tak boleh ke?”
“Alah, acik ni. Sekolah ucu tu jauhlah. Lagi pun, mana ada kawan ucu yang satu sekolah tinggal kat sini. Acik, bolehlah.” Ucu terus-terusan memujukku.
“Acik tak bolehlah. Esok acik kerja. Emm, apa kata ucu suruh along temankan. Ataupun Kak Anisa yang temankan. Along dan Kak Anisa kan ke cikgu sekolah.”
“Alah, tak bestlah kalau acik takde.”
“Alah, pergi jelah dengan alaong atau Kak Anisa. Acik SMSlah nanti bila ucu dah dapat keputusan. Okey?”
“Okey, okeylah. Kena pergi dengan along jugak.”
“Kalau macam tu, pergi telefon along cepat. Tanyakan dia ada kerja ke tak esok. Nanti lewat-lewat telefon takut dia ada agenda lain pulak.”
“Yalah,yalah. Ucu pergi telefon along sekarang.” Ucu bangun dari duduk atas katil.
Aku hanya mengekori langkah ucu dengan ekor mataku. Aku membaringkan semula tubuhku di atas katil. Kacau sungguh budak ni. Nak tidur pun tak senang.